Kulihat ada
orang yang dikurniakan kepopularan dalam masyarakat, tapi dia diuji dengan
menderita pelbagai penyakit. Dan kulihat ada orang yang ujiannya ialah
masyarakat buat tak tahu, tapi dia dikurniakan tubuh badan yang sihat.
Kulihat ada
orang dikurniakan kekacakan dan kejelitaan, tapi diuji tak bertemu jodoh. Dan
kulihat ada orang yang diuji dengan rupa tak kacak tak cantik, tapi dikurniakan
pasangan dan anak-pinak.
Kulihat ada
orang yang dikurniakan keputusan akademik yang bagus, tapi diuji dengan
kesempitan hidup. Dan kulihat ada orang yang diuji dengan keputusan akademik
yang corot, tetapi dikurniakan kepandaian mencari wang.
Kulihat ada
orang yang kurniakan kemewahan hidup, tapi diuji dengan kejahilan dalam hal
ehwal agama. Dan kulihat ada orang yang diuji dengan kesempitan hidup, tetapi
dikurniakan pengetahuan dan pemahaman dalam agama.
Kulihat ada
orang yang dikurniakan ilmu agama, tetapi diuji dengan kemalasan beribadah dan
keengganan menggerakkan agama. Dan kulihat ada orang yang dikurniakan kerajinan
dan keistiqamahan, tetapi diuji dengan kekurangan ilmunya pula.
Kulihat
orang yang dikurniakan pangkat dan harta, tetapi diuji dengan ketidakcukupan
demi ketidakcukupan. Dan kulihat orang yang diuji dengan kerendahan pangkat dan
kekurangan harta, tetapi dikurniakan kecukupan dalam hal ehwalnya.
Kulihat
orang yang dikurniakan ramai anak pinak, saudara mara dan handai taulan, tetapi
diuji dengan kesepian. Dan kulihat orang yang diuji dengan kurangnya anak
pinak, saudara mara dan handai taulan, tetapi hidupnya sentiasa ramai dan
ceria.
Begitulah
seterusnya, tak habis-habis jika mahu direnungkan.
Sesungguhnya Allah Maha Adil.
Abu Zulfiqar
13 Jun 2015
10:53 pm
13 Jun 2015
10:53 pm
*Pengalamanku
dalam misi-misi dakwah sepanjang musim cuti sekolah ini.
No comments:
Post a Comment