Tuesday, May 3, 2016

Mencintai dan Merindui Allah

ADAKAH CINTA?


Ada pihak-pihak yang menolak kewujudan cinta Allah kepada makhluk dan kewujudan cinta makhluk kepada Khaliq.


Antara pihak-pihak itu ada yang berpandangan bahawa :

- yang ada hanyalah taat. Berusahalah untuk melaksanakan segala perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangan Tuhan. Itu sahaja, tidak lebih.

- Tuhan menjadikan makhluk, selepas itu Dia tidak ada apa-apa urusan lagi dengan makhluk. Makhluk pun tidak ada apa-apa urusan lagi dengan Tuhan. Oleh itu, mana perlu wujudnya cinta?

- makhluk khususnya manusia hanyalah robot. Lalui sahaja apa kehendak Tuhan (sebenarnya mengikut gerak hati sendiri). Tak perlu ada cinta-cinta.

- cinta-cinta ini hanyalah sesama makhluk. Antara Tuhan dengan makhluk atau makhluk dengan Tuhan, tidak ada cinta-cinta.

Dan sebagainya.


BUKTI-BUKTINYA


Padahal memang ada cinta Allah kepada makhluk dan cinta makhluk kepada Allah. Bahkan bukan setakat cinta akan Allah, ada juga yang sampai ke peringkat rindu akan Allah.


“Dia mencintai mereka, dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Maidah : 54)


“Orang-orang yang beriman itu sangat cinta akan Allah.” (Al-Baqarah : 165)


“Tidak beriman seorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)


PERBEZAAN CINTA DAN RINDU


Cinta (menurut bawaan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini) membawa maksud suka. Apabila kita suka akan sesuatu, keadaan itu membawa maksud cinta. Cinta ini hadir setelah kenal. Mana mungkin cinta hadir sebelum kenal. Suka ini tidaklah sampai selalu teringat-ingat, terkenang-kenang, tersebut-sebut dan asyik. Contohnya, Abu suka makan ikan goreng dan air minum sirap. Tetapi tidaklah sampai ikan goreng dan air sirap itu selalu bermain di hatinya. Keadaan ini menunjukkan Abu memang suka tetapi tidaklah sampai ke peringkat rindu.


Rindu pula membawa maksud sangat suka sampaikan selalu teringat-ingat, terkenang-kenang, tersebut-sebut lagi asyik. Contohnya Abu berpisah jauh daripada anak isterinya. Sepanjang berada di kejauhan, selalu sahaja anak isterinya diingat-ingat dan disebut-sebut oleh Abu. Keadaan ini menunjukkan Abu cinta malah rindu.


Ringkasnya, rindu adalah lebih kuat daripada cinta. Maqam rindu adalah lebih tinggi daripada maqam cinta. Mazhab rindu adalah lebih atas daripada mazhab cinta.


SEJAUH MANAKAH RINDU?


“Sesiapa yang suka untuk ‘bertemu’ dengan Allah, Allah (pun) suka ‘bertemu’ dengannya.” (Bukhari, Muslim)


Bertemu dengan Allah dalam hadis ini ialah pertemuan yang berlaku setelah seseorang itu berjaya memasuki Jannah (syurga). Nikmat teragung di Jannah ialah memandang Allah sendiri. Inilah sebenar-benar pertemuan dengan Allah. Rindu seseorang itu akan Allah semestinya berlaku sejak dari alam dunia lagi.


Alam dunia ini berlalu dalam tempoh puluhan atau ratusan tahun. Kemudian kita ke alam kematian. Kemudian dibangkitkan semula di Mahsyar, ke timbangan, ke titian dan sebagainya dan akhirnya sampailah ke Jannah. Setelah masuk ke dalam Jannah dan kemudiannya melihat Allah, ketika itulah baru hilang rindunya.


Maksudnya, tempoh masa merindu itu sebenarnya panjang dan jauh.


TIADA RINDU?


Bagi golongan yang menolak kewujudan cinta ini, sudah pastilah mereka menolak juga kewujudan rindu. Hal ini kerana rindu datang hanya selepas cinta. Mana munkin tidka ada cinta tiba-tiba ada rindu! Alhamdulillah, syukur. Kita yang melalui tariq ini meyakini adanya cinta dan rindu, malah kita sedang mengusahakannya selama ini.


CINTA DAN RINDU UMAT


Bolehlah dikatakan bahawa semua umat Islam cinta akan Allah, tetapi yang rindu kepada-Nya adalah sedikit. Yang suka tetapi tidak rindu = ramai.

Yang suka tetapi belum rindu = ramai juga.
Yang suka tetapi tak tahu pun adanya rindu = tak kurang ramai.
Yang suka dan rindu = tidak ramai.


Tarbiyyah tasawuf antaranya bertujuan hendak membawa manusia daripada sekadar suka/cinta akan Allah kepada rindu akan Allah. Daripada maqam suka naik ke maqam rindu. Daripada mazhab cinta kepada mazhab rindu asyik gelora. Ehwal ini menjadi sukatan pelajaran terpenting dalam tarbiyyah kesufian. Bukan sekadar sukatan pelajaran penting, apatah lagi jika sekadar sentuh-sentuh sambil-sambil sahaja.


Cinta dan rindu akan Allah ini bukannya boleh dibuat-buat, didakwa-dakwa, direka-reka, dirasa-rasa atau dicipta-cipta begitu sahaja, tetapi ada sukatan pelajarannya. Dan sukatan pelajaran cinta dan rindu ini pula, yang tersusun dan yang terperinci hanya berada dalam mata pelajaran ihsan, iaitu tasawuf.


MUHASABAH DIRI


Muhasabah diri. Kita sendiri, bagaimana pula?

- Kadang-kadang rindu, kadang-kadang tidak.
- Lebih banyak tak rindu berbanding rindu.
- Lebih banyak masa tak ingat Allah berbanding masa ingat.
- Ada yang tidak sedar pun kewujudan maqam rindu.

Oleh sebab itu, kita mestilah terus berusaha melalui jalan tasawuf ini.


Orang-orang yang tidak melalui tarbiyyah tasawuf, biasanya mereka akan tersangkut pada maqam suka dan maqam taat sahaja. Tidak sampai ke maqam rindu atau maqam asyik. Manakala orang-orang yang melalui jalan atau tariq tasawuf, biasanya mereka dapat sampai ke maqam rindu dan asyik. Jauh berbeza peratusannya.


JALAN-JALAN LAIN PUN BOLEH?


Bukankah perihal tasawuf ini ada juga disentuh sedikit dalam juzuk mata pelajaran lain seperti dalam ilmu fiqh, ilmu dakwah, ilmu bahasa Arab, ilmu mustalah hadis, ilmu haraki, ilmu perbandingan agama, ilmu hafaz-menghafaz, dan sebagainya? Cukuplah tu! Rasa-rasanya tak perlulah kita nak masuk ke kelas khusus tentang ilmu tasawuf lagi.


Kita buat tamsilan untuk memahami situasi di atas. Ada seorang hamba Allah yang memang tidak pandai melukis gambar pemandangan yang cantik. Namun dia teringin untuk berupaya menghasilkan sendiri lukisan-lukisan pemandangan yang cantik. Dia mahu belajar ilmu melukis pemandangan yang cantik.


Apabila diajak untuk masuk ke kelas ilmu lukis-melukis, rupa-rupanya dia tidak mahu. Alasannya, dia sudah setuju untuk masuk ke kelas mata pelajaran sains, sejarah, bahasa Melayu dan lain-lain yang turut menyentuh tentang lukis-melukis. Dalam pelajaran sains ada tugasan melukis gambarajah daun dan katak yang dibedah. Dalam pelajaran sejarah ada tugasan melukis peta dan rekabentuk kapal pedagang zaman dahulukala. Dalam pelajaran bahasa Melayu ada tugasan melukis gambar pokok kelapa dan bahagian-bahagiannya. Begitulah seterusnya.


Adakah hamba Allah ini akan dapat melukis satu pemandangan yang cantik menggunakan warna air, yang di dalamnya ada gambar langit waktu dhuha, sawah padi menguning keemas-emasan, tali air jernih pemantul bayang-bayang, bukit-bukau biru hijau di kejauhan, gugusan pohonan kelapa yang kelihatan hidup dan lain-lain? Ringkas cakap, dia tidak akan mampu melakukannya. Jika disuruh dia cuba, lukisannya memang tidak cantik. Penggunaan warna dan campuran warna-warnanya memburukkan lagi lukisan itu.


Mengapa ya? Bukankah dia ada juga belajar melukis dalam mata pelajaran yang lain? Malah bertahun-tahun?


Kerana ilmu menggambar, melukis dan mewarna dalam semua mata pelajaran itu tidak memadai untuk dia mencapai maqam boleh menghasilkan sebuah lukisan pemandangan yang cantik. Dia memang ada ilmu melukis tetapi jauh daripada mencapai matlamat yang diidam-idamkannya.


Begitu jugalah halnya dengan orang yang enggan mencari ruang untuk masuk ke kelas ilmu mata pelajaran tasawuf dengan alasan ilmu ma’rifah (mengenal), ilmu mencinta (mahabbah) dan ilmu merindu Allah ini sudah ada disentuh juga dalam mata pelajaran lain seperti dalam ilmu fiqh, ilmu dakwah, ilmu tajwid, ilmu bahasa Arab, ilmu mustalah hadis, ilmu haraki, ilmu melau Al-Quran, ilmu perbandingan agama, ilmu hafaz-menghafaz, dan sebagainya. Memang ada disentuh tetapi sangatlah sedikit. Jauh daripada hendak mencapai matlamat mengenal, mencinta dan merindu Allah. Akhirnya nanti, tidak mustahil diri terperasan sudah mencapai ma’rifatullah, cinta dan rindu, padahal sebenarnta jauh ketinggalan.


Oleh itu : “Bertanyalah (belajarlah, bergurulah) kepada ahli zikir, sekiranya kamu tidak tahu.” (An-Nahl : 43)


BELAJAR TETAPI TIDAK MENCAPAI


Ada juga orang-orang yang belajar tentang cinta, rindu dan asyik akan Allah ini, tetapi diri mereka sendiri tidak sampai ke maqam-maqam ini? Aapakah sebabnya?


Antaranya :

- kerana mereka ambil sekadar ilmu sahaja, sekadar untuk tahu sahaja, bukan untuk amal, lalui dan hayati. Mereka boleh berbicara/bersembang tentang hal ehwal maqamaqam ini kerana mereka belajar tentangnya tetapi mereka sendiri tidak mengamal, melalui dan menghayati maqam-maqam tersebut.

- kerana mereka tidak banyak tahu tentang apa yang bakal mereka perolehi sekiranya berjaya melalui, mengalami dan menghayati maqam-maqam ini. Mereka anggap kenikmatannya tidaklah sehebat mana. Asal dapat syurga (iaitu makhluk sebagai matlamat utama) pun sudah ok sangat. Oleh itu mereka pun tidak termotivasi/tidak ghairah untuk berusaha menaiki tangga demi tangga dalam maqam-maqam ini.

- kerana tidak sedar seberapa banyak yang mereka rugi apabila tidak mengusahakan maqam-maqam ini.

- kerana guru-guru, pemimpin-pemimpin dan jemaah-jemaah yang mereka sertai tidak mentarbiyyah mereka dalam hal ini. Perkara yang sangat penting ini tidak menjadi salah satu juzuk penting pun dalam sukatan tarbiyyah mereka. Orang-ornag mereka pula berpadangan bahawa apa-apa yang tidak ditekankan dalam tarbiyyah mereka pastinya tidak penting atau kurang penting. Maka tidka pelrulah diambil berat. Malangnya.


BILAKAH RINDU BERAKHIR?


Perasaan rindu hanya akan hilang apabila yang kita rindui itu ada di depan mata, atau sudah perolehi. Selagi belum ketemu, selagi belum dapat, selagi itulah perasaan rindu itu ada. (Rindu akan tamat setelah Yang Dirindu tajalli kepada kita).


Begitulah halnya dengan rindu akan Allah. Rindu kepadaNya ini akan berterusan dan hanya akan tamat apabila kita bertemu dengan Allah di akhirat nanti. Maksudnya apabila kita diberi peluang di Jannah nanti untuk melihat Allah, berhadap-hadapan, berpandang-pandangan, apabila zat Allah tajalli kepada kita. Itulah kenikmatan teragung yang kenikmatan syurga/jannah pun tak terbanding.


“(Ada) wajah-wajah pada hari (akhirat) itu yang berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat/memandang/menatap.” (Al-Qiyamah : 22-23)


Kerinduan hanya akan tamat di sana. Oleh itu, sepanjang tempoh itu, kita tetaplah seorang yang sedang dalam perjalanan.


“Dan sesungguhnya negeri (kehidupan) akhirat itulah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahuinya.” (Al-Ankabut : 64)


Wallahua’alam.




Abu Zulfiqar

3 Mei 2016

3 comments:

Sunni said...

Tanda cinta ;
disukai apa yg disukaiNya,
tidak disukai apa yg tidak disukaiNya,
dikasihi apa yg dikasihiNya,
dibenci apa yg dibenciNya,
dimuliakan apa yg dimuliakanNya,
dijauhi yg menyinggung dan dimurkaiNya,
sering diingat ingat dan disebut sebut Nama dan KebesaranNya,
sering dibaca dan ditadabbur WarkahNya bahkan diulang ulang Kalimah KalimahNya,
sepenuh perhatian bila mengadapNya,
bersungguh sungguh memenuhi kehendak kehendakNya,
tersentuh bergetar rasa di hati bila disebut Nama Kebesaran dan KemuliaanNya,
jauh sekali dr menduakanNya.

Secinta cinta manusia terhadap Allah swt adalah Junjungan kita Rasullullah saw.
Maka secinta cintanya kita terhadap Allah swt adalah yg paling dekat dan paling rapat mengikuti dan mencontohi Rasullullah saw, amalannya dan akhlaknya.

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika kamu kasihkan Allah (swt) maka ikutilah aku, niscaya Allah (swt) mengasihi kamu dan mengampunkan dosa dosa kamu, dan Allah (swt) Maha Pengampun lagi Maha Pengasih." 3:31.

Unknown said...

Alhamdulillah.. Subhanallah.
Ringkas, kemas dan menepati sasaran. Alhamdulillah.. teruskan Ustaz ����

cheromory said...

Rindu dan cinta sesuatu yg berbeza dan kedua2 nya sgt kompleks utk dirungkaikan... namun rindu tanpa cinta adalah sesuatu yang jauh lebih kompleks..selamat menjalani proses cinta dan rindu padaNYA..