ASAL-USUL TULISAN INI
Seorang sahabat di Facebook minta saya ulaskan kata-kata saya yang berbunyi:
"Syurga itu tidak murah. Antara maharnya ialah PENGORBANAN. Mampukah kita menyediakannya?"
Hendak dihurai dalam bentuk tulisan, panjang sangat. Setelah difikir-fikir, saya ambil beberapa contoh mudah. Semoga dapatlah dikira sebagai huraian juga serba-sedikit.
SITUASI-SITUASI CONTOH
"Apa? Kamu empat lima kerat bersama-sama Muhammad hendak menyebarkan agama Islam kepada ratusan ribu Arab Musyrik yang sudah sebati jiwa mereka sejak zaman tok nenek dengan berhala? Jangan... Tak ada batu beban digalas. Lupakan saja. Usahalah cara lain. Banyak lagi cara untuk mendekatkan diri kita kepada Tuhan dan berjaya di akhirat."
Namun Rasulullah dan para sahabat berdakwah penuh semangat dan keyakinan sehingga berjaya mengIslamkan Tanah Arab. Mereka berjaya kerana tidak menghiraukan keragu-raguan yang cuba ditimbulkan oleh syaitan-syaitan dari bangsa jin dan manusia. Mereka yakin dengan pertolongan Allah. Akhirnya mereka mendapat kejayaan besar, tapi liku-liku ke arah kejayaan itu penuh dengan onak duri dan periuk api yang terpaksa mereka lalui. Itulah pengorbanan bersandarkan keyakinan kepada Allah SWT.
"Apa? Kita sekeluarga kena berhijrah sehelai sepinggang ke Madinah pada waktu malam? Tak susah ke nanti? Di Makkah ni kita dah ada rumah, kampung halaman, sanak-saudara, kebun ladang, perniagaan, pasar raya, persekolahan anak-anak, kenderaan, koleksi pakaian, kerja tetap dan berpencen...... Kalau jadi pelarian ke Madinah, hapah pun tarak! Kita akan merempat! Meminta-minta ke sana-sini macam pengemis! Aku nasihatkan... tak payah le. Aku yakin kita gerenti hidup susah melarat punya. Apa yang kita ada di sini dah cukup baik dah. Buat apa nak berkorban dalam hal yang belum pasti? Nanti... yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran!"
Tapi para sahabat sanggup bersusah-payah menyahut seruan sunnah. Mereka tahu kesusahan dan kepapaan menanti mereka di Madinah, dan memang itulah yang mereka lalui pada peringkat awal. Namun atas keyakinan jitu kepada Allah SWT, Madinah jadi negara Islam pertama, mewah dan gagah. Mereka berjaya kerana mereka tidak pedulikan keragu-raguan yang dibawa oleh syaitan-syaitan jin dan manusia. Mereka berjaya kerana sanggup berkorban apa sahaja semata-mata untuk perjuangan umat.
"Apa? Kita 300 orang ni hendak berhadapan 1000 tentera musuh di medan Badar? Gila ke hapa engkau ni? Kita kan serba kekurangan? Pedang, kenderaan hatta kasut sekalipun kita kena bertukar-tukar pakai, kena kongsi! Tentera musuh lengkap giler! Tak boleh ke kita sebarkan Islam tanpa melalui peperangan? Mesti ke dengan jalan perang? Engkau yakin ke dengan jalan perang ni kita akan berjaya capai matlamat yang dirancang? Tak ada cara lainkah?"
Allah tetap memilih para sahabat untuk maju ke medan Badar, berjuang dalam keadaan serba kekurangan dan akhirnya berjaya mencapai kemenangan. Pengorbanan mereka sangat besar. Kalau mengikut saja kata-kata syaitan jin dan manusia, awal-awal lagi sudah kalah kerana "yakin gagal" lebih dipercayai berbanding "yakin berjaya".
"Ha ha ha! 'Confirm' engkau sudah gila! Tentera Monggol al Yakjuj Makjuj menakluk dari China hingga ke Eropah. Semua kota-kota Islam yang dilalui mereka habis hancur dibantai. Tentera khalifah dengan kubu kota Baghdad yang kebal pun mereka sapu licin, engkau sekadar raja kecil dari Mesir hendak MENYERANG pula puak-puak Monggol tu? Orang semua pakat nak lari, paling kuat pun bertahan je! Yang engkau wahai Raja Mesir... nak pergi SERANG puak-puak tu? Tak logik.. tak logik! Lawak betul le engkau ni! Masuk pertandingan tentu menang jadi johan 14 kali berturut-turut. Ha ha ha..."
Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz tetap meneruskan rancangannya menyelamatkan seluruh umat Islam daripada fitnah tentera buas Monggol dengan menyerang mereka. Terkejut biawak komodo tentera Monggol. Selalunya mereka yang menyerang dan membuli orang. Kali ini mereka DISERANG! Mereka tercengang-cengang kehairanan hinggakan hancur lebur tentera Monggol. Itulah kali pertama mereka dikalahkan secara besar-besaran dan kemudiannya langsung senyap peluasan tanah jajahan mereka. Hal ini tidak akan berjaya jika Sultan Saifuddin dan tenteranya yakin dengan kata-kata syaitan-syaitan jin dan manusia berbanding dengan keyakinan mereka terhadap Allah SWT.
PENUTUP
Semua situasi di atas ialah petikan daripada sejarah umat Islam. Mereka tahu yang mereka akan melalui kesusahan sebelum mencapai kejayaan, namun mereka sanggup berkorban demi agama. Kesanggupan untuk berkorban membezakan antara manusia yang sempurna imannya dengan yang goyah imannya, yang beriman dengan yang tidak beriman, yang yakin dengan Allah dengan yang ragu-ragu akan kekuasaan Allah. Yakinlah, hidup di dunia hanya sedetik cuma, kehidupan di akhirat itulah yang kekal abadi. Pengorbanan kita di dunia ini tidak selama manapun, tahu-tahu Malaikat Maut sudah datang bertamu. Jika tidak sanggup berkorban, jangan bicara soal perjuangan!
Semoga dengan contoh-contoh yang begitu sedikit ini, dapat menjadi sedikit ulasan sebagaimana yang dipinta oleh sahabat lama saya itu. Wallahu'alam.
Abu Zulfiqar Amsyari
25 MEI 2010
No comments:
Post a Comment