Sunday, June 19, 2011

Teks Kuliah Syarah Ihya' 6

Teks Kuliah Syarah Ihya' 6


http://www.youtube.com/watch?v=2oAwlDt34hA

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT kerana pada malam ini Dia sekali lagi memilih kita untuk sama-sama berada dalam satu majlis, majlis pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ataupun ringkasannya – kitab Bimbingan Mu’minin.

Pertamanya kita lihat, apakah kelebihan-kelebihan datang ke majlis ilmu sebagaimana yang dicatatkan dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini?

Dalam satu hadith riwayat Imam Muslim, kata Nabi Muhammad, mafhumnya : “Barangsiapa melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka dianugerahkan Allah kepadanya jalan ke syurga.”

Berdasarkan hadith ini nampaknya para hadirin yang datang pada malam ini insyaAllah dipermudahkan jalan ke syurga, kerana ini memang janji Nabi Muhammad, memang janji Allah.

Seterusnya dalam hadith riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Hakim, yang juga dipetik daripada kitab Bimbingan Mu’minin ini : “Sesungguhnya malaikat itu membentangkan sayapnya kepada penuntut ilmu, tanda rela akan usahanya itu.”

Jadi sebenarnya kita sekarang sedang berada di bawah naungan sayap para malaikat, cuma kita tidak nampak sahaja. Kalau kita nampak mungkin kita lari, sebab hebatnya rupa malaikat-malaikat ini. Eloklah tidak nampak. Cuma kita kena faham, kita sekarang sedang berada di bawah naungan sayap para malaikat, yang mana malaikat-malaikat tadi mereka suka, sebab kita datang ke majlis ilmu.

Hadith ketiga, yang dipetik daripada kitab ini juga, hadith riwayat Imam Ibnu Hibban dan Ibnu Abdul Birri : “Satu bab daripada ilmu yang dipelajari seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.”

Itu baru satu bab. Sepanjang kita belajar kitab ini nanti tak tahulah berapa banyak bab ilmu. Satu bab ilmu sahaja pun sudah lebih baik daripada dunia dan isinya, di sisi Allah SWT. Cuma kita tidak nampak.

Dan hadith yang keempat, yang dipetik daripada kitab Ihya’ ini juga, maksudnya : “Bahawa sesungguhnya engkau berjalan pergi mempelajari satu bab daripada ilmu, adalah lebih baik daripada engkau melakukan solat 100 rakaat.”

Kita datang ke sini, dia punya kelebihan itu mengalahkan orang yang duduk di rumah yang sembahyang sunat 100 rakaat. Kita memang tidak larat hendak buat solat sunat 100 rakaat, tapi datang sahaja ke majlis ilmu, dapat lebih lagi daripada solat sunat 100 rakaat.

Begitulah antara kelebihan-kelebihan orang yang datang ke majlis ilmu sebagiamna yang termaktub dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Yang pertama tadi, dimudahkan oleh Allah SWT jalan kita ke syurga. Yang keduanya, para malaikat rela dengan kita dan mereka membentangkan sayapnya. Selain itu, daripada hadith-hadith lain dikatakan para malaikat ini sebenarnya sentiasa memohonkan doa supaya kita yang berada dalam majlis ini diampunkan dosa-dosa kita. Yang ketiganya, satu bab daripada ilmu yang kita belajar adalah lebih baik daripada dunia dan isinya. Dan yang keempat, kita datang ke sini belajar statu bab daripada ilmu, lebih baik daripada melakukan solat sunat 100 rakaat. Jadi tidak payah susah-susah sembahyang sunat 100 rakaat,cukup dengan datang ke majlis ilmu.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Begitulah tadi beberapa hadith yang kita petik daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, ataupun ringkasannya (iaitu) Bimbingan Mu’minin.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya hendak mengimbas sedikit pelajaran dalam kuliah yang lepas. Antara isi kandungannya, kita telah melihat maksud nama kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini. Kitab ini maksud namanya ialah Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama. Kemudian kita sudah melihat nama penuh Imam al-Ghazali. Namnya berulang-ulang. Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Itu namanya. Kemudian kita sudah melihat beberapa banyak kita-kitab yang dikarang oleh tuan syeikh kita ini. Kita tidak (ulang) sebutlah kali ini.

Seterusnya kita juga mendengar kisah salah seorang murid kepada Imam al-Ghazali, namanya Muhammad bin Tumart. Suatu ketika, ada sebuah kerajaan mengharamkan kitab Imam al-Ghazali dan memerintahkan bakar jika terjumpa kitab ini. Apabila cerita ini sampai kepada pendengaran Imam al-Ghazali, Imam al-Ghazali dengan pandangan kasyafnya dia berkata (sekadar contoh) : “Kerajaan itu akan dikoyak sebagaimana mereka merobek kitabku.” Kebetulan muridnya yang bernama Muhammad bin Tumart ini berada di situ. Muridnya berkata (sekadar contoh) : “Doakanlah kerajaan mereka ini robek ditangan aku.” Dan memang betul, kerajaan yang anti dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini telahpun dijatuhkan oleh satu kumpulan pejuang yang diketuai oleh Muhammad bin Tumart. Itulah ringkasnya.

Kemudian kita melihat dengan agak panjang lebar juga sejarah Imam al-Ghazali, dari dia kecil sampailah dia meninggal dunia. Dan yang penting di sini (ialah) doa bapanya. Bapanya berdoa kepada Tuhan supaya dikurniakan anak-anak yang soleh, yang bakal jadi ulama. Jadi semestinya kita pun kena berdoa begitu. Doa supaya anak ini (jadi) soleh berada di atas sekali berbanding doa yang lain-lain. Panjanglah cerita Imam Al-Gahzali ini, kita tidaklah (ulang) cerita lagi di sini.

Jadi secara ringkasnya, sepanjang hidup Imam Al-Ghazali, dia menghabiskan masanya dengan berdakwah dan belajar, dan mengembara. Semuanya kerana ilmu kerana agama. Memang sesuailah. Sebab apa? Dalam banyak-banyak nikmat di dunia ini, boleh kata semua nikmat kita boleh kecap di akhirat. Di dunia kita boleh minum, di akhirat kita boleh minum. Di dunia kita ada isteri, di akhirat pun kita ada isteri. Di dunia kita ada kebun-kebun, di akhirat pun kita ada kebun-kebun.

Tapi nikmat berjuang? Di akhirat tidak ada. Nikmat berjuang ada di dunia sahaja. Begitu juga dengan nikmat bersusah-payah. Nikmat berkorban kerana Allah, ada di dunia sahaja. Inilah yang kita hendak rebut. Masuk syurga nanti, nikmat berjuang tidak ada, nikmat bersusah-payah (dan) letih kerana memperjuangkan Allah tidak ada, nikmat berkorban kerana agama Allah pun tidak ada.

Sebab itu sebagaimana yang kita faham, orang-orang yang mati syahid kalau boleh dia minta dihidupkan balik, dan dia hendak berjuang dan mati syahid lagi. Dia sudah masuk syurga dah sepatutnya. Mati syahid, mati kerana berperang pada jalan Allah. Tapi kalau boleh dia hendak minta hidup (balik) ke dunia, minta mati syahid lagi. Kemudian sudah mati, minta hidup lagi, minta mati syahid lagi.

Sebab apa tu? Apakah syurga itu tidak cukup nikmat? Sudah sangat-sangat nikmat, tapi di syurga sana tidak ada nikmat berjuang. Sebab itu para pejuang memilih untuk berkorban di dunia. Di dunia inilah nikmat berjuang, nikmat bersusah-payah, nikmat berkorban kerana Allah dan Rasul-Nya.

No comments: