Tuesday, March 22, 2011

Teks Kuliah Wangian Hikmah 1



Suatu ketika dahulu pada zaman Imam Al-Ghazali di negara Maghribi, ataupun disebut Morocco, ada sebuah kerajaan, yang apabila keluar saja kitab Imam Al-Ghazali, ulama-ulama fiqh kerajaan di Morocco ini kata kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini mesti diharamkan dan mesti dibakar. Apabila cerita ini sampai kepada Imam al-Ghazali, Imam Al-Ghazali pun (dengan izin Allah) terbuka kasyafnya, iaitu diangkat ‘hijab’, maka dia nampak apa yang akan berlaku. Apa kata Imam al-Ghazali? “Tuhan akan menyoyak ataupun akan merobek kerajaan mereka sebagaimana mereka mengoyak kitab aku”. Imam Ghazali sudah ‘nampak’. Begitulah, sesekali orang-orang soleh ‘nampak’ apa yang akan berlaku. Bukan selalu, tapi sesekali.

Mungkin kita masih teringat lagi kisah Saiyidina Umar sedang berkhutbah, tiba-tiba terangkat hijab, lalu dia nampak ketika itu tentera Islam sedang berperang dan dalam keadaan hampir kalah. Ketika di atas mimbar itu jugalah Saiyidina Umar memberi arahan kepada tentera Islam yang berada jauh beribu batu, ratusan batu. Dan tentera Islam di sana boleh mendengar arahannya.

Hal ini menunjukkan sesekali orang-orang soleh ‘diangkat hijab’. Itulah yang terjadi kepada Imam al-Ghazali. Apabila sampai cerita mengatakan kerajaan di Afrika Utara itu iaitu negara Maghribi mengharamkan dan mahu membakar kitabnya, dia katakan yang Tuhan akan mengoyakkan kerajaan mereka sebagaimana mereka mengoyakkan kitabnya.

Dalam majlis itu kebetulan ada salah seorang murid Imam al-Ghazali yang bernama Muhammad bin Tumart. Kata murid Imam Ghazali ini: “Wahai Tuan Imam, doakanlah kepada Tuhan agar keruntuhan Kerajaan Bani Tasyfin (Kerajaan Murabitin) itu akan berlaku di tangan saya.” Kata budak itu tadi apabila dia mendengar tuan gurunya mengatakan bahawa kerajaan di Morocco itu akan runtuh : “Tuan syeikh, doakan supaya kerajaan itu runtuh di tangan saya.”

Selepas daripada itu, Muhammad bin Tumart ini pergi ke Morocco dan menyusun gerakan. Berlakulah peperangan dan sebagainya sehinggalah dia berjaya mendirikan/ mengasaskan sebuah kerajaan baharu yang dinamakan Kerajaan Muwahhiddun. Memang betullah sebagaimana yang Imam Ghazali nampak – sebagaimana kerajaan Afrika Utara ini mengoyak dan membakar kitabnya, sebegitulah kerajaan mereka dikoyak-koyak sehinggalah runtuh.

Apabila Muhammad bin Tumart berjaya mengasaskan Kerajaan Muwahhiddun di Afrika Utara iaitu di Morocco, Imam Ghazali teringin hendak pergi ke sana tapi tidak jadi. Tidak sempat pergi ke sana, beliau sudah meninggal dunia.

Pengajarannya di sini, kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini bukanlah sebarang kitab. Ringkasan kitab ini ialah kitab Bimbingan Mukminin. Dewasa ini ada orang-orang tertentu yang anti akan kitab ini. Kita khuatir apa yang berlaku kepada kerajaan di Afrika Utara itu terjadi kepada mereka juga. Di kata kitab ini tidak betul, bawa ajaran salah dan sebagainya.

Nama Morocco berasal dari nama bandar iaitu Bandar Marakesh, atau dalam bahasa Arabnya “Murakush”. Datang ‘mat salleh’, disebutnya Morocco.

Baik, habis muqaddimah iaitu satu cerita pengenalan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Sebenarnya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini sangat rapat dengan saya kerana pada tahun 1997 sampailah sekitar tahun 2003, ke mana-mana pun biasanya saya bawa salah satu jilid terjemahan kitab Ihya’ ini, dan membacanya. Lebih kurang 7-8 tahun itu, ke mana-mana pun bawa., punya minatnya akan kitab ini. Namun pada hari inilah baru saya berpeluang untuk mensyarahkannya.

Disebabkan saya minat dengan kitab ini, suatu ketika saya ada menulis sebuah risalah yang bertajuk “Allah Cinta Agung”. Risalah ini menghuraikan tentang cinta kita kepada Allah dan cinta kita kepada Nabi Muhammad. Saya buat risalah itu dalam beberapa puluh mukasurat, dan risalah ini pun ada dimuatnaik ke internet. Risalah ini siap sekitar tahun 2002. Siap pada 13 Safar 1423 Hijrah. Maksudnya pada tahun 2002. Sudah 9 tahun risalah itu. Dimuatnaik ke internet dan ada lamannya. Lamannya juga bertajuk “Allah Cinta Agung”. Ia berdasarkan bab “Cinta” daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.

Kemudian risalah itu tadi saya jadikan ta’lim harian. Selepas Maghrib ataupun Isya’, dibaca dalam masa 5 minit dengan isteri. Setiap hari dibaca sedikit-sedikit.

Yang pertamanya kita tengok maksud ‘Ihya’’Ulumiddin’. Apa maksudnya? Kita biasa dengar perkataan ‘hayat’ yang bermaksud ‘hidup’ ataupun ‘kehidupan’. Jadi ‘ihya’ ini maksudnya ‘menghidupkan’. Kita juga biasa dengar perkataan ‘ilmu’, ‘ulama’ dan ‘alim’. Semua itu daripada kata akar yang sama. Sama dengan perkataan ‘ulum’. ‘Ulum bermaksud ‘ilmu-ilmu’.

Kemudian perkataan ‘ad-diin’. Orang selalu sebut : “Islam sebagai ad-diin.” Secara ringkasnya ‘ad-diin’ membawa maksud ‘agama’. Jadi ‘Ihya’ ‘Ulumiddin’ bermaksud ‘Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama’.

Mengapa Imam Ghazali namakan kitabnya dengan tajuk “Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama”? Kerana pada zaman itu, bahkan pada zaman sekarang pun ilmu jadi hiasan. Ramai orang yang berilmu dalam agama namun dari segi pengamalannya lemah. Sebab itu kitab ini dinamakan “Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama”. Ia tidak sekadar ilmu tetapi ia dihidup dan diamalkan. Dan diamalkan pula dengan berkesan. Jadi, fahamlah kita sekarang maksud ‘Ihya’ ‘Ulumiddin’. Seandainya orang tanya selepas ini, kita sudah boleh jawab : “Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama”.

Jadi sebelum kita masuk kepada kitab ini seterusnya, kita berkenalan terlebih dahulu dengan tuannya. Kita memang ‘kenallah’ orang selalu sebut: “Imam al-Ghazali, Imam Ghazali, Imam Ghazali.” Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Namanya Muhammad, nama bapanya pun Muhammad, nama datuknya pun Muhammad. Nama moyangnya Ahmad. Semua (nama-nama) itu daripada kata akar yang sama juga ... (yang maksudnya) “terpuji”.

Namanya Muhammad. Disebut juga Ibnu Muhammad kerana dia anak (kepada) Muhammad. Dia juga dipanggil Abu Hamid, kerana anak lelakinya bernama Hamid. “Abu” (maksudnya) “bapa”. (Abu Hamid maksudnya) Bapa Si Hamid. Jadi nama penuh Imam al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. “Ghazali” ini dikatakan nama tempatnya (kampungnya) iaitu “Ghazalah”, disebut “Ghazali”. Sebagaimana yang kita tahu orang Arab ada 3 nama. Namanya, nama bin (kepada) bapanya, dan nama (kepada nama) anaknya.

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails