Sunday, March 28, 2010

Di Mana Wira Seperjuangan?

Memang sangat susah untuk mendapatkan teman seperjuangan
yang sama-sama memperjuangkan banyak perkara
dan sama-sama menolak banyak perkara.

Kadang-kadang kita datang dari sarang yang sama.
Bertahun-tahun diasuh di sarang, modul yang sama.
Sama-sama tahu apa yang hendak diperjuang
dan apa yang tidak diperjuangkan.

Apabila tiba masa yang ditetapkan Tuhan
ujian pun datang.

Kita sokong, kita ingatkan dia pun sokong.
Rupa-rupanya dia tak sokong!

Kita boikot, ingatkan dia tentu boikot juga.
Dia tak boikot!

Kita mengharamkan sesuatu yang layak diharamkan
kita yakin, sudah tentu dia akan meneguhkan lagi kita.
Malangnya dia sebaliknya pula
meruntuhkan lagi kita!

Kita melangkah, terasa seakan-akan dia melangkah sama.
Padahal dia tidak bergerak!
Bahkan ada waktunya dia berundur pula ke belakang!

.......
Walaupun sesarang selubuk sekubang
dan masih seperti itu pada zahirnya
...terasa berjuang berseorangan.

Bersendirian rupa-rupanya pejuang kerdil ini.

Kita sama-sama melihat barisan tentera musuh
beberapa rantai di hadapan barisan kita.
Ketika itu kita berada dalam satu barisan.
Kita sama-sama berikrar
untuk menentang apa saja yang datang daripada pihak musuh.

Hamba sendiri sebagai komandernya.
Melengkapkan teman-teman hamba
dengan pelbagai ilmu pertempuran.
Teman-teman pula menerima bersungguh-sungguh
tanpa sebarang penolakan.
Ini membuatkan hamba yakin.

Apabila musuh mula bergerak
kita menyerbu bersama-sama ke medan
dengan uniform perang yang seragam.

Apa yang mendatang, hamba tebas bermati-matian
tanpa berpaling ke belakang lagi.
Hamba yakin para sahabat pun begitu.

Tiba-tiba terasa diri ini dikeronyok musuh.
Padahal tentera musuh itu kelas bawahan sahaja.
Sudah biasa sangat kita sama-sama
menghenyak tentera seperti itu
sekalipun mereka 20 kali lipat jumlahnya.

Dalam keronyokan mereka
hamba sempat menoleh ke belakang.

Kelihatan seorang teman hamba
sudah pun menyarungkan kembali pedangnya
sambil berbual-bual dengan tentera musuh
dengan senyum mesra.

Seorang lagi
yang gagah perkasa
sudah menukar uniformnya
kepada pakaian kebanggaan pihak musuh.

Seorang lagi pula
meraikan pihak musuh dan si gagah
dengan jamuan dan juadah
dengan penuh keriangan di muka.
Dilaung-laungkan pula pekerjaan dirinya itu
dengan penuh kebanggaan.

Walaupun dikeronyok
hamba sempat meloloskan diri
mengasingkan diri ke hutan.

Bukan kerana takut mati.
Teman-teman pun sedia tahu...
seorang diri saja pun hamba sanggup
untuk berhadapan dengan keseluruhan tentera musuh.
Hamba tidak akan lari dikejar musuh
dan tidak akan mengejar musuh yang lari.

Tapi jadi begitu kerana
hamba sudah hilang semangat juang.

Bukan hilang kerana besarnya bencana bawaan musuh
tetapi kerana kecilnya jiwa teman-teman sesarang.
Bukan kerana hebatnya tentera musuh
Tetapi kerana malu kepada musuh-musuh
yang tertawa mengejek
akan kelemahan barisan tentera kita.

Dahulu mereka kagum akan kita.
Mereka tahu yang kita tidak akan goyang
walau dilanggar seribu rata
walau dimanjanik seribu ketul batu.

Sekarang mereka sedar
Dengan hembusan asap rokok sajapun
kita sudah longlai.
Ditolak dengan lidahpun
kita akan tumbang terhempap.

Di hutan
hamba tidak berdiam diri.
Hamba berusaha mengatur strategi
untuk terus menentang musuh
sekalipun hamba sedar
diri sangat lemah
dan langkah hamba seterusnya nanti
hanya seperti gigitan nyamuk sahaja tarafnya
kepada pihak musuh.

Apa kebenaran yang hamba pegang dulu
sekarang pun seperti itu juga.
Hamba tidak akan berganjak
dan sama sekali tidak akan
memberi kemenangan kepada Iblis dan para syaitan.

Sesiapa yang berhati teguh
ataupun yang suka untuk berhati teguh
hamba nanti di pinggir hutan.

Selamat datang wahai wira-wira seperjuangan sejati.

Tidak ada sesiapa?...

Tidak mengapa.

Jika hati sudah bersama-sama Tuhan
ketika berseorangan pun dirasakan ramai.
Waktu berseorangan terasa ramai.
Perjuangan tetap diteruskan.



*Pencerahan pada 2.4.10 :
Nukilan ini tidak ditujukan kepada rakan-rakan di internet, tetapi kata hati saya kepada sebahagian mereka yang berada di sekeliling saya sekarang, iaitu di alam nyata... yang selalu saya jumpa secara bertentang mata.
Mohon maaf atas sebarang kekeliruan - Abu Zulfiqar

4 comments:

Abu Zaid said...

salam ya akh,
anta tidak berseorang, insyaAllah masih ramai jiwa yang diwakafkan untuk Allah...
melawat la blog ana; http://muhammadzulfeqar.blogspot.com
-baru saja mengikut jejat langkah anta..
*anak didik mu.....

Admin said...

Assalamu'alaikum tuan zulfiqar,

saya pernah berasa seperti tuan. Adakah saya yang tuan maksudkan ?

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Wlksm ya Zulfeqar,

Masyaallah... ingatkan mujahid mana tadi! Sebenarnya ada juga seorang ikhwah bernama Zulfikar di Taiping. Tengokkan gaya tulisan yang bernada intelek tu, ingatkan dia dah. Last-last tengok gambar... anta rupanya!

Tahniah tahniah! Caragaya tulisan tu memang menarik. Ada potensi besar tu.

Terus berjuang! : )


Abu Zulfiqar
2.4.10

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Wlksm Tuan Ibnu Nafis,

Bukanlah : )

Nukilan tu berkait dengan orang-orang DI SEKELILING ana. Sahabat-sahabat internet tak termasuk, jangan risau. : )


Abu Zulfiqar
2.4.10