BAB 16 – Pembantu Diburu
“Hei, sebenarnya haa... lu olang mau pigi mana?” tanya Ah Wai kepada Khairi dan kawan-kawannya yang sedang berbaring terlentang di bahagian belakang van. Bahagian belakang van itu memang biasa dikosongkan kerana ia digunakan untuk mengangkut kain. Bapa Ah Wai ialah pemilik kilang kain tempat Piyan bekerja. Ketika di sekolah menengah, Ah Wai pernah sekelas dengan Khairi. Hubungan mereka memang baik sejak zaman kanak-kanak sehinggalah sekarang. Van itu membelok ke kanan, masuk ke jalan di tepi padang bola Tupai, Taiping.
“Kita orang mau pergi ‘camping’ la Ah Wai. Boring la... sudah tiga hari duduk rumah. Mau keluar rumah pun tak boleh, polis tak kasi,” jawab Khairi.
“Aiyaa, itu la lu olang, selalu mau siasat siasat! Mau jadi James Bond! Itu pasai la ala olang jahat mau kasi lu olang mampui,” kata Ah Wai lalu tertawa kecil. Dia memang sedia maklum hobi budak-budak bertiga itu. Sejak kecil mereka suka merapak ke sana ke mari, kononnya menyiasat. Tapi tak pernahlah terlibat sampai sejauh ini, sampaikan melibatkan nyawa.
Perkenalan mereka bermula melalui permainan layang-layang ketika semua masih bersekolah rendah. Apabila tiba musim bermain layang-layang, kanak-kanak pelbagai kaum akan menaikkan layang-layang masing-masing. Meriah ruang udara Pokok Asam. Ketika itu sibuklah budak-budak membuat ‘benang kaca’. Benang tebal disalut dengan kaca tumbuk campur gam kayu campur telur dan diwarnakan mengikut kesukaan.
Setelah layang-layang berada di udara, pertarungan memutuskan sesama layang-layang sering berlaku. Keadaan ini disebut ‘cut’(potong). Kemahiran menarik dan menghulur benang, mengawal layang-layang dan tentunya ketajaman benang kaca masing-masing akan jadi penentu. Layang-layang yang terputus akan jadi milik sesiapa sahaja yang berjaya mendapatkannya.
Suatu hari ketika layang-layang Ah Wai di pekan Pokok Asam berada di udara, angin membawa layang-layangnya dekat dengan layang-layang Zali, budak Kampung Potong Pinang. Zali sangkakan layang-layang budak Cina Pokok Asam mahu ajak ‘cut’, dia pun menyauk layang-layang itu dengan layang-layangnya yang dijunamkan. Ah Wai pula tidak bercadang untuk ‘cut’ kerana layang-layangnya jenis yang susah untuk dibuat, dikenali sebagai wau burung. Layang-layang Zali pula hanyalah layang-layang biasa, rugilah kalau bertempur. Ah Wai cuba melarikan wau burungnya tetapi sudah terlambat. Benang kaca Zali yang terkenal sebagai yang tertajam di Kampung Potong Pinang sudah pun dihulur laju dan memutuskan benang wau burung Ah Wai. Apa lagi, budak-budak kampung dan anak-anak Cina Pokok Asam pun berkejaran ke arah jatuhnya layang-layang Ah Wai.
Layang-layang itu jatuh berhampiran sekolah Melayu. Yang mendapatnya ialah Atan, budak Kampung Aman. Belum lama Atan meraikan kejayaannya, sampai Ah Wai dan kawan-kawannya dengan berbasikal. Ah Wai pun menceritakan situasi sebenar dan meminta layang-layangnya kembali. Memang kalau mengikut undang-undang tidak rasminya, layang-layang yang terputus dalam ‘cut’ tanpa kerelaan masih kepunyaan tuan layang-layang.
Ketika Atan hendak memulangkan layang-layang itu, sampai pula Zali dengan budak Potong Pinang yang lain. Zali yang memang jenis panas baran terus merampas layang-layang itu lalu merenyuk dan mematah-matahkannya. Ah Wai turun dari basikal dan terus bertumbuk dengan Zali. Budak-budak lain sakan bersorak.
Kebetulan Khairi, Piyan, Seman, Selvam dan Ah Hock melalui simpang tiga di tepi sekolah Melayu itu. Mereka baru pulang dari ‘tikam’ poster Stallone Rambo di kedai beret panjang, berhampiran Masjid Pokok Asam. Dengan pantas Khairi turun dan meleraikan pergaduhan tersebut. Zali terpaksa berhenti kerana dia ada perasaan gerun sedikit dengan Khairi, saingannya sejak zaman sekolah tadika lagi. Khairi pun bersoal jawab dengan kedua-dua belah pihak.
Keputusannya... Khairi, Seman dan Ah Hock berkongsi duit membayar ganti rugi kepada Ah Wai. Mereka dapat kumpulkan enam ringgit, satu jumlah yang cukup besar pada awal tahun 80-an bagi kanak-kanak. Selepas mengucapkan terima kasih, Ah Wai dan kawan-kawannya beredar. Zali mencemuh sikap Khairi yang dianggapnya sebagai pengecut, tetapi tidak pula dia sanggup bertentang mata dengan Khairi.
Petang esoknya, Ah Wai dan kawan-kawannya berbasikal masuk ke Kampung Potong Pinang. Mereka mencari Zali di padang permainan berhampiran surau. Kecoh sekejap budak-budak, mereka sangkakan pergaduhan besar akan berlaku. Sebaliknya Ah Wai datang membawa dua buah wau kangkang yang agak besar sebagai hadiah kepada Zali dan Khairi. Zali yang berasa terharu terus menghadiahkan gulungan benang kaca pada tin di tangannya. Terjalin persahabatan antara kaum. Sejak itu jika layang-layang budak Melayu dan Cina berhampiran, mereka akan saling menghantar utusan untuk memastikan kedua-dua pihak mahu ‘cut’ atau tidak.
Van kekuning-kuningan itu melintasi Taman Tasik Taiping menuju ke kaki Bukit Larut.
“Ok, sikalang aaa lu olang boleh bangun maa. Tak dak olang la sini tempat. Sulah mau sampai pun,” umum Ah Wai. Budak-budak bertiga itu pun bangun.
“Lu banyak baik la Wai. Terima kasih banyak. Sori la susahkan lu,” kata Piyan.
“Talak apa maa. Kita sudah lama kawan. Lu olang pun sudah banyak tolong gua.” Sememangnya Ah Wai seorang yang baik hati. Dia menganut agama Kristian Unitarian, mengikut salah seorang abangnya. Walaupun keluarganya beragama Tao, tetapi perbezaan agama tidak mengganggu hubungan sesama ahli keluarga mereka.
Beberapa meter sebelum sampai ke simpang tiga kaunter tiket di kaki Bukit Larut, Ah Wai memberhentikan vannya di tepi jalan. Di kiri kanan jalan itu ada sungai kecil yang sering dikunjungi orang ramai pada hari-hari cuti. Oleh kerana hari masih awal, kawasan itu lengang sahaja.
Sebaik-baik sahaja Khairi dan kawan-kawannya turun, sebuah kereta Mitsubishi Galant berwarna putih dan kelihatan agak buruk datang dan terus berhenti di belakang van Ah Wai. Berdebar-debar juga dalam dada mereka. Dari dalam kereta itu, keluar sepasang suami isteri dalam lingkungan akhir 40-an. Si suami berkopiah putih, berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar hitam. Isterinya pula bertudung, memakai baju seakan-akan baju Kedah tapi berlengan panjang dan berkain batik. Mereka tersenyum kepada Khairi dan kawan-kawannya. Senyuman mereka berbalas.
But belakang kereta putih itu dibuka. Suami isteri itu mengeluarkan barang-barang mereka.
“Nak berkelah rupanya,” bisik Seman kepada Khairi, berisi nada kelegaan. Khairi tersenyum meleret. Mereka menggalas beg masing-masing.
“Ok Wai! Terima kasih banyak!” kata Khairi kepada Ah Wai melalui tingkap cermin yang dibuka.
“Ok, ok! No problem! Nanti lagi dua jam gua mali sini angkat lu olang,” balas Ah Wai.
“Baik.”
Ketiga-tiga orang sahabat memerhatikan van itu bergerak dan mengambil simpang ke kanan. Dari arah belakang, terdengar bunyi deruman kenderaan. Besar bunyinya. Mungkin lori.
“Woih, ada kenderaan datang! Jom cepat, sebelum lagi ghamai orang nampak kita kat sini,” kata Khairi sambil melangkah menuju ke lorong kecil di sebelah kiri. Khairi sempat menoleh ke arah pakcik dan makcik yang sudah mengambil tempat di bawah sebatang pokok berhampiran gigi air. Mereka memerhati arah budak-budak itu. Hairan agaknya kerana budak-budak itu menuju ke dalam hutan.
@@@@@@@@@@
“Mesti nak kena teghejun daghi ataih dahan pokok tu jugak ka?” tanya Piyan kepada Khairi. Khairi sudah pun melepaskan beg galasnya dan bersedia untuk memanjat pokok yang dahannya merentangi atas anak sungai itu.
“Ya la. Lubuk tu dalam. Kalau menyelam daghi bawah ni, takut tak cukup napaih,” jawab Khairi sambil membetul-betulkan urat dan otot tubuhnya.
“Buatnya kat dalam tu ada ulaq sawa melingkaq...” usik Seman.
“Hoi, hang doa la yang baik-baik!” balas Khairi. Gerun juga dia mendengar usikan Seman tu. Lubuk tu sudahlah dalam, gelap pula airnya. Buatnya ada ular sawa betul di dalam tu...
“Cuba hang teghejun tighuk tengok Khairi,” usik Seman lagi.
“Nak mampoih buat la! Lubuk tu bukan besaq mana! Hang nak sughoh aku berenang mengundoq ka naik ke ataih balik?” Mereka semua tertawa kecil. Khairi terus memanjat batang pokok itu. “Hangpa tengok-tengok sama... kot-kot la si mat saleh botak tu mai.Manalah tau,” Khairi memperingatkan.
“Huh, kalau dia mai... aku hempuk kepala dia dengan batu! Lepaih tu aku pegang kepala dia, aku taghik lubang hidung dia daghi ataih, aku cungkei naik biaq terkoyak hidung mancung dia tu,” balas Piyan, dengan gaya-gayanya sekali.
“Nih tuan tabib, cakap la besaq lagi! Cakap la!” balas Seman, tapi sebenarnya dia tertawa juga mendengar jenaka Piyan. “Satgi..kena macam kat Bukit Naga dulu... baghu hang tau langit tinggi ghendah,” Seman mengingatkan pula. Mereka tertawa bersama-sama.
“Kecebum!” bergolak air di lubuk apabila tubuh sasa Khairi menjunam masuk dengan didahului bahagian kakinya. Permukaan air berkocak kuat dan menghasilkan buih-buih sementara selepas tubuh Khairi hilang ditelan air sungai. Ikan-ikan tengas yang sedang berenang melawan air di sekitar itu pun bertempiaran melarikan diri.
@@@@@@@@@@
Ah Wai memandu dengan tenang. Telinganya melayan lenggok lagu kumpulan Beyond yang menghambur keluar dari radionya. Jalan keluar dari kaki Bukit Larut ke Taman Tasik Taiping itu agak lengang. Jalannya pula lurus. Jadi Ah Wai memandu ala lenggang kangkung sahaja.
Tangan kanan Ah Wai menarik turun cermin pandang belakang. Melalui cermin itu dia meneliti rantai emas leper selebar jari kelingking orang dewasa yang melekap di lehernya. Dia tersenyum puas. Rantai itu baru dibelinya semalam menggantikan rantai lamanya. Hampir tiga ribu ringgit harganya.
Ah Wai membetulkan semula cermin pandang belakang itu ke posisi asalnya. Sekilas itulah Ah Wai ternampak sebuah kereta pacuan empat roda yang besar ragam datang dari arah belakangnya dengan lajunya. Dalam masa tidak sampai dua saat itu, van Ah Wai sudah dirempuh dari belakang dengan kuatnya. Ah Wai tidak dapat mengawal vannya lalu van itu terlencong melulu ke padang rumput di kiri jalan. Vannya hampir-hampir terbalik ketika ia berhenti di tepi batu-batu peringatan.
Kenderaan pacuan empat roda itu berpatah balik lalu berhenti di tepi jalan, kira-kira dua puluh meter dari van Ah Wai. Dari sebelah tempat duduk pemandu, keluar seorang lelaki India, dengan pistol di tangan. Pemandunya yang bercermin mata hitam tidak keluar tetapi memandang tepat ke arah van Ah Wai.
Nampak sahaja pistol di tangan lelaki India itu, Ah Wai terus merendahkan dirinya ke kusyen. Tindakannya memang tepat dengan ketikanya. Sambil berjalan ke arah Ah Wai, lelaki India itu melepaskan beberapa tembakan. Bahagian van yang terkena tembakan itu habis berlubang. Cermin pintu bahagian pemandu pecah berderai dihentam peluru. Tayar depan van Ah Wai juga meletup terkena tembakan.
Setelah betul-betul hampir, lelaki India menyuakan pistolnya melalui tingkap yang sudah tidak bercermin untuk menamatkan kerjanya. Terkejut betul dia kerana Ah Wai tiada di situ. Pintu van sebelah sana terbuka. Kelihatan Ah Wai berlari tunggang-langgang di celah-celah batu peringatan menuju ke arah tugu salib besar di hujung padang. Padang itu dipenuhi batu-batu peringatan yang mengandungi nama-nama orang-orang yang terkorban pada era Perang Dunia. Batu-batu itu disusun dalam barisan. Ia kelihatan seakan-akan kawasan perkuburan orang-orang Kristian, tetapi sebenarnya tidak ada mayat pun dikebumikan di situ, hanya batu tanda kepada mereka yang hilang.
Lelaki India itu dengan berangnya terus mengatur langkah mengejar Ah Wai. Sambil mengejar, sambil melepaskan tembakan. Dua buah batu peringatan pecah terkena tembakannya.
“Aiyaaa!” Ah Wai terus berlari terbongkok-bongkok. Dia tiba di tugu salib besar di hujung padang. “Aiyaaa!” sekali lagi ‘aiyaa” terkeluar dari mulut Ah Wai kerana di sebalik tugu itu terdapat sepasang remaja sedang duduk berhimpit-himpit ketakutan. Pastinya mereka kecut habis selepas mendengar tembakan bertalu-talu dan ternampak adegan kejar-mengejar . Ini mesti kes berdua-duaan ni, fikir Ah Wai.
“Lu olang sini pun bikin plojek aaa? Aiyaa!” kata Ah Wai lalu menyelinap ke dalam hutan kecil.
Lelaki India tadi tiba di belakang tugu salib besar. Dia juga terperanjat melihat sepasang remaja sedang berpelukan. Pucat lesi muka mereka. Lariannya dihentikan. Dia berpatah balik ke arah pasangan remaja itu. Mereka saksi yang kuat akan persitiwa yang sedang berlaku. Saksi tidak boleh disimpan. Saksi mesti dihapuskan. Apatah lagi saksi-saksi itu sudah melihat wajahnya dengan jelas.
Dalam jarak lima meter, muncung pistol dihalakan ke arah muka remaja lelaki.
“Tolong encik, jangan bunuh kami!” terkeluar kata dari mulut remaja lelaki, tetapi jari telunjuk lelaki India itu terus bertindak. “Klik!” Satu kali. “Klik! Klik” Tiga kali. Peluru habis!
Remaja lelaki bingkas bangun. “Lari Era!” tegasnya sambil menarik tangan pasangannya. Masa yang diperlukan oleh lelaki India untuk mengisi peluru dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kedua-dua orang remaja itu berlari ke arah hutan kecil di kiri padang.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu nampak situasi di hujung padang, di tugu salib besar. Dengan pantas dia turun dari kenderaannya dan terus berlari laju mengejar budak-budak tadi. Di tangannya juga terdapat sepucuk pistol. Hentakan tapak kakinya membenamkan rumput-rumput yang terpijak.
Kedudukan pasangan remaja itu agak jauh. Si pemandu teragak-agak untuk melepaskan tembakan. Mereka berjaya masuk ke dalam hutan di kiri padang, susup-sasap dan terus menghilang. Si pemandu menghentikan lariannya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah tugu salib besar. Sahabatnya sudah tidak kelihatan. Dia pasti sahabatnya sedang menjejak budak Cina yang memandu van tadi. Dia mengambil keputusan untuk mengejar pasangan remaja.
@@@@@@@@@@
No comments:
Post a Comment