(Cadangnya suatu hari nanti insya-Allah sahaya akan siapkan sebuah buku tentang ilmu tafsir mimpi sebagaimana "jalan"nya Imam al-Ghazali) Sahaya pernah bermimpi akan Rasulullah SAW (dua kali), Imam al-Ghazali, Dr. Haron Din, Tuan Guru Sidek Nor, Ustaz Muhammad Salleh Abdul Rahman (mursyid Tarekat Ghazaliyah), Tok Kenali, Syeikh Zainul Asri, Tuan Guru Nik Aziz, dan beberapa orang lagi agamawan.
Malam semalam (Khamis malam Jumaat, malam ke-11 Ramadhan), sahaya bermimpi akan Tuan Guru Nik Aziz buat kali kedua. Kali pertama dulu selepas beliau meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Mimpi tersebut sudah pernah sahaya kongsikan.
Berbalik kepada mimpi semalam... sahaya sedang duduk bersila di saf pertama di sebuah masjid, menantikan masuk waktu solat Jumaat. Di sebelah kiri sahaya, dalam jarak lebih kurang satu meter, duduk bersila seorang hamba Allah yang berjubah dan berserban putih. Rupa-rupanya orang itu ialah Tuan Guru Nik Aziz. Dia sedang asyik dengan zikrullahnya.
Di hadapan kami ialah dinding masjid. Walaupun kami duduk satu saf, tetapi Tuan Guru Nik Aziz lebih ke hadapan sedikit. Lututnya hampir kepada dinding sedangkan sahaya duduk betul-betul di atas garis saf. Dari tempat duduk sahaya, bolehlah nampak mimbar.
Kemudian sahaya pun terfikir, masa solat Jumaat sebentar lagi kemungkinan besar kami akan solat bersebelahan kerana orang-orang lain agak jauh daripada kami berdua. Tak mengapalah. Lalu sahaya tanggalkan cermin mata untuk lebih fokus kepada zikrullah. Cermin mata itu sahaya letak di sebelah kiri sahaya. Terus sahaya terpandang satu lagi cermin mata di situ. Rupa-rupanya Tuan Guru Nik Aziz juga telah meletakkan cermin matanya di sebelah kanannya. Jarak antara cermin mata kami lebih kurang sejengkal.
Sedang sahaya terfikir tentang kedudukan kedua-dua cermin mata itu... sahaya pun terjaga daripada tidur. Tamatlah al-kisahnya.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
23 April 2021
No comments:
Post a Comment