Friday, October 7, 2016

Soalan2 Lazim Tentang Tarekat / Tariqat

Tariqat ni apa benda sebenarnya?
Ada banyak definisi dan huraian tentang tariqat. Ringkas cakap, tariqat ni sebenarnya merupakan jalan untuk mencapai maqam muhsin dan seterusnya.

Muhsin tu apa pulak?
Selain daripada kita nak jadi salah seorang muslimin iaitu seorang yang muslim, kita juga nak jadi seorang yang mukminin iaitu seorang yang beriman, dan kita juga nak jadi seorang yang muhsinin iaitu seorang yang muhsin. Muslim - mukmin - muhsin. Huraiannya agak panjang. Nak kena datang kuliah le kalau nak betul-betul faham bahagian ini.

Tariqat bukan ajaran Syiah ke?
Alangkah jauhnya perbezaan antara tariqat dengan Syiah, bagaikan langit dan bumi. Tariqat lain, Syiah lain.

Tariqat ni bukan ajaran sesat ke?
Kalau ajaran sesat, itu bukan tariqat. Kalau tariqat, itu bukan ajaran sesat. Kedua-duanya saling berlawanan. Ramai juga yang masih gagal membezakan antara tariqat dengan sesat.

Kan ada/banyak tariqat yang sesat?
Tidak pernah ada tariqat yang sesat. Yang sesat, itu jelas-jelaslah bukan tariqat. Yang tariqat, itu jelas-jelaslah bukan ajaran sesat. Kedua-duanya sangat berbeza dan saling bertentangan.

Yang orang sebut sebagai tariqat-tariqat sesat tu?
Itu sekadar penamaan, bukan hakikat yang sebenarnya. Contohnya - kita sebut “hadis palsu”. Hadis palsu tu hadis ke? Tidak kan? Hadis palsu bukan hadis. Sudah palsu, mana boleh jadi hadis. Yang palsu, bukan hadis. Hadis pula, tak ada yang palsu. Tetapi mengapa disebut sebagai “hadis palsu”? Hal itu sekadar penamaan untuk memudahkan pembicaraan kita tentangnya. Pada hakikatnya tidak ada hadis palsu. Samalah, pada hakikatnya tidak ada tariqat sesat.

Habis tu, yang tarekat-tarekat yang memang disahkan sesat tu?
Itu ajaran sesat, bukannya ajaran tarekat dan bukannya tariqat sesat. Masalah dalam hal ini ialah sama ada mereka yang mendakwa diri dan perkumpulan mereka sebagai tariqat, ataupun kita yang menjenamakan mereka sebagai tariqatt. Apabila terbukti mereka ajaran sesat, sepatutnya tidak boleh dikaitkan langsung dengan tariqat/tarekat. Apabila terbukti mereka ajaran sesat, sepatutnya kita tidak boleh menyebut mereka sebagai tariqat lagi. Samalah - sepatutnya “hadis palsu” tidak boleh disebut sebagai hadis lagi melainkan kena disebut sebagai “bukan hadis”. “Tariqat sesat” tidak boleh disebut sebagai tariqat lagi melainkan kena disebut sebagai “bukan tariqat’. Cuma kita kena faham dengan kebiasaan umat yang masih menggunakan istilah “hadis palsu” dan “tariqat sesat”, tetapi janganlah sampai kita sendiri yang tersalah faham.

Mengapa ada orang yang menolak tariqat?
Samalah jawapannya kepada persoalan : “Mengapa ada orang tolak agama Islam?” Antara punca utama mereka menolak agama Islam adalah kerana mereka tidak ada maklumat dan pemahaman yang memadai tentang agama Islam. Orang yang sudah punya maklumat dan pemahaman yang memadai tentang agama Islam, sudah tentu tidak akan menolak Islam lagi. Begitulah halnya dengan tariqat. Yang menolak tariqat itu, pada diri mereka tidak ada maklumat/ilmu dan pemahaman yang memadai tentang tarekat. Orang yang sudah punya maklumat dan pemahaman yang memadai tentang tariqat, sudah tentu tidak akan menolak tariqat sekalipun dia sendiri tidak bertariqat.

Bagaimana dengan orang yang pernah bertariqat, tapi lepas tu mereka berhenti dan menentang pula tariqat?
Ada beberapa faktor. Antaranya :

1. Kebanyakan yang mengaku pernah bertariqat itu sebenarnya tidak pernah bertariqat pun. Ramai yang menipu. Harapan mereka, apabila diyakini sebagai bekas ahli tariqat, sudah tentulah orang ramai akan lebih mempercayai kata-kata mereka. Maka mudahlah untuk mereka memperdaya dengan memburuk-burukkan tariqat.

2. Ada segelintir yang memang pernah mengambil dan mengikuti orang atau perkumpulan tertentu YANG MEREKA SANGKA SEBAGAI TARIQAT padahal itu bukan tariqat. Boleh jadi juga mereka mengikut individu ataupun perkumpulan tertentu YANG MENGAKU SEBAGAI TARIQAT tetapi sebenarnya bukan tariqat. Apabila mereka bersama dengan orang-orang itu, mereka terlihat beberapa hal yang kelihatan bertentangan dengan kehendak agama, lalu mereka pun berhenti atau keluar daripada ‘tariqat’ tersebut. Kemudian mereka pun mencanangkan kononnya tariqat begini-begini keburukannya sedangkan pengalaman yang dilaluinya bukan dengan individu atau perkumpulan tariqat yang sebenar. Entah apa ajaran yang disertainya tetapi diperasannya sebagai tariqat. Bahkan dia menghukum semua tariqat berdasarkan pengalamannya dengan ‘tariqat-tariqat’ yang entah ajaran apa sebenarnya itu. Tamsilannya - seorang kanak-kanak lalu di bawah sepohon pisang. Di bawah pohon itu dilihatnya ada beberapa biji buah terletak di atas tanah. Disangkanya itu tentu buah daripada pokok pisang. Dia pun cuba makan buah itu. Pedasnya! Terus dihukumnya buah itu sebagai buah kepada pokok pisang dan dihukumnya juga bahawa buah pisang pedas belaka. Padahal yang dirasanya itu ialah cabai besar yang tercicir.

3. Ada segelintir yang memang pernah menyertai tariqat yang benar, malangnya dia aktif dalam tempoh yang sangat singkat. Hendak dapatkan ijazah akademik di universiti pun biasanya tiga tahun. Itu pun jika pengajian sepenuh masa. Tambah-tambahlah ilmu-ilmu dan amal-amal tariqat. Cukupkah pengalaman pengajian sepenuh masa beberapa hari, beberapa minggu, beberapa bulan untuk arif selok-belok tariqat? Apatah lagi jika sekadar pengalaman bertariqat sambil-sambil. Benarkah dia sudah punya kemampuan yang memadai untuk melayakkan dia mempertikaikan tariqat? Eloklah kita fikirkan jauhhh sedikit sebelum menjadikan orang-orang sebegini sebagai rujukan kita.

4. Ada pula segelintir lagi yang memang pernah menyertai tariqat yang benar, tetapi dia hanya aktif sehingga ke peringkat tahu sahaja, belum sampai ke peringkat faham, apatah lagi untuk mencapai peringkat penghayatan. Padahal tariqat berjalan atas pemahaman dan penghayatan. Apa-apa yang kita tahu, belum tentu kita faham. Banyak perkara yang kita tahu dalam hidup kita, tetapi kan banyak antaranya yang kita belum faham? Jadi, orang itu sudah berhenti tariqat sebelum dia sampai ke peringkat faham. Memang tidak mustahillah dia akan menolak tariqat. Salah dia , bukan salah tariqat.

Ada orang yang mengaku pernah ditugaskan untuk memimpin halaqah zikir dalam tariqatnya, tetapi akhirnya dia keluar daripada tariqat juga. Macam mana pula tu?
Seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah menengah memilih salah seorang muridnya untuk memimpin aktiviti memaskan badan setiap kali mereka turun padang. Adakah si murid layak menghuraikan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani lalu dia menggantikan gurunya di dalam kelas untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran? Sebenarnya majlis zikir dan majlis bacaan-bacaan aurad itu semua hanyalah satu bahagian kecil daripada keseluruhan ilmu-ilmu dan ama-amal tariqat. Maksudnya orang itu yang sudah terperasan bahawa dirinya pernah bermaqam begini-begini dalam tariqat, kedudukannya dulu pernah tinggi dalam tariqat, maka layaklah dia kemudiannya mempertikaikan tariqat kepada masyarakat. Padahal tugasan yang pernah dibuatnya itu dahulu ringkas cakap belum apa-apa pun lagi dalam dunia tariqat. Baru merangkak-rangkak, belum berdiri pun lagi, apatah berjalan dan berlari. Kalau sekadar pernah jadi khalifah zikir, sangat jauh lagi jaraknya untuk mengatakan begitu begini tentang tariqat kepada orang lain. Seorang yang tidak pernah melihat kereta melainkan pernah membelek tayar kereta sahaja, tiba-tiba hendak memperkatakan tentang kereta kepada suku kaumnya. Rasa-rasa, banyak maklumat benar dan tepat, ataupun banyak maklumat yang salah dan terkeliru yang bakal dihidangkannya?


Abu Zulfiqar
7 Oktober 2016

No comments: