Thursday, June 2, 2011

Mengapa Jawapannya Dihadkan Sebegitu Rupa?

Seorang hamba Allah menulis sebuah buku bertajuk “Aina Allah?” ataupun maksudnya “Di Mana Allah?” Tajuk buku boleh tahan untuk menarik perhatian pembeli. Saya lihat isinya sepintas lalu. Belek pula kulit belakangnya. Di sana dinyatakan bahawa penulis mahu membawa pembaca meneliti dan mencari keputusan daripada 3 perkara di bawah:

1. Mereka yang mengatakan bahawa Allah Subahanahu wa Taala berada di mana-mana sahaja atau di setiap tempat.

2. Mereka yang berpegang kepada keyakinan bahawa Allah Subhanahu wa Taala itu berada di dalam hati mahupun diri setiap insan.

3. Mereka yang beriktikad bahawa Allah Subhanahu wa Taala berada di langit beristawa di atas ‘Arasy-Nya.

Yang manakah yang benar?

Saya berasa pelik... mengapa hanya 3 sahaja pilihannya? Mengapa pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang penting iaitu Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, masa, gelap, cerah, lokasi, posisi, berat, ringan, warna, rasa, bau, sempadan dan sebagainya (Bahkan Dialah yang menciptakan itu semua. Itu semua ialah makhluk. Sebelum ada itu semua, Allah sudah sedia ada tanpa perlu kepada itu semua) tidak dimasukkan?

Saya teringat ketika berdialog dengan penganut agam Kristian. Mereka selalu bertanyakan : “Adakah Jesus itu Tuhan, ataupun dia seorang penipu?”

Saya bertanya balik : “Mengapa hanya ada dua pilihan sahaja? Mengapa anda hadkan kepada dua pilihan sahaja? Mengapa tidak diletakkan lebih seperti a) Tuhan b) wakil Tuhan (rasul/nabi) c) malaikat d) penipu .... ?

Pelik kan?

Sungguhpun begitu, saya belum membaca keseluruhan buku itu kerana memang tidak membelinya pun. Tak tahulah saya kalau-kalau di dalamnya nanti ada dinyatakan jawapan selain daripada yang tiga itu. WaAllahua’lam.

No comments: