http://www.youtube.com/watch?v=9Z7n5FaLsUc
Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Sekarang kita masuk (kepada) kitab Ihya’ ‘Ulumiddin kita, ataupun ringkasannya kitab Bimbingan Mu’minin. Seawal-awal kitab ini ada ditulis : “Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati.”
Kita tengok ya. ‘Start start’ kitab dia terus cakap begitu : “Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati.” Ini di permulaan kitab, bukannya di akhir kitab. ‘Start start’ kitab dia kata : “Apa-apa yang kita cerita tadi itu adalah pengajaran bagi orang-orang yang berakal.”
Kenapa dia mulakan kitab ini dengan cara begini? Ini yang kita (berasa) pelik, seolah-olah dia sudah bercerita panjang dah. Sepatutnya ayat ini diletak di belakang. Sudah habis dia ulas semua, barulah dia kata : “Sesungguhnya hal demikian itu jadi pengajaran...” Ini tidak. Di awal kita lagi dia terus bawa keluar ayat Al-Quran ini, dari surah Qaaf ayat 37. Hal ini ada rahsianya.
Sebenarnya Imam al-Ghazali tidak mahu panjang-panjang cerita, dia terus bagi ayat yang ke-37. Salah satu tujuannya ialah supaya kita ambil tahu ayat pertama sampai ayat ke-36. Ada banyak pengajaran dan nasihat-nasihat yang boleh kita ambil dari ayat nombor 1 sampai 36, tapi tidak dimasukkan di sini (dalam kitab Ihya’ ini).
Jadi secara ringkasnya... saya pun tidaklah tafsirkan 36 ayat itu... secara ringkanya kita tengok dalam nota itu pengajaran pertama, di bahagian kanan sebelah bawah. Di sanalah (hasil) saya tengok Surah Qaaf sepintas lalu, saya ambil dia punya pengajaran.
Pengajaran yang pertama daripada Surah Qaaf ini, pelajarilah isi kandungan al-Quran dan berpeganglah padanya dengan penuh percaya, penuh yakin. Orang bawa marilah macam mana punya hukum pun, kita tetap berpegang dengan hukum Quran. Tidak ada dolak-dalik lagi.
Yang kedua, kita kena percaya pada Hari Kebangkitan, iaitu Hari Akhirat. Selepas kita hidup ini kita mati, kemudian kita akan hidup balik. Sebab apa, benda ini ‘gerenti’ berlaku. Apabila tahu ia pasti berlaku, kita kenalah buat persediaan. Persedian-persediaannya kita kenalah buat di dunia ini.
Pengajaran daripadaSsurah Qaaf yang ketiga, percayalah bahawa semua amal makhluk dan segala peristiwa direkodkan oleh Tuhan sejak azali. Sejak makhluk mula-mula dicipta, ketika itu sudah ‘berjalan’ dah, sudah direkod apa yang akan berlaku, apa yang sedang berlaku, sudah direkod. Dalam Surah Qaaf itu ada diceritakan.
Yang keempat, Surah Qaaf juga meminta kita supaya mengkaji langit dan bumi, dan isi kandungan di dalamnya, ambil pelajaran. Khususnya pelajaran untuk mendekatkan kita kepada Tuhan.
Yang kelima, Surah Qaaf minta kita jangan mengikut perlakuan buruk kaum-kaum terdahulu, yang mana kaum-kaum ini dilaknat oleh Tuhan. Dalam Surah Qaaf itu ada diceritakan.
Dan yang keenam, percayalah, tempat terakhir kita iaitu syurga ataupun neraka.
Inilah enam pengajaran utama daripada surah Qaaf ayat 1 sampai ayat 36. Barulah sesuai kita baca ayat ini : “Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati.” Yang enam pengajaran tadi, sesiapa ada akal fikiran, benda-benda yang saya sebutkan tadi, dia ambil berat. Itu maksudnya. Kalau tidak kita (akan berasa ) pelik, kenapa ‘start start’ kitab ini, terus dia masukkan ayat yang seolah-olah dia sudah menceritakannya.
