Saturday, October 1, 2022

Mimpi Nabi Khidhir Membawa Kitab Selawat yang Bercahaya

 

PERTANYAAN : Saya bermimpi (separuh sedar) saya bertemu dengan seorang lelaki yang tinggi dan saiz badan tidak gemuk sangat tidak kurus sangat, berpakaian jubah lama tetapi segak dan kemas. Lokasi di sebuah rumah yang tidak banyak perabot dan lebih kepada bilik beribadat. Dia datang kepada saya dengan memegang sebuah kitab yang sangat tebal. Dia bersalaman dengan saya dan mengijazahkan saya kitab tersebut. Katanya kitab tersebut mengandungi semua selawat yang ada di dunia ini. Semasa saya bersalaman dengan dia, terus saya mengetahui secara keruhanian bahawa beliau ialah Saiyidina Khidir as. Kitab tersebut mula berubah menjadi cahaya sedikit demi sedikit dan membentuk seperti seekor burung cenderawasih. Kemudian burung itu terbang. (Soalan pada 28 September 2022)


PENJELASAN : Sefaham saya, kemungkinan besar orang yang di dalam mimpi itu memang Nabi Khidhir. Beliau menyampaikan ilmu kepada tuan. "Kitab yang mengandungi semua selawat" itu ialah selawat yang asal, yang sudah "berisi", yang merangkumi segala selawat. Yang asal itulah yang tertinggi.


Pada 3 September 2022 (sebelum soalan ini ditanyakan), saya ada menulis rangkap-rangkap puisi bertajuk "Kembali ke Asal dalam Tasawuf" http://alexanderwathern.blogspot.com/2022/09/kembali-ke-asal-dalam-tasawuf.html sebagaimana di bawah ini :


Titik mula itulah titik penamat.

Jangan di perjalanan berhenti rehat.


Jalan datang itulah jalan pulang.

Ibarat ular kembali menyusur ke sarang.


Awal itulah akhir.

Daripada sir kembali ke sir.


Kosong itulah penuh.

Guna akal memanglah jenuh.

TAMAT


Jadi, tuan sudah sampai ke peringkat yang digalakkan untuk mendahulukan dan mengamalkan selawat sebagaimana yang asas lagi asal, kerana itulah selawat yang tertinggi dan terbaik. Tidak ada mana-mana selawat yang lebih daripadanya. Serba sedikit pemahaman dalam hal ini boleh tuan baca dalam satu penulisan saya pada 2 September 2022 (juga sebelum soalan ini diajukan) yang bertajuk "Begitulah Kisahnya Selawat yang Terutama" http://alexanderwathern.blogspot.com/2022/09/begitulah-kisahnya-selawat-yang-terutama.html


Ringkas kata, tuan sudah dianjurkan untuk mengamalkan selawat yang terutama itu. Sekiranya tuan mahu, ia akan menjadi "nur" yang sangat gemilang "di tangan" (pada diri). Sekiranya tuan tidak mahu pun, tidak mengapa, cuma ia akan berlalu pergi ("terbang").


Jika dalam Tarekat Ghazaliyah, selawat inilah yang menjadi tujuan. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

(Dijawab pada 1 Oktober 2022)

Blog : Debunga Teratai Syurgawi

No comments: