Apakah kelebihan2 berpuasa?
“Setiap kebaikan pahalanya 10 kali sehingga 700 kali melainkan puasa. Maka puasa itu adalah bagiKu dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)
“Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (sabar, termasuklah orang2 yang bersabar ketika menjalani ibadah puasa) itu akan dibayar pahalanya dengan tiada terbatas.” (Az-Zumar : 10)
“Allah Taala berfirman : “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu meninggalkan hawa nafsu, makanan dan minuman kerana Aku. Maka puasa itu untukKu dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)
“Syurga itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan, yang tidak masuk melalui pintu itu selain orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menemui Allah Taala pada balasan puasanya.” (Bukhari, Muslim)
“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan (kegembiraan) : (iaitu) kesenangan ketika berbuka dan kesenangan ketika bertemu Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)
“Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar.” (Bukhari, Muslim)
Bagaimanakah tingkatan2 dalam berpuasa?
Puasa terdiri daripada 3 tahap :
1. Puasa umum.
2. Puasa khusus.
3. Puasa yang lebih khusus.
Tahap puasa umum (puasa orang2 awam, muslim)
Mencegah perut dan kemaluan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Tahap puasa khusus (puasa para solehin, mukmin)
Ditambah dengan mencegah pendengaran (telinga), penglihatan (mata), percakapan (lidah), tangan, kaki dan seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara dosa.
Tahap puasa lebih khusus (muhsin)
Ditambah dengan mencegah hati daripada segala cita-cita/ keinginan/ kehendak yang hina. Juga mencegah segala fikiran keduniaan. Yang lebih tinggi ialah mencegah hati daripada selain Allah Taala.
Inilah tingkat puasa para nabi, orang-orang siddiq dan orang-orang muqarrabin.
“Banyaklah orang yang berpuasa yang tidak ada baginya puasa itu selaian lapar dan dahaga.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah)
Tentang Malam Al-Qadar
Imam Al-Ghazali berkata : “Malam Al-Qadar ialah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut.”
Kata Imam al-Ghazali : “Sesiapa yang menjadikan antara hatinya dan dadanya tempat tampungan makanan, maka dia terhijab daripadanya. Dan sesiapa yang mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum cita-citanya kosong daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu ialah menyedikitkan makanan.”
Seputar Puasa
Kata Imam Al-Ghazali : “Niat. Dan tidak boleh tidak (berniat puasa Ramadhan) pada setiap malam, berniat pada waktu malam yang tentu lagi yakin. Jika diniatkan berpuasa bulan Ramadhan sekali niat nescaya tidak mencukupi.”
Kata Imam Al-Ghazali : “ Janganlah membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, hinggakan rongganya penuh melimpah.Maka tidak adalah karung yang lebih dmarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan yang halal. Bagaimanakah hendak mendapat faedah daripada puasa, memaksakan musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila didapat oleh yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang2 bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu di dalam bulan Ramadhan apa yang tidak dimakan pada bulan2 lain.”
“Tujuan berpuasa ialah mengosongkan perut dan menghancurkan hawa nafsu untuk menguatkan jiwa kepada bertaqwa.”
“Apabila perut ditolak dengan makanan dari pagi hari sampai sorenya, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya, kemudian disuguhkan dengan makanan yang lazat2 dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipat-gandalah kekuatannya serta membangkitlah dari nafsu syahwat itu apa yang diharapkan tadinya tenang, jikalau dibiarkan di atas kebiasaannya.”
“Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan iaitu memakan makanan yang dimakan setiap malam jikalau tidak berpuasa.”
“Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”
“Bahkan sebahagian daripada adab berpuasa ialah tidak membanyakkan tidur pada siang hari, sehingga dirasainya lapar dan haus, dan dirasainya lemahnya kekuatan. Maka jernihlah ketika itu hatinya serta berkekalanlah pada tiap2 malam sekadar kelemahan, sehingga ringanlahmengerjakan solat tahajjud dan wirid2nya. Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”
* Petikan daripada KItab Rahsia Puasa dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali
Abu Zulfiqar
30 Mei 2016
No comments:
Post a Comment