Monday, March 8, 2021

Mengapa Lambat Maju dalam Bertarekat Ghazaliyah?

Ada pengamal Tarekat Ghazaliyah yang menyuarakan kekurangan ketenangan qalbunya walaupun sudah bertarekat Ghazaliyah. Dirasakan pencapaiannya agak lambat dan kurang maju, tidak sebagaimana yang diharap-harapkan. Disuarakan isi hatinya kepada sahaya agar diberi pencerahan.

Respon sahaya, cuba semak perkara-perkara yang disenaraikan di bawah nanti. Adakah sebahagian besar daripadanya memang dilaksanakan? Atau pun lebih banyak yang tidak dilaksanakan? Buat senarai semak dan kira sendiri markah diri per 20.


Hasilnya nanti bolehlah dibuat rumusan sendiri :

i. Mengapa aku lambat maju dalam Tarekat Ghazaliyah? (Biasanya jawapan yang diperolehi adalah kerana kemalasan dan kelalaian diri sendiri)

ii. Adakah aku benar-benar BERtarekat Ghazaliyah atau pun aku hanya MENGAMBIL TAHU tentang Tarekat Ghazaliyah?


MENGAPA LAMBAT MAJU DALAM BERTAREKAT GHAZALIYAH?


  1. SELALU tak berdoa kepada Allah minta dimajukan dan dilajukan dalam Tarekat Ghazaliyah? (Kadang-kadang atau jarang-jarang tidak dikira)

  2. Dalam sehari-hari, MEMBIASAKAN (membanyakkan) tak melafazkan "Allah, Allah, Allah" di mulut, di hati atau pada kedua-duanya sekali?

  3. Zikir Harian yang 1,000 kali sehari itu bereskah setiap hari?

  4. 10 Bacaan Harian selesai tak setiap hari?

  5. Ada baca Al-Quran pada setiap hari sekurang-kurangnya semuka dua?

  6. Ada AMBIL TAHU tak serba-sedikit tentang maksud ayat-ayat yang dibaca itu?

  7. Ada baca kitab Ihya' 'Ulumuddin pada setiap hari (atau sebarang kitab tasawuf karya Imam Al-Ghazali atau karya-karya orang lain yang berkaitan dengan Ihya')?

  8. Ada ikuti pengajian kitab Ihya' (atau kitab-kitab yang berkaitan) sekurang-kurangnya seminggu sekali (sama ada secara berhadapan atau melalui teknologi)?

  9. Amalan-amalan sunnah sebelum tidur ada dibuat tak setiap malam?

  10. Wirid pagi dan petang setiap hari istiqamah dibuat?

  11. (Yang lelaki) membiasakan solat fardhu berjemaah di masjid (surau dan seumpamanya)? (*Musim Covid ini bolehlah dilonggarkan sedikit pada bahagian ini kerana kita faham ada kekangan-kekangan tertentu).

  12. Ada buat solat sunat pada setiap hari?

  13. Lebih 10 rakaat tak solat-solat sunat yang dibuat tu pada setiap hari?

  14. Ada bertahajud pada setiap hari?

  15. Bereskah solat witir pada setiap hari?

  16. Ada melakukan rabitah akan mursyid dan ikhwan pada setiap hari sekurang-kurangnya sekali?

  17. Sudah tutup aurat dengan sempurna kerana Allah, atau sudah tutup tetapi belum sempurna?

  18. Masih lebih banyak bersibuk-sibuk dalam wilayah kalam/usuluddin atau pun sudah LEBIH BANYAK bersibuk-sibuk dalam wilayah tasawuf/ihsan?

  19. Banyak tak memandang hakikat pada setiap hari?

  20. Ikhlas tak hati SEPANJANG bertarekat Ghazaliyah ini? Atau pun ada tak ikhlas?


(*Soalan-soalan ini baru untuk amalan peringkat awwam dan peringkat awwal ad-diin sahaja. Belum untuk peringkat pertengahan, peringkat akhir ad-diin dan seterusnya)


Dapatan hamba Allah ini hanyalah 8/20.


Jelas, puncanya bukan daripada tarekat, mursyid, ikhwan dan lain-lain tetapi lebih kepada kemalasan dan kecuaian diri sendiri. Memang benar dia ada mempelajari Tarekat Ghazaliyah tetapi dari segi BERtarekat Ghazaliyah itu sendiri agak kurang. Jalannya sudah dipilih dan diketahui, tetapi lemah dalam berusaha untuk melangkah di sepanjang jalan itu.


Jika kita tidak melaksanakan sebahagian besar daripada amalan-amalan yang dianjurkan dalam Tarekat Ghazaliyah ini, sememangnyalah kita tidak akan berasa maju dan sedap hati. Sesiapa yang istiqamah mengamalkan sebahgaian besar daripada hal-hal di atas, insya-Allah barulah datang rasa lazatnya bertarekat Ghazaliyah. Cuba amal dan istiqamahkan, insya-Allah akan terasa jauh bezanya.


Kita nak Tarekat Ghazaliyah tetapi kita tak mahu BERtarekat Ghazaliyah. Sebab itulah tidak berapa berjaya. Cuba istiqamah yang atas itu dulu. Insya-Allah akan alami perubahan yang pantas. Cuba capai 15/20 dan bandingkan keadaan kita sekarang dengan keadaan pada ketika itu.


Teruskan mencontohi para sufi paling utama dalam umat ini iaitu R4S (Rasulullah SAW, 4 orang sahabat paling utama, dan sahabat-sahabat utama yang lain).


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

7 Mac 2021

No comments: