Saturday, May 30, 2020

Amalan Asas Tarekat Ghazaliyah 1


Engkau hendaklah BERUSAHA untuk SELALU berzikrullah iaitu rajin-rajinlah ingat akan Allah.

Zikrullah itu ertinya INGAT AKAN ALLAH.

Antara jalan untuk mencapai keadaan selalu berzikrullah adalah dengan selalu MELAFAZKAN LAFAZ-LAFAZ ZIKIR.

Antara contoh lafaz-lafaz zikrullah (INGAT AKAN ALLAH) ialah Allah, ya Allah, Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilahaillallah, ya Hayyu ya Qayyum, dan sebagainya.

Dalam hal ini, Tarekat Ghazaliyah sangat menganjurkan agar engkau rajin-rajinlah MELAFAZKAN NAMA-NYA iaitu “Allah, Allah, Allah…”

Rajin-rajinkan itu bukanlah bermaksud SENTIASA (berterusan 24 jam), tetapi bermaksud selalu-selalulah.

Lafaz “Allah. Allah. Allah…” ini boleh engkau LAFAZKAN DI LIDAHMU, atau engkau LAFAZKAN DI HATIMU, ataupun engkau lafazkan pada KEDUA-DUANYA sekaligus, bergantung pada kesesuaian keadaanmu ketika itu. Inilah tiga kaedah melafaz.

Lafaz-lafaz zikrullah ini boleh engkau lafazkan pada bila-bila masa yang sesuai. Apabila engkau teringat, lafazkanlah. Sekiranya terlupa, tidak mengapa. Waktu teringat pula nanti, lafazkanlah. Sekadar untuk SELALU MELAFAZKAN. Pilihlah mana-mana daripada tiga kaedah melafaz tadi.

Lafaz zikrullah “Allah. Allah. Allah…” yang PADA HATI umumnya boleh diamalkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja, serta dalam apa jua keadaan. Ketika bersembang, ketika berperang, ketika berlari, dalam solat, ketika berdoa, di dalam rumah, di luar rumah, dan sebagainya. Boleh belaka.

Jika dapat, tersedar daripada tidur, lafazkanlah “Allah” sekurang-kurangnya di hatimu, walaupun ketika itu matamu belum dibuka. Sebelum lena, sebutlah/lafazkanlah nama-Nya ini beberapa kali. Jika dapat sampai membawa kepada lena, lagilah bagus.

Jadi, bermula saat ini apabila engkau teringat sahaja, teruslah engkau lafazkan “Allah” (di mulut, atau di hati, atau di kedua-duanya bersama-sama) walaupun sekadar beberapa kali. Insya-Allah lama-kelamaan akan terbiasa dan akan semakin banyak.

Lafazkan SANTAI-SANTAI sahaja. Jangan sampai stress. Jangan sampai terganggu kerja-kerja yang lain-lain. Sambil-sambil sahaja. Insya-Allah.

No comments: