Mengapa dahulukan Kitab Cinta Allah?
Hendak betul-betul cantik memahami isi kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini, kita kena selesaikan kitab pertama iaitu Kitab Ilmu terlebih dahulu. Kitab Ilmu ini ibarat kunci atau pedoman utama untuk kita memahami cara pembawaan Imam Al-Ghazali seterusnya. Jika kita tidak memahami cara pembawaan dan manhaj Imam Al-Ghazali ini, kemungkinan besar kita akan faham kitab Ihya’ tidak mengikut yang Imam Al-Ghazali mahukan. Betapa pentingnya Kitab Ilmu ini sampaikan Imam meletakkan Kitab Ilmu sebagai kitab pertama daripada 40 kitab dalam Ihya’ ‘Ulumuddin. Bahkan Kitab Aqidah/Tauhid pun berada pada susunan kedua. Bayangkanlah betapa Imam Al-Ghazali begitu memberi penekanan terhadap Kitab Ilmu ini untuk diselesaikan terlebih dahulu..
Ramai orang yang cuba membaca sendiri atau cuba mengajarkan Kitab Ihya’ tanpa meneliti Kitab Ilmu. Hasilnya ramai yang gagal memaham dan ramai juga yang tersalah faham.
Selesai Kitab Ilmu, kita mesti lalui Kitab Aqidah. Kepentingan dan keutamaan amal dan ilmu tentang aqidah memang kita sudah sedia maklum, maka tidaklah kita panjangkan di sini.
Setelah selesai Kitab Ilmu dan Kitab Aqidah, maka bolehlah kita berpindah ke mana-mana kitab pun dalam kitab Ihya’ ini. Insya-Allah selamat dan lurus kerana panduan-panduan untuk menerokainya sudah kita maklumi dan bahagian tauhidnya sudah kita lalui. Selagi belum selesai kedua-dua kitab utama tersebut, eloklah jangan cuba-cuba memaham kitab-kitab yang lain kerana kemungkinan untuk tersalah faham atau tidak faham memang tinggi.
1. Saya memilih Kitab Cinta Allah sebagai syarahan seterusnya kerana syarahan kitab-kitab lain tentang bersuci, solat, puasa, zakat, haji, adab bekerja, maqam sabar dan sebagainya biasa kita dengar, terdapat di merata tempat, banyak kitab lain yang membiacarakannya dan ramai guru-guru dan majlis yang membicarakannya. Tetapi tentang maqam cinta Allah? Sangat sukar ditemui. Tentang maqam rindu Allah? Lagilah sukar. Jadi kita menampung bahagian-bahagian yang masih lompong itu.
2. Kitab Aqidah membawa kita agar ma’rifah (mengenal) Allah. Dalam sistem tarbiyyah Tariqat Ghazaliyyah, selepas ma’rifah (ma’rifatullah/mengenal Allah) adalah mahabbah (cinta Allah). Sebab itulah kita bicarakan Kitab Cinta Allah selepas Kitab Aqidah. Bagi Imam Al-Ghazali, maqam cinta adalah matlamat terakhir dan kemuncak kepada darjat-darjat dalam perjalanan kerohanian sebagaimana yang dimaksudkannya dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dan kitab Kimiya’ as-Sa’adah. Jadi, kita sesuaikan perjalanan syarahan kitab Ihya’ ini dengan sistem tarbiyyah Tariqat Al-Ghazaliyyah sendiri. Seiringnya kedua-dua hal ini memudahkan banyak urusan kita.
3. Seterusnya, kitab Ihya’ terdiri daripada 40 kitab di dalamnya. Apabila disyarahkan secara terperinci sebagaimana yang kita adakan di Surau An-Nur (di sinilah satu-satunya tempat kita syarahkan kitab Ihya’ secara terperinci manakala di tempat-tempat lain kita ringkaskan sahaja) seminggu sekali, saya jangkakan keseluruhan kitab ini akan tamat dalam 20 ke 23 tahun. Kitab Ilmu dan Kitab Aqidah berjaya kita khatamkan dalam masa 4 tahun. Itu baru dua kitab. Lagi 38 kitab? Kitab Cinta berada pada kedudukan ke-36. Bila agaknya kita akan sampai? Padahal maqam cinta Allah berada dalam sukatan utama tarbiyyah Tariqat Ghazaliyyah ini? Sempatkah sampai? Mahu tak mahu kita memandang lebih baiklah didahulukan Kitab Mahabbah berdasarkan kepentingannya.
Begitulah antara faktor kita mendahulukan syarahan Kitab Cinta Allah selepas KItab Ilmu dan Kitab Aqidah dalam kitab besar Ihya’ ‘Ulumuddin ini.
Wallahua’alam.
Abu Zulfiqar
30 Julai 2016
No comments:
Post a Comment