Sunday, November 29, 2009

Khutbah Aidil Adha 1430/ 2009

*Teks khutbah yang saya bacakan pada Aidil Adha lalu.


KHUTBAH PERTAMA

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Syukur kepada Allah SWT, pada pagi hari yang mulia ini kita dapat bersama-sama melaksanakan solat Aidil Adha. Kehadiran kita pagi ini bersamaan dengan kehadiran sekitar 4 juta jemaah haji dari segala penjuru di Tanah Suci Mekah. Suara mereka bertautan dan sambung-menyambung dengan pujian takbir, tahlil dan tahmid.

Suasana ini jelas memperlihatkan kepada kita betapa umat Islam disatukan dalam nikmat yang terbesar dari Allah SWT iaitu nikmat iman dan Islam. Selari dengan itu, maka marilah kita terus meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang taat dan bersedia berkorban demi memperjuangkan prestasi kecemerlangan Islam.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tentang “MEWUJUDKAN KETURUNAN DAN PEMIMPIN PELAPIS YANG SOLEH”.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Muslimin-muslimat yang dirahmati Allah,

Amalan kemuncak dalam ibadah haji ialah wuquf di Padang ‘Arafah, di mana semua jemaah haji berkumpul dan berdiri menghadap Allah SWT, memohon keampunan. Selepas itu mereka menyembelih seekor haiwan sembelihan sebagai ingatan terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim as, yang mengorbankan anak baginda Nabi Ismail as. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as inilah yang kita ambil sebagai Hari Raya Aidil Adha.

Nabi Ibrahim as merupakan orang pertama yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa sebarang protes atau bantahan ketika diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih satu-satunya anak baginda iaitu Nabi Ismail as melalui penyembelihan binatang korban. Amalan ini bukan ahaja dilakukan oleh jemaah haji, tetapi turut dilakukan serentak oleh umat Islam seluruh dunia sebagai tanda memperingati pengorbanan dan ketaatan teragung Nabi Ibrahim as terhadap Allah SWT.

Nabi Ibrahim as sememangnya model seorang bapa atau pemimpin yang soleh. Baginda mempunyai dua orang isteri iaitu Sarah di Palestin dan Hajar di Mekah, yang banyak membantu dalam mengembangkan Islam. Walaupun baginda telah berusia, namun baginda lambat dikurniakan oleh Allah SWT zuriat. Tetapi berkat kesabaran dan doa agar ada keturunannya yang bakal menyambung dasar-dasar hidup Islam, maka Allah telah memakbulkan doa baginda.

Firman Allah SWT dalam surah As-Sooffaat ayat 99-101:


“Dan Nabi Ibrahim berkata: “Aku hendak pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku ke jalan yang benar. Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku anak yang terhitung dari orang yang soleh!” Lalu Kami berkan kepadanya berita gembira, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar.”

Berkat doa ini, Hajar melahirkan Nabi Ismail as di Mekah dan Sarah pula melahirkan Nabi Ishak as di Palestin. Kedua-dua anak ini menjadi penggerak utama Islam di Baitulllah, Mekah dan Masjidil Aqsa, Palestin. Bagaimanapun, pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Ismail as telah menjadi titik tolak dan pemacu penyebaran Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada kehidupan Nabi Ibrahim as dan keluarganya ini. Apa yang nyata, Nabi Ibrahim as seorang yang amat perihatin tentang kesinambungan keturunan dan pemimpin pelapis yang dapat memperjuangkan dan menegakkan nilai-nilai kebenaran.

Firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 37:

“Dan tidaklah hartamu dan tidak juga anak-pinakmu, yang mendampingkan kamu di sisi Kami, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan, dan ditempatkan dalam mahligai dengan aman sentosa.”

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Pada pagi sambutan hari raya ini, mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekelian, bahawa anak merupakan anugerah dan satu amanah Allah SWT. Selari dengan anak sebagai penyambung zuriat kita di muka bumi ini, maka amanah Allah SWT itu jangan disia-siakan. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim as, isterinya Sarah dan Hajar serta ketaatan anak-anak baginda- Ismail dan Ishak as.

Persoalan besar yang timbul ialah- apakah jemaah dan umat Islam sekelian mengambil berat usaha mewujudkan keturunan dan pemimpin pelapis yang soleh bagi meneruskan agenda dan dasar hidup menegakkan kebenaran di bumi Allah ini? Untuk membolehkan keturunan soleh ini lahir, maka ia bermula daripada diri ibu bapa sendiri. Biasanya yang terjadi, ibu bapa mahukan anak-anaknya menjadi soleh tetapi mereka sendiri berkeadaan sebaliknya. Kita perlu insaf bahawa mendidik anak-anak harus dimulai dengan memberi teladan yang baik dari dalam lingkungan keluarga itu sendiri.

Bagaimana mungkin orang tua boleh mendidik anak-anak dengan baik, jika mereka sendiri hidup lintang-pukang dan tidak boleh dicontohi. Dengan demikian usaha mewujudkan generasi muda dan pemimpin pelapis yang soleh sewajarnya menjadi agenda utama setiap pemimpin keluarga dan negara ini, kerana di tangan generasi inilah terletak masa depan yang diharapkan lebih baik dari masa kini.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Kita amat bimbang dan risau kerana menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga 2008, terdapat seramai 83,700 orang anak-anak yang dilahir tanpa nikah. Dalam tempoh yang sama juga, seramai 72,000 orang anak-anak yan lahir diragui status perkahwinan ibu bapa mereka, sama ada mereka pernah berzina sebelum bernikah atau menikah tanpa wali yang sah. Berdasarkan perangkaan ini, maka ibu bapa perlu mengambil berat agar anak-anak tidak menjadi korban nafsu dan merebaknya gejala sosial yang lain.

Justeru ibu bapa hendaklah memastikan keutamaan pembangunan pendidikan Islam yang secukupnya bagi anak-anak agar kuat akidah mereka serta mampu mengharungi cabaran hidup. Mimbar menyeru hadirin hadirat sekelian, marilah sama-samaa kita memastikan pendidikan anak-anak mencapai keredhaan Allah SWT. Ibu bapa perlu melakukan pengorbanan demi mewujudkan nasab yakni keturunan yang soleh.

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

KHUTBAH KEDUA

Muslimin dan muslimat yang berbahagia,

Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita berazam meningkatkan pengorbanan harta dan jiwa kita kerana agama Allah. Marilah kita menghadapi cabaran dengan kekuatan berjemaah dan kuatkan saf. Mantapkan ukhuwah umat, perkasakan dakwah sejagat. Rafakkan kesyukuran, banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw.

Marilah kita bermunajat, marilah kita memohon, marilah kita berdoa agar kita dapat meraih kebahagiaan dan kemenangan Islam. Marilah kita memohon kepada Allah jalan yang lurus.

Allahumma ya Allah, segala puji bagi Allah, tidak ada Rabb selain Allah, tiada Ilah selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nyalah semua kerajaan dan milik-Nyalah semua pujian.

Allahumma yaa Hannaan yaa Mannaan, kami minta semua kebaikan yang ada sepanjang hidup kami dan kebaikan yang ada sesudah hidup kami. Kami berlindung kepada-Mu dari semua kejahatan yang ada sepanjang hidup dan kejahatan sesudah hidup kami. Yaa Rabb, kami berlindung dari rasa malas, dari menjadi penegcut, dari menjadi penakut, dari menjadi hamba yang tidak sensitive.

Di Timur Tengah saudara-saudara kami ditindas. Bangunkan mereka ya Allah dengan kesedaran mengibar panji-Mu. Mereka dicekik dan disepit, lonjakkan mereka menjadi pahlawan yang berpaksikan jihad. Malah jiran kami sendiri sekian lama tercatat dalam sejarah, mereka ditindas. Bangunkan mereka dengan kibaran bendera-Mu ya Allah.

Allahumma yaa ‘Aziiz yaa Jabbaar, di mana-mana sahaja kami tidak terdaya melayang mengirim jiwa jihad kami, kami hanya berharap, berilah kepada mereka kemenangan. Kami benci semuanya, termasuk kejahatan dan kemungkaran di dalam negara kami. Ya Allah, kami pohon rahmat-Mu, keampunan-Mu, kesejahteraan daripada dosa. Banyakkan kami melakukan kebajikan. Jangan Engkau campakkan kami ke lubuk neraka-Mu ya Allah.

Jangan jadikan kami orang yang bacul dan kikir. Jangan lontarkan kesusahan bala-Mu ya Allah. Lindungi kami dari kehinaan, kerana kami sudah sekian lama dihina dan terhina. Hidupkan kesedaran mereka dari kalangan kami yang buat agama, agar menjadi orang yang prihatin terhaap isu-isu agama.

Sekarang ya Allah, Yakjuj wa Makjuj benar-benar sudah muncul. Hari demi hari mereka menebuk dan merosakkan ‘aqidah saudara-saudara kami. Ya Allah, pertahankan banteng Zulqarnain dari kemaraan Yakjuj wa Makjuj ini.

Berikan rezeki kepada kami yang halal. Tinggikan kehormatan kami. Elokkan perangai kami. Ya Allah, negara kami negara makmur. Kami mempunyai pemerintah dari hamba-hamba Engkau. Jadikan mereka pemimpin yang mengerti tentang kebenaran.

Benarkah Mereka Menghalang Dakwah?

“Oleh kerana mereka tidak membenarkan saya berceramah, jelaslah mereka berusaha untuk MENYEKAT DAKWAH!”

Sahabat...

Engkau silap wahai hamba Allah! Orang bukan tidak benarkah engkau berceramah, sebenarnya orang tidak benarkah engkau menyebarkan ajaran Wahabi.

Orang bukan tidak benarkah engkau berdakwah, hakikatnya orang tidak benarkan engkau menyemarakkan fahaman Wahabi.

Mengapa begitu sempitnya pemahamanmu tentang DAKWAH sahabat? Apakah berdakwah itu ialah dengan menyebarkan fahaman Wahabi sahaja? Jika kita mengajar tentang ilmu-ilmu Islam yang tidak berkaitan dengan fahaman Wahabi, maka bukan dakwahkah itu?

Jika benar engkau hendak berdakwah, baaaanyak lagi benda dalam agama Islam ini yang boleh engkau dakwahkan selain fahaman Wahabi. Jangan engkau menfitnah dengan mengatakan orang lain MENYEKAT DAKWAH wahai sahabat. Mereka tidak menyekat dakwah, bahkan mereka pun berdakwah juga, bukan engkau dan orang-orang engkau saja yang berdakwah.

Jangan engkau cuba mencari sokongan murahan daripada orang ramai dengan mengatakan pihak-pihak tertentu “MENGHALANG DAKWAH”. Dakwaan engkau itu melencong jauh dan jelas memfitnah. Mengapa sampai begitu caranya engkau menarik sokongan?

Jika engkau orang yang berkredibiliti tinggi, sudah tentu engkau akan mengatakan: “Mereka halang dakwah ajaran Wahabi” dan bukannya “Mereka halang dakwah”. Kalau dikata “Mereka halang dakwah”, luas benar skopnya, nampak buruk benar mereka yang menghalang engkau berceramah.

Kami tahu, engkau cuba MELUASKAN SKOP ITU untuk mendapatkan simpati daripada manusia-manusia yang berfikiran singkat. Maka, nampaklah pihak yang menghalang engkau berceramah sebagai jahat dan salah. Maklumlah, “menghalang dakwah”.

Tuan, bukan menyebarkan ajaran Wahabi saja dikira sebagai dakwah. Kalau benar engkau ikhlas hendak berdakwah, tanpa menyebarkan fahaman Wahabi pun engkau boleh berdakwah, engkau boleh terkenal, engkau boleh dapat banyak pengikut, engkau dilantik ke jawatan-jawatan tinggi, engkau disukai muda-mudi... Banyak apa pendakwah yang hebat-hebat lagi masyhur dan berkesan, mereka tidak perlu menyebarkan ajaran Wahabi pun!

Orang tidak pernah menghalang engkau berdakwah. Dakwahlah semahu-mahumu. Ramai orang tidak tahu membaca al-Quran di seluruh Malaysia, mengapa engkau tidak mengajar membaca al-Quran saja? Apakah mengajar membaca Al-Quran itu bukan dakwah? Apakah martabat mengajar ilmu membaca al-Quran ini rendah, tidak setanding dengan status engkau sahabat?

Ramai orang tidak tahu cara-cara mengerjakan haji dan melaksanakan korban. Mengapa tidak itu yang engkau dakwahkan? Ramai orang tidak tahu tentang li’an, zihar, khuluk dan lain-lain, mengapa engkau tidak pilih bidang itu? Ramai orang tidak tahu ilmu mustalah hadis, kan engkau ammpu mengajarnya ke seluruh tanah air? Banyak lagi bidang lain yang boleh engkau dakwah dan ceramahkan.

Mengapa kalau engkau hendak berdakwah, mesti fahaman Wahabi yang hendak engkau dakwahkan? Engkau sendiri yang menyempitkan dakwah itu lalu kautuduh orang lain menghalang dakwah. Tolonglah betulkan dakwaanmu sahabat. Katakana saja, “Mereka halang dakwah Wahabi.” Jangan engkau tuduh “Mereka halang dakwah.”


Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern

Monday, November 23, 2009

Mewahnya Negeriku (Musim Buah)

Alhamdulillah syukur, tempat saya sekarang dilanda rezeki daripada Allah berupa musim buah-buahan. Di sana-sini pokok durian, rambutan dan manggis mengeluarkan buahnya. Ada juga sedikit buah dokong. Sudah lebih sebulan suasana ini berlaku.

Buah terlalu banyak menyebabkan harganya merudum. Anda boleh mendapatkan rambutan dan durian dengan harga yang murah. Cuma manggis memang tak jatuh harganya kerana bekalan manggis kurang. Manggis ni pula ceritanya, tukang-tukang panjat lebih untung daripada tuan punya pokok. Upah memanjat separuh daripada harga jualan.

Buah rambutan usah dikira lagilah. Ada yang tidak dikait pun dari pokok kerana hampir-hampir tak ada harga, dibiarkan membusuk di pokok sajalah. Buah durian pula, jual sendiri memang boleh dapat untung. Kalau jual kepada peraih, kadang-kadang tak balik modal. Begitulah nasib durian dalam Parlimen Bukit Gantang walaupun durian-duriannya terkenal sebagai yang tersedap di Malaysia selain durian Batu Kurau.

Saya tak ada walau sebatang pokok, tapi makan memang puas. Bolehlah menumpang sikit-sikit pokok saudara-mara. Pergi mengajar di surau, orang beri buah lagi. Pendek kata, kami sekeluarga tak payah membeli. Makan durian sampai sakit-sakit kepala : ) Makan manggis yang belum puas.

Sekarang harga memang tengah murah. Singgah-singgahlah Bukit Gantang dan sekitarnya, gerenti makan sampai puas. : )

Thursday, November 19, 2009

Kuliah - Penipuan Ala Mistik



Bomoh keluarkan jarum, darah, minyak dan sebagainya dari dalam telur?
Dia rendam dengan cuka tu kot. : )

Kuliah - Kisah Mus'ab bin Umair



Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata:
Kami sedang duduk bersama Rasulullah saw di dalam masjid. Tiba tiba datang Musab bin Umair ra, dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah sa melihat kepadanya, baginda menangis dan menitis air mata kerana mengenangkan kemewahan Musab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Musab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah).

Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda:
Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula, dan bila diangkatkan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain, dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?

Maka jawab sahabat:
Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki.
Lalu Nabi saw bersabda:
Tidak, keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.
(Hadis riwayat Turmizi)

KISAH MUSAB BIN UMAIR

Musab bin Umair asalnya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kaya-raya di Kota Mekah. Dia sangat disayangi oleh kedua orang ibubapanya. Hidupnya senang-lenang dan serba mewah.

Dikatakan kononnya Musab bin Umair ialah pemuda yang paling bergaya di Kota Mekah. Pakaiannya ada yang berharga sampai dua ratus dirham, satu nilai yang sangat tinggi pada zaman itu untuk sehelai pakaian.

Memang dari awal lagi Musab telah memeluk agama Islam tetapi disembunyikan keIslamannya daripada kedua orang tuanya. Namun hal tersebut akhirnya sampai juga ke telinga mereka. Mereka pun mengikat Musab dengan tali agar dia tidak boleh keluar rumah. Musab berjaya melepaskan diri lalu berpindah ke Abbysinia. Seterusnya dia berhijrah pula ke Madinah untuk bersama-sama kekasihnya- Rasulullah SAW.

Suatu hari, Musab melintas di hadapan Rasulullah. Ketika itu dia hanya memakai sehelai kain sahaja dan kainnya itu bertampal-tampal. Dengan perasaan yang amat sedih disertai linangan air mata, Rasulullah menceritakan kembali bagaimana kehidupan Musab sebelum Islam yang serba mewah. Namun kini Musab hanya ada sehelai kain buruk untuk dipakainya.

Dalam peperangan Uhud, Musab berperanan sebagai pemegang bendera tentera Islam. Suatu ketika tentera Islam terpukul hebat dan ada sebilangannya yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Dalam keadaan segenting itu, Musab terus berdiri kukuh di tempatnya sambil memegang bendera. Sedikit pun tidak ada rasa gentar dalam hatinya.

Seorang musuh telah menetak tangan Musab yang memegang bendera agar bendera tentera Islam tidak berkibar lagi. Musab mengambil balik bendera itu dengan tangannya yang sebelah lagi. Kali ini tangan itu pula yang ditetak musuh. Dia terus berusaha memegang bendera di dadanya dengan bantuan kedua belah tangan yang berlumuran darah. Akhirnya, dada Musab ditembusi pula anak panah menyebabkan dia rebah ke bumi. Musab pun gugur sebagai seorang syuhada.

Di saat-saat pengkebumiannya, Musab hanya ada sehelai kain sebagai penutup jasad. Itupun kain itu terlalu kecil. Jika ditarik untuk menutup kepalanya, kakinya akan terdedah. Kalau ditarik menutup kakinya pula, kepalanya akan terdedah. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menutup kepala Musab dengan kain tersebut sementara bahagian kakinya ditutup dengan daun-daun azkhar.

Begitulah sedihnya riwayat seorang pemuda yang dibesarkan dalam kehidupan serba mewah tetapi matinya dalam keadaan yang amat dhaif. Jika dulu dia ada pakaian yang berharga dua ratus dirham, tapi kini mayatnya ditutup dengan sehelai kain kecil sahaja. Sesungguhnya Musab telah berjaya.

Tuesday, November 17, 2009

Pengumuman- Pendidikan Pondok

PENGAMBILAN PELAJAR MUSLIMAT MADRASAH ALIYAH - SISTEM PENGAJIAN PONDOK

SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENDALAMI ILMU AGAMA MENGIKUT SISTEM TRADISIONAL (PONDOK) ATAU BERMINAT MEMASUKKAN ANAK MEREKA SILA HUBUNGI MUDIR MADRASAH IAITU USTAZ SOFFHAN DI NOMBOR 0192214302. TEMPAT HANYA TERHAD KEPADA 10 ORANG SAHAJA.

SYARAT-SYARAT

1- BERUMUR 12 TAHUN KE ATAS

2- PANDAI MENGURUSKAN DIRI SENDIRI

3- BERKELAKUAN BAIK

4- MINAT MENDALAM UNTUK MEMPELAJARI ILMU AGAMA (BUKAN PAKSAAN IBU BAPA)


Blog Ustaz Soffhan boleh dilayari di:

http://madrasahaliyah.blogspot.com/

Penjelasan Definisi Wahabi

LATAR BELAKANG


“Apa itu wahabi? Saya tak tahu apa itu wahabi. Beri saya definisi wahabi.”


Kita pun beri definisi wahabi, sudah lama pun. Melalui definisi itu, kita harap orang ramai tahu wahabi mana yang ditolak dan wahabi mana yang tidak kita ambil hirau. Definisi ini menerima komen-komen yang tidak enak daripada orang tertentu, yang tentunya berasa definisi itu memang kena dengan ciri-ciri dirinya, membuatkan dirinya tergolong ke dalam wahabi yang ditolak. Jika definisi itu tidak berkenaan diri kita, biasanya kita buat tak tahu saja.

Baca baik-baik tamsilan di bawah.


DEFINISI TENTERA SALIB


Kata Salahuddin al-Ayyubi (sebagai contoh saja): “Tentera salib yang mesti kita tentang itu (definisinya) ialah mereka yang mempunyai banyak ciri-ciri di bawah. Sesiapa yang mempunyai satu dua sahaja, bukan tentera salib. Yang mempunyai beberapa ciri-ciri di bawah, cenderung menjadi tentera salib. Ciri-cirinya:


Biasanya berbangsa Eropah, berkulit putih.

Biasanya tidak tahu berbahasa Arab.

Biasanya beragama Kristian.

Biasanya memakai baju tentera.

Biasanya membawa senjata.

Biasanya ada lambang salib pada tubuh mereka (baju/ perisai/ pedang/ rantai/ tatoo).

Biasanya sangat membenci orang-orang Islam.

Bergerak secara kumpulan.

Biasanya datang dari Eropah menuju ke Baitul Maqdis, dan lain-lain.”


Orang-orang yang tidak membaca dengan teliti (biasanya memang penyokong tentera salib) biasanya akan membuat bantahan. Mengapa? Kerana mereka ada ciri-ciri yang dinyatakan dalam definisi itu.


JAWAPAN KEPADA BANTAHAN MEREKA


Jika ada yang bertanya: “Apakah orang yang tidak tahu berbahasa Arab itu tentera salib Kristian?”

Jawapan kita mudah saja- tidak.


Jika ada yang memprotes: “Asal beragama Kristian saja maka orang itu tentera salib? Apa punya definisi ni?”

Jawapannya pun mudah juga- tentulah tidak.


Jika ada yang cuba berhelah: “Apa salah orang Eropah berkulit putih? Mereka tu tentera salib ke? Ini semua fitnah!”

Jawapannya tetap sama- pastinya tidak juga. Memfitnah jauh sekali.


AMBIL CONTOH UNTUK FAHAM

Richard seorang bangsa Eropah. Apakah dia seorang tentera salib Kristian?

Tidak.


Victor seorang yang beragama Kristian, tidak tahu berbahasa Arab dan sedang menuju ke Baitul Maqdis. Apakah dia seorang askar salib?

Mungkin. Dia cenderung sebagai salah seorang tentera salib, tapi kita tidak boleh mengkategorikan dia sebagai seorang tentera salib selagi belum cukup ciri-cirinya. Dengan orang jenis ini, kita ambil langkah berhati-hati.


Harold seorang Kristian, memakai pakaian tentera, datang dari Eropah menuju ke Baitul Maqdis, sangat membenci orang Islam, tidak tahu berbahasa Arab, bergerak berkumpulan dan membawa senjata. Apakah dia seorang tentera salib?

Ya. Ciri-cirinya memang kena dengan definisi ‘tentera salib’.


SESUAIKAN DENGAN DEFINISI WAHABI


“WAHABI itu ialah "MANUSIA YANG MEMILIKI BANYAK KRITERIA-KRITERIA BERIKUT (yang kurang daripada itu disebut CENDERUNG, yang kurang lagi disebut TIDAK DAPAT DIPASTIKAN dan setakat satu dua kriteria yang KURANG PENTING- sebagai BUKAN WAHABI)...”

(Baca seterusnya di http://virussalafiwahabi.blogspot.com/2009/11/definisi-salafi-wahabi.html )


Pak Abu memang tidak berqunut dalam solat Subuh dan meminati Ibnu Taimiyyah. Apakah dia mengamalkan fahaman Salafi Wahabi yang kita tolak itu?

Tidak. Kepada yang menuduh kami mengatakan Pak Abu seorang Wahabi, tolong jangan salah faham dan tolong jangan buat fitnah.


Pak Ali seorang yang tidak berqunut, minat Ibnu Taimiyyah, menolak tariqat-tariqat sufi dan suka melayari laman-laman web berbau Wahabi. Apakah dia mengamalkan fahaman Salafi Wahabi yang kita tolak itu?

Mungkin tidak, mungkin ya. Orang seperti ini dalam kategori cenderung. Kita masih belum boleh mengatakan dia seorang Wahabi sehinggalah jelas dia mempunyai banyak ciri-ciri Wahabi. Dengan orang jenis ini, kita ambil langkah berhati-hati sahaja. Jangan membuat fitnah mengatakan kami mengecop orang ini sebagai Wahabi.


Pak Asri seorang yang tidak berqunut, minat Ibnu Taimiyyah, menolak tariqat-tariqat sufi, begitu minat akan fahaman Ibnu Taimiyyah, banyak menyokong pegangan tentera Wahabi di Arab Saudi dulu, berpegang dengan tauhid uluhiyyah, mengamalkan campur-campur mazhab, menyokong laman-lam web berbau Wahabi, menolak kenduri tahlil arwah, menghukum berdosa orang yang menyambut Maulidrurasul dan membaca Yaasin berjemaah pada malam Jumaat. Apakah dia mengamalkan fahaman Salafi Wahabi yang kita tolak itu?

Ya. Orang seperti ini memang berfaham Wahabi kerana kena dengan definisi yang diutarakan. Kita hanya menolak orang jenis ini, bukan orang yang cenderung ataupun yang bukan Wahabi.


KESIMPULAN


Apabila dikatakan: “Anda tidak dibenarkan mengajar kerana anda menyebarkan fahaman Wahabi.”

Jangan lagi buat-buat tak tahu ‘wahabi’ mana yang dimaksudkan. Tidak lain ialah wahabi sebagaimana dalam definisi wahabi itulah.



Abu Zulfiqar

17 November 2009

Monday, November 16, 2009

Berdakwahlah, Jangan Menakutkan

Kehadiran para karkun ke kariah kita sememangnya membawa aura tersendiri yang sedikit-sebanyak diharap dapat memberikan suntikan iman dan amal kepada masyarakat. Aktiviti mereka ketika ‘keluar’ di masjid ataupun surau kita pada UMUMNYA BAGUS BELAKA. Namun begitu, terdapat juga beberapa perkara kurang enak yang sebenarnya BOLEH DIPERBAIKI, yang secara tidak langsung dapat MEMANTAPKAN lagi gerak kerja jemaah Tabligh. Salah satunya ialah ‘gesaan’ yang kurang berhikmah oleh SEBAHAGIAN para pekerja jemaah Tabligh.


Sudah menjadi fitrah kepada mana-mana perkumpulan Islam pun, KITA MAHU ORANG LAIN melibatkan diri dalam AKTIVITI-AKTIVITI YANG JEMAAH KITA ANJURKAN. Jemaah-jemaah tariqat mahu orang ramai menyertai halaqah mereka. Parti Islam mahukan orang ramai menyertai program mereka. Hizbut Tahrir juga mahu begitu. ABIM, JIM, ISMA, Haluan dan lain-lain pun sama, termasuklah jemaah Tabligh.


Persoalannya- kita bersungguh-sungguh mengajak orang lain menyertai program-program anjuran kita, apakah kita juga sebenarnya SUDAH MENUNJUKKAN CONTOH dengan bersedia mengikuti program-program anjuran pihak yang lain? Di mana adilnya jika kita menggesa orang datang ke kenduri di rumah kita sedangkan KITA SENDIRI TIDAK SUKA PERGI ke kenduri orang? Jika kita sendiri belum menunjukkan contohnya, sebaiknya jangan menggesa orang lain mengikuti program kita.


Di sinilah dakwah Tajdid Segar memainkan peranan. Sungguhpun kita sudah ada jemaah tertentu yang kita selesa untuk sehidup semati dengannya, tetapi sesekali ada baiknya kita mengikuti program jemaah-jemaah lain asalkan saja jangan sampai terabai pula komitmen kita dengan jemaah kita. Sesekali orang Tabligh menghadiri program orang Naqsyabandiah. Sesekali orang Parti Islam mengikuti program orang Tabligh. Sesekali orang ISMA bersama dalam program tarbiah orang jemaah an-Nur Said Nursi.


Dengan cara begini, lama-kelamaan minda para pekerja agama seluruh dunia akan terbuka lebih luas. Mereka dapat melihat BAGAIMANA UMAT INI BERGERAK dan ke mana halatujunya. Maklumlah, selama ini mereka HANYA MELIHAT bagaimana fikrah dukungan mereka bergerak, belum pernah memahami PERGERAKAN UMAT. Lebih menyedihkan ialah apabila ahli-ahli sesuatu fikrah itu ditanam dalam minda mereka bahawa pergerakan fikrah mereka itulah pergerakan umat.


Mengapa begitu? Kerana para pimpinan mereka masih selesa dengan DAKWAH TAJDID UNTUK KURUN YANG LALU iaitu bergerak secara berbilang jemaah SAHAJA. Padahal untuk kurun ini, kita mesti bergerak secara berbilang jemaah juga DAN mengusahakan untuk begerak sebagai satu umat.


Bicara soal dakwah tajdid segar, nanti akan panjang berjela pula artikel ini. Cukup setakat ini, dan kita kembali kepada “berdakwahlah, jangan menakutkan”.


Kita lihat ada karkun yang mempromosikan agar orang lain mengikuti aktiviti dakwah mereka BERLEBIH-LEBIHAN sehingga mendatangkan kesan negatif. Jemaah yang baru hendak pulang seusai solat ditahan dengan teknik-teknik tertentu oleh mereka. Oleh kerana hormat dan segan, orang itu pun terpaksalah mendengar percakapan di karkun. Kadang-kadang sudah dua tiga kali bergerak, masih dipaksa secara halus untuk mendengar dakwah si karkun. Di dalam masjid sudah ditahan, si karkun akan berusaha untuk memanjangkan dialog/ ceramahnya. Sampai di pintu masjid, ditahan lagi secara halus. Sudah pakai kasut pun ditahan lagi. Sudah sampai ke kenderaan pun si karkun masih bersyarah. Memang para karkun dilatih untuk bersyarah panjang. Kalau boleh prospek mereka jangan mencelah, dengar saja.


Dua tiga kali kena macam tu, akhirnya apabila jemaah Tabligh datang ke masjid, ramai jemaah tempatan yang TIDAK DATANG SOLAT BERJEMAAH. Dengar saja kata ada jemaah Tabligh datang berkampung, tiga empat harilah sebahagian orang tempatan solat di rumah. Mereka jadi takut kalau-kalau nanti diajak bersembang/ mendengar ceramah panjang. Asal tujuan para karkun ialah untuk membanyakkan hadirin ke masjid, tapi akhirnya membuatkan orang takut untuk datang. Begitulah yang selalu saya lihat dalam 18 tahun ini.


Sepatutnya kita mempromosi, bukan memaksa (walaupun secara halus). Apabila orang tidak selesa, langsung mereka tidak datang berjemaah. Apabila dakwah dilakukan dengan cara yang tidak berhikmah, beginilah jadinya.

Oleh itu, kepada SEBAHAGIAN penggerak dakwah jemaah Tabligh, ambillah teguran ini secara positif dan buatlah perubahan. Sampaikan isi kandungan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda yang tidak berkesempatan membacanya. Semoga kita dapat bergerak sebagai satu umat suatu hari nanti, insyaallah.



Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern

16 November 2009


Ijtima' Tabligh di Nilai, Negeri Sembilan 2009