Itulah... dalam kitab Ihya’ ini ada banyak rahsia, kita bongkarlah satu-persatu insyaAllah. Cuma yang malangnya, Imam Al-Ghazali ada buat satu kitab tafsir Al-Quran, setengah pendapat mengatakan ada 40 jilid., kalau ada kitab tafsir itu bolehlah kita tafsirkan dariapada ayat pertama sampai ayat ke-36. Tapi malangnya ketika Baghdad, Iraq diserang oleh orang-orang Monggol, tentera Ya’juj Ma’juj ini menyerang, memusnahkan bandar itu, cukup ramai orang yang mati dan buku-buku ini mereka buang ke dalam sungai. Sampaikan sungai di Baghdad itu jadi hitam airnya dengan dakwat buku-buku itu. Di situlah (kita) kerugian. Banyak kita punya buku dilempar ke dalam sungai dan mungkin juga ketika itulah hilangnya tafsir Al-Quran yang dibuat oleh Imam Al-Ghazali sebanyak 40 jilid.
Kalau ada kitab itu sekarang, sedaplah kita tafsirkan ayat 1 sampai ayat 36 Surah Qaaf. Malangnya tidak ada. Tapi tidak mengapalah, kita ambillah pelajarannya yang tadi (iaitu) belajar isi kandungan Al-Quran, pegang sungguh-sungguh, percaya adanya Hari Kebangkitan, percaya bahawa kita punya amal semua sudahpun direkod, kemudian kita kajilah langit dan bumi, ambil pelajaran daripada alam sekitar, jangan kita ikut contoh kaum-kaum terdahulu yang dimusnahkan oleh Tuhan, dan akhirnya kita percaya syurga itu ada neraka itu ada, dan di sanalah tempat terakhir kita. Itulah pengajaran daripada Surah Qaaf.
Bismillahirrahmanirrahim. Ini perkataan Imam Al-Ghazali.
“Pertama-tama aku memuji Allah, pujian yang banyak, berturut-turut walaupun amat kecil pujian pemuji-pemuji itu, kurang dari hak keagungan-Nya.”
Mula-mula “Alahamdulillah” dulu lah, sebagaimana yang kita petik daripada kitab Sirajul Huda karya Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sambawi. Alhamdu... puji ini ada empat jenis puji. Yang kita selalu kata “Alhamdulillah”, “Alhamdu” ini ada empat jenis puji. Mengikut kita Sirajul Huda : “Alhamdu itu puji dengan perkataan atas perbuatan yang elok yang dibangsakan bagi ikhtiar, maka iaitu empat bahagi.”
Di dalam alam ini ada empat jenis puji:
1. Yang pertama, Qadim puji Qadim. Maksudnya Tuhan puji DiriNya sendiri.
2. Yang kedua, Qadim puji baharu. Maksudnya Tuhan memuji makhluk.
3. Yang ketiga, baharu puji Qadim. Maksudnya makhluk puji Tuhan.
4. Dan yang keempat, baharu puji baharu. Makhluk puji sama-sama makhluk.
Contohnya Tuhan puji Diri-Nya sendiri, sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran: “Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah, Pemelihara sekelian alam.” Tuhan memuji DiriNya sendiri. Tuhan kata, Aku ini Penjaga, Pemelihara sekelian alam. Tuhan puji DiriNya sendiri = Qadim puji Qadim. Khaliq puji Khaliq. Khaliq ini Pencipta, kalau makhluq – yang dicipta. Itu contoh yang pertama.
Contoh yang kedua, Qadim puji baharu. Tuhan puji makhluk. Contohnya dalam surah Al-Anbiya’ ayat 80: “Dan (Nabi) Ismail dan Idris dan Zulkifli. Semuanya itu daripada kalangan orang-orang yang soleh.” Dia puji makhluk ciptaan-Nya iaitu Nabi Ismail, Nabi Idris dan Nabi Zulkifli sebagai orang-orang yang soleh, ornag baik-baik. Ini Tuhan puji makhluk.
Apabila Tuhan puji makhluk, puji itu pergi ke mana? Inilah ilmu tasawuf. Apabila Tuhan puji makhluk, Dia kata Nabi Ismail itu baik, pujian itu pergi ke mana? Baik itu pergi ke mana? Pada hakikatnya baik itu pergi kepada Tuhan balik. Sebab apa? Yang bagi Nabi Ismail baik ini siapa dia? Tuhanlah. Nabi Ismail suka tolong orang, berdakwah, dia tidak fikir benda-benda yang buruk-buruk... semua itu Tuhan yang buat.
1 comment:
alhamdulillah syukur, penerangan dan penjelasan yang cukup baik dan mantap sekali mengenai 4 jenis puji itu..., Insyallah, ALLAH DAN RASULNYA akan merahmati kita semua apabila kita diatas jalan sirotholmustaqimm...
Post a Comment