Thursday, February 2, 2017

Takut Berbuat Dosa

Seorang wanita menulis kepada sahaya :

@ Assalamualaikum ustaz..maaf kalau mesej saya ni mengganggu ustaz..saya cuma keliru dengan hati sendiri..

# Wlksm. Semoga dalam rahmat Allah selalu hendaknya.


@ Saya tak belajar tasauf..saya bukan dari sekolah aliran agama..

# Tak mengapa. Ada ruang dan peluang nanti, belajarlah. Pasang niat, Allah akan bantu insya-Allah. Banyak-banyak doa mohon pada Allah. Insya-Allah ada lorong-lorong yang disediakan oleh Allah untuk kita.


@ Tapi..sejak akhir-akhir ni saya rasa saya perlu buat sesuatu dengan hati saya ni..

# Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Yang menyentuh dan mengerakkan hati kita ke arah kebaikan itu tidak lain ialah Allah. Apabila fikiran yang baik-baik itu makin datang kepada kita, maksudnya Allah sedang melorongkan kita ke jalan-Nya tu.


@ Boleh ke kita buat sesuatu tanpa memikirkan dosa dan pahala..?

# Tentunya tidak boleh sesuka hati, kerana kita ada Tuan kita. Kita ini abdi-Nya. Apa-apa yang Tuan kita suka, kita usaha buat. Apa-apa yang Tuan kita tak suka, kita usaha hindar. Kenalah kita berfikir pahala dosanya, baik buruknya, redha-Nya atau murka-Nya, sekadar dengan pengetahuan dan pemahaman yang kita ada. Dari semasa ke semasa, kita tambahlah pengetahuan dan pemahaman kita tu. Allah lebih tahu yang kita ni hamba-Nya yang lemah, baru nak kenal-kenal agama lebih mendalam, banyak yang kita belum tahu ddan belum faham. Jadi, kita terus bersangka baik dengan Allah, nescaya dimudahkan perjalanan keagamaan kita nanti.


@ Kadang-kadang saya rasa tertekan sebab..takut nak buat sesuatu sebab takut berdosa..takut Allah marah..

# Itu antara petanda anda sebenarnya orang yang baik-baik. Pada dasar hati anda ada keimanan, kebaikan dan ada pencegah kepada hal-hal yang tidak baik. Berapa ramai lagi orang lain yang seolah-olah tidak punya pencegah dari dalam dirinya sendiri? Rasa pencegah ini dihantar oleh Allah ke dalam hati kita, antaranya sebagai tanda bahawa Dia sedang memilih kita ke arah kebaikan. Ringkasnya, anda orang yang beruntung. Cuma dasar-dasar hati yang baik di dalam jiwa itu hendaklah dikembangkan potensinya lagi. Cari peluang-peluang menambah ilmu agama, khususnya ilmu tasawuf. Kita kena banyak doa dan usaha agar hati jiwa kita berasa nikmat untuk taat, berasa manis untuk patuh dan berasa lazat untuk mengikut apa-apa yang ditentukan oleh Kekasih kita iaitu Allah SWT dan kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad saw.


@ tapi..kadang-kadang saya buat jugak, sebab kenapa orang lain boleh buat sedangkan saya tak boleh..walaupun dalam hati ada rasa takut Allah marah..takut dosa...

# Kalau selama hari ini sudah terbiasa buat apa-apa yang tidak diredhai Allah, kenalah usaha dihentikan. Jika mampu, berhenti terus serta-merta. Jika tidak mampu, hentikan perlahan-lahan. Kurang dan kurangkan dari semasa ke semasa. Isnya-Allah lama-lama akan berkurangan dan terus berhenti.

Kata hati yang tidak baik, kita lawan dengan kata hati yang baik. Contohnya : Memanglah ramai orang lain buat, tetapi kan ramai juga orang lain yang tidak buat? Mengapa aku jadi lemah dan mudah terpengaruh dengan orang lain yang buat? Padahal boleh sahaja aku jadi kuat dan terpengaruh dengan orang lain yang tak buat. Orang lain yang kurang daripada aku pun mampu tidak buat, takkanlah aku yang lebih berpelajaran, lebih berduit, lebih selesa hidup, lebih baik paras rupa, lebih sihat tubuh badan, lebih bijak berfikir, lebih tahu agama tak dapat kekuataan macam mereka? Aku mesti jadi kuat!


@ Saya nak jumpa Allah dalam keadaan Dia gembira jumpa dengan saya..tapi..akhir-akhir ni ujian tu terlalu berat sampai saya membiarkan diri buat dosa...

# Ya, pastinya begitu. Sebab itulah Dia menganugerahkan kepada kita perasaan bersalah apabila berbuat hal-hal yang tidak diredhai-Nya. Dia hadiahkan kepada kita pencegah ke dalam jiwa kita. Hargailah anugerah-anugerah Dia itu. Jelaslah bahawa kita sedang dalam perhatian Dia. Banyak-banyak kita berasa malu kepada Dia apabila kita terasa hendak melakukan hal-hal yang tidak diredhai-Nya. Dia sentiasa melihat kita dan keadaan kita seluruhnya, 100%.


@ Macam mana saya nak kalahkan hawa nafsu dan bisikan syaitan...saya tak nak Allah tinggalkan saya...

# 1. Langkah awal dan terpenting, mohon kepada Dia. Hati, hawa nafsu, syaitan dan lain-lain semuanya milik Dia sepenuhnya. Hanya Dia yang ada kuasa untuk buat begitu begini terhadap itu semua. Oleh itu, kita minta tolonglah kepada Tuan punya hati, hawa nafsu dan syaitan. Minta agar dia penuhkan apa-apa hajat anda berkaitan masalah yang anda hadapi sekarang. Kena selalu minta. Selepas ini terus sahaja mohon, jangan tunggu-tunggu lagi. Mintalah antara contohnya agar Dia lorongkan kita ke jalan yang baik-baik sahaja. Minta Dia tetapkan hati kita dalam suasana keimanan dan ketaatan. Minta Dia kuatkan hati kita untuk tidak tertarik lagi terjauh daripada hal-hal yang mendatangkan dosa itu.

2. Kurangkan bergaul dengan orang-orang dan suasana (tempat-tempat) yang boleh mendorong kita untuk melakukan hal-hal yang tidak baik. Usaha cari, bina, tambah dan rapat-rapat dengan orang-orang yang kita nampak baik keagamannya. Pergaulan memang mempengaruhi kita.

3. Selain amalan-amalan wajib dan sunat yang biasa dilakukan, banyakkan ingat Allah (berzikrullah). Pelbagai jenis zikir ada. Amallah mana-mana yang dirasakan selesa. Saya cadangkan anda amalkan Zikir Harian. Yang 1000x sehari tu. Pendek-pendek sahaja pun.Tak dapat buat 1000, buat ikut kemampuan asalkan istiqamah (berterusan). 100x sehari pun ok, 300 pun ok, dan seterusnya. Banyak manfaatnya insya-Allah.


@ Adakah cara saya fikir ni salah..? Adakah cara fikir saya ni sesat..? Boleh ustaz tolong saya..?

# Tentunya tidak salah dan tidak sesat, malahan bagus sekali. Semoga dimudahkan Allah segala urusan keduniaan dan keakhiratan anda.Yakin dengan Allah, cintai Allah, malu pada Allah, berserah pada Allah, terus berharap pada Allah. Doa-doakan saya sama. Wassalam.



Abu Zulfiqar
Januari 2017

No comments: