Engkau hendaklah BERUSAHA untuk SELALU berzikrullah iaitu
rajin-rajinlah ingat akan Allah.
Zikrullah itu ertinya INGAT AKAN ALLAH.
Antara jalan untuk mencapai keadaan selalu berzikrullah
adalah dengan selalu MELAFAZKAN LAFAZ-LAFAZ ZIKIR.
Antara contoh lafaz-lafaz zikrullah (INGAT AKAN ALLAH)
ialah Allah, ya Allah, Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulillah, Laa
Ilahaillallah, ya Hayyu ya Qayyum, dan sebagainya.
Dalam hal ini, Tarekat Ghazaliyah sangat menganjurkan agar
engkau rajin-rajinlah MELAFAZKAN NAMA-NYA iaitu “Allah, Allah, Allah…”
Rajin-rajinkan itu bukanlah bermaksud SENTIASA
(berterusan 24 jam), tetapi bermaksud selalu-selalulah.
Lafaz “Allah. Allah. Allah…” ini boleh engkau LAFAZKAN DI
LIDAHMU, atau engkau LAFAZKAN DI HATIMU, ataupun engkau lafazkan pada KEDUA-DUANYA
sekaligus, bergantung pada kesesuaian keadaanmu ketika itu. Inilah tiga kaedah
melafaz.
Lafaz-lafaz zikrullah ini boleh engkau lafazkan pada
bila-bila masa yang sesuai. Apabila engkau teringat, lafazkanlah. Sekiranya
terlupa, tidak mengapa. Waktu teringat pula nanti, lafazkanlah. Sekadar untuk SELALU
MELAFAZKAN. Pilihlah mana-mana daripada tiga kaedah melafaz tadi.
Lafaz zikrullah “Allah. Allah. Allah…” yang PADA HATI umumnya
boleh diamalkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja, serta dalam apa jua
keadaan. Ketika bersembang, ketika berperang, ketika berlari, dalam solat,
ketika berdoa, di dalam rumah, di luar rumah, dan sebagainya. Boleh belaka.
Jika dapat, tersedar daripada tidur, lafazkanlah “Allah” sekurang-kurangnya
di hatimu, walaupun ketika itu matamu belum dibuka. Sebelum lena, sebutlah/lafazkanlah
nama-Nya ini beberapa kali. Jika dapat sampai membawa kepada lena, lagilah bagus.
Jadi, bermula saat ini apabila engkau teringat sahaja,
teruslah engkau lafazkan “Allah” (di mulut, atau di hati, atau di kedua-duanya bersama-sama)
walaupun sekadar beberapa kali. Insya-Allah lama-kelamaan akan terbiasa dan
akan semakin banyak.
Lafazkan SANTAI-SANTAI sahaja. Jangan sampai stress.
Jangan sampai terganggu kerja-kerja yang lain-lain. Sambil-sambil sahaja. Insya-Allah.