Thursday, June 2, 2011

Teks Kuliah Syarah Ihya' 4


Kata Imam Haramain iaitu tok gurunya, Imam Ghazali ini “Lautan tak bertepi”. Imam Ghazali ini ilmunya seolah-olah lautan tak bertepi, punya luas ilmunya. Ini pengakuan tok gurunya sendiri. Tok gurunya kata (*sekadar melakonkan) : “Anak muridku yang bernama Ghazali ini, dia punya ilmu seolah-olah laut tidak ada tepi.” Punya hebatnya. Tok gurunya sendiri iktiraf, menunjukkan Imam Ghazali ini memang handallah hal ehwal agama ni.

Disebabkan dia handal ilmu agama, PM (Perdana Menteri) pun terpikat dengannya. Perdana Menteri panggil ke istana, mengajar. Setiap dua minggu, sekali Imam Ghazali mengajar di istana. Habislah pegawai-pegawai yang lain pun semuanya ikut mendengar, selama lima tahun. Kemudian dia dinaikkan pangkat lagi, dilantik pula jadi Ketua Universiti Baghdad. Zaman itu, Baghdad di Iraq ialah pusat pemerintahan daulah Islam. Dia dilantik jadi ketua di sana.

Khalifah zaman itu bernama Khalifah Muqtadi. Dia hantar utusannya iaitu permaisuri kepada Raja Malik Syah dari Dinasti Saljuk, yang bernama Terkanu Khatun. Dia hantar seorang permaisuri berurusan dengan Imam Ghazali. Berurusan.. bersoal-jawab... jadi khalifah pun terpikat, khalifah pun sangat-sangat menyokong Imam al-Ghazali. Jadi Imam Ghazali dapat penyokong yang kuat. Sejak itu dia semakin terkenal.

Lama-kelamaan, apabila kita berada di kemuncak, suatu ketika kita terkena ujian juga. Suatu ketika kita jatuh juga, ruyup juga sekejap. Begitulah yang terjadi kepada Imam al-Ghazali. Pada tahun 485 Hijrah, Raja Malik Syah meninggal. Dia penyokong Imam Ghazali. Kemudian Perdana Menteri mati dibunuh. Kemudian Khalifah Muqtadi, khalifah yang suka akan Imam Ghazali meninggal dunia pula. Jadi, tiga orang penyokong kuatnya meninggal dunia, menyebabkan Imam Ghazali ‘jatuh’ sedikit. Sebab (*selepas itu) orang lain naik, pemerintah lain naik, tak macam pemerintah yang dahulu. Jatuhlah sikit. Jadi, ini zaman ujian. Sedang menaik, naik, naik... zoom... ruyup sekali. Tapi selepas itu naik balik.

Imam al-Ghazali pun bersedih, kerana dia punya penyokong-penyokong utama sudah meninggal. Macamlah yang berlaku kepada Nabi Muhammad. Di tengah-tengah dakwah Islam baru hendak naik di Mekah, meninggal bapa saudaranya. Setelah bapa saudara meninggal, meninggal pula isterinya. Jadi, (*tahun itu) tahun kesedihan. Sebab itu salah satu sebab Tuhan ambil Nabi Muhammad dibawa berjalan ke langit – Isra’ Mikraj, kerana Nabi Muhammad sedih sangat.

Jadi Imam al-Ghazali ini setelah berpuluh-puluh tahun hidup dalam kemewahan, jadi orang besar, mengajar di istana, tulis buku dan sebagainya, apabila umurnya hampir sampai setengah abad, datang satu tekanan dalam hidupnya. Tekanan disebabkan masalah agama, (*yang membuatkan) dia asyik berfikir. Datang tekanan dalam hidupnya, dia tidak jumpa penyelesaiannya dan dia jatuh sakit selama enam bulan.

Selepas itu dia kata (*sekadar melakonkan): “Tak boleh jadi macam ni”. Dia letak kesemua jawatannya, dia pergi mengembara. Dia tinggalkan duit dan apa semua cukup untuk anak isteri, tinggalkan dia punya pondok (*pusat pengajian), dia suruh adiknya uruskan pusat pengajian, lalu dia mengembara selama 10 tahun. Selama 10 tahun dia tinggalkan keluarga. Dia mengembara, beruzlah, menulis kitab dan sebagainya.

Sebab apa? Dia melihat, kalau dia berterusan hidup seperti itu, apa yang dapat dia sumbangkan kepada dirinya dan umat Islam sekadar itu sahajalah, macam ulama-ulama biasa. Dia hendak buat sesuatu yang lebih lagi, tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya. Jadi, dia mengembara. Banyak tempat dia pergi, beruzlah. Dalam uzlah itulah dia mendapat keputusan-keputusan, dapat ilham, dapat hasil kajian dan dia tulis banyak kitab yang penting yang salah satunya ialah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Kalau dia tidak mengembara, mungkin tidak adalah kitab ini di tangan kita hari ini, kitab besarnya ini. Jadi, untunglah dia korbankan selama 10 tahun jauh dari keluarga pun, tapi kesannya sampai sekarang, 900 tahun lebih, dia punya kesan, dia punya pendidikan dapat kepada orang Islam.

Dalam pengembarannya ini, dia pergi ke Syam (Syria). Dia duduk di masjid, dalam menara masjid. Dia beruzlah di situ. Dia pergi ke Baitul Maqdis, Damsyiq @ Damascus. Dia pergi ke Mesir. Dia pergi buat haji (* di Makkah), pergi Madinah. Apabila dia sudah puas, dia pulang ke kampung. Balik kampung, dia buka pondoknya sendiri khususnya untuk orang-orang sufi. Dia mengajar di sana sehingalah dia meninggal dunia.

Begitulah secara ringkasnya riwayat hidup Imam al-Ghazali, tuan kitab kita, kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini.

Imam al-Ghazali ada empat orang anak. Satu orang anak lelaki, yang bernama Hamid. Sebab itu Imam al-Gahzali dikenali sebagai Abu Hamid. Anaknya bernama Hamid, tapi meninggal ketika kecil. Yang tinggal hanya anak perempuan tiga orang.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Seterusnya kita lihat aliran pemikiran Imam al-Ghazali. Dari segi tauhidnya Imam al-Gahzali berpegang dengan Mazhab Asya’irah, macam kitalah. Dan dia juga berpegang dengan Mazhab Ahli-ahli Kasyaf, sebab dia banyak membicarakan tentang hal ehwal hakikat. Kalau dalam pelajaran Mazhab Asya’irah, ia tidak menyentuh persoalan hakikat (*sehingga ke kemuncaknya). Tapi kalau dalam Mazhab Ahli Kasyaf, ia sentuh hakikat (*sehingga ke puncaknya). Contoh kitab-kitab di Nusantara ini @ kitab-kitab Alam Melayu yang membicarakan Mazhab Asya’irah ialah seperti kitab Durruth Thamin, kitab Faridatul Faraid, kitab Aqidatun Najin... Tapi kitab mazhab Kasyaf ialah seperti Kasyful Asrar, kitab Durrun Nafis dan sebagainya.

Dari segi fiqhnya Imam al-Ghazali bermazhab Syafi’i. Betul-betul macam kitalah. Kita pun bermazhab Asya’irah, kita juga bermazhab Syafi’i. Dari segi tasawuhnya pula, dia berpegang dengan aliran tasawuf perdana. Jadi dia tidak terikat dengan mana-mana tariqat (*khusus). Apa ajaran-ajaran yang dibawa oleh ulama tasawuf sebelumnya seperti Abu Talib al-Makki, Junaid al-Baghdadi, Asy-Syibli, Abu Yazid al-Bustami dan lain-lain, yang itulah yang dipegangnya. Dan pegangan Imam Ghazali dalam tasawuf ini, anak-anak murid selepasnya menjadikan ia satu tariqat.

Ada satu komen daripada seorang ulama besar Nusantara ini iaitu Dr. Hamka @ Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Sungguhpun Dr. Hamka berfahaman Kaum Muda, berjuang dalam Muhammadiyyah di Indonesia, tetapi dia puji kitab Imam al-Ghazali. Katanya : “Meskipun ada berpuluh lagi karangan Al-Ghazali yang lain dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan Islam, namun yang menajdi intisari seluruh karangan beliau itu ialah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.”

Jadi kata Dr. Hamka, Imam al-Ghazali ini punya cukup banyak karangan, tapi kesemua intipati karangannya ini ada dimasukkan dalam Ihya’ ‘Ulumiddin. Oleh itu, jika kita belajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sehingga khatam, seolah-olah kita sudah membaca keseluruhan karya Imam al-Ghazali.

No comments: