PERSOALAN :
Assalamualaikum ustaz.. saya ada kemusykilan agama..
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (QS. Ath Tholaq: 2-3).
Dalam ayat ini diterangkan bahwa Allah akan menghilangkan bahaya dan memberikan jalan keluar bagi orang yang benar-benar bertakwa pada-Nya. Allah akan mendatangkan padanya berbagai manfaat berupa dimudahkannya rizki.
Tetapi.. terdapat dalil yang seterusnya pula.. seperti ini: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).
Dan hadist.. "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintaimu." Maka Rasulullah saw menjawab, "Bersedialah untuk miskin." Orang lelaki berkata, "Aku mencintai Allah Taala." Rasulullah saw bersabda, "Bersedialah untuk menghadapi bala(cobaan)."(HR Tirmidzi dari Abdullah bin Maghfal)
Jadi... jika kita tafsir secara pandangan kasar.. seumpama berbeza maksud kedua dalil ini.. adakah jalan taqwa itu membahagiakan.. atau penuh onak duri?.. tapi saya percaya pasti ada maksud yang sebenarnya.
JAWAPAN :
Wlksm. Dalam Surah At-Tholaq itu Allah beritahu yang Dia akan MEMBERI JALAN KELUAR daripada sesuatu yang tidak kita ingini, bukannya Allah beritahu yang Dia TAK AKAN KENAKAN KE ATAS KITA sesuatu yang tidak kita ingini (termasuklah ujian dari-Nya). Maksudnya, kadang kala sesuatu yang tidak kita ingini itu (termasuklah ujian dari-Nya) akan berlaku juga tetapi ALLAH AKAN MENYEDIAKAN JALAN KELUAR daripada sesuatu yang tidak kita ingini itu. Pada diri Rasulullah saw sendiri banyak berlaku sesuatu yang tidak diingininya.
Begitu juga dengan ayat seterusnya iaitu Allah akan memberi rezeki melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Hal ini bukan bermaksud Allah tidak akan memberi kekurangan langsung kepada orang-orang bertaqwa. Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan para sahahatnya pun ada juga mengalami kekurangan.
Tentang ayat Surah Al-Ankabut itu, tidaklah bertentangan dengan ayat Surah At-Tholaq. Memang benarlah Allah menguji kita, tetapi Dia juga menyediakan jalan keluar daripada kegagalan dalam ujian itu. Antara jalan keluar yang disediakannya termasuklah rezeki melalui jalan yang tidak disangka-sangka oleh kita. Syaratnya, kita mesti bertaqwa dalam menghadapi ujian-Nya itu.
Tentang hadis Rasulullah saw itu, baginda hendak mengelakkan salah faham sebahagian orang yang menyangkakan apabila kita mengamalkan ajaran Islam, SUDAH TENTU kita tidak akan miskin (mustahil untuk miskin) dan SUDAH TENTU kita tidak akan diuji oleh Allah lagi (terbebas daripada cubaan Tuhan). Fahaman sebegini jelas salah. Nabi Isa sendiri miskin tidak berharta dan Nabi Musa sendiri diuji dengan ujian-ujian yang berat walaupun mereka jauh lebih bertaqwa berbanding kita.
Jadi, dengan berpegang kepada agama Islam, peluang untuk kaya pun ada, risiko untuk miskin pun masih ada. Jangan beranggapan kalau kita Muslim, maka MUSTAHIL untuk jadi miskin. Jangan juga beranggapan kalau kita Muslim, maka MUSTAHIL akan terkena cubaan daripada Allah. Orang-orang Islam Palestin ramai yang bertaqwa tetapi tetap ada yang miskin dan masih terus dicuba oleh Allah sampailah sekarang.
Kesimpulannya, jalan taqwa itu adalah sebagaimana jalannya Rasulullah saw, iaitu tetap ada dugaan tetapi ada jalan keluar dan rezeki tidak disangka-sangka. Wallahualam.
Abu Zulfiqar
31 Mei 2016
No comments:
Post a Comment