Thursday, May 12, 2016

Majoriti Ulama Bersepakat dalam Kesalahan dan Kesesatan?

PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz. Ada sedikit persoalan.

Bolehkah ayat Al-Quran di bawah ini dijadikan hujah untuk membuktikan yang MAJORITI ULAMA boleh bersepakat dalam sesuatu yang salah?

“Jika engkau (Muhammad) taat kepada majoriti yang berada di dunia maka mereka akan sesatkan engkau dari jalan Allah” [Al-An'am: 116]

Maksudnya, kita boleh tidak taat kepada majoriti ulama di dunia ini kerana mereka akan sesatkan kita dari jalan Allah. Benarkah?

Dan adakah ayat ini membuktikan yang MAJORITI ULAMA boleh tersalah, yakni bersepakat dalam sesuatu yang salah?


PENJELASAN :

Wlksm. Majoriti yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah majoriti umat Islam, apatah lagi jika mahu dikaitkan dengan MAJORITI ULAMA ISLAM.

Yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah MAJORITI MANUSIA termasuklah penganut agama musyrik Arab, penganut agama Majusi, penganut agama Kristian, penganut agama Sabi’in,penganut agama-agama orang asli Arab, Hindu, Norse, Yunani, Mesir Kuno, orang-ornag tidak beragama dan sebagainya di seluruh muka ini.

Memanglah kalau kita mengikut majoriti manusia yang disebutkan di atas (iaitu peratusannya jauh lebih tinggi daripada peratusan umat Islam), kita akan disesatkan. Jadi, ayat ini bukan hujah untuk membuktikan yang MAJORITI ULAMA ada bersepakat dalam kesalahan.

Kita lihat pula satu ayat lain sebagai perbandingan :
“Alif laam miim raa. Inilah ayat-ayat Kitab. Dan yang diturunkan kepada kamu daripada Rabb kamu itu adalah benar, tetapi MAJORITI manusia tidak beriman.” (Ar-Ra’d : 1)

Ayat ini menunjukkan MAJORITI YANG TIDAK BERIMAN DENGAN AL-QURAN itu ialah majoriti manusia, bukannya majoriti orang Islam atau majoriti ulama Islam. Jauh sekali untuk dikatakan sebagai majoriti umat Islam zaman ayat ini diucapkan Rasulullah saw, iaitu para sahabat.

Siapa yang majoriti dalam ayat ini? Ayat ke-5 menceritakan :
“Dan jika engkau berasa hairan, maka sungguh menghairankan perkataan MEREKA YANG KAFIR ITU........”.

Jadi yang MAJORITI dalam ayat itu ialah orang-orang kafir, bukannya MAJORITI ULAMA ISLAM.

Nabi saw mengingatkan kita :
“Sesungguhnya umat aku tidak akan bersepakat dalam kesalahan.” (Ibnu Majah, Tabrani, Abu Nu’aim)

Yang tidak akan bersepakat dalam kesalahan itu ORANG-ORANG JAHIL agamakah? Tentunya bukan! Kerana orang-orang jahil biasa sahaja kita temui bersepakat dalam kesalahan-kesalahan.

Jadi, siapa yang mustahil untuk bersepakat dalam kesalahan itu? Tidak lain ialah orang-orang yang berlawanan dengan orang-orang jahil tadi.

Siapakah yang tidak jahil itu? Tentunya para ulama, para solehin.

Begitu juga dengan kata Ibnu Mas’ud :
“Apa-apa yang dipandang baik oleh orang Islam, maka ia baik jua di sisi Allah. Dan apa-apa yang dipandang buruk oleh orang Islam, ia adalah buruk di sisi Allah.” (Ahmad)

ORANG ISLAM yang dimaksudkan dalam atsar ini bukanlah orang-orang Islam yang jahil, yang ahli maksiat, yang munafik dan sebagainya, tetapi orang-orang berilmu (ulama), para solehin.

Oleh itu, MAJORITI yang dimaksudkan dalam ayat ke-116 surah Al-An’am itu ialah MAJORITI ULAMA. MAJORITI ULAMALAH yang dijanjikan oleh Rasulullah tidak akan bersepakat dalam kesalahan. Paling-paling lekeh pun, pandangan dan pegangan mereka adalah tidak tepat, bukannya tidak benar atau salah.

Kesimpulannya, ayat Al-Quran itu yang cuba dijadikan hujah untuk :
A) boleh tidak mahu menurut MAJORITI ULAMA,
B) untuk mengatakan MAJORITI ULAMA akan sesatkan kita, ATAU
C) untuk membuktikan yang MAJORITI ULAMA boleh bersepakat atau bersetuju beramai-ramai dalam kesalahan dan kesesatan,

adalah tidak benar sama sekali.

Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar

12 Mei 2016


No comments: