PENDAHULUAN
Alhamdulillah syukur, Tuhan mengizinkan saya untuk mula mensyarahkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Fail-fail audio kuliah ini yang dimuatnaik ke Youtube diberi tajuk ‘Wangian Hikmah Al-Ghazali’. Anda boleh mendapatkan failnya dengan menulis ‘syarah ihya’ di carian Youtube. Semoga Allah memberi manfaat kepada kita semua melalui usaha ini. Amin ya Allah.
Di samping mensyarahkan kitab Ihya’ ini, projek sampingan saya adalah untuk menyusun himpunan kata-kata hikmah Imam al-Ghazali yang terdapat dalam kitab Ihya ini menjadi sebuah buku, sebagaimana kitab Al-Hikam susunan Imam Ibnu ‘Ataillah. Himpunan itu akan dinamakan Al-Hikmah Al-Ghazali (kitab Hikmah).
Projek kedua adalah untuk mensyarahkan Al-Hikmah tadi dalam bentuk bertulis. Sebenarnya hikmah-hikmah itu memang disyarahkan secara lisan ketika syarahan kitab Ihya’ ini dibuat, namun menghidangkannya dalam bentuk bertulis dapat memberi ‘hidangan’ yang lain dari yang lain. Jadi namanya ‘Syarah Al-Hikmah’.
Projek seterusnya, memindahkan syarah lisan Wangian Hikmah ini ke dalam bentuk bertulis. Usaha ini akan memudahkan pendengar yang menghadapi masalah untuk mendengar audio Wangian Hikmah (kerana masalah ‘kelembapan’ internet) untuk menikmatinya dalam bentuk bertulis.
Projek lagi, mensyarahkan kuliah Wangian Hikmah Al-Ghazali dalam bentuk bertulis pula. Imbas kembali, syarahan lisan kepada kitab Ihya’ ini kita namakan Wangian Hikmah Al-Ghazali. Wangian Hikmah Al-Ghazali ini pula akan disyarahkan dalam bentuk bertulis. Pelbagai maklumat akan dimuatkan sebagai huraiannya. Maksudnya, ia adalah syarah kepada syarah Ihya’ (Syarah Syarah Ihya’) dengan nama ‘Syarah Wangian Hikmah Al-Ghazali’.
Bercakap panjang-panjang pun tidak ada gunanya, lebih baik terus laksanakan kerja. Lalu... kita terus saja kepada Syarah kepada Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin (Syarah kepada Wangian Hikmah Al-Ghazali).
Panduan:
‘Kalam Abu Zulfiqar’ ialah kata-kata saya ketika mensyarahkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, yang sudah ditukar ke dalam bertuk bertulis. Anda boleh mendengar kuliah sambil membaca ‘Kalam Abu Zulfiqar’ pada masa yang sama.
‘Syarahnya’ ialah huraian kepada ‘Kalam Abu Zulfiqar’.
KALAM ABU ZULFIQAR:
Suatu ketika dahulu pada zaman Imam Al-Ghazali di negara Maghribi, ataupun disebut Morocco, ada sebuah kerajaan, yang apabila keluar saja kitab Imam Al-Ghazali, ulama-ulama fiqh kerajaan di Morocco ini kata kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini mesti diharamkan dan mesti dibakar. Apabila cerita ini sampai kepada Imam al-Ghazali, Imam Al-Ghazali pun (dengan izin Allah) terbuka kasyafnya, iaitu diangkat ‘hijab’, maka dia nampak apa yang akan berlaku. Apa kata Imam al-Ghazali? “Tuhan akan menyoyak ataupun akan merobek kerajaan mereka sebagaimana mereka mengoyak kitab aku”. Imam Ghazali sudah ‘nampak’. Begitulah, sesekali orang-orang soleh ‘nampak’ apa yang akan berlaku. Bukan selalu, tapi sesekali.
Mungkin kita masih teringat lagi kisah Saiyidina Umar sedang berkhutbah, tiba-tiba terangkat hijab, lalu dia nampak ketika itu tentera Islam sedang berperang dan dalam keadaan hampir kalah. Ketika di atas mimbar itu jugalah Saiyidina Umar memberi arahan kepada tentera Islam yang berada jauh beribu batu, ratusan batu. Dan tentera Islam di sana boleh mendengar arahannya.
Hal ini menunjukkan sesekali orang-orang soleh ‘diangkat hijab’. Itulah yang terjadi kepada Imam al-Ghazali. Apabila sampai cerita mengatakan kerajaan di Afrika Utara itu iaitu negara Maghribi mengharamkan dan mahu membakar kitabnya, dia katakan yang Tuhan akan mengoyakkan kerajaan mereka sebagaimana mereka mengoyakkan kitabnya.
SYARAHNYA:
Imam al-Ghazali hidup sekitar tahun 1058 Masihi hingga 1111 Masihi. Kerajaan yang dimaksudkan di Morocco itu ialah Kerajaan Murabitun (Almoravid) yang didirikan oleh orang-orang Barbar (yang berasal dari sekitar Morocco, Senegal dan Algeria) beragama Islam. Kerajaan ini diasaskan pada 1040 Masihi dan berakhir pada 1147 Masihi. Maksudnya kerajaan Murabitun runtuh sepenuhnya hanya selepas Imam al-Ghazali meninggal dunia.
Kerajaan Murabitun meliputi Morocco dan sebahagian Andalusia (Sepanyol). Bandar Marakesh yang terkenal itu dibangunkan pada zaman Kerajaan Murabitin, iaitu pada tahun 1060 Masihi. Dalam bahasa Arabnya bandar ini disebut ‘Murakush’, lalu dikenali di Barat sebagai ‘Morocco’. Senarai pemerintahnya ialah seperti berikut:
1. Abdullah bin Yasin (1040-1059 M)
2. Abu Bakr bin Umar (1061-1087 M), memerintah bersama sepupunya Yusuf bin Tashfin.
3. Yusuf bin Tashfin (1061-1106 M)
4. Ali bin Yusuf (1106-1143 M)
5. Tashfin bin Ali (1143-1146 M)
6. Ibrahim bin Tashfin (1146 M)
7. Ishaq bin Ali (1146-1147 M)
Kitab Ihya’ ‘Ulumiddin mula dimusuhi pada zaman Yusuf bin Tasyfin berkuasa.
Bagaimana boleh ada dua orang pemerintah pada tahun 1061 Masihi? Abu Bakr bin Umar ialah pemerintah sebenar. Apabila dia mahu pergi memerangi pemberontak di padang pasir, dia menyerahkan pemerintahan kepada sepupunya Yusuf bin Tashfin, yang dilantiknya sebagai Raja Muda. Setelah pulang dari peperangan, Abu Bakr mendapati pengaruh politik Yusuf sudah sangat kuat hinggakan mustahil untuk Abu Bakr kembali berada di tempat teratas. Hal ini membuatkan Abu Bakr kembali ke Gurun Sahara. Pada tahun 1087, Abu Bakr meninggal dunia akibat terkena panah beracun.
Yusuf bin Tashfin memang bijak berpolitik. Pada tahun 1086 M, raja-raja Islam di Andalusia (Sepanyol) meminta bantuan Kerajaan Murabitun bagi menghadapi tentera Kristian di bawah pimpinan Alfonso VI, raja Castile dan Leon. Tentera Murabitin berjaya terutamanya dalam Pertempuran Sagraja (Zallaqah – yang bermaksud ‘tanah yang licin’ kerana banyaknya darah yang tertumpah ke tanah) yang terkenal itu pada 23 Oktober 1086 M, tetapi Yusuf merampas kesemua kerajaan Islam itu lalu diletakkan di bawah kekuasaannya.
Mengapa kita Ihya’ dimusuhi? Kerana kitab Ihya’ banyak mengkritik para ulama fiqh (bukan semua ulama fiqh) yang tenggelam dalam bahasan ilmu fiqh sehinggakan mereka terlalu jauh dari tasauf. Ilmu mereka banyak tetapi hati mereka mati.
Tentang kasyaf Saiyidina Umar, pada suatu ketika dia mengutus tentera di bawah pimpinan Sariyah bin Zanim al-Khulaji ke Nahawunda bagi menghadapi tentera Parsi. Ketika tentera Islam sedang terdesak, Saiyidina Umar memberi arahan supaya mereka bertempat di sebuah bukit. Perubahan strategi ini membuatkan tentera Islam memenangi pertempuran. Ada orang-orang pada zaman kemudian yang mempertikai perbuatan Saiyidana Umar yang mempamerkan kebolehan kasyafnya di atas mimbar, di hadapan orang ramai. Namun menurut Imam Tajus Subki, Saiyidina Umar tidak sengaja berbuat demikian. Ketika sedang berkhutbah, secara tiba-tiba dia ‘ternampak’ situasi di medan perang. Oleh kerana keadaan begitu gawat, teruslah dia mengeluarkan arahan.
Namun kasyaf Saiyidina Umar ini ada perbezaan dengan kasyaf Imam al-Ghazali. Saiyidina Umar ‘ternampak’ perkara yang sedang berlaku sedangkan Imam al-Ghazali ‘ternampak’ perkara yang akan berlaku.
Ketika Saiyidina Abu Bakar hampir meninggal dunia, dia memberitahu anaknya Saiyidatina A’ishah yang salah seorang jariahnya sedang mengandungkan adik sebapa A’ishah. Anak yang bakal lahir itu nanti ialah seorang bayi perempuan. Ternyata Saiyidina Abu Bakar sudah mengetahui jantina anaknya terlebih dahulu.
Contoh lainnya ialah kasyaf Saiyidina Hasan bin Abi Talib, cucu Rasulullah. Dikatakan ketika dia hampir menemui ajalnya akibat termakan racun, dia mengingatkan adiknya Saiyidina Hussain tentang nasib yang lebih buruk yang bakal menimpanya di kemudian hari ( terbukti melalui Tragedi Karbala). WaAllahua’lam.
Sungguhpun kasyaf itu benar, tetapi kita mestilah berhati-hati terutamanya dalam hal ehwal agama. Menurut Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna : “Kasyaf, mimpi, ilham dan lintasan-lintasan hati bukanlah dalil bagi HUKUM-HUKUM SYARAK dan tidak diambil kira KECUALI DENGAN SYARAT IA TIDAK BERTENTANGAN DENGAN HUKUM DAN NAS AGAMA.”
KALAM ABU ZULFIQAR:
Dalam majlis itu kebetulan ada salah seorang murid Imam al-Ghazali yang bernama Muhammad bin Tumart. Kata murid Imam Ghazali ini: “Wahai Tuan Imam, doakanlah kepada Tuhan agar keruntuhan Kerajaan Bani Tasyfin (Kerajaan Murabitin) itu akan berlaku di tangan saya.” Kata budak itu tadi apabila dia mendengar tuan gurunya mengatakan bahawa kerajaan di Morocco itu akan runtuh : “Tuan syeikh, doakan supaya kerajaan itu runtuh di tangan saya.”
Selepas daripada itu, Muhammad bin Tumart ini pergi ke Morocco dan menyusun gerakan. Berlakulah peperangan dan sebagainya sehinggalah dia berjaya mendirikan/ mengasaskan sebuah kerajaan baharu yang dinamakan Kerajaan Muwahhiddun. Memang betullah sebagaimana yang Imam Ghazali nampak – sebagaimana kerajaan Afrika Utara ini mengoyak dan membakar kitabnya, sebegitulah kerajaan mereka dikoyak-koyak sehinggalah runtuh.
Apabila Muhammad bin Tumart berjaya mengasaskan Kerajaan Muwahhiddun di Afrika Utara iaitu di Morocco, Imam Ghazali teringin hendak pergi ke sana tapi tidak jadi. Tidak sempat pergi ke sana, beliau sudah meninggal dunia.
Pengajarannya di sini, kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini bukanlah sebarang kitab. Ringkasan kitab ini ialah kitab Bimbingan Mukminin. Dewasa ini ada orang-orang tertentu yang anti akan kitab ini. Kita khuatir apa yang berlaku kepada kerajaan di Afrika Utara itu terjadi kepada mereka juga. Di kata kitab ini tidak betul, bawa ajaran salah dan sebagainya.
Nama Morocco berasal dari nama bandar iaitu Bandar Marakesh, atau dalam bahasa Arabnya “Murakush”. Datang ‘mat salleh’, disebutnya Morocco.
Baik, habis muqaddimah iaitu satu cerita pengenalan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini.
SYARAHNYA:
Mengapa Imam al-Ghazali mendoakan keruntuhan sebuah kerajaan?
Sebenarnya Imam tidak mendoakan keruntuhan, tetapi dia ‘diperlihatkan’ oleh Tuhan akan keruntuhan kerajaan itu. Jadi yang dilafazkannya ialah perkara yang ‘dilihat’nya, bukan doanya. Keruntuhan kerajaan itu sudah pasti akan berlaku tidak lama lagi kerana ia termasuk dalam ketentuan Allah Taala. Doa Imam Ghazali hanyalah agar keruntuhan yang pasti terjadi tidak lama lagi itu berlaku ‘pada tangan’ anak muridnya yang bernama Muhammad bin Tumart. Itu sahaja. Lagi pun, berpandukan tulisan Professor Dr. Hamka pada bahagian pendahuluan kitab Ihya’ terjemahan bahasa Indonesia, tidak mengatakan Imam Ghazali mendoakan kejayaan anak muridnya. Boleh jadi dia mendoakan, boleh jadi juga tidak.
Kita petik tulisan Dr. Hamka:
“Di zaman pemerintahan Sultan Yusuf bin Tasyfin di negeri Maghribi di Faz (Fez) kaum Fuqaha sangat murka kepada Ghazali, sebab karangannya Ihya’ ‘Ulumiddin banyak mengeritik kaum ahli fiqhi, yang sudah menjauh daripada Al-Qur’an dan hanya tenggelam dalam taqlid. Fuqaha marah, sehingga mengusulkan kepada Sultan supaya Ihya’ dibakar sahaja dan dilarang keras peredarannya ke Maghribi. Di kala disampaikan orang berita itu kepada Ghazali serta-merta beliau berkata : “Tuhan akan merobek kerajaan mereka sebagaimana mereka telah merobek kitabku.”
“Tiba-tiba muncullah dalam majlis itu, murid beliau Muhammad bin Taumrut, yang bergelar Al-Mahdi, lalu berkata: “Wahai Imam! Do’akanlah kepada Tuhan bahwa keruntuhan kerajaan Bani Tasyfin akan terjadi di tangan saya.”
“Kemudian memang jatuhlah kerajaan Murabithin, digantikan oleh murid Imam Ghazali yang bernama Muhammad bin Taumrut itu, dengan nama Kerajaan Muwahhidin. Bila Imam Ghazali mengetahui bahawa muridnyalah yang menjadi raja, dan kitab beliau telah diakui kembali di negeri itu, beliau berniat hendak hijrah ke Maghribi. Sayang sekali sebelum beliau berangkat, beliau meninggal dunia tahun 505 H, dalam usia 55 tahun.”
Tamat kalam Buya Hamka.
Timbul persoalan – Imam Al-Ghazali meninggal dunia pada tahun 1111 M sedangkan Kerajaan Murabitun jatuh keseluruhannya pada 1147 H.
Sebenarnya ketika Muhammad bin Tumart/Taumrut (1080-1130 M) melakukan penentangan, dia sudah berjaya menguasai sebahagian daripada wilayah Kerajaan Murabitin. Dia sudah pun mendirikan kerajaan dan jadi pemerintah di wilayah yang dikuasainya, namun raja terakhir Murabitin masih berkuasa di wilayah yang belum dikuasai Muhammad bin Tumart. Kerajaan Murabitun jatuh sepenuhnya di ‘tangan’ salah seorang orang kuat Muhammad bin Tumart iaitu Abdul Mu’min (1094-1163 M).
Ada cerita mengatakan Muhammad bin Tumart sebenarnya sudah terbunuh pada tahun 1128 M, bukannya pada 1130 M akibat pertempuran dengan tentera Murabitun, tetapi Abdul Mu’min merahsiakannya. WaAllahua’lam.
Dalam buku “Siri Tokoh-tokoh Pejuang Islam” karya Nur Syifa Shakierah (terbitan Sabunai Media, 2004), dinyatakan:
“Dari Kota Kaherah, Imam al-Ghazali menuju ke pelabuhan Iskandariyyah. Imam al-Ghazali ingin menuju ke Maghribi untuk memenuhi jemputan muridnya, Muhammad bin Tumart yang telah berjaya merampas kuasa dari tangan golongan Murabithun dan mendirikan pemerintahan baru yang dinamakan Muwahhidun yang bersendikan Islam. Namun begitu hajatnya tersebut tidak kesampaian.”
“Akhirnya Imam al-Ghazali menukarkan haluan dari Iskandariyah ke timur menuju ke kota suci Makkah dan Madinah.”
Tentang kitab Bimbingan Mu’minin, sebenarnya kitab itu merupakan ringkasan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Asalnya saya diminta untuk mensyarahkan kitab tersebut, tetapi alang-alang kata orang, lebih baiklah saya syarahkan kitab Ihya’ terus. Pastinya saya tidak akan berpuas hati mensyarahkan Bimbingan Mu’minin kerana banyak lagi isi-isi penting Ihya’ tidak dimuatkan di dalamnya.
KALAM ABU ZULFIQAR:
Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Sebenarnya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini sangat rapat dengan saya kerana pada tahun 1997 sampailah sekitar tahun 2003, ke mana-mana pun biasanya saya bawa salah satu jilid terjemahan kitab Ihya’ ini, dan membacanya. Lebih kurang 7-8 tahun itu, ke mana-mana pun bawa., punya minatnya akan kitab ini. Namun pada hari inilah baru saya berpeluang untuk mensyarahkannya.
Disebabkan saya minat dengan kitab ini, suatu ketika saya ada menulis sebuah risalah yang bertajuk “Allah Cinta Agung”. Risalah ini menghuraikan tentang cinta kita kepada Allah dan cinta kita kepada Nabi Muhammad. Saya buat risalah itu dalam beberapa puluh mukasurat, dan risalah ini pun ada dimuatnaik ke internet. Risalah ini siap sekitar tahun 2002. Siap pada 13 Safar 1423 Hijrah. Maksudnya pada tahun 2002. Sudah 9 tahun risalah itu. Dimuatnaik ke internet dan ada lamannya. Lamannya juga bertajuk “Allah Cinta Agung”. Ia berdasarkan bab “Cinta” daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.
Kemudian risalah itu tadi saya jadikan ta’lim harian. Selepas Maghrib ataupun Isya’, dibaca dalam masa 5 minit dengan isteri. Setiap hari dibaca sedikit-sedikit.
SYARAHNYA:
Para pembaca boleh melayari blog Allah Cinta Agung itu di http://allahcintaagung1.blogspot.com/ . Cuma satu perkara yang perlu dimaklumi bahawa pengetahuan, pemahaman dan pandangan saya sejak 9 tahun lepas tentunya ada peningkatan. Oleh itu, tidak mustahil ada kelemahan dan kesalahan dalam risalah tersebut. InsyaAllah jika saya berkesempatan untuk mensyarahkan bab Cinta dalam Ihya’ ‘Ulumiddin ini nanti, akan diperbaiki.
KALAM ABU ZULFIQAR:
Yang pertamanya kita tengok maksud ‘Ihya’’Ulumiddin’. Apa maksudnya? Kita biasa dengar perkataan ‘hayat’ yang bermaksud ‘hidup’ ataupun ‘kehidupan’. Jadi ‘ihya’ ini maksudnya ‘menghidupkan’. Kita juga biasa dengar perkataan ‘ilmu’, ‘ulama’ dan ‘alim’. Semua itu daripada kata akar yang sama. Sama dengan perkataan ‘ulum’. ‘Ulum bermaksud ‘ilmu-ilmu’.
Kemudian perkataan ‘ad-diin’. Orang selalu sebut : “Islam sebagai ad-diin.” Secara ringkasnya ‘ad-diin’ membawa maksud ‘agama’. Jadi ‘Ihya’ ‘Ulumiddin’ bermaksud ‘Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama’.
Mengapa Imam Ghazali namakan kitabnya dengan tajuk “Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama”? Kerana pada zaman itu, bahkan pada zaman sekarang pun ilmu jadi hiasan. Ramai orang yang berilmu dalam agama namun dari segi pengamalannya lemah. Sebab itu kitab ini dinamakan “Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama”. Ia tidak sekadar ilmu tetapi ia dihidup dan diamalkan. Dan diamalkan pula dengan berkesan. Jadi, fahamlah kita sekarang maksud ‘Ihya’ ‘Ulumiddin’. Seandainya orang tanya selepas ini, kita sudah boleh jawab : “Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama”.
Jadi sebelum kita masuk kepada kitab ini seterusnya, kita berkenalan terlebih dahulu dengan tuannya. Kita memang ‘kenallah’ orang selalu sebut: “Imam al-Ghazali, Imam Ghazali, Imam Ghazali.” Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Namanya Muhammad, nama bapanya pun Muhammad, nama datuknya pun Muhammad. Nama moyangnya Ahmad. Semua (nama-nama) itu daripada kata akar yang sama juga ... (yang maksudnya) “terpuji”.
Namanya Muhammad. Disebut juga Ibnu Muhammad kerana dia anak (kepada) Muhammad. Dia juga dipanggil Abu Hamid, kerana anak lelakinya bernama Hamid. “Abu” (maksudnya) “bapa”. (Abu Hamid maksudnya) Bapa Si Hamid. Jadi nama penuh Imam al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. “Ghazali” ini dikatakan nama tempatnya (kampungnya) iaitu “Ghazalah”, disebut “Ghazali”. Sebagaimana yang kita tahu orang Arab ada 3 nama. Namanya, nama bin (kepada) bapanya, dan nama (kepada nama) anaknya.
SYARAHNYA:
Desa Ghazalah ialah sebuah kampung di pinggir kota Tus, Iran. Imam Ghazali berbangsa Parsi.
Bersambung ke fail Youtube ke-2 Wangian Hikmah Al-Ghazali...
2 comments:
syabas ustaz selaku anak muda. Ana belum jumpa penceramah sendiri memuat turunkan ceamah dalam youtube. Gunakan kemudahan IT sebaik mungkin dan tonjolkan bahawa ustaz sekarang tidak buta IT. Tahniah sekali lagi.
Wak. SOL
ust.. jika hendak download semua file ini... pendrive hantar ke alamat mana?..
Post a Comment