Thursday, June 2, 2011

Teks Kuliah Syarah Ihya' 5



... Hebatnya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.


Muhammad nama empunya diri,

Abu Hamid juga dikenali,

Hujjatul Islam gelar diberi,

Itulah Tuan Imam Ghazali.


Al-Ghazali itu gelaranya. Dia punya pangkat di sisi para ulama ialah Hujjatul Islam. Muhammad namanya, Abu Hamid sempena nama anaknya, Hujjatul Islam gelarannya. Gelaran itu disebabkan fakih dan hebatnya dia dalam ilmu agama. “Al-Ghazali” ialah gelaran sempena nama tempat (asal)nya.


Seorang mujaddid, seorang sufi,

Ilmunya banyak, hikmahnya tinggi,

Mengarang kitab rajin sekali,

Ihya’ ‘Ulumiddin kita pelajari.


Kitab Ihya’ ini sebenarnya yang dalam terjemahan bahasa Melayu ada 8 jilid. Kalau kitab Bimbingan Mu’minin iaitu ringkasannya, ada 2 jilid (ada juga yang sejilid sahaja). Bimbingan Mu’minin itu pun sudah sangat tebal. Dalam kitab Ihya’ dan dalam kitab Bimbingan Mu’minin, ia terbahagi kepada 4 bahagian.

Yang pertama, kita akan jumpa bahagian ibadah. Selepas bahagian ibadah, yang keduanya bahagian aktiviti seharian. Semuanya dihurai daripada ayat Quran, hadith dan kalam para ulama. Bahagian yang ketiga, perbuatan-perbuatan yang membinasakan kita. Binasa dunia, binasa akhirat. Apa benda? Nanti kita akan jumpa. Dan bahagian yang keempat, perbuatan-perbuatan yang menyelamatkan kita. Inilah 4 bahagian kitab Ihya’ dan kitab Bimbingan Mu’minin.

Pada zaman Imam al-Ghazali, masalah utamanya ialah penyokong-penyokong fiqh dengan penyokong-penyokong tasawuf bertelagah. Ahli fiqh dengan caranya, ahli tasawuf dengan caranya. Yang kedua, dunia ilmu-ilmu Islam pada zaman itu diserapi oleh falsafah dari Rom. Falsafah Socrates, Plato, Aristotle masuk. Bahagian yang betul tidak mengapa, tapi ada juga bahagian yang salah meresap. Jadi tugas Imam Al-Gahzali ialah untuk menyelesaikan dua perkara ini. Yang pertama, dia hendak menyatukan antara golongan fekah dengan golongan tasawuf. Yang kedua, dia hendak membersihkan kembali dunia Islam ini daripada ilmu falsafah yang salah.

Jadi apa yang rosaknya ahli-ahli fekah, ulama-ulama syariat pada zaman itu? Zaman itu ulama-ulama fekah ini asyik tumpu pada hukum-hakam. Asyik berdebat, mengkaji, mencari berkaitan hukum-hakam. Di situlah (asyik sibuk) berdebat pasal hukum-hakam. Yang itu halal, yang ini haram, ini sah, ini tidak sah... sampaikan mereka ini kurang dari segi akhlak. Katanya ulama, ulama fiqh, tetapi garang, cakapnya kasar. Dari segi akhlak kurang, dari segi kerohanian pun kurang terisi (kerana) asyik tumpu pada (urusan) hukum-hakam sahaja.

Penyokong ahli tasawuf pula, yang rosak disebabkan mereka ini tumpu bahagian rohani sahaja, ‘bahagian dalam’ sahaja pula. Menjaga hati, menjaga sifat mahmudah, mengeluarkan sifat mazmumah... asyik tumpu yang itu sahaja sampaikan dari segi hukum hakam, dari segi syariat, sudah terbengkalai pula. Ada yang remehkan sembahyang, sunat, remehkan sembahyang... macam-macam lagi. Maka kedua-dua kumpulan ini pun ‘rosak’. Kumpulan yang di tengah-tengah, selamat.

Jadi Imam al-Ghazali hendak menarik ulama fiqh ini supaya memberatkan juga bahagian rohani dan kumpulan-kumpulan tasawuf ini juga pun mengambil berat soal-soal syariat. Kitab Ihya’ ini sebenarnya menyatukan antara dua golongan ini.

Jadi hari ini kita tidak buka lagi kitab kita, setakat muka depan sahaja. InsyaAllah dalam kuliah akan datang barulah kita selak mukasurat di dalamnya. Bab yang pertama menceritakan tentang ilmu. Kita akan sentuh nanti. Hari ini kiranya muqaddimahlah, sekadar pendahuluan. Kita mengenal tuan kitabnya, mengenal kitabnya, maka banyaklah berkisar tentang fakta. InsyaAllah dalam kuliah akan datang, kita tengok apa cerita Imam al-Ghazali dalam bahagian yang pertama, cerita tentang ilmu.

Rasanya sekadar itu sahaja. Dan sebelum kita tutup majlis kita, ada perkara berbangkit (tentang) persoalan tahiyyat. Sebagaimana yang kita biasa dengar, bacaan dalam tahiyyat ini dikaitkan dengan peristiwa Mi’raaj. Nabi Muhammad naik ke langit, di sana dia berdialog dengan Tuhan. Tapi sebelum ini saya cari tak jumpa (sandaran yang baik), dan saya pun tidak menyentuhnya dalam pengajian kitab Kifaayatul Muhtaaj kita hari itu.

Balik (ke rumah) saya cari sekali lagi. Cari cari masih tidak jumpa juga tentang asal bacaan tasyahhud tadi. Cuma yang dijumpai hadith ini, hadith riwayat Imam Muslim, satu hadith sahih. Kata sahabat : “Sewaktu kami bersembahyang di belakang Rasulullah saw, kami membaca, “Assalamu’alallah, assalamu ‘ala fulan”. Kemudian pada suatu hari Rasulullah bersabda kepada kami : “Sesungguhnya Allah adalah As-Salam.”

Kita “salam” sejahtera kepada Allah, Allah itu sudah sedia As-Salam. NamaNya pun As-Salam, sudah selamat sejahtera, tidak perlu salam kepada Dia lagi.

“Jadi apabila salah seorang daripada kamu duduk sembahyang, hendaklah dia membaca......,” iaitulah bacaan tahiyyat.

“Apabila dia membacanya, nescaya keselamatan itu turun sama dikurniakan kepada semua hamba Allah yang soleh, sama ada di langit ataupun di bumi.”

“Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissalihin.” Untuk orang-orang soleh pun dapat doa keselamatan juga. Itu sahaja cerita yang ada.

Kemudian hadith yang kedua riwayat Imam An-Nasa’i, Ad-Daraqutni dan Baihaqi : “Sebelum diwajibkan membaca tasyahhud (sebelum diperkenalkan bacaan tahiyyat itu), biasanya kami membaca, “Assalamu ‘alallah, assalamu ‘ala Jibril, assalamu ‘ala Mikail... (ini bacaan tahiyyat yang asal). Kemudian Rasulullah bersabda : “Jangan ucap yang itu. Ucapkanlah, “At-Tahiiyyat... (dan seterusnya).”

Bacaan tasyahhud yang kita baca selama hari ini, ada dalam sebuah hadith lain iaitu hadith riwayat Imam Muslim dan Abu Dawud. Bacaan tahiyyat ini ada beberapa versi. Baca yang mana-mana pun betul. Tapi Mazhab Syafi’i biasanya memilih yang daripada riwayat Imam Muslim dan Abu Dawud, iaitu yang kita baca sehari-hari itulah : “At-Tahiyyatul mubarakatus...” itulah.

Saya cuba cari kaitannya dengan peristiwa Mi’raaj, masih tak jumpa juga. Boleh jadi ada kaitan, boleh jadi tidak ada kaitan. Jadi kita tidak berani buat keputusan kerana tidak jumpa. Nanti kita kata tidak ada kaitan, tiba-tiba orang jumpa (kaitannya), niaya kita.

Cuma ada seorang menulis dalam internet, dia pun cari juga dan katanya dapat satu hadith mengatakan Nabi Muhammad berdialog dengan Tuhan, yang (tahiyyat) itulah dialognya. Tapi katanya hadith itu hadith palsu. Dia tak tunjuk hadith itu, cuma saya terbaca tulisan dalam tu.

Jadi keputusan kita, kalau orang tanya, “Ada kaitan tak bacaan tahiyyat dengan Isra’ Mi’raaj?” Kita kata : “Tak jumpa sandarannya. Ada kaitan ataupun tidak, tidak diketahui.” Begitu caranya.

Jadi rasanya sekadar itu sahaja, kita jumpa lagi. Salah dan silap saya harap dimaaf.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum

sungguh seronok membaca...

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Wlksm. Silakan ambil apa-apa yang bermanfaat. Teruskan membaca : )

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails