Thursday, September 5, 2013

Tazkirah Facebook 49 (November 7, 2012)

Ada orang baru hendak belajar cara memanjat dan menuruni pokok kelapa. Kita gunakan jentera dan terus  letakkan dia di pucuk pokok kelapa setinggi 30 kaki. Memanglah dia hebat dipandang orang kerana kedudukannya yang tinggi, tapi… bolehkah dia turun? Bolehkah dia memanjat? Hampir-hampir pasti tidak boleh, kerana dia tidak tahu cara memanjat atau menuruni pokok kelapa.

Orang kedua kita letakkan di tengah-tengah batang pokok kelapa. Memanglah hebat dipandang orang. Bolehkah dia naik ataupun turun? Hampir-hampir pasti tidak boleh kerana dia tidak tahu pun cara memanjat atau menuruni pokok kelapa. Terpaksa kita panggil bomba untuk menyelamatkannya.

Orang ketiga kita letakkan di perdu pokok kelapa. Dari situ dia belajar memanjat dan menuruni pokok kelapa sedikit demi sedikit. Bolehkah dia panjat dan turun? Insya-Allah boleh, kerana dia belajar dari bawah cara-cara untuk panjat dan turun.


Pengajarannya, apabila kita baru-baru hendak mendalami ilmu-ilmu agama, jangan terlalu ghairah untuk terus belajar bahagian yang tinggi-tinggi, yang rahsia-rahsia. Kelak diri sendiri yang rosak binasa. Belajarlah beransur-ansur, mengikut sukatan pelajarannya dan mengikut keupayaan diri kita, dan mengikut panduan orang-orang lama. Guru-guru juga janganlah terlalu ghairah hendak meletakkan anak-anak murid mereka di maqam yang tinggi-tinggi. Kaji terlebih dahulu keupayaan si murid. Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar

No comments: