Sunday, November 29, 2009

Khutbah Aidil Adha 1430/ 2009

*Teks khutbah yang saya bacakan pada Aidil Adha lalu.


KHUTBAH PERTAMA

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Syukur kepada Allah SWT, pada pagi hari yang mulia ini kita dapat bersama-sama melaksanakan solat Aidil Adha. Kehadiran kita pagi ini bersamaan dengan kehadiran sekitar 4 juta jemaah haji dari segala penjuru di Tanah Suci Mekah. Suara mereka bertautan dan sambung-menyambung dengan pujian takbir, tahlil dan tahmid.

Suasana ini jelas memperlihatkan kepada kita betapa umat Islam disatukan dalam nikmat yang terbesar dari Allah SWT iaitu nikmat iman dan Islam. Selari dengan itu, maka marilah kita terus meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang taat dan bersedia berkorban demi memperjuangkan prestasi kecemerlangan Islam.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tentang “MEWUJUDKAN KETURUNAN DAN PEMIMPIN PELAPIS YANG SOLEH”.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Muslimin-muslimat yang dirahmati Allah,

Amalan kemuncak dalam ibadah haji ialah wuquf di Padang ‘Arafah, di mana semua jemaah haji berkumpul dan berdiri menghadap Allah SWT, memohon keampunan. Selepas itu mereka menyembelih seekor haiwan sembelihan sebagai ingatan terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim as, yang mengorbankan anak baginda Nabi Ismail as. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as inilah yang kita ambil sebagai Hari Raya Aidil Adha.

Nabi Ibrahim as merupakan orang pertama yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa sebarang protes atau bantahan ketika diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih satu-satunya anak baginda iaitu Nabi Ismail as melalui penyembelihan binatang korban. Amalan ini bukan ahaja dilakukan oleh jemaah haji, tetapi turut dilakukan serentak oleh umat Islam seluruh dunia sebagai tanda memperingati pengorbanan dan ketaatan teragung Nabi Ibrahim as terhadap Allah SWT.

Nabi Ibrahim as sememangnya model seorang bapa atau pemimpin yang soleh. Baginda mempunyai dua orang isteri iaitu Sarah di Palestin dan Hajar di Mekah, yang banyak membantu dalam mengembangkan Islam. Walaupun baginda telah berusia, namun baginda lambat dikurniakan oleh Allah SWT zuriat. Tetapi berkat kesabaran dan doa agar ada keturunannya yang bakal menyambung dasar-dasar hidup Islam, maka Allah telah memakbulkan doa baginda.

Firman Allah SWT dalam surah As-Sooffaat ayat 99-101:


“Dan Nabi Ibrahim berkata: “Aku hendak pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku ke jalan yang benar. Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku anak yang terhitung dari orang yang soleh!” Lalu Kami berkan kepadanya berita gembira, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar.”

Berkat doa ini, Hajar melahirkan Nabi Ismail as di Mekah dan Sarah pula melahirkan Nabi Ishak as di Palestin. Kedua-dua anak ini menjadi penggerak utama Islam di Baitulllah, Mekah dan Masjidil Aqsa, Palestin. Bagaimanapun, pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Ismail as telah menjadi titik tolak dan pemacu penyebaran Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada kehidupan Nabi Ibrahim as dan keluarganya ini. Apa yang nyata, Nabi Ibrahim as seorang yang amat perihatin tentang kesinambungan keturunan dan pemimpin pelapis yang dapat memperjuangkan dan menegakkan nilai-nilai kebenaran.

Firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 37:

“Dan tidaklah hartamu dan tidak juga anak-pinakmu, yang mendampingkan kamu di sisi Kami, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan, dan ditempatkan dalam mahligai dengan aman sentosa.”

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Pada pagi sambutan hari raya ini, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekelian, bahawa anak merupakan anugerah dan satu amanah Allah SWT. Selari dengan anak sebagai penyambung zuriat kita di muka bumi ini, maka amanah Allah SWT itu jangan disia-siakan. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim as, isterinya Sarah dan Hajar serta ketaatan anak-anak baginda- Ismail dan Ishak as.

Persoalan besar yang timbul ialah- apakah jemaah dan umat Islam sekelian mengambil berat usaha mewujudkan keturunan dan pemimpin pelapis yang soleh bagi meneruskan agenda dan dasar hidup menegakkan kebenaran di bumi Allah ini? Untuk membolehkan keturunan soleh ini lahir, maka ia bermula daripada diri ibu bapa sendiri. Biasanya yang terjadi, ibu bapa mahukan anak-anaknya menjadi soleh tetapi mereka sendiri berkeadaan sebaliknya. Kita perlu insaf bahawa mendidik anak-anak harus dimulai dengan memberi teladan yang baik dari dalam lingkungan keluarga itu sendiri.

Bagaimana mungkin orang tua boleh mendidik anak-anak dengan baik, jika mereka sendiri hidup lintang-pukang dan tidak boleh dicontohi. Dengan demikian usaha mewujudkan generasi muda dan pemimpin pelapis yang soleh sewajarnya menjadi agenda utama setiap pemimpin keluarga dan negara ini, kerana di tangan generasi inilah terletak masa depan yang diharapkan lebih baik dari masa kini.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Kita amat bimbang dan risau kerana menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga 2008, terdapat seramai 83,700 orang anak-anak yang dilahir tanpa nikah. Dalam tempoh yang sama juga, seramai 72,000 orang anak-anak yan lahir diragui status perkahwinan ibu bapa mereka, sama ada mereka pernah berzina sebelum bernikah atau menikah tanpa wali yang sah. Berdasarkan perangkaan ini, maka ibu bapa perlu mengambil berat agar anak-anak tidak menjadi korban nafsu dan merebaknya gejala sosial yang lain.

Justeru ibu bapa hendaklah memastikan keutamaan pembangunan pendidikan Islam yang secukupnya bagi anak-anak agar kuat akidah mereka serta mampu mengharungi cabaran hidup. Mimbar menyeru hadirin hadirat sekelian, marilah sama-samaa kita memastikan pendidikan anak-anak mencapai keredhaan Allah SWT. Ibu bapa perlu melakukan pengorbanan demi mewujudkan nasab yakni keturunan yang soleh.

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

KHUTBAH KEDUA

Muslimin dan muslimat yang berbahagia,

Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita berazam meningkatkan pengorbanan harta dan jiwa kita kerana agama Allah. Marilah kita menghadapi cabaran dengan kekuatan berjemaah dan kuatkan saf. Mantapkan ukhuwah umat, perkasakan dakwah sejagat. Rafakkan kesyukuran, banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Marilah kita bermunajat, marilah kita memohon, marilah kita berdoa agar kita dapat meraih kebahagiaan dan kemenangan Islam. Marilah kita memohon kepada Allah jalan yang lurus.

Allahumma ya Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada Rabb selain Allah, tiada Ilah selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nyalah semua kerajaan dan milik-Nyalah semua pujian.

Allahumma yaa Hannaan yaa Mannaan, kami minta semua kebaikan yang ada sepanjang hidup kami dan kebaikan yang ada sesudah hidup kami. Kami berlindung kepada-Mu dari semua kejahatan yang ada sepanjang hidup dan kejahatan sesudah hidup kami. Yaa Rabb, kami berlindung dari rasa malas, dari menjadi penegcut, dari menjadi penakut, dari menjadi hamba yang tidak sensitive.

Di Timur Tengah saudara-saudara kami ditindas. Bangunkan mereka ya Allah dengan kesedaran mengibar panji-Mu. Mereka dicekik dan disepit, lonjakkan mereka menjadi pahlawan yang berpaksikan jihad. Malah jiran kami sendiri sekian lama tercatat dalam sejarah, mereka ditindas. Bangunkan mereka dengan kibaran bendera-Mu ya Allah.

Allahumma yaa ‘Aziiz yaa Jabbaar, di mana-mana sahaja kami tidak terdaya melayang mengirim jiwa jihad kami, kami hanya berharap, berilah kepada mereka kemenangan. Kami benci semuanya, termasuk kejahatan dan kemungkaran di dalam negara kami. Ya Allah, kami pohon rahmat-Mu, keampunan-Mu, kesejahteraan daripada dosa. Banyakkan kami melakukan kebajikan. Jangan Engkau campakkan kami ke lubuk neraka-Mu ya Allah.

Jangan jadikan kami orang yang bacul dan kikir. Jangan lontarkan kesusahan bala-Mu ya Allah. Lindungi kami dari kehinaan, kerana kami sudah sekian lama dihina dan terhina. Hidupkan kesedaran mereka dari kalangan kami yang buat agama, agar menjadi orang yang prihatin terhaap isu-isu agama.

Sekarang ya Allah, Yakjuj wa Makjuj benar-benar sudah muncul. Hari demi hari mereka menebuk dan merosakkan ‘aqidah saudara-saudara kami. Ya Allah, pertahankan banteng Zulqarnain dari kemaraan Yakjuj wa Makjuj ini.

Berikan rezeki kepada kami yang halal. Tinggikan kehormatan kami. Elokkan perangai kami. Ya Allah, negara kami negara makmur. Kami mempunyai pemerintah dari hamba-hamba Engkau. Jadikan mereka pemimpin yang mengerti tentang kebenaran.

No comments: