Sabda Rasulullah saw : “Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita
yang solehah. Apabila kamu memandangnya, dia menyenangkan (hati) kamu. Apabila engkau perintah (arahkan), dia taat kepada
(perintah/arahan) kamu. Dan apabila engkau berpergian (ada urusan di luar)
meninggalkannya, dia memelihara (kehormatan) dirinya dan menjaga harta kamu.”
(Ahmad, An-Nasa’i)
Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi
sebaik-baik perhiasan iaitu sebagai seorang wanita yang solehah, dengan
berusaha untuk memenuhi ciri-cirinya sebagaimana yang disebutkan hadis di atas.
Jangan sampai suami berasa tidak senang hati apabila
melihat kita. Jangan sampai kita mengengkari permintaan suami. Apabila suami
tidak ada bersama-sama dengan kita, hendaklah kita menjaga maruah diri dan
pergaulan. Harta dan barang-barang suami (rumah, kenderaan, pakaian, peralatan
dan sebagainya), kita jagalah sebaik-baiknya.
Ditanyakan kepada Rasulullah saw : “Wanita (isteri) yang bagaimanakah yang paling baik?”
Baginda menjawab : “Yang menyenangkan suaminya apabila suaminya memandangnya,
yang mentaati suaminya apabila suaminya menyuruhnya, dan dia tidak menyanggahi
suaminya dalam perkara dirinya dan tidak pula pada harta suaminya dengan apa
yang tidak disukai oleh suaminya.” (Baihaqi)
Hendaklah kita tidak
mudah-mudah menyanggah suami. Jangan sesekali buat perkara yang suami kita
tidak suka. Inilah antara ciri wanita yang paling baik menurut agama Islam.
“Wanita (isteri) manapun yang meninggal
dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk syurga.”
(Turmizi, Ibnu Majah)
Alangkah mudahnya untuk seseorang wanita itu mendapat
syurga! Keredhaan suamilah kuncinya. Oleh itu, sama-samalah kita ingat-mengingati,
janganlah sampai suami tidak redha kepada kita. Sangat besar bahayanya.
“Seandainya aku (Rasulullah saw) dibenarkan
memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain, sudah tentu aku akan
memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” (Turmizi, Ibnu
Majah)
Cuma Allah tidak
membenarkan untuk sujud kepada sesama manusia. Namun hadis ini memberi maklumat
penting untuk kita menghayatinya.
“Tidaklah boleh bagi seseorang manusia untuk sujud
kepada manusia lain. Seandainyalah dibenarkan seseorang sujud kepada orang
lain, sudah tentu aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya, kerana
besarnya hak suami ke atasnya. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya,
seandainyalah pada tapak kaki sehingga ke belahan rambut suaminya ada
luka/kudis yang beserta nanah bercampur darah, lalu si isteri menghadap suaminya
dan menjilat luka/kudis tersebut, nescaya dia belum sempurna menunaikan hak
suaminya.” (Ahmad)
Alangkah besarnya hak Allah ke atas kita! Jangan pula
kita terlupa akan hak suami ke atas isterinya.
“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk
sujud kepada seorang yang lain, sudah tentu aku akan memerintahkan isteri untuk
sujud kepada suaminya. Seandainya seorang suami memerintahkan isterinya untuk
pindah dari gunung merah menuju gunung hitam, dan dari gunung hitam menuju
gunung merah, si isteri mesti melakukannya.” (Ahmad, Ibnu Majah)
Apa-apa perintah suami, selagi tidak bertentangan dengan
ajaran agama Islam, hendaklah kita berusaha mematuhinya.
Tatkala Mu’az pulang dari Syam, dia sujud kepada Nabi
saw. Maka baginda menegur Mu’az : “Apa yang kamu lakukan ini wahai Mu’az?”
Mu’az menjawab : “Aku ke Syam, aku lihat mereka
(penduduk Syam) sujud kepada paderi mereka. Jadi aku berkeinginan dalam hatiku
untuk melakukannya kepada kamu ya Rasulullah.”
Rasulullah saw bersabda : “Jangan engkau lakukan
hal itu, kerana senadainya aku boleh memerintahkan seseornag untuk sujud kepada
selain Allah, sudah tentu aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.
Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, seorang isteri tidak (belum)
menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya. Seandainya si
suami meminta dirinya (mengajak berjimak) dalam keadaan dia berada di atas
pelana (atas kenderaan), maka dia tidak boleh menolaknya.” (Ahmad ,
Ibnu Majah)
“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat
tidurnya tetapi si isteri enggan datang, lalu si suami bermalam (tidur) dalam
keadaan marah kepada isteri itu, nescaya para malaikat melaknat si siteri
hingga ke pagi.” (Bukhari)
“Mana-mana wanita yang meminta cerai kepada
suaminya tanpa ada apa-apa (sebab yang layak untuk itu), maka diharamkan
untuknya mencium wanginya syurga.” (Turmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu
Hibban)
Semoga bermanfaat.
Abu Zulfiqar
6 Mei 2015
No comments:
Post a Comment