Malam esok 1 Ramadhan. Malam ini, satu malam sebelum Ramadhan.
Sahaya bermimpi berada di satu alam yang indah, berudara dingin, redup lagi selesa. Damai sahaja alam indah itu. Lama sahaya berada di alam tersebut, seolah-olah berhari-hari. Gembira sahaja di mana-mana.
Kemuncaknya dalam mimpi itu, sahaya bakal dinikahkah dengan seorang bidadari. Ada ramai orang. Orang-orang yang rapat dengan sahaya pun ramai. Semua wajah berseri-seri, bercahaya dan tersenyum. Semua seronok meraikan majlis tersebut.
Bidadarinya pun sampai, keluar dari biliknya. Berpakaian pengantin, berjubah bertudung labuh serba putih. Cantik pakaiannya. Bidadari itu sudah tentu cantiknya. Sahaya sempat melihatnya dari jauh. Dia sedang tersenyum dalam keadaan menundukkan kepalanya. Dengan diiringi oleh orang ramai, dia berjalan ke arah sahaya......
Tamat mimpi sahaya di situ. “Eh, nak mati dah ke aku ni?” fikir sahaya apabila tersedar.
Siang sebelumnya sahaya buat kerja agak berat. Sakit habis seluruh badan terutamanya kedua-dua belah tangan. Biasanya sakit sebegitu akan hilang dalam tiga empat hari, jika cukup rehatnya. Jika tak cukup rehat, memang boleh sampai seminggu baru hilang.
Tapi selepas terjaga daripada mimpi tadi, ringkas cakap semua sakit pada badan hilang. Memang sangat pelik. Fikiran pula rasa lapang, seolah-olah hidup ini tidak ada apa-apa bebanan dan tekanan. Isteri sahaya pun berasa sangat hairan.
Keadaan ini berterusan selama lima hari. Puasa tidak terasa. Macam tak berpuasa sahaja lagaknya. Umumnya tidak terasa penat, lapar atau dahaga. Tak ada sakit-sakit badan, tiada tidak sihat. Mulai 6 Ramadhan, keadaan pun jadi macam biasa balik.
Bertanya kepada orang-orang lama dalam tasawuf. Katanya, bermimpi berkahwin dengan bidadari ini silap-silap jika ada penyakit-penyakit walaupun yang berat, insya-Allah boleh sembuh dengan cara yang tidak terduga. Bahkan tidak mustahil juga akan hidup sihat dalam tempoh yang panjang. Cuma dalam mimpi sahaya itu, aqad nikahnya belum sempat dijalankan. Sebab itu sahaya dapat lima hari sahaja.
Malam 28 Ramadhan......
Sahaya bermimpi pula. Ada dua orang wanita, tapi sahaya tidak tahu apa jenis bangsanya. Mereka berdua datang meminang sahaya. Mereka datang sendiri, sambil setiap seorang membawa sesuatu seperti barang persembahan di tangan masing-masing. Lembut dan teratur sahaja perilaku mereka, penuh adab sopan. Barang itu kelihatan macam tepak sireh tetapi rupa dan buatannya memang luar biasa.
Dalam mimpi kali ini, yang paling menarik minat sahaya bukanlah kedua-dua orang wanita itu, tetapi pakaian mereka. Kedua-duanya berpakaian seakan-akan seragam. Mereka bertudung labuh dan berjubah warna cerah, seakan-akan putih tetapi bukan putih terang. Mereka memakai seakan-akan niqab di muka mereka, hanya nampak dua mata, tetapi buatan niqab mereka itu tidak sama macam yang para niqabis kita pakai. Buatan niqabnya memang kemas dan luar biasa juga.
Yang paling hebat ialah corak pada tudung labuh, niqab dan jubah mereka. Coraknya bukan corak geometri atau organik, tetapi corak yang pelik pada pandangan kita. Secara keseluruhannya pakaian mereka memang cantik, seakan-akan pakaian pengantin, tetapi corak besar yang cantik pada seluruh kain pakaian mereka itu yang membuatkan sahaya terpesona.
Susunan corak itu rasa sahaya memang tidak ada di dunia ini. Entah tenunankah, copkah, lukisan tangankah, tidaklah sahaya yang lemah ini dapat mengecamnya. Tapi memang sangat cantik. Entah dari manalah datangnya pakaian mereka yang sangat indah itu. Ringkas cakap, pakaian mereka itu bukan datang dari alam dunia ini, sama ada alam manusia ataupun alam jin. (*Dan mungkin mereka pun bukan dari sini). Wallahualam.
Terus fikiran sahaya teringat satu cerita orang tua-tua, yang tidaklah sahaya dapat memastikan kekuatan ceritanya. Khabarnya ketika Uwais Al-Qarni meninggal dunia, pada dirinya ditemui sehelai atau dua helai kain kecil. Kain kecil itu sangat cantik buatan dan rekacoraknya. Oleh keraan terlalu indah kainnya, para sahabat berpendapat memang tidak ada di dalam dunia ini baik di alam manusia atau alam jin yang ada kain sebegitu. Kain itu datang dari tempat lain. Wallahua’alam.
Sambung balik. Selepas mereka meletakkan ‘tepak sireh’ itu, mereka macam menunggu jawapan. Sahaya pula sedang asyik melihat-lihat pakaian mereka dan sesekali melihat mereka terutamanya pada bahagian mata, kerana itu sahajalah yang dapat dilihat. Setelah beberapa ketika dalam keadaan sebegitu, mimpi itu pun tamat. Tidaklah lama macam mimpi pertama.
Bangun-bangun dari mimpi dalam pukul 3 pagi, hilang rasa letih, tak larat, lesu, penyakit-penyakit. Boleh terus buat kerja-kerja rumah, mandi, qiamulail, ke surau imamkan solat Subuh, selesaikan semua amal fardhu dan sunat, segala amalan harian untuk pagi petang malam........
Sepanjang hari boleh buat pelbagai urusan, kemas rumah, keluar ke bandar, jadi imam terawih dan sampailah ke tengah malam ini, masih kuat dan segar. Orang rumah sahaya pun terkejut besar. Padahal sudah lebih seminggu batuk, selsema, sakit kepala, sakit urat , buang air tidak lawas, dan ada demam sekejap. Lebih seminggu tidak berterawih di surau.
Tapi sekarang, semua seolah-olah ditarik pergi begitu sahaja. Padahal pelbagai jenis ubat sudah ditelan, dimakan, diminum, disapu, dicium dan sebagainya. Tengok-tengok kesembuhannya bukan melalui ubat pun. Ajaibnya pekerjaan Tuhan. Entahlah berapa hari pula kali ini.
Itulah dua mimpi terkini yang sahaya ingin kongsikan. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
1:16 am.
4 Julai 2016
No comments:
Post a Comment