PENDAHULUAN
Puji-pujian
bagi Allah yang melimpahkan nur (cahaya) yang memberikan penglihatan, dan dari
rahsia yang tertinggi menyingkap hijab (tabir) malam.
Selawat
dan salam kepada Muhammad saw : cahaya segala cahaya, penghulu orang-orang
soleh, kekasih Allah, guru kepada mereka yang diberi keampunan, kepadanya (Nabi
Muhammad saw) diberi kesejahteraan, tangan yang melawan dan memukul orang-orang
yang berdosa dan orang-orang kafir.
Saudaraku,
Semoga
Allah mengurniakan kepadamu kebahagian tertinggi yang ingin dicari oleh
manusia, menjadikan engkau orang yang dipilih-Nya untuk naik ke tingkatan yang
paling tinggi, dan memenuhi pandanganmu dengan cahaya hakikat, dan membuang
dari batimu apa yang bukan hakiki.
Engkau
meminta aku menyampaikan rahsia-rahsia cahaya keTuhanan beserta qias-qias atau
perumpamaan yang ada di sebalik maksud-maksud zahir ayat-ayat Al-Quran dan
hadith tertentu terutamanya :
“Allah
cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah misykat
(lubang di dinding tempat meletakkan lampu, lubang yang tidak tembus ke sebelah
sana), (yang) di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah bekas kaca. Kaca
itu laksana bintang yang bergemerlapan/berkilauan. (Lampu itu) dinyalakan
daripada (minyak) sebatang pohon kayu yang diberkati iaitu pohon zaitun, tidak
timur, tidak barat. Hampir sahaja minyak itu bernyala-nyala walaupun (minyak
itu) belum disentuh oleh api. Cahaya atas cahaya.” (Surah An-Nur : 35)
“Atau
(bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu) ibarat kegelapan yang
berlapis-lapis, di laut yang sangat dalam, yang dilapisi oleh ombak’gelombang
demi ombak/gelombang, di atasnya awan gelap. Kegelapan atas kegelapan.
Sehinggakan (jika ada seseorang) menghulurkan tangannya, tidaklah kelihatan
tangan itu. Sesungguhnya sesiapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah, maka
tidaklah ada cahaya baginya.” (Surah An-Nur : 40)
Apakah
yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau qias antara cahaya dan
misykat, kaca, lampu, minyak dan pokok itu?
Dan
perhatikan hadith ini :
“Allah
mempunyai 70,000 hijab (tabir) cahaya dan gelap. Sekiranya Dia membuka hijab
itu, maka keagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya
dengan pandangan.”
Demikianlah
permintaanmu. Tetapi, dengan permintan itu anda telah bercita-cita untuk memanjat
ke tempat yang tinggi lagi sukar didaki. Tinggi sekali hinggakan tidak tercapai
oleh manusia biasa. Engkau sudah mengetuk pintu yang terkunci, yang hanya akan
dibuka kepada mereka yang mengetahui dan mengenal dnegan sebenar-benarnya dan
tetap keyakinannya. Tambahan pula, bukanlah semua (setiap) rahsia itu akan dibentang dan dipamerkan kerana : “Hati-hati
yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat.”
Atau sebagaimana
kata orang arif : “Membuka rahsia
keTuhanan itu seperti menafikan Tuhan.”
Atau
sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw :
“Ada
satu ilmu yang seperti keadaan benda tersembunyi, tiada siapa yang tahu kecuali
mereka yang tahu dan kenal akan Allah.”
Jika
rahsia itu dikeluarkan, hanya orang-orang jahil sahaja yang akan menafikannya.
Walau seramai mana pun orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah
dipelihara dan jangan dibiarkan dicemari/dinodai oleh orang-orang yang
berdusta.
Namun
aku yakin hatimu telah dibuka oleh cahaya itu dan kesedaranmu telah bersih
daripada kegelapan kejahilan. Oleh itu aku tidak teragak-agak untuk membawamu
menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu
daripada orang-orang yang berkehendakkannya adalah sama dengan kesalahan memberikan
ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya.
Seperti
kata penyair : “Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh, akan hilanglah ilmu
itu. Orang yang menahan ilmu daripada orang yang memerlukannya, adalah
melakukan dosa.”
Engkau
hendaklah berpuas hati dengan penerangan yang ringkas tentang hal ini. Jika
hendak diceritakan sepenuhnya, terpaksalah dihuraikan pula pokok-pokok
(asas-asas) dan cabang-cabangnya. Buat masa ini aku tidak mempunyai cukup masa,
fikiran dan keupayaan untuk itu.
Kunci
kepada semua hati adalah di tangan Allah. Dia membuka hati itu apabila
dikehendakiNya menurut kehendakNya dan dengan apa sahaja yang dikehendakiNya.
Buat
masa ini, cukuplah dibukakan kepadamu 3 bahagian :
1.
Cahaya dan Berbagai-bagai Cahaya : Kajian Awal
2.
Pengetahuan Tentang Perumpamaan Misykat, Lampu,
Kaca, Pokok, Minyak dan Api.
3.
Pemakaian Ayat An-Nur dan Hadith Tentang Hijab
1 comment:
Salam,
Dimana saya boleh dapatkan kitab terjemahan Misykatul anwar versi bahasa malaysia?
Post a Comment