Saturday, April 24, 2021

Siapakah Penulis Sebenar Buku2 Itu?


 

 

Sudah tiga orang bertanya, adakah kitab dan buku-buku sahaya itu memang sahaya yang karang sendiri? Ataupun ada orang lain yang tolong tulis?


Dengan izin Allah SWT, setakat ini semuanya sahaya tulis sendiri. Maksudnya karya-karya itu sememangnya "OLEH Abu Zulfiqar", bukannya "MENURUT Abu Zulfiqar".


APAKAH PERBEZAAN ANTARA "OLEH" DAN "MENURUT"?


Sekadar contoh rekaan, katakanlah ada buku bertajuk :

i. Islam dan Kristian OLEH Ahmad Deedat. Maksudnya buku ini diusahakan sendiri oleh Syeikh Ahmad Deedat.

ii. Islam dan Kristian MENURUT Ahmad Deedat. Maksudnya buku ini diusahakan oleh orang lain, cuma isi kandungannya dikatan sebagai bersesuaian dengan pandangan Syeikh Ahmad Deedat.


Namun hal sebegini jarang sangat dimaklumkan pada kulit hadapan atau belakang sesebuah buku. Biasanya orang akan terus meletakkan tajuk buku "Islam dan Kristian" dan kemudian diletakkan nama "Ahmad Deedat". Apabila kita meneliti bahagian dalam buku tersebut, barulah kadang-kadang ada dinyatakan bahawa buku itu bukannya tulisan Ahmad Deedat sendiri. Ada juga yang langsung tidak dberi sebarang petunjuk sehinggakan kita menyangkakan benar-benar buku itu karangan Ahmad Deedat.


Sebab itulah ada tokoh-tokoh yang kelihatan seperti telah menghasilkan puluhan kitab dan buku, tetapi jumlah sebenar yang ditulisnya sendiri hanyalah beberapa buah sahaja. Hal ini kerana puluhan kitab dan buku lagi itu diusahakan oleh orang lain, atas persetujuan si tokoh. Ada juga yang tanpa persetujuan dan pengetahuan si tokoh.


BAGAIMANAKAH CARANYA?


Antara yang biasa berlaku :


i. Penulis atau penulis-penulis itu akan meneliti rakaman kata-kata (ucapan, ceramah, kuliah dan sebagainya) si tokoh. Kemudian mereka akan memindahkan kata-kata si tokoh ke dalam bentuk teks untuk dibukukan. Si tokoh diminta untuk meneliti isi kandungan buku itu untuk disahkannya. Walaupun tidak sekualiti kerja tangan (tulisan) si tokoh itu sendiri, tetapi kualitinya masih bagus juga kerana disemak oleh si tokoh.


ii. Penulis atau penulis-penulis itu akan meneliti rakaman kata-kata (ucapan, ceramah, kuliah dan sebagainya) si tokoh. Kemudian mereka akan memindahkan kata-kata si tokoh ke dalam bentuk teks untuk dibukukan. Tetapi tokoh itu tidak diminta pun untuk meneliti isi kandungan buku itu. Tahu-tahu buku atas namanya itu sudah pun keluar. Jenis sebegini, kenalah kita sangat berhati-hati. Kualitinya memang bermasalah kerana isi kandungan buku itu belum tentu sama dengan pandangan sebenar si tokoh.


iii. Penulis atau penulis-penulis itu mendengar sendiri kata-kata si tokoh tetapi tidak merakamkannya. Mereka menulis semula kata-katanya berdasarkan ingatan atau catatan nota mereka. Kemudian mereka meminta semakan dan pengesahan daripada si tokoh. Walaupun tidak sekualiti tulisan penulis sendiri atau jenis (i), tetapi masih baik juga kerana disemak oleh si tokoh.


iv. Penulis atau penulis-penulis itu mendengar sendiri kata-kata si tokoh tetapi tidak merakamkannya. Mereka menulis semula kata-katanya berdasarkan ingatan atau catatan nota mereka. Kemudian mereka terus mengeluarkan buku tersebut tanpa meminta semakan dan pengesahan daripada si tokoh. Kualitinya lebih bermasalah daripada jenis (ii).


APAKAH RISIKO YANG MUNGKIN?


Contoh (sebenar) :

Ada buku Ahmad Deedat tetapi isi kandungannya ada yang tidak sama dengan pandangan Ahmad Deedat sendiri. Orang menyangkakan isi kandungan buku itu memang pegangan Ahmad Deedat, lalu orang menjadikannya sebagai pegangan dan hujah mereka. Mereka pun menyebarkan dan memperjuangkan isi kandungan buku itu, malah menjadikannya sebagai sandaran mereka. Alih-alih, orang lain dedahkan dan terbukti bahawa itu bukanlah pegangan dan pandangan sebenar Ahmad Deedat. Ahmad Deedat sendiri ada menafikan buku-buku tertentu yang menggunakan namanya sebagai pengarang.


Letihlah kita hendak menarik balik pegangan dan hujah-hujah, memohon maaf, dan membuat pembetulan di sana-sini. Selain itu, orang akan memandang kita sebagai seorang yang cuai dan mungkin seorang penipu. Jika hal itu berkaitan dengan 'aqidah dan tauhid, lagilah amat besar tanggungannya.


PENGALAMAN MANUSIA


i. Ada orang yang membeli kitab yang pada muka hadapannya tertulis nama seorang ulama besar. Bukunya agak tebal, besar dan berharga. Setelah diteliti di rumah, ternyata penulisnya bukanlah ulama itu dan buku itu hanyalah ringkasan kepada kitab ulama itu.


ii. Ada orang yang membeli kitab yang berjilid-jilid tebalnya lagi. Harganya ratusan RM. Dalam promosi di internet dan poster-poster yang ditampal di kedai-kedai buku, jelas disebut sebagai karya seorang ulama besar. Pada kulit hadapan buku-buku itu pun tertera nama si ulama besar itu sahaja. Setelah dibeli, dibaca dan ditanya-tanya kepada orang, baru dapat tahu bahawa kitab berjilid-jilid itu bukan karangan ulama besar itu sendiri tetapi ringkasan dan olahan orang lain.


iii. Kadang-kadang pada bahagian Kata Pengantar baru ditulis sedikit bahawa kitab atau buku itu adalah olahan orang lain. Pembeli yang rata-ratanya banyak melihat kulit depan, kulit belakang, senarai isi kandungan, gambar-gambar dan membaca beberapa bahagian lalu terus membelinya, seakan-akan "terkena" dengan teknik sebegitu.


iv. Ada orang yang membawa karya tokoh tertentu untuk diminta autograf. Tiba-tiba wajah tokoh itu berubah lalu dikatanya, "Saya tak menulis buku ini." Aduh! Kita ditimpa malu satu hal. Isi kandungan buku itu menjadi fitnah pula kepada si tokoh, satu hal lagi.


PANDANGAN SAHAYA


Sahaya LEBIH SUKA membaca karya tulisan si tokoh itu sendiri. Hal ini kerana maklumat yang berada dalam mindanya dipindahkannya sendiri secara terus ke atas kertas. Ketulenannya memikat hati.


Sahaya MASIH SUKA membaca buah fikiran si tokoh yang ditulis oleh orang lain, yang diminta pengesahannya daripada si tokoh tentang isi kandungan karya tersebut.


AKHIR KATA


Sebenarnya banyak penghasil buku yang bagus yang menulis siap-siap pada bahagian hadapan buku itu tentang penulis sebenar. Bagi segelintir penghasil yang suka menggunakan teknik berselindung, entahlah apa matlamat mereka.


Secara peribadi, insya-Allah sahaya akan berusaha untuk menulis sendiri karya-karya sahaya. Walaupun ada pihak yang bercadang untuk memindahkan kuliah-kuliah kitab Ihya' 'Ulumuddin yang sahaya jalankan sepanjang 11 tahun ini ke dalam bentuk teks lalu djadikan buku, tetapi buat masa ini rasanya belum lagilah. Pada masa-masa akan datang, wallahua'lam.


Ribua terima kasih atas sokongan anda semua. Doa-doakan sahaya.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

24 April 2021


No comments: