Pertanyaan : Ustaz, saya nak tanya pasal Risalah Burung. Ia
cerita tentang apa? Kalau tak dapat citer panjang, pendek pun ok.
Jawapan : Risalah Burung atau Risalah ath-Thayr karangan
Al-Ghazali mengisahkan tentang sebahagian manusia yang mahu mendekati Allah
tetapi mereka tidak ada ilmu tentang hakikat af’al. Akhirnya sebahagian
daripada mereka berjaya mempelajari ilmu hakikat lalu jiwa mereka pun berasa
tenang untuk berusaha dan bertindak menuju maqam2 seterusnya.
Perinciannya pula
:
1. Ada banyak manusia yang mengakui kewujudan Tuhan
(Rabb, Ilah), dan yang layak sebagai Tuhan hanyalah Allah.
2. Mereka berhajat untuk “mendekati” Allah dengan “sedekat2”nya,
menyembah, membesarkan dan meninggikan-Nya.
3. Namun kehendak tidak baik di dalam diri masing2 (bisikan2
syaitan) cuba mempengaruhi mereka untuk membatalkan niat tersebut. Kononnya
mereka akan menghadapi pelbagai kesusuahan dan mengalami pelbagai kerugian
(dari segi hayat, masa, tenaga, belanja, perasaan, rumah kediaman, kerehatan,
kesenangan bersama2 keluarga, dan sebagainya), jika mereka belajar dan beramal.
4. Sungguhpun begitu, mereka tetap memulakan usaha mereka
(mereka berguru, belajar, beramal, berkorban, bermujahadah dsb) kerana keinginan
mereka terhadap Allah sangat kuat.
5. Banyak antara mereka yang gagal di awal usaha, di
pertengahan usaha, dan di penghujung usaha. Hanya sedikit sahaja manusia yang
berjaya sampai ke maqam banyak ilmu dan banyak amal. (Pada tahap ini, mereka
belum tahu dan faham akan hakikat)
6. Apabila mereka berjaya sampai ke maqam tersebut,
mereka terasa yang mereka sudah berjaya menjadi hamba yang baik kepada Allah
lalu mereka layak untuk berada “rapat” dengan-Nya. (Pada tahap ini, mereka
belum tahu dan faham akan hakikat)
7. Tetapi kemudiannya baru mereka dapat tahu dan dapat memahami
bahawa segala ilmu dan amal mereka yang banyak itu tidak terkesan langsung
kepada Allah. Sama ada mereka berusaha menyembah, meninggikan-Nya dan
membesarkan-Nya atau tidak, Allah sudah sedia Maha Besar dan Maha Tinggi, dan Dia
akan tetap sebegitu selama-lamanya. Segala usaha mereka langsung tidak ada
nilai bagi Allah. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
8. Maklumat yang baru dipelajari dan difahami itu
membuatkan mereka terfikir - apa gunanya untuk mereka berjuang menambahkan lagi
amal dan mengkualitikan amal? Kerana semua itu tidak memberi sebarang kesan
kepada Allah pun. Lebih baiklah mereka kembali jadi seperti dahulu kala. (Pada tahap
ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat)
9. Setelah mereka faham situasi ini, mereka pun diajarkan
bahawa sebenarnya Allah sedang membuka lebih peluang kepada mereka untuk mendekati-Nya.
Hal ini berlaku apabila seseorang itu sudah merasa dirinya kosong dan faqir, maka
ketika itulah Allah akan mengangkatnya “lebih tinggi”. (Pada tahap ini, mereka
belum tahu dan faham akan hakikat)
10. Pelajaran baru ini membuatkan semangat mereka naik
kembali. Alang2 sudah banyak berusaha dan berkorban, maka lebih baiklah mereka
teruskan usaha dengan menambahkan ilmu2 dan amal2 agar dapat lebih “dekat”
dengan Allah. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat).
11. Mereka juga diberi pelajaran baru bahawa sungguhpun ada
manusia2 lain yang tersangkut setakat pada awal perjalanan, pertengahan
perjalanan, atau di pengujung perjalanan, tetapi mereka semua tetap disukai oleh
Allah dan diberi-Nya pahala. Yang penting bukanlah hasil atau keputusan, tetapi
usaha dan tindakan. (Pada tahap ini, mereka belum tahu dan faham akan hakikat).
12. Mereka sangkakan yang mereka berjaya dekat dengan
Allah itu adalah kerana usaha gigih mereka. Tetapi kemudiannya barulah mereka
mendapat pelajaran baru bahawa pada hakikatnya, usaha mereka langsung tidak ada
nilai. Hal ini kerana pada hakikatnya mereka berjaya sampai dekat dengan Allah
itu adalah atas kehendak Allah. Allah yang membawa mereka. (Pada tahap ini, barulah
mereka diajar tentang hakikat. Barulah mereka tahu, faham dan sedar tentang
hakikat).
13. Mereka juga diberi pelajaran baru bahawa manusia lain
yang tidak berusaha pun pada jalan ini sebenarnya memang kerana Allah tidak
mahu akan mereka. Pada hakikatnya, Allah yang tidak mahu membawa mereka dekat
kepada-Nya. (Pada tahap ini, lagilah jelas kepada mereka tentang hakikat. Tetapi
mereka belum sampai ke maqam “menyaksikan” Raja Burung di dalam istana lagi.
Mereka setakat tahu tentangnya tetapi belum mengenal-Nya).
14. Setelah mencapai ilmu hakikat, barulah qalbu mereka
jadi tenang. Lalu mereka pun meneruskan usaha dan tindakan mereka dengan lebih
gigih lagi (untuk mencapai maqam ma’rifat pula iaitu dengan terus memohon masuk
ke istana untuk menghadap Raja Burung, dan ”menyaksikan” Raja Burung itu
sendiri sehingga ma’rifahlah atau kenallah mereka akan Raja Burung itu)
Secara keseluruhannya, Risalah Burung ini bercerita
tentang mi’raaj ke-3 daripada 7 petala tasawuf (syariat – tarekat – HAKIKAT –
ma’rifat / awwal ad-diin – nisf ad-diin, akhir ad-diin, kamal ad-diin) iaitu HAKIKAT.
Setelah berjaya mencapai hakikat, barulah kemudiannya mendapat ma’rifat.
Wallahua’lam.
22/12/24