Tuesday, March 22, 2011

Teks Kuliah Wangian Hikmah 2



Macamlah Imam al-Ghazali tadi. Namanya Muhammad. (Selain itu) Dia juga dikenali sebagai Ibnu Muhammad, sebab (nama) bapanya Muhammad. (Dia) Dikenali juga sebagai Abu Hamid, kerana anaknya bernama Hamid. (Jadilah) Tiga nama.

Mungkin tuan-tuan masih ingat lagi satu kisah dalam waktu perang, orang hendak menjaga khemah Nabi Muhammad. Masa itu sudah malam, jadi orang pun buat pengumuman: “Siapa hendak menjaga khemah Nabi Muhammad malam ini?”

Kita ambil satu (nama) contoh, orang itu namanya Sufyan.

“Saya!”

“Siapa itu?”

“Sufyan.”

“Ok Sufyan.”

“Orang kedua. Siapa hendak menjaga khemah Nabi Muhammad malam ini?”

“Saya!”

“Siapa dia itu?”

“Ibnu Halim.”

“Ok, Sufyan ada, Ibnu Halim pun ada.”

“Baik. Orang ketiga. Kita hendak tiga orang. Siapa lagi sukarela hendak menjaga khemah Nabi Muhammad?”

“Saya!”

“Siapa tu?” Malam... tak nampak.

“Abu Zulfiqar.”

“Ok, Abu Zulfiqar. Ok, datang sini ketiga-tiga orang. Sufyan pun (sila) datang. Ibnu Halim pun (sila) datang. Abu Zulfiqar pun (sila) datang.”

Apabila sampai di depan ketua, tengok-tengok seorang sahaja yang datang.

“Eh, tadi tiga orang. Ini kenapa seorang (sahaja)?”

“Kamu siapa?”

“Sayalah Sufyan.” Sebab namanya (memang) Sufyan.

“Habis, Ibnu Halim tadi siapa dia?”

“Saya le jugak, sebab bapa saya namanya Halim.”

“Abu Zulfiqar tadi?”

“Saya le jugak.”

“Kenapa?

“(Kerana) Anak saya nama Zulfiqar.”

Jadi ketiga-tiga itu nama dia. Sufyan pun nama dia, Ibnu Halim pun nama dia, Abu Zulfiqar pun nama dia.

“Mengapa apabila diminta, untuk ketiga-tiga kali kamu (seorang) yang menyahut?”

“Sebab saya nak ‘kampoi’ (monopoli) seorang. Saya seorang hendak menjaga Nabi Muhammad, hendak pahala lebih.” Punyalah (dia) sayang akan Nabi Muhammad. Jadi biasanya orang Arab ni (ada) tiga namalah.

Selain daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini, ataupun ringkasannya kitab Bimbingan Mu’minin, pada saya ada beberapa kitab lagi sama ada yang (dalam) bahasa Arab, dan ada juga yang terjemahan. Salah satunya ialah kitab Al-Munqiz min ad-Dhalal, (yang maksudnya) Selamat daripada Sesat. Yang kedua, karangan Imam al-Ghazali... Al-Risalah al-Laduniyyah. Yang ketiga, Misykatul Anwar. Yang keempat, Kimia as-Sa’adah, (yang maksudnya) Kimia Kebahagiaan.

Kitab Kimia’ as-Sa’adah ini, kita ada sentuh sikit-sikit (suatu waktu) dahulu. Ada sebelas fail (syarahan saya di Youtube) kesemuanya, kita (memang) ada ajar sikit di sini, walaupun bukan keseluruhan.

Ini(lah) kitab-kitab yang ada dalam simpanan saya. Yang tidak ada dalam simpanan saya lagi banyaklah. Sebab Imam al-Ghazali ini, kata sesetengah pendapat, kitab-kitabnya hampir 100 buah. Kemudian orang kaji pula lagi, campur dengan yang hilang, orang kata ada 300 buah. Punya(lah) rajinnya (al-Ghazali) mengkaji.

Antara karya Imam Ghazali yang popular, yang lainnya:

1. Maqasid al-Falasifah.

2. Tahafut al-Falasifah.

3. Minhaj al-Abidin.

4. Tafsir Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali ada membuat satu (kitab) tafsir Al-Quran. Kata orang, tafsirnya sampai 40 jilid dia mentafsirkan Al-Quran. Tapi sayangnya sewaktu orang-orang Monggol serang Baghdad, Baghdad habis musnah, kitab-kitab (yang ada di Baghdad) dibakar. Orang Monggol ini (umumnya) tidak ada Tuhan, dia bakar habis kitab-kitab itu semua. Jadi banyaklah karangan Imam al-Ghazali yang hilang. Rugilah kita, termasuklah (antara yang hilang itu ialah) Tafsir Quran Imam al-Ghazali.

5. Kemudian kitab Fadaih al-Batiniyyah wa al-Fadhail al-Mustaziriyyah.

6. Majalis al-Ghazaliyyah. Yang ini anak muridnya yang karang. Imam Ghazali bagi kuliah, disebabkan sedap sangat kuliahnya, suatu hari anak muridnya terfikir hendak salin apa yang dia cerita. Jadi anak muridnya ini pun susun balik kuliah Imam al-Ghazali ini, kemudian dia tunjuk kepada Imam Ghazali. “Tuan Imam, cuba ‘check’ betul tak apa yang Tuan Imam cakap dengan apa yang saya tulis.” Imam Ghazali sahkan, (lalu) dia (iaitu anak muridnya itu) buat satu kitab, namanya Majalis Ghazaliyyah.

7. Kemudian kitab Mizan al-Amal

8. Al-I’tisad fi al-I’tiqad.

9. Sirr al-‘Alamin

10. Al-Maa’rif al-‘Aqaliyyah.

11. Kitab al-Arba’in.

12. Jawahir al-Quran.

13. Ayyuhai Walad.

14. Hujjah al-Haqq.

15. Qisas al-Mustaqim

Dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan.

Yang popular di negara kita ini, antaranya kitab:

1. Minhaj al-‘Abidin. Ramai tok-tok guru ajar kitab itu.

2. Dan juga ringkasan (Ihya’) inilah – Bimbingan Mu’minin, ramai orang ajar.

3. Dan juga kitab Ayyuhai Walad.

Yang lain-lain itu biasanya susah hendak jumpa orang ajar.

Jadi Imam Ghazali ini seorang yang hebat, sebab pada zaman dahulu hendak menulis susah (jika dibandingkan dengan hari ini). Hendak cari kertas susah, cari dakwat susah, cari pen pun susah. Bukan macam sekarang, tekan komputer, tulis. Laju saja. Sungguhpun dalam keadaan yang macam itu, Imam Ghazali boleh menulis ratusan kitab. Dengan mengajar lagi, dengan belajar lagi, dengan ibadahnya yang hebat lagi. Itu yang kita berasa hairan. Sebab itu orang kata Imam Ghazali ini pun salah seorang daripada wali-wali Allah juga.

Yang kita zaman sekarang ini, petik komputer sahaja boleh (terus) menulis, apa kitab pun kita tak buat, sebab kita tidak mampu. Imam Ghazali zaman dahulu buat ratusan kitab.

Apakah kitab-kitab ringkasan Ihya’ ‘Ulumiddin yang popular di rantau Nusantara ini? Di Alam Melayu ini ada kitab-kitab ringkasannya.

1. Salah satu yang popular, kitab Bimbingan Mu’minin.

2. Kemudian kitab Bidayatul Hidayah.

3. Yang ketiganya kitab Hidayah as-Salikin yang disusun oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani, orang Palembang. Kitab Hidayatus Salikin ini (merupakan) huraian kepada kitab Bidayatul Hidayah, karangan Imam al-Ghazali.

4. Yang keempatnya kitab Sairus Salikin karya Syeikh Abdus Samad Falimbani juga.

Ini semua ada kait-mengait dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.

Susah hendak mencari orang yang mengajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin terus. Biasanya mereka mengajarkan ringkasannya.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Sekarang kita pergi kepada sejarah Imam al-Ghazali, dari masa dia kecil, sampailah muda remaja, sampailah tua, sampailah meninggal dunia. Jadi Imam Ghazali ini dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Ghazalah. Sebab itu namanya dinisbahkan kepada Ghazali. Nama sebenarnya Muhammad, tapi orang panggil Imam Al-Ghazali, bersempena dengan nama tempat dia. Kampung Ghazalah ini terletak di mana? Di Tus. Tus ini di wilayah Khurasan. Zaman sekarang ini dalam negara Iran.

Bila dia lahir? Tahun 1058 Masihi. Sekarang 2011. Maksudnya sudah 953 tahun yang lalu. Dekat seribu tahun dah Imam Ghazali hidup dahulu. Jadi kitab dia yang berada di tangan kita ini pun, sudah 900 tahun lebihlah. Sampai sekarang pun orang masih pakai lagi. Inilah untungnya jadi ulama-ulama ni. Dia tulis kitab banyak-banyak, sampai sekarang pun pahala masih mengalir kepadanya.

Jadi Imam al-Ghazali ini tuan-tuan, dia satu orang yang miskin, sebab datang dari kelauarga yang miskin. Bapanya berkeja sebagai tukang tenun kain. Adalah kedai kecil satu. Pendapatan pun tidak seberapa, hidup dalam kemiskinan. Sungguhpun miskin, bapanya seorang yang soleh dan sangat suka akan ilmu. Dia cukup suka belajar ilmu-ilmu agama. Jadi bapanya berdoa supaya dapat anak, anak yang soleh, anak yang bakal jadi ulama. Begitu doa bapanya.

Doa bapanya yang utama (sekadar contoh): “Ya Allah, berilah akan daku anak yang bakal menjadi ulama, orang-orang yang alim.” Ini doa bapa Imam al-Ghazali, dan doanya diperkenankan (Allah). Sebab apa? Dia berjaya dapat dua orang anak lelaki iaitu Imam al-Ghazali dan adiknya bernama Ahmad. Kedua-dua orang jadi ulama besar, berkata doa si bapa tadi.

Kita bandingkanlah dengan doa kita pula. Apabila kita bakal dapat anak, apa doa kita? Macam-macam doa, tapi doa yang utama? Ada orang, doanya yang utama adalah: “Ya Allah, jadikanlah anakku ini cerah, putih melepak”, yang paling atas sekali. Tak salah berdoa begitu. Tapi kalau boleh doa yang utama itu ialah doa (agar anak) jadi orang yang soleh, jadi pejuang, jadi ulama. Doa nak putih melepak itu (biarlah) bawah sikit. Tapi kadang-kadang doa putih melepak itu sudah jadi nombor satu. Ada pula yang berdoa : “Ya Allah, jadikanlah anak aku seorang yang cerdik.”

No comments: