Sunday, April 18, 2021

Soal Jawab dalam Pertemuan-pertemuan

Sekiranya anda bakal menghadiri sebarang pertemuan yang melibatkan Tarekat Ghazaliyah (lebih-lebih lagi majlis penerangan, pengijazahan dan bai'ah) dan bercadang mahu mengajukan sebarang persoalan, silalah ambil perhatian tentang hal-hal berikut :


i. eloklah jika soalan-soalan itu dimaklumkan beberapa hari lebih awal kepada sahaya.

ii. pertimbangkan agar tahap persoalan-persoalan itu bersesuaian dengan tahap majlis.


Hal ini adalah sedemikian kerana Imam al-Ghazali jenis orang yang sangat berhati-hati ketika menjawab soalan, maka para pengikut tariqnya juga ditarbiahkan sebegitu. Umumnya ulama-ulama dan orang-orang akhirat terdahulu lebih banyak menjawab "saya tidak tahu" terhadap persoalan-persaoalan yang diberikan kepada mereka. Anda boleh merujuk kitab induk Ihya' 'Ulumuddin pada Kitab Ilmu. Lebih baik jika anda dapat meminta guru-guru anda tolong mencerahkan bahagian kitab Ihy' tersebut agar lebih jelas.


Oleh itu, sahaya lebih banyak menjawab "saya tidak tahu" terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan. Perinciannya adalah sebagaimana berikut :


i. sekiranya hal itu sahaya banyak tahu tentangnya, maka insya-Allah sahaya akan memberikan jawapan yang berkaitan dengan baik. Kadang-kadang lebih lagi daripada yang diharapkan.

ii. sekiranya hal itu sahaya tahu sedikit-sedikit atau kurang persediaan, untuk mengelakkan daripada jawapan sahaya itu mungkin menjadi fitnah, maka biasanya sahaya akan jawab "saya tidak tahu".

iii. sekiranya hal itu sahaya sangat kurang tahu atau tidak tahu langsung, maka tentunya sahaya akan menjawab "saya tidak tahu".


AJARAN IMAM AL-GHAZALI


Dalam kitabnya Ihya' 'Ulumuddin pada Kitab Ilmu, Imam al-Ghazali memetik hal-hal berikut :


i. Suau hadith : "Ilmu itu (ada) tiga - Kitab yang berbicara, sunnah yang berdiri tegak, dan (menjawab) "aku tidak tahu"." (Abu Dawud, Ibnu Majah)


ii. (Suatu ketika) Nabi SAW bersabda, "Aku tidak tahu 'Uzair itu nabi atau tidak. Aku tidak tahu Tubba' itu terkutuk atau tidak. Dan aku tidak tahu Zulqarnain itu nabi atau tidak." (Abu Dawud, Al-Hakim)


Huraiannya - Setara Nabi Muhammad SAW sendiri pun tidak berasa segan untuk mengatakan "aku tidak tahu" dalam hal-hal yang memang tidak atau belum diketahuinya. Malahan bertutur-turut pula. Tetapi orang hari ini banyak yang berasa seolah-olah jatuh maruahnya jika menjawab "aku tidak tahu", lalu dihentamnyalah isi jawapannya. Hal itu sangat berbahaya.


iii. Asy-Sya'bi berkata, "Aku tidak tahu" itu adalah sebahagian daripada ilmu."


iv. Berkata Ibnu Mas'ud, "Benteng orang 'alim itu ialah (menjawab) "aku tidak tahu"."


v. Kata Ibrahim bin Adham, "Tidak ada yang lebih menyusahkan syaitan selain daripada orang 'alim yang berbicara dengan ilmunya , dan (orang 'alim) yang berdiam diri dengan ilmunya." Syaitan itu berkata, "Tengoklah orang 'alim ini! Diamnya itu lebih sukar buatku daripada kata-katanya."


vi. Abu Hafash an-Naisaburi berkata, "Orang 'alim itu ialah orang yang takut dengan pertanyaan, kerana (akan) ditanyakan kepadanya pada hari qiamat nanti : "Dari mana jawapan itu kamu dapat?"


vii. (Secara puratanya) adalah Ibnu Umar ra ditanyakan sepuluh persoalan, maka dijawabnya satu (sahaja) dan berdiam sembilan. Manakala Ibnu Abbas ra menjawab sembilan dan berdiam satu.


Huraian - Maksudnya, secara puratanya Ibnu Umar hanya menjawab 10 peratus daripada persoalan dan Ibnu Abbas akan menjawab 90 peratus daripada persoalan. Padahal boleh sahaja jika mereka mahu menjawab 100% persoalan memandangkan betapa luas dan dalamnya keilmuan mereka.


vii. Dalam kalangan ulama fiqh ada yang menjawab "aku tidak tahu" lebih banyak daripada menjawab tahu. Antaranya ialah Sufyan ath-Thauri (pengasas mazhab fiqh Ath-Thauri), Malik bin Anas (pengasas mazhab fiqh Maliki), Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab fiqh Hanbali), Fudhail bin 'Iyadh, dan Bisyr al-Harits.


vii. Imam Asy-Syafi'i berkata, "Aku melihat Imam Malik ketika diajukan kepadanya 48 persoalan, maka ia menjawab 32 daripada persoalan-persoalaan itu "aku tidak tahu".


Huraiannya - Lihatlah! Orang yang sefaqih Imam Malik (pengasas Mazhab Fekah Maliki) itu pun hanya menjawab lebih kurang 30% sahaja daripada persaoalan-persoalan yang dikemukakan kepadanya. Tidak sedikit pun beliau berasa segan kalau-kalau ada orang yang mempertikaikan keilmuan dan kedudukannya kerana tidak menjawab sekian banyak persoalan.


Tetapi ramai lulusan agama hari ini yang asyik menjawab segala persoalan yang dikemukakan kepadanya. Bahkan kadang-kadang persaoalan yang tidan dikemukakan kepadanya pun dia mahu juga memberi jawapan.


PENGