Friday, March 7, 2014

Terjemahan Misykatul Anwar 4 - Al-Quran sebagai Matahari Akal

 1.2     Al-Quran sebagai Matahari kepada Akal

Seterusnya diperhatikan bahawa sungguhpun akal (mata hati) manusia itu sebenarnya melihat/memandang, tetapi benda-benda yang dilihatnya bukanlah semuanya terletak dalam bidang yang sama.

Dalam beberapa hal, pengetahuan sedia ada terkandung dalam akal itu seperti halnya dengan kebenaran yang memang pasti (*dalam akal kita itu sudah tersedia hukum-hukum akal semulajadi). Umpamanya :
-          sesuatu perkara itu tidak boleh bersama-sama dengan asalnya dan di samping itu juga tanpa asalnya (*mustahil boleh berada dalam dua keadaan yang berlawanan pada masa yang sama/serentak)
-          atau sesuatu perkara itu wujud di samping tidak wujud
-          atau sesuatu perkara itu benar dan tidak benar
-          atau pertimbangan yang benar bagi sesuatu perkara adalah benar juga bagi suatu perkara yang serupa
-          atau wujud yang khusus mestilah diikuti juga oleh wujud yang umum.

Contohnya : “Hitam” membawa pengertian wujudnya warna. Begitu juga dengan “manusia” dan “haiwan” (“manusia “ membawa pengertian wujudnya “haiwan”).
Tetapi perkaitan tersebut bukanlah pasti benarnya kepada akal kerana “warna” tidak melibatkan “hitam” dan begitu juga “haiwan” tidak melibatkan “manusia”, dan banyaklah keadaan atau masalah lain.

(Hukum akal itu) ada yang wajib, ada yang mungkin, dan ada yang mustahil.

Ada juga keadaan yang tidak bersetujuan dengan akal apabila keadaan atau masalah itu kembali semula kepada akal, (maka) keadaan itu terpaksa menggoncang akal, menggerakkan akal.

“Pukulkan logam pada besi supaya keluar api.”

Misalan masalah seperti ini ialah masalah pertimbangan dan untuk mengetahui teori itu, akal terpaksa dibangkitkan dengan kalam/logik falsafah. Apabila cahaya falsafah sudah bersinar, maka manusia pun melihat apa yang sebenarnya. Padahal sebelum itu penglihatannya terpendam.

(Dan) falsafah paling agung (tidak lain) ialah Kalam Allah umumnya dan Al-Quran khususnya.

Oleh itu ayat-ayat Al-Quran itu kepada akal adalah seumpama cahaya matahari kepada mata (zahir). Dengan adanya cahaya matahari , perlakuan “melihat” dapat dilaksanakan. Oleh itu Al-Quran itulah yang paling wajar dinamakan nur/cahaya sebagaimana cahaya matahari itu digelar nur/cahaya juga.

Kesimpulannya, Al-Quran itu ibarat matahari kepada akal dan akal itu ibarat cahaya kepada mata. Di sini fahamlah kita maksud ayat Al-Quran :
“Percayalah kepada Allah dan RasulNya dan cahaya/nur yang Kami turunkan.”

Dan ayat :
“Telah datang bukti yang nyata daripada Tuhanmu dan Kami turunkan cahaya/nur yang terang.”


No comments: