Thursday, April 7, 2011

Percaya Sudah, Jangan Banyak Tanya!

SEORANG HAMBA ALLAH MENULIS:

Kalau tuan perasan, di dalam kitab tauhid dan tasawuf, kebanyakannya tidak di sertakan sanad perawi, kenapa?
Apa yang diceritakan oleh abang saya, pertama kerana semua guru tauhid/tasawuf ini ada sanad yang sahih sampai kepada Nabi saw, jadi diri mereka itulah perawinya. Kedua, ada di antara mereka yang berhubung langsung dengan Nabi saw secara dalam mimpi atau jaga, atas pengalaman abang saya bertemu dengan seorang guru di Matang , Taiping (sudah tiada). Guru ni menulis kitab selepas waktu Asar sahaja..semasa menulis kitab dia kelihatan seperti berbual dengan seseorang. Bila selesai tulis, abang saya tanya dia, dengan siapa dia bicara, dia cakap dengan nabi saw, katanya Nabi saw akan angguk kepala kiranya hadis tu sahih dan akan geleng kepala kiranya hadis tu palsu..maknanya guru itulah perawi kepada hadis yang di tulisnya...tapi, cerita seperti ini tidak dapat dijadikan hujah.

JAWAPAN SAYA:

Memanglah cerita sebegitu (*iaitu cerita guru di Matang berbual dengan Rasulullah itu) tidak boleh dijadikan sandaran (* sebagaimana tulisan hamba Allah itu pada baris akhir tulisannya sendiri yang berbunyi : “...tapi, cerita seperti ini tidak dapat dijadikan hujah.” Jadi saya fikir kami ada persetujuan bersama), KECUALILAH ADA SOKONGAN-SOKONGAN KUKUH YANG LAIN. Alam ghaib ini banyak fitnahnya, jadi kita kena kenali fitnah-fitnahnya terlebih dahulu. Antara fitnahnya ialah jin.

Yang datang kepada kita/ sesiapa saja yang dikatakan Nabi Muhammad (juga Khidhir/ Syeikh Muhyiddin/Al-Ghazali ataupun lain-lain) itu boleh jadi:

1. MEMANG NABI MUHAMMAD SENDIRI (*maksudnya saya mengakui memang ada orang yang benar-benar melalui pengalaman sebegitu, dan ada juga yang sebenarnya menemui makhluk-makhluk lain seperti....)

2. Seorang jin mukmin yang bernama Muhammad.

3. Seorang jin muslim yang mengaku dirinya Nabi Muhammad.

4. Seorang jin muslim yang mengaku dirinya Muhammad.

5. Seorang jin kafir yang mengaku dirinya Nabi Muhammad.

6. Seorang jin kafir yang mengaku dirinya Muhammad.

Sudah banyak orang yang terpedaya termasuklah yang sebelumnya memang sudah mencapai tahap arifbillah. Lagi tinggi maqam kita, lagi besar pangkat jin yang datang untuk menggelincirkan kita. Menggelincirkan orang melalui bukan jalan agama biasanya kita boleh tepis. Tapi apabila mereka berusaha menggelincirkan kita MELALUI JALAN AGAMA ITU SENDIRI, ramai yang gagal di penghujung.

Sebab itu kita kena sangat-sangat berhati-hati. Jika datang seorang kepada kita dan dia mengaku dirinya Syeikh Abdul Qadir Jilani, ataupun hati kita tergerak mengatakan orang itu Syeikh Abdul Qadir Jilani, BAGAIMANA KITA HENDAK TAHU yang datang itu berada pada nombor sekian-sekian daripada 6 nombor tadi?

MEMANG ADA YANG BERTEMU dengan Nabi Muhammad dll itu, tapi lebih ramai lagi yang sebenarnya bertemu dan berguru dengan yang no. 2 sampai no. 6.

Jika kita bertemu orang yang mengaku bertemu Rasulullah ke, Syeikh Muhyiddin ke, Abdul Wahab Rokan ke, siapa ke... selama ini bagaimana kaedah yang tuan gunakan untuk memastikan khabar itu sahih, ataupun hasan, ataupun dhaif, ataupun palsu? Mungkin ada tips yang boleh diajarkan kepada saya.

Katakanlah saya beritahu bahawa sudah setahun saya berguru secara muka dengan muka dengan Syeikh Jilani, macamana cara tuan nak tahu sahih ataupun tidak?

Katakanlah pula semalam tuan bertemu secara jaga dengan sesuatu yang kita yakin ialah Nabi Khidhir, bagaimana tuan nak saring peristiwa itu?

JAWAPAN HAMBA ALLAH ITU:

Saya BERASA TERKILAN dengan jawapan tuan, sebagai ahli tasawuf, sepatutnya cerita begini bukan asing bagi kita bahkan kita sendiri mempunyai pengalaman kita sendiri bertemu dengan para kekasih Allah.

Sabda Nabi saw : "Orang yang bermimpi melihat aku, bererti ia benar-benar melihat aku, sebab syaitan tidak akan menjelma menjadi aku."

Kata Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani:
“Maka tidaklah terdaya syaitan menjelma dengan kesemua cahaya-cahaya seperti ini, sebagaimana yang dikatakan oleh penyusun Kitab Al-Muzhir: "Syaitan tidak akan menjelma pada cahaya bukan hanya pada Nabi saw sahaja, tetapi juga pada setiap saluran hikmat, kasih sayang dan hidayah, seperti para Nabi, para wali, malaikat, ka'abah, matahari, bulan ,awan putih dan sebagainya, sebab syaitan adalah penyaluran sifat Al-Qahru, ia tidak akan menjelma kecuali pada bentuk nama-nama yang menyesatkan. Orang yang berada pd penjelmaan Al-Hadi tidak akan dapat menjelma dalam penjelmaan Al-Mudhil, kerana sesuatu yang berlawanan tidak akan muncul pada lawannya, seperti api dengan air.

Saya harap tuan fikir semula apa yang tuan jelaskan tadi, jangan ambil ilmu dari kitab-kitab bisu saja, bergurulah benar-benar. Kalau tuan nak jumpa guru yang benar, yang macam Rasulullah saw, yang macam Syeikh Muhyiddin, yang macam Imam Ghazali, saya boleh temukan..selepas tu, tuan nilai semula apa yang tuan tulis sebelum ni.

PENJELASAN TENTANG DIALOG INI:

PERTAMA:

Hamba Allah ini sendiri mengatakan : “... cerita seperti ini (iaitu cerita guru di Matang itu) tidak dapat dijadikan hujah.”

Kemudian saya pun mengiyakan kata-katanya itu dengan kata : “Memanglah cerita sebegitu (iaitu cerita guru di Matang itu) tidak boleh dijadikan sandaran, KECUALILAH ada sokongan-sokongan kukuh yang lain.”

Dia sendiri yang kata cerita itu tidak dapat dijadikan hujah, saya pula mengiyakan kata-katanya, tiba-tiba DIA TIDAK DAPAT MENERIMA PERSETUJUAN SAYA ITU . Alangkah peliknya?

Kita lihat apa balasannya:

“Saya BERASA TERKILAN dengan jawapan tuan, sebagai ahli tasawuf, sepatutnya cerita begini bukan asing bagi kita bahkan kita sendiri mempunyai pengalaman kita sendiri bertemu dengan para kekasih Allah.”

Aduh, macam mana ni? Kita TAK BANGKANG kata-katanya pun, dia sudah terkilan. Kalau kita bangkang? Lagilah agaknya.

Daripada jawapan saya kepadanya, jelas saya tidak pernah membangkang kewujudan pertemuan antara manusia dengan Rasulullah dan ulama-ulama lain. Buktinya, imbas kembali kata-kata saya kepadanya:

“Yang datang kepada kita/ sesiapa saja yang dikatakan Nabi Muhammad (juga Khidhir/ Syeikh Muhyiddin/Al-Ghazali ataupun lain-lain) itu boleh jadi:

1. MEMANG NABI MUHAMMAD SENDIRI (*maksudnya saya mengakui memang ada orang yang benar-benar melalui pengalaman sebegitu, dan ada juga yang sebenarnya menemui makhluk-makhluk lain seperti....)

2. Seorang jin mukmin yang bernama Muhammad.

3. Seorang jin muslim yang mengaku dirinya Nabi Muhammad.

4. Seorang jin muslim yang mengaku dirinya Muhammad.

5. Seorang jin kafir yang mengaku dirinya Nabi Muhammad.

6. Seorang jin kafir yang mengaku dirinya Muhammad.”

Lihat nombor 1 pada senarai di atas. Jelas, saya tidak menolak hal tersebut. Jadi, apa yang membuatkan dia terkilan? Saya pun tak tahu. Tapi, boleh jadi (boleh jadi le...) dia terkilan kerana saya tidak mengakui yang guru yang dimaksudkannya itu memang menulis kitab dalam keadaan ada Nabi Muhammad di sampingnya. Agaknya dia mahu saya percaya terus, sesiapa sahaja yang dikatanya berinteraksi dengan Nabi Muhammad sebegitu, MESTI BETUL DAN TAK BOLEH DISANGGAH.

Kalau dia katakan : “Ada seorang guru di Ipoh, menulis kitab dan di sampingnya ada Rasulullah,” maka saya KENA PERCAYA TERUS. Kalau tidak, dia akan terkilan.

Jika dikatakannya : “Adik saya ada bertemu dengan Rasululah secara jaga,” maka saya KENA PERCAYA TERUS, tak boleh minta hujah-hujah sokongan dah.

Jika saya katakan contohnya : “Hal itu boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Tapi kalau berdasarkan maklumat seperti itu sahaja (berdasarkan kata-katanya sahaja), tentulah belum boleh dijadikan hujah/sandaran/pegangan. Seandainya ada hujah-hujah sokongan yang lain, mungkin saya akan menerimanya. Jadi, ada tak apa-apa maklumat lain yang dapat menguatkan cerita ini?” maka terus dia akan TERKILAN!

Pelik betul saya dengan sikap sebegini. Dia mahu orang lain terus percaya, bahawa sesiapa yang dikatakannya bertemu Rasulullah secara jaga, orang lain mesti menerima cerita itu sebagai BETUL. Tak perlu minta apa-apa sokongan lagi.

Bagaimanalah dengan maklumat sesedikit itu, kita diminta MESTI PERCAYA TERUS? Nama guru itu pun tidak diberitahu, dia suruh kita percaya sahaja? Bahaya beriman dengan cara begini.

Katakanlah suatu hari anda bertemu dengan seseorang yang baru anda kenali 4-5 hari, lalu dia mengatakan : “Ada seorang guru di Pulau Pinang. Guru itu menulis kitab dan di sebelahnya ada Nabi Muhammad yang mengesahkan kesahihan hadis-hadis untuk kitab itu. Percaya atau tidak?”

Itu sahaja maklumat yang dia beri. Apa jawapan anda?

1. Percaya terus?

2. Tangguh dahulu untuk percaya, kerana perlukan maklumat lanjut?

3. Lain-lain tindakan?

Tapi anda kena ingat, jika anda tidak terus percaya, DIA AKAN TERKILAN.

TAMBAHAN:

Ustaz Haji Ibrahim Haji Mohamad menceritakan pengalamannya menziarahi seorang yang dikatakan wali Allah di Kelantan dalam bukunya “Liku-liku Jalan KeTuhanan” pada muka surat 69. Guru yang dikatakan wali Allah itu membasuh suraunya setiap kali lepas sembahyang. Guru itu juga mendakwa selalu didatangi Rasulullah saw. Murid-muridnya tidak dapat melihat ‘Rasulullah’ itu tetapi dapat mencium bau wanginya pada setiap kali kunjungannya.

Kata penulis (Haji Ibrahim): “Lalu saya menziarahi guru tersebut. Memang dia kelihatan amat wara’, sentiasa menyebut nama ‘Abang Mad’ yang (kononnya) selalu berpesan kepadanya dalam setiap perbualannya. Saya yang tidak faham dan tidak mengenali ‘Abang Mad’ bertanya, siapakah ‘Abang Mad’ itu? “Abang Mad itu adalah Nabi Muhammad SAW.” Jawabnya dengan penuh keyakinan. Menurut muridnya, oleh kerana terlalu akrab dengan Rasulullah SAW, maka baginda membahasakan dirinya ‘Abang Mad’ sahaja. Saya (Haji Ibrahim) rasa nak tergelak mendengar penjelasan itu.”

“Ada lagi cerita hebat mengenai guru itu. Dia turut mendakwa pernah satu malam dibawa oleh Nabi SAW ke Baitul Maqdis. Di sana, Nabi-Nabi dan para Wali sedang menunggu bersolat dengan berimamkan Rasulullah, tetapi Rasulullah menarik tangannya untuk dijadikan Imam. Sungguh tinggi maqamnya sehingga Nabi SAW pun menjadi makmumnya. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana ramai murid yang akhirnya meninggalkannya setelah dia ditangkap.”

(*Ustaz Ibrahim ini sudah bertemu, bergaul dan berguru dengan ramai ulama sufi)

No comments: