http://www.youtube.com/watch?v=O9IKVFw2P-8
Itu sudah satu kisah. Kemudian alam kubur pula, satu kisah lagi. Tidak tahu berapa tahun pula di dalam alam itu. Selepas alam kubur, Padang Mahsyar pula. Entah berapa tahun pula di situ, kita tidak tahu. Selepas itu ‘timbangan’ pula, hendak timbang amal. Berapa puluh tahun pula di situ? Silap-silap ribuan tahun. Selepas itu hendak melintas Titian ‘Sirat’ pula. Berapa tahun pula lagi? Sampai di depan syurga pun ada (masalah) pula lagi.
Jadi setiap satu alam itu memakan masa lama. Kalau satu alam itu makan masa 1,000 tahun pun cukuplah, tidak terdaya kita hendak menunggu. Sebab itulah dikatakan “perjalanan itu jauh”. Perjalanan menuju ke syurga ... jauh. Ia bukan benda dekat.
(Untuk) Setiap alam ini ada amalan-amalannya. Hendak senangkan diri ketika sakaratul maut, ada amalannya. Hendak senangkan diri ketika di alam kubur, ada amalannya. Hendak senangkan diri ketika di Padang Mahsyar ada amalannya. Setiap satu alam itu ada amalannya. Sesiapa buat amalan-amalan ini, (urusan) dia mudah.
Kalau kita tidak ambil tahu : “Alah, mati esok, akhirat je lah.” Kita nampak satu (alam) sahajalah, akhirat (secara keseluruhan) sahaja. Padahal dalam (alam) akhirat itu ada banyak alamnya. Teruk kita, hendak melepasi satu-satu (alam) itu susah. Sebab itulah dikatakan : “Perjalanan itu jauh.”
Jadi apabila kita sudah ada kefahaman seperti ini, tentulah ada tindakan, bukannya kita belajar sahaja. Tindakan kita, kita buatlah perbekalan. Kita siapkan bekalan kita untuk hidup di dunia ini sepadan dengan usia kita hidup di dunia. Katakanlah umur kita 70 tahun. “Rasa-rasa aku ini (hidup) sampai 70 tahun.” (Maka) Kita carilah bekalan untuk hidup selama 100 tahun. Cukuplah tu.
Tapi kita kena ingat, selepas kita mati kita akan dihidupkan semula dalam satu alam akhirat, yang selama-lamanya. Kalau untuk kehidupan 70 tahun ini kita berusaha sedemikian keras, untuk hidup yang selama-lamanya itu... berapa banyak amalan yang kita hendak siapkan? Tentulah lebih banyak lagi!
Jadi, berusahalah untuk hidup di dunia ini sepadan dengan usia kita, juga siapkanlah bekalan untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana.
Sesetengah orang, bahkan kebanyakan orang tumpu mencari bekal hidup di dunia. Baik dari segi pakaian, makanan, rumah. Itu yang utama. Dia tumpu yang itu sahaja. Sehari entah berapa jam tumpu yang itu sahaja. Untuk akhirat dia bagi (masa yang) sedikit. Sebenarnya untuk akhirat ini yang kena lebih, walaupun kita kata (kena) seimbang – akhirat 50%, dunia 50%, tapi kita kena ingat (bahawa) hidup di dunia 70-80 tahun, (manakala) hidup di akhirat selama-lamanya. Yang mana kita hendak siapkan lebih bekalan? Orang yang bijak tentulah dia ‘target’ yang di akhirat.
Kita rugi di dunia tidak apa-apa. Kita rugi 80 tahun, apalah sangat. Tapi kalau rugi di akhirat, selama-lamanya. Yang mana kita lebih takut kerugian? (Tentulah) Takut ruugi di akhirat (lebih) lagi. Begitu cara ilmu tasawuf.
Kemudian kata Imam Al-Ghazali : “Perbekalan itu sedikit.”
Ingat semula yang dia katakan : “Akhirat itu di hadapan, dunia itu di belakang. Ajal itu dekat, perjalanan itu jauh. Bekal itu sedikit.”
Mengapa dia katakan : “Bekalan itu sedikit?”
Kita pun masing-mmaing faham, memang bekalan yang kita sediakan untuk akhirat itu sedikit, termasuklah saya, bukan kata orang lain. Bekalan untuk akhirat itu sedikit. Kita asyik tumpu bekalan untuk hidup di dunia. Bekal akhirat sedikit.
Sebenarnya kita ini tahu, mati itu pada bila-bila masa boleh berlaku, tapi kita yakinkan diri kita sendiri : “Takkanlah sekejap lagi mati, mungkin tidak.”
“Takkanlah malam ini aku mati. Rasa-rasanya tidak mati lagi.”
“Takkanlah esok (aku) mati. Rasa-rasanya hidup lagi.”
“Takkanlah tahun ini aku mati. Rasa-rasanya sempat lagi.”
Kita yakinkan diri sendiri. Itu masalahnya. Itu yang membuatkan bekal kita jadi sedikit. Cuba kita ingat : “Eh, malam ni... matikah aku ya? Boleh jadi mati.”
Dengan baca Quran, menuntut ilmu... semua kita buat (kerana mengambil kematian sebagai pengajaran).
Bekal kita itu sedikit, salah satu sebabnya... kita bertangguh-tangguh. Hendak belajar ilmu agama, nantilah. Tak mati lagi malam ini. Asyik bertangguh-tangguh. Itulah penyebab bekal kita sedikit.
Kita asyik mengejar fatamorgana. Fatamorgana ini apa bendanya? Apabila kita memandu kereta ketika tengah hari, kita nampak ada macam air di jalan raya. Nampak macam ada air, tapi apabila didekat, ia hilang. Di padang pasir selalu ada. Kita memandu kereta pun (selalu) ada. Nampak macam air di tengah jalan, ketika hari panas. Kita mendekat, (ia) hilang. Itulah fatamorgana. Ia menipu kita.
Di padang pasir, cukup ramai orang tertipu. Kita sudahlah dahaga, sesat di padang pasir. Nampak macam kolam luas. Apabila kita pergi, (ia) hilang. Fatamorgana (berlaku) kerana pantulan dari matahari. Bahang panas itu menipu mata kita. Kadang-kadang fatamorgana ini boleh kelihatan seperti (sebuah) kota. Kota (di padang) pasir- fatamorgana.
Kita ini asyik mengejar fatamorgana dunia. Asyik kejar keseronokan dunia ini. Asyik kejar, kejar, kejar... sampai suatu ketika barulah kita tersedar, tidak ada rupa-rupanya, hilang. Itulah fatamorgana.
Nanti waktu bawa kereta, naik motor ke, tengoklah di hujung jalan raya. Akan nampak macam air di tengah jalan.
Kemudian kata Imam Al-Ghazali : “Bahaya itu besar.” Bekal itu sudahlah sedikit, bahaya itu pula besar. Kenapa dia katakan bahaya itu besar?
Macam (yang) kita beritahu tadilah, kita rugi di dunia ini sekadar 80 tahun. Kalau umur panjang, 100 tahun. Katakanlah (kita) hidup miskin. Hidup miskinlah (sepanjang) 100 tahun di dunia ini. Tapi, 100 tahun sahaja. Kalau di akhirat kita hidup miskin bagaimana? Itu selama-lamanya tu! Kalau kita sakit, mungkin sakit selama-lamanya. Kalau kita miskin, (mungkin) miskin selama-lamanya. Rumah buruk (neraka) di akhirat, mungkin selama-lamanya buruk. Sebab itulah dikatakan : “Bahaya itu besar.”
Tidak ada bahaya yang lebih besar daripada bahaya alam akhirat. Tidak ada seksaan yang lebih hebat daripada seksaan alam akhirat. Kita di dunia... orang pancung kepala, orang suntik dengan jarum beracun supaya mati, orang pukul... semua itu tidak bahaya lagi (jika) hendak dibandingkan dengan bahaya akhirat. Bahaya akhirat lebih teruk daripada itu. Sebab itulah Imam Al-Ghazali kata : “Bahaya itu besar.”
Tidak ada bahaya yang lebih hebat daripada bahaya akhirat. Dan lawannya – tidak ada nikmat yang lebih nikmat daripada nikmat akhirat. Yang mana kita hendak? Hendak bahaya akhiratkah, hendak nikmat akhirat?
Jadi apabila kita sudah tahu benda-benda seperti ini, kita hendaklah ambil tindakan.
No comments:
Post a Comment