SITUASI
Kita diserang hendap oleh satu angkatan tentera. Anak panah datang bagaikan hujan. Ramai yang cedera dan ada juga yang mati.
Kita sememangnya mampu membalas balik serangan itu, tetapi apakah tindakan utama yang sepatutnya kita ambil buat SEMENTARA WAKTU sebelum kita dapat menyusun gerakan tentera kita selanjutnya?
TINDAKAN
Kumpulan A - Sebahagian daripada tentera kita terus meluru dan menyerbu ke arah pihak musuh.
Kumpulan B - Sebahagian lagi sibuk mencari ubat, tonik, herba, tabib, penawar dan sebagainya untuk mengubati luka-luka di badan.
Kumpulan C - Sebahagian lagi berusaha mencari perisai, membina atau membuat perisai perlindungan dengan bahan-bahan yang ada.
Kumpulan D - Sebahagian lagi terus berundur lari untuk menyelamatkan diri.
AKIBAT
Kumpulan A berkemungkinan besar akan mati keseluruhannya. Hal ini kerana pihak musuh sudah menyusun serangan mereka dengan baik. Kita tidak tahu sepenuhnya kedudukan-kedudukan tentera musuh. Ada yang nampak, mungkin juga ada yang bersembunyi. Meluru menyerbu pihak musuh dalam hujan anak panah sedangkan kita dalam keadaan tidak bersedia, hanya menempah maut. Banyak lagi yang sedang menunggu kita selain hujan anak panah seperti pasukan berkuda, pasukan berjalan kaki, lontaran lembing dan batu, jerangkap samar, mata pedang dan sebagainya. Sebelum dapat mencapai pasukan musuh lagi, tidak mustahil tentera kita sudah habis jatuh kesemuanya.
Apalah gunanya menyerbu musuh dalam keadaan langsung tidak bersedia, tidak berperisai, tidak tersusun, tidak terpimpin, tidak terorganisasi...
Kumpulan B juga berkemungkinan besar akan mati keseluruhannya. Hal ini kerana mereka tidak ada sebarang penahan atau penepis daripada hujan anak panah yang sedang melanda. Sebaliknya mereka sibuk mencari doktor terbaik dan ubat terbaik untuk merawat kecederaan dan menguatkan tubuh. Dalam sibuk-sibuk itulah, sedar-sedar semua sudah mati kepanahan. Kalau bukan mati kepanahan pun, dalam keadaan pasukan kita tidak tersusun dan tidak berperisai seperti itu, mudah-mudah sahaja pasukan berkuda musuh menyerbu dan mencantas semua yang ada.
Apalah gunanya merawat luka,penyakit dan emosi dalam keadaan tidak berperisai, tidak berpelindung, terdedah sepenuhnya kepada serangan musuh...
Kumpulan C, inilah kumpulan yang masih berpeluang selamat walaupun mungkin peluang mereka 50-50. Hal ini kerana apabila mereka berusaha mendapatkan perisai atau benda-benda yang boleh dibuat perisai, mereka akan terselamat daripada hujan anak panah yang berterusan. Apabila semua orang sudah berada di belakang perisai, serangan anak panah boleh dikatakan sudah tidak efektif lagi. Sasaran-sasaran terbuka untuk anak-anak panah sudah tertutup. Maka serangan menggunakan panah akan jadi sia-sia lalu dihentikan oleh pihak musuh. Musuh akan memikirkan serangan seterusnya. Mungkin musuh akan buntu buat seketika kerana musuh tidak tahu apa strategi kita seterusnya, mungkin musuh menghantar pasukan berkuda, mungkin musuh menghantar pasukan pejalan kaki, mungkin juga musuh berhentikan serangan terus, mungkin juga musuh buka ruang rundingan, atau sebagainya. Namun semua itu tetap memakan masa walaupun sebentar.
Inilah pentingnya membina perisai, ketahanan, pelindung, benteng...
Di sinilah akan ada ruang untuk tentera kita menurunkan kekencangan degup jantung dan mengatur nafas yang berhambat-hambatan. Ketika ini jugalah wujudnya ruang untuk tentera kita mengatur kembali barisan, menyusun kedudukan, memperkuatkan benteng berperisai, mengatur strategi, merawat luka-luka yang dialami, menyelamatkan dokumen2 strategi perang, dan sebagainya. Maksudnya, harapan masih ada.
Kumpulan D pula, yang berundur lari dalam keadaan tidak terancang, dengan mudah juga akan jadi mangsa kepada tentera musuh. Musuh mungkin menghantar pasukan berkuda untuk mengejar dan mungkin juga sudah memasang pasukan penghendap yang akan membereskan sesiapa yang keluar dari medan. Ringkas cakap, mungkin semua yang lari itu akan mati.
Apalah gunanya berundur dalam keadaan tidak terancang, terbuka kepada serangan musuh....
CADANGAN
Tindakan yang bijak tentunya berusaha sedapat mungkin dalam keadaan yang sangat gawat itu mencari, mendapatkan, mencapai, memakai, membina, membuat atau menghasilkan perisai sepantas mungkin, dengan apa sahaja bahan atau benda yang ada di sekitar kita, walau sesukar mana pun untuk merealisasikannya.
Apabila sudah berperisai, berpelindung, berpenepis, dan hujan serangan anak panah sudah mereda, maka barulah sesuai untuk untuk kita mengambil tindakan seterusnya sama ada mahu mengubat dan merawat kecederaan atau kesakitan, mahu menyerbu musuh dengan perancangan, mahu terus bertahan sahaja dengan harapan, ataupun mahu berundur dari medan dengan gerakan yang penuh strategi lagi tersusun.
Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
29 April 2016
No comments:
Post a Comment