Thursday, May 9, 2013

Perihal Sambutan Hari Jadi


Selalu orang bertanya tentang tarikh hari lahir saya, setiap tahun ada. Sememangnya saya tidak suka menulis tarikhnya kerana sejak kecil saya tidak menyambut hari ulangtahun kelahiran, kecualilah jika dikehendaki untuk menulisnya pada borang-borang tertentu. Cuma selepas berkahwin, tentunya isteri suka untuk meraikan suaminya, maka disambutlah juga, asal ada. Dengan kehadiran anak-anak ke dalam hidup kami, mereka pun suka untuk meraikan bapa mereka, maka jadilah ia upacara tahunan, tetapi sekadar ada sahajalah.

Mengapa tidak sambut hari lahir pada waktu kecil, remaja dan dewasa? Berdosakah sambut hari ulangtahun kelahiran? Tidak. Sebenarnya kerana dulu hidup susah. Apabila sudah biasa tidak menyambut hari lahir (kadang-kadang terlupa, terlepas tarikh baru teringat), lama kelamaan hal itu sudah menjadi perkara biasa. Sehinggalah dewasa, saya tidak berasa apa-apa pun apabila tiba tarikh hari lahir. Tidak berasa kurang apa-apa pun jika tidak menyambutnya.

Susah yang bagaimanakah sampaikan tidak sambut langsung hari lahir semasa kecil? Saya ceritakan tentang makanan harian kami, dari situ para pembaca boleh mengagak susah yang bagaimana.

Saya dan sepupu saya tinggal dengan opah sejak kecil. Bertigalah kami serumah. Kalau hari ini opah goreng ikan masin, hari ini kami makanlah ikan dan minyak gorengannya. Ikan pun dua tiga ekor sahaja, habislah untuk hari itu. Untuk esok dan lusa? Kami berlaukkanlah lebihan minyak goreng ikan masin dalam kuali sahaja dengan nasi. Hari keempat, opah goreng lagi dua tiga ekor ikan masin. Biasanya begitulah seterusnya berulang-ulang, selama bertahun-tahun. Air paling hebat yang ada? Air teh. Air sirap pun beberapa kali sahaja dibancuh dalam setahun.

Dalam keadaan sebegitu, hendak buat kenduri, hendak beli kek, hendak beri hadiah…..memang tak ada peluang. Opah pula tidak pernah bersekolah, tidak tahu membaca, mana dia ambil tahu sambutan “birthday”. Tarikh lahir kami pun tidak diketahuinya, termasuklah tarikh lahirnya sendiri. Oleh itu kami sudah biasa tidak ambil endah tentang sambutan hari ulangtahun kelahiran. Ucapan “Selamat Hari Jadi” pun tidak menjadi budaya kami.

Sebab itulah sehingga dewasa saya tidak hiraukan kedatangan tarikh ulangtahun kelahiran. Sampai sekarang pun saya kurang ambil hirau. Dan saya tidak terasa hati langsung jika orang tidak memberi ucapan selamat ataupun terlupa tarikh lahir saya. Namun begitu, tarikh lahir isteri dan anak-anak memang saya ingat dan buat sambutan kecil, untuk memperkasakan kasih sayang sesama kami. Dan yang paling penting ialah doa selamat yang saya baca dan diaminkan oleh isteri dan anak-anak.

Abu Zulfiqar
9 Mei 2013

Saturday, May 4, 2013

Saranan2 kepada yang Bakal Memerintah

Kepada sesiapa pun yang memerintah negara selepas PRU 13 ini nanti, tanpa mengira pihak mana yang diwakilinya, suka dicadangkan hal-hal berikut kepada mereka.

PERANG POSTER

Berusaha untuk menamatkan perang bendera, poster, sepanduk, papan tanda dan seumpamanya antara parti-parti politik pada musim pilihanraya. Sangat jelas kepada kita bawa perang sebegini melibatkan berbelanjaan yang sangat besar. Adalah lebih baik jika perbelanjaan ini dihalakan kepada kebajikan rakyat ataupun sekurang-kurangnya kepada kebajikan ahli-ahli sesuatu parti politik itu. Banyak negara-negara maju yang tidak mengamalkan perang sebegini.

Perang bendera juga menghabiskan banyak masa manusia, seringkali juga menimbulkan perbalahan, pernah mendatangkan kecederaan dan kehilangan nyawa, menjadi sampah bertebaran apabila tidak terjaga, menjadi panji-panji yang menyedihkan apabila terperosok ke longkang atau dipijak-pijak orang, malah boleh membawa kepada wujudnya sifat-sifat mazmumah tertentu kepada sebilangan orang.

Sebagai gantiannya, apabila tiba musim pilihanraya, cukuplah jika diletakkan papan tanda besar (atau seumpamanya) yang memaparkan gambar semua calon yang bertanding di kawasan itu, lambang parti yang diwakili mereka, dan satu cogan kata masing-masing. Papan tanda besar ini diletakkan di lokasi-lokasi strategik dan tidak perlu banyak. Tujuan kita hanya untuk memperkenalkan calon dan pihak yang diwakilinya, maka tidak perlu berperang bendera. Bendera-bendera (dan seumpamanya) eloklah diletakkan di bilik-bilik gerakan, tempat ceramah, marakas , tempat perkhidmatan atau seumpamanya sahaja, dan boleh dibawa pada hari penamaan calon, mengiringi calon dan pada hari pengundian. Tak perlu banyak, cukup sekadar ada sahaja.

Pembiayaan papan tanda yang dimaksudkan di atas tadi boleh sahaja menggunakan wang SPR, atau pihak-pihak yang bertanding, atau hadiah daripada parti yang sebelum itu menjadi pemerintah, atau lain-lain yang dirasakan wajar.

Nilai agama yang kita perjuangkan – berjimat, bijaksana, saling hormat-menghormati, bekerjasama, bersaing secara sihat, kebajikan, tenang, memelihara panji kebesaran masing-masing.

PEMBERIAN SEPANJANG TEMPOH BERKEMPEN

Berusaha untuk menghentikan segala bentuk pemberian  terutamanya yang berbentuk kebendaan oleh parti-parti politik ataupun yang tidak berparti sekurang-kurangnya pada sepanjang tempoh berkempen iaitu antara penamaan calon sehinggalah ke hari pilihanraya. Kita sedia maklum, sangat banyak masa lain yang boleh digunakan untuk menghulurkan wang atau barangan sebelum menjelang pilihanraya, maka mengapa mesti kita tunggu pada musim pilihanraya baru hendak menunjukkan bakti dan jasa? Jika tergelincir niat, silap-silap boleh menjadi “rasuah politik”.  

Oleh itu perlulah diwujudkan peraturan yang melarang sebarang bentuk pemberian sebegini pada sepanjang tempoh berkempen, sama ada melalui majlis rasmi ataupun secara tidak rasmi. Mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini hendaklah dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Nilai agama yang kita perjuangkan – ikhlas.  

SAGUHATI PENGUNDI PULANG MENGUNDI

Berusaha untuk menyediakan perbelanjaan perjalanan pulang mengundi (ataupun sekuarng-kurangnya saguhati) bagi pengundi-pengundi yang tinggal jauh tanpa mengira parti politik, contohnya dalam bentuk pemberian terus ataupun secara tuntutan, ataupun cara lain yang difikirkan wajar. Hal ini bersesuaian dengan niat kita yang mahu setiap warganegara ambil peduli dan mahu sama-sama bertanggungjawab terhadap negara.  Saguhati perjalanan pulang ini dapat meningkatkan peratusan pengundi membuang undi.

Apa yang berlaku sekarang, pihak-pihak yang bertanding pula yang memberi saguhati kepada para pengundi untuk pulang, untuk mengurangkan perbelanjaan pulang mereka.

Nilai agama yang kita perjuangkan – memudahkan, menggalakkan yang baik, ikhlas, mahu sama-sama bertanggungjawab.

RUANG BERKEMPEN DI MEDIA ELEKTRONIK

Berusaha untuk memberikan peluang berkempen kepada semua parti melalui siaran televisyen dan radio, jika sekalipun tidak sampai ke peringkat sama berat (sama banyak ruang) tetapi biarlah lebih berbanding apa yang diberi selama ini.

Nilai agama yang kita perjuangkan – adil, berani.

MASALAH HUTANG NEGARA

Berusaha keras untuk menyelesaikan masalah hutang negara, ataupun mengurangkan, ataupun menyekat kenaikan, ataupun paling  kurang pun melambatkan kadar kenaikan hutang negara dengan sesegera mungkin. Hal ini kerana dalam beberapa tahun kebelakangan ini jumlah hutang negara meningkat dengan banyaknya dalam masa yang singkat. Dari RM 250 billion pada tahun 2008 kepada RM 550 billion pada tahun 2013. Bayangkan “bunga”nya. Hutang membuatkan kita diperhambakan oleh pihak yang memberi hutang tanpa mengira sebanyak mana harta simpanan kita dan pendapatan kita. Jika dibiarkan berterusan, negara kita akan tergadai seperti negara Greece. Anak cucu kitalah yang akan menanggung hutang-hutang ini. Walaupun kadar hutang negara belum sampai ke tahap yang berbahaya, namun jika dibiarkan berterusan tentunya akan masuk ke zon berbahaya juga. Oleh itu kita mengharapkan agar dapat segera dikurangkan daripada 53 % daripada GDP (pendapatan negara kasar) pada hari ini kepada 50 % sahaja.

Nilai agama yang kita perjuangkan – bertanggungjawab, menyelamatkan, berusaha gigih, bermatlamat dan berobjektif, berpandangan jauh.

ETIKA DALAM PARLIMEN

Berusaha mewujudkan peraturan agar persidangan Dewan Rakyat berjalan dalam lebih suasana orang-orang yang beriman dan beradab menurut agama Islam. Hal ini selaras juga dengan nilai-nilai dalam agama Hindu, Buddha, Tao, Kristian dan lain-lain. Segala bentuk kutukan, makian, ejekan, “booo”an, budaya ala samseng, lawak jenaka murahan dan  merendah-rendahkan lawan, dan seumpamanya hendaklah dikekang. Sebaliknya gantikan dengan persidangan  yang berisi hujahan berfakta, saranan-saranan, penilaian, bertukar-tukar fikiran, saling menghormati, kurang meninggi suara dan sebagainya.

Nilai agama yang kita perjuangkan – bina sifat-sifat mahmudah dan tundukkan sifat-sifat mazmumah, qudwah hasanah.

KETUA NEGARA

Berusaha meletakkan seorang yang mampu dan layak menjadi imam solat sebagai ketua negara (Perdana Menteri). Sudah lama umat Islam negara ini merindukan pemimpin yang seperti Rasulullah, Khulafa Ar-Rasyidin, Sultan Muhammad Al-Fateh dan lain-lain yang selalu memimpin mereka dalam ibadah solat.

Nilai agama yang kita perjuangkan – pemimpin yang bertanggungjawab, menjadi contoh ikutan yang baik, memimpin rakyat untuk dunia dan akhirat, berani.

Berusaha melantik ketua negara yang gigih memperjuangkan (bukan sekadar mengakui tapi tidak memperjuangkan bersungguh-sungguh, apatah lagi jika menolak) penutupan aurat khususnya bagi ibu-ibu orang-orang Islam, isteri-isteri orang-orang Islam, gadis-gadis Islam, anak-anak Islam, kaum lelaki juga, dan yang lebih utama ialah diri, keluarga dan orang-orang di bawah ketua negara itu sendiri.

Nilai agama yang kita perjuangkan – patuh perintah/larangan Tuhan tanpa soal, menyelamatkan diri dan umat, berani, menjadi contoh yang hasanah.

Bukan ini sahaja, banyaklah lagi. Jadi kepada mana-mana pihak pun yang menang dan membentuk kerajaan selepas ini, tolonglah mengusahakan hal-hal di atas dengan bersungguh-sungguh.

Abu Zulfiqar
2 Mei 2013