Oleh
itu, akal adalah lebih baik kita sebut sebagai “nur/cahaya”, dan tidak disebut
“mata” kerana akal itu tidak mempunyai 7 macam kecacatan/kekutangan/kelemahan
yang disebutkan tadi.
Kita
bincangkan sekarang.
a)
Kekurangan dan kecacatan pertama
Mata (di kepala kita) itu tidak dapat melihat
dirinya sendiri tetapi akal (mata di hati kita) dapat melihat dirinya dan juga
yang lain. Ia melihat dirinya dan tahu yang ia diberi ilmu, kuasa dan
sebagainya, dan melihat ilmunya sendiri, dan melihat ilmu bagi ilmunya, dan
seterusnya. Inilah mata batin yang
dinamakan “akal” itu. Mata zahir tidak mempunyai sifat-sifat seperti itu.
b)
Kekurangan dan kecacatan kedua
Mata kasar ini tidak dapat melihat apa-apa yang
sangat dekat dan yang sangat jauh, tetapi bagi akal (mata hati) tidak ada
bezanya Antara dekat dan jauh. Dalam sekelip mata akal dapat naik ke langit
yang paling tinggi, dan sekelip mata juga ia turun ke perut bumi.
Jadi, jelaslah kepada kita bahawa akal itu
tidak tertakluk (tidak terpengaruh) kepada tanggapan “jauh” dan “dekat”, yang
mana kedua-dua tanggapan itu terpakai dalam alam kebendaan sahaja sedangkan
akal termasuk dalam bidang yang suci lagi tinggi.
Hal ini menunjukkan akal itu ialah satu pulau
atau ceruk atau contoh sifat-sifat keTuhanan. Contoh ini pastilah bersesuaian
atau sepadan dengan asalnya meskipun ia tidak sampai ke tingkatpersamaan atau
setaraf. Dan hal ini mungkin menyedarkan engkau tentang maksud sebenar hadith
Nabi saw :
“Allah menciptakan Adam menurut bayanganNya
sendiri.”
Namun buat ketika ini tidaklah sesuai lagi
untuk kita bicarakan secara lebih mendalam tentang hal ini.
c)
Kekurangan dan kecacatan yang ketiga
Mata kasar (di kepala kita) ini tidak dapat
melihat apa-apa yang di sebalik dinding, tetapi akal (mata hati) terbang bebas
sampai ke langit yang tinggi dan ke alamnya sendiri dan alam ghaib. Hakikat
sesuatu tidak terhijab/terdinding kepada akal. Yang menjadi hijab padanya ialah
yang dianggap sebagai kepentingan sendiri, iaitu ibarat hijab yang dianggap
oleh mata kerana kehendak sendiri (iaitu) apabila mata ditutup. Perkara ini
akan kita bincangkan lagi pada bahagian ketiga tulisan/karangan/kitab ini.
d)
Kekurangan dan kecacatan yang keempat
Mata (di kepala) melihat bahagian luar sesuatu
benda sahaja tetapi tidak melihat bahagian dalam benda itu. Hal ini bererti
mata kasar ini hanya nampak bentuk-bentuk benda itu sahaja, bukan hakikat benda
itu. Tetapi akal menembusi batin benda itu dan terus kepada rahsianya.
Ia (mata batin) mengetahui hakikat sesuatu dan
juga jiwanya. Ia dapat mengenal dan menimbulkan sebab-sebab dan hukum-hukum
daripada apa saja benda itu, sebagaimana terjadi beberapa banyak bentuk ideal
yang ada padanya, apa peringkat kejadiannya, apa perhubungannya dengan keajdian
yang lain, dan banyak lagi.
Di sini eloklah kita ringkaskan sahaja.
e)
Kekurangan dan kecacatan yang kelima
Mata (di kepala) hanya melihat sebahagian
sahaja daripada keseluruhan yang ada kerana semua konsep atau tanggapan dan
banyaknya perkara yang dapat diketahui oleh pancaindera adalah di luar garisan
pandangannya. Ia (mata zahir) tidak melihat bunyi, bau dan rasa, dan tidak
mempunyai kebolehan mendengar, membau dan merasa. Bahkan semua sifat kebatinan
itu tidak terlihat olehnya.
Mata (zahir) tidak nampak keadaan suka, duka,
sedih, sakit, seronok, cinta, kemahuan, kuasa, kehendak, ilmu dan lain-lain.
Oleh itu bidang mata kasar itu sangat sempit dan tindakannya terbatas, tidak
dapat melebihi lingkungan bidang warna dan bentuk. Warna dan bentuk adalah
kejadian yang paling kasar kerana benda-benda yang zahir atau tabiat ini adalah
makhluk atau kejadian yang kasar.
Namun bidang akal ialah seluruh alam wujud
kerana ia mengetahui segala kejadian yang kita sebutkan tadi dan bebas meliputi
segala yang lain juga, dan dapat pula akal itu membuat keputusan yang tepat dan
benar. Itulah rahsia batin benda-benda yang zahir dan itulah bentuk-bentuk
tersembunyi bagi benda-benda zahir.
Katakan kepada aku apa pula haknya mata kasar
itu untuk diberi taraf sama dengan akal dalam pemberian nama “nur” (cahaya)
itu? Sesungguhnya tidak! Mata (zahir) itu sebenarnya gelap. Penglihatan adalah
semata-mata salah satu daripada alat pengintip bagi akal. Akal memberi mata
satu tugas untuk melihat perkara yang kasar iaitu warna dan bentuk. Akal
menyuruh mata membawa laporan tentang warna dan bentuk tadi kepada tuannya yang
akan menghakimkan menurut arahan penelitian dan pertimbangan akal itu.
Begitulah juga dengan kebolehgan-kebolehan lain.
Tetapi alat pengintip akal – khayalan, fantasi,
pemikiran, ingatan dan di belakang mereka ialah hamba-hamba abdi yang
menajalnkan tugas mereka dalam dunia mereka sekarang ini. Semua itu ada yang
ditahan dan ada yang diberi kebebasan sebagaimana bebasnya seorang raja
menguasai hamba abdinya, bahkan lebih bebas daripada itu lagi. Untuk
menghuraikan perkara ini, akan mengambil masa yang panjang. Dan perkara ini
telahpun dihuraikan dalam kitab saya yang berjudul “Ihya’ ‘Ulumuddin” dalam
tajuk “Keajaiban Fikiran”.
f)
Kekurangan dan kecacatan keenam
Mata (zahir) tidak boleh melihat apa yang tidak
terhad. Yang boleh dilihatnya ialah sifat-sifat benda yang diketahui, dan semua
itu adalah terhad dan terbatas. Tetapi akal (mata hati) mengetahui
tanggapan-tangggapan dan konsep yang bukanlah sesuatu yang terhad. Memang benar
tentang ilmu yang telah dicapai, isinya yang dikemukakan kepada akal itu adalah
terhad. Ia ada keupayaan mengetahui yang tidak terhad.
Hal ini jika mahu diterangkan sepenuhnya memang
panjang. Tetapi jika engkau mahukan contoh, maka inilah satu contoh daripada
ilmu hisab (matematik).
Dengan ilmu ini akal (mata hati) memahami
siri-siri angka bulat dan siri-siri ini tidak terhad. Akal juga tahu angka-angka
sebelum dua, tiga dan sebagainya, dan yang ini pun tidak ada hadnya. Akal juga
tahu semua perkaitan yang berbeza-beza antara nombor-nombor itu, dan yang ini
juga tidak terhad. Akhirnya akal tahu pengetahuannya sendiri tentang sesuatu
perkara. Tahunya tentang pengetahuan itu juga tidak terbatas.
g)
Kekurangan dan kecacatan yang ketujuh
Mata (kasar) nampak benda yang besar itu
kelihatan kecil. Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar duit
syiling yang bertaburan di atas permaidani biru. Tetapi akal mengetahui bahawa
matahari dan bintang itu besar, bahkan lebih besar daripada bumi.
Bagi mata (zahir), bintang-bintang itu
kelihatan tidak bergerak, dan kanak-kanak kelihatan tidak semakin tinggi
tubuhnya. Tetapi bagi akal, ia tahu bahawa kanak-kanak itu semakin tinggi
keadaannya bersesuaian dengan peningkatan umurnya. (Mata hati juga tahu bahawa)
bintang itu bergerak pantas melalui jarak beribu-ribu batu.
Dikatakan bahawa Nabi saw bertanya kepada
Jibril : “Adakah matahari itu bergerak?”
Jibril menjawab : “Tidak. Ya.”
Nabi bertanya lagi : “Macam mana itu?”
Jibril menjawab : “Antara aku berkata tidak dan
ya itu, matahari telah bergerak sejauh 500 tahun perjalanan.”
Oleh
itu, kesilapan dan kekurangan pandangan mata (zahir) itu memang banyak, tetapi
akal melampaui itu semua dan tidak ada kesilapan sedemikian.
Mungkin
engkau mengatakan yang engkau ada melihat orang yang cerdik itu juga melakukan
kesilapan dan kesalahan. Jawabku – kebolehan khayalan dan fikiran mereka
selalunya melalui pertimbangan mereka menghukumkannya dan ini menimbulkan
keyakinan yang mereka anggap itulah keputusan yang dihukumkan oleh akal. Kesilapan
atau kesalahan itu terletak pada kebolehan yang rendah itu. Bacalah karangan
aku tentang semua kebolehan ini dalam kitab aku yang berjudul “Mi’yaril ‘Ilm”
dan “Muhaqiq an-Nazar”.
Namun
apabila akal dipisahkan dari dustaan, tipuan fantasi dan khayalan, maka kesalahan
bagi akal itu adalah tidak mungkin. Akal itu melihat sebagaimana yang
sebenarnya. Pemisahan ini sangatlah sukar dan hanya dapat mencapai
kesempurnaannya setelah mati. Barulah ketika itu terang dan nyata kesalahan,
dan segala rahsia terbuka luas, dan setiap orang akan bertemu dengan suka atau
duka yang telah disediakan oleh dirinya, dan : “Lihatlah “kitab” yang
merekodkan segala pahala dan dosa, tanpa satu pun yang tertinggal.”
Ketahuilah
bahawa khayalan dan fantasi itu pun adalah hijab juga. Oleh itu, orang yang
diperdayakan dan ditipu oleh khayalannya sendiri, kepercayaan salahnya sendiri
dan fikirannya yang sia-sia, (mereka) akan menjawab : “Tuhan kami, kami
telah melihat dan mendengar Engkau. Hantarkanlah kami kembali (ke dunia) dan
kami akan berbuat kebaikan. Sesungguhnya sekarang kami yakin dengan
sebenar-benarnya.”
Daripada
pandangan di atas tahulah engkau bahawa mata itu lebih tepat disebut “cahaya”
(nur) dan bukannya cahaya biasa yang dilihat oleh panca indera itu. Dan
selanjutnya akal itulah yang sepatutnya disebut “cahaya” dan bukannya mata.
Memang benar dikatakan bahawa Antara kedua-duanya terdapat perbezaan yang besar
nilainya, sehinggakan kita boleh bahkan semestinya menganggap bahawa akal
itulah yang sepatutnya disebut nur/cahaya.
No comments:
Post a Comment