Thursday, June 5, 2014

Terjemahan Bab Tauhid Kitab Ihya Ulumuddin ms 328-329



Oleh kerana para pembaca dan pengikut pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin mengalami kesukaran untuk memahami terjemahan kitab Ihya’ dalam Bahasa Melayu Indonesia, maka saya alihkan ke dalam bahasa Melayu Malaysia dua mukasurat awal (ms 328-329) daripada Kitab Qa’idah-qa’idah I’tiqad. Semoga dapat memudahkan anda semua.

Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini terdiri daripada 40 kitab dan Kitab Qa’idah-qa’idah I’tiqad ialah kitab ke-2. Saya perhatikan, apabila syarahan kita sudah masuk kitab ke-2 ini, lebih ramai orang cenderung untuk mengikutinya kerana kitab ke-2 ini membicarakan soal tauhid, ‘aqidah, hakikat dan seumpamanya.

Ada beberapa kali saya jelaskan dalam tulisan mahupun perkataan bahawa untuk memahami kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini, kita mestilah melalui kitab pertama iaitu Kitab Ilmu terlebih dahulu. Hal ini kerana panduan dan kunci untuk memahami kitab-kitab seterusnya terletak pada Kitab Ilmu.

Bukan saja-saja tuan imam kita (Al-Ghazali) meletakkan Kitab Ilmu sebagai kitab pertama dan panjang lebar pula huraiannya, bahkan mendahului Kitab Tauhid. Kitab Tauhid pun diletaknya sebagai kitab kedua. Bayangkanlah betapa mustahaknya Kitab Ilmu ini pada Imam Al-Ghazali. Umumnya, kita tak akan dapat memahami kitab-kitab seterusnya dalam Ihya’ ‘Ulumuddin dengan sejahtera jika kitab pertamanya tidak dilumatkan terlebih dahulu. Kita jangan terpengaruh dengan orang-orang yang tidak mengerti (tidak kira apa kedudukan mereka) yang meninggalkan Kitab Ilmu atau meringkaskannya sahaja.

Kalau kuncinya ditinggalkan, bagaimana mahu membuka pintu-pintunya? Melainkan melihat dari tingkap sahajalah. Takkanlah kita berpuas hati dengan melihat dari tingkap sahaja?

Namun begitu, kita tidaklah menghalang sama sekali mereka yang mahu terus kepada Kitab Tauhid (Qa’idah-qa’idah Itiqad), silakan. Cuma pemahaman yang bakal diperolehi nanti mungkin tidaklah sampai sebagaimana yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali.

Berbalik kepada terjemahan kita yang dua muksurat ini (ms 328-329), kita menghuraikannya dalam 10 kali kuliah iaitu majlis pengajian kali ke-83 hingga ke-92. Di Youtube, rakamannya ialah dari fail ke-549 hingga 596. Ada 47 fail yang setiap satunya lebih kurang 10 minit.

Selamat membaca dan lebih memahami berbanding sebelumnya.


KITAB QA’IDAH-QA’IDAH I’TIQAD


 Dengan nama Allah Ar-Rahmaan (Yang Maha Pemurah) lagi Ar-Rahiim (Yang Maha Penyayang).

Kitab Qa’idah-qa’idah I’tiqad (Kaedah-kaedah Iktikad iaitu kitab kedua daripada 40 kitab dalam kitab besar Ihya’ ‘Ulumuddin)

Di dalamnya terdapat 4 fasal.

Fasal yang pertama : Menghuraikan ‘aqidah Ahlus Sunnah tentang Dua Kalimah Syahadah, iaitu salah satu daripada dasar-dasar Islam.

**********

Maka berkatalah kami (Imam Al-Ghazali) dengan memohon taufiq daripada Allah Ta’ala :

Segala puji bagi Allah yang menjadikan, yang mengembalikan, yang berbuat barang sekehendakNya (yang melakukan apa sahaja yang dimahukanNya), yang mempunyai ‘Arasy yang mulia, Yang Gagah Perkasa, yang memberi petunjuk kepada hamba-Nya yang bersih dengan cara yang betul dan jalan yang benar, yang memberikan nikmat kepada mereka sesudah pengakuan tauhid dengan terjaga ‘aqidahnya daripada kegelapan dan kesangsian, yang membawa mereka kepada mengikuti rasulNya yang pilihan, dan mengikuti peninggalan para sahabatnya yang mulia yang dikurniakan dengan kekuatan dan kebenaran, yang menampakkan kepada mereka tentang zatNya, af’alNya dan segala sifatNya yang baik, yang tidak akan mengetahuinya selain orang yang dilimpahkan pendengaran, dan Dia itu yang menyaksikan, yang memperkenalkan kepada mereka bahawa zatNya itu Esa, tidak ada sekutu bagiNya, tunggal tiada yang menyamaiNya, lengkap rahmatNya, tiada yang melawaniNya, sendirian tiada yang menyekutuiNya.

Sesungguhnya Dia Esa, qadim tiada berpermulaan, azali tiada berpendahuluan, berkekalan wujudNya tiada berkesudahan, abadi tiada berpenghabisan, tegak (berdiri) sendiri tiada yang menghalangiNya, kekal tiada putusnya, sentiasa dan selalu bersifat dengan segala sifat kebesaran, tidak habis dengan kehabisan dan pemisahan dengan penggantian abad dan musnahnya zaman, tetapi Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin. Dia amat mengetahui setiap sesuatu.

**********

Kemahasucian.

Sesungguhnya Dia (Allah) bukanlah tubuh yang ada rupa, bukan jauhar (bukan benda) yang berbatas dan berhingga. Dia tidak serupa dengan segala tubuh, tidak pada kira-kiraan dan tidak pula dapat dibahagi-bahagikan.

Tidaklah Dia jauhar, dan tidaklah Dia ditempati oleh jauhar-jauhar (Dia bukan benda, dan Dia juga tidak ditempati oleh apa benda pun. Tidak ada apa-apa makhluk yang bertempat pada Dia).

Tidaklah Dia itu ‘aradh (sifat seperti merah, gemuk, sejuk, berkilat, kasar dan sebagainya) dan tidaklah Dia ditempati oleh ‘aradh-‘aradh.

Bahkan Dia tidak menyerupai apa sahaja yang ada (yang maujud, iaitu seluruh makhluk) dan tidak ada sesuatu yang maujud menyerupai Dia. Tidak ada sesuatu yang sepertiNya dan tidaklah Dia seperti sesuatu.

Dia tidak dibatasi oleh sesuatu batas (had, sempadan, tepi) dan tidak mengandung sesuatu jurusan, tidak diliputi oleh pihak (tidak berposisi, tidak berkedudukan di mana-mana), tidak dibatasi oleh bumi dan langit.

Dia beristiwa’ atas ‘Arasy menurut firmanNya dan menurut erti yang dikehendakiNya, istiwa’ yang suci daripada tersentuh dengan sesuatu, suci daripada tetap dan tenang, suci daripada mengambil tempat (ruang, posisi) dan (suci daripada) berpindah.

Dia tidak dibawa oleh ‘Arasy tetapi ‘Arasy dan pembawa-pembawa ‘Arasylah yang dibawa dengan kelemah-lembutan qudrahNya,  yang digagahi dalam genggamanNya.

Dia “atas” daripada ‘Arasy dan langit, dan “atas” segala-galanya sampai kepada segala lapisan bumi, (tetapi) “keatasan” yang tidak menambahkan dekatnya kepada ‘Arasy dan langit, sebagaimana tidak menambahkan jauhNya dari bumi dan lapisan tanah. Tetapi Dia di tingkat yang maha tinggi dari  ‘Arasy dan langit, sebagaimana Dia di tingkat yang maha tinggi dari bumi dan lapisan tanah.

Dalam pada itu, Dia “dekat” sekali dengan segala yang maujud (dekat dengan makhluk). Dan maha “dekat” kepada hambaNya, lebih “dekat” daripada urat leher hambaNya itu sendiri.

Dia menyaksikan segala sesuatu. Tidak menyerupai kehampiranNya dengan kehampiran d antara tubuh-tubuh, sebagaimana tidak menyerupai zatNya dengan segala zat tubuh-tubuh itu.

Dia tidak bertempat pada sesuatu dan tidak ada sesuatu yang bertempat padaNya. Maha Suci Dia daripada dipengaruhi oleh tempat, sebagaimana Maha Suci Dia daripada dibataskan (dipengaruhi) oleh waktu. Tetapi Dia sudah sedia ada sebelum dijadikan zaman (masa, waktu) dan tempat (ruang, atas bawah, sana-sini, langit bumi, kiri kanan, depan belakang dan sebagainya). Dia sekarang menurut apa yang Dia ada (sebagaimana diriNya pada azali, begitulah diriNya sekarang dan akan datang, langsung tidak mengalami sebarang perubahan).

Dia tidak sama dengan makhlukNya dengan segala sifatNya.. Tidak ada sesuatu yang sama dengan zatNya dan tidaklah zatNya sama dengan sesuatu.

Dia Maha Suci daripada perubahan dan perpindahan. Tidaklah bertempat padaNya segala kejadian dan tidaklah mempengaruhiNya segala yang mendatang.

Tetapi sentiasalah Dia dalam segala sifat kebesaranNya, tidak memerlukan kepada penambahan kesempurnaan lagi.

Tentang zatNya, diketahui adaNya dengan akal fikiran, dilihat zatNya dengan mata hati sebagai suatu nikmat daripadaNya sebagai kasih sayangNya kepada orang-orang yang berbuat baik dalam negeri ketetapan nanti sebagai suatu kesempurnaan daripadaNya dengan kenikmatan memandang kepada wajahNya yang Maha Mulia.

(tamat muka surat 329)

Sunday, June 1, 2014

Apa Untungnya Belajar dan Mengajar Agama? (kuliah)


- Tajuk : Apa Untungnya Belajar dan Mengajar Agama?
- Majlis pengajian kitab Ihya' 'Ulumuddin kali ke-4 di Srau Al-Akbar, Sungai Kerang, Trong, Perak.
- Apakah kelebihan-kelebihan (fadhilat-fadhilat) ilmu?
-
- Zaman Nabi Sulaiman - Kisah pemindahan singgahsana Ratu Saba'/Sheba (Ratu Balqis) oleh Asif bin Barkhiya
- Apakah kitab-kitab suci pada zaman Nabi Sulaiman?
- Di manakah sisa-sisa kitab Taurat dan kitab Zabur hari ini?
-
- Dengan apakah kita hendak memahami perumpamaan-perumpamaan dalam Al-Quran?
- Sedikit tentang kitab Misykatul Anwar.
-
- Adakah lagi nabi-nabi selepas Nabi Muhammad saw?
- Tentang Sai Baba dan penipuannya.
- Taktik menghasilkan darah dalam pertarungan gusti.
- Benarkah Sai Baba itu Dajjal?
-
- Sebesar manakah perbezaan antara orang yang berilmu dengan orang yang 'abid (yang rajin beribadah).
- Mengapakah ilmu lebih baik daripada harta?
- .
- Nabi Sulaiman dikehendaki memilih antara ilmu, harta dan kerajaan. Yang manakah pilihannya?
- Dengan apakah manusia boleh menjadi mulia?
- Berbelas tahun tidak pergi ke majlis-majlis ilmu agama?
-
- Tinta para ulama lebih berat timbangannya berbanding darah para syuhada'?
- Bagaimanakah cara ilmu semakin hilang?
-
- Apakah tafsiran doa : "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah."
-
- Apakah untungnya kita menuntut ilmu? Apa antara sandaran-sandarannya?
- Menuntut ilmu satu jihad!
- Apakah untungnya jika kita menyampaikan ilmu?
- Penyampai ilmu didoakan oleh para malaikat, isi langit dan bumi, semut-semut dan ikan-ikan!
-
- Menurut Yahya bin Mu'az, para ulama lebih mengasihi kita berbanding ibu bapa kita sendiri. Bagaimana penjelasannya?
-
- Bagaimana antara cara untuk mengukuhkan ingatan terhadap pelajaran?
-
- Dalil-dalil akal tentang kelebihan ilmu.
- Apa maksud fadhilat?
- Ada lebih yang orang mahu dan ada lebih yang orang tak mahu. Macam mana tu?
-
- Sebab-sebab manusia cari sesuatu yang bernilai... apakah sebab-sebabnya?

Mengapa Ilmu2 Agama Sangat Penting? (kuliah)


...


- Taman syurga di dunia & taman syurga di akhirat.
- Apa itu ilmu?
- Apa itu guru?
- Apakah 3 tungku fardhu 'ain?
- Apa itu tauhid, fiqh dan tasawuf?
- Benarkah kubur akan dilapangkan 70 hasta?
- Alam jin, alam manusia, alam barzakh.
- Bagaimanakah pembahagian isi kitab Ihya' 'Ulumuddin?
- Apa itu perbuatan2 yang membinasakan?
- Apa itu perbuatan2 yang menyelamatkan?
- Apakah hukum menuntut ilmu agama?
- Apa itu fatamorgana dunia?
- Apakah dua jalan ke akhirat?
- Apa peranan ilmu mu'amalah?
- Apa itu ilmu mu'amalah yang zahir dna yang batin?
- Sampai manakah had ilmu fiqh dan had ilmu tasawuf?
- Apa beza antara ilmu solat dengan rahsia solat.
- Perbandingan keutamaan ilmu perubatan vs ilmu kerohanian.
- Kitab Ihya' terbitan baharu.
- Tazkirah Facebook 48.
- Apakah kelebihan terjun ke dalam lautan ilmu agama?
- Perbezaan ulama vs abid.
- Mengapa disebut "Imam Turmizi"?
- Kisah Puteri Balqis dan doa orang kahwin.
- Kisah orang makan roti canai 24 keping.
- Apakah tafsir "Rabbana atina fiddunya....".
- Pelajaran akan datang....


Pengajian kitab Ihya' 'Ulumuddin kali ke-3 di Surau Al-Akbar, Sungai Kerang, Trong, Perak oleh Abu Zulfiqar.

Pengenalan Ilmu Mukasyafah dan Ilmu Muamalah (kuliah)




Apakah ilmu mukasyafah dan ilmu mu'amalah?
Apakah peranan ilmu mu'amalah?
Apakah had paling bawah dalam ilmu mukasyafah?
Apakah bahagian2 ilmu mu'amalah?
Apakah ilmu mu'amalah yang zahir dan yang batin?

Majlis pengajian kitab Ihya' 'Ulumuddin di Surau Al-Akhbar, Sungai Kerang, Trong, Perak pada 26 Mac 2014 / 24 Jamadil Awwal 1435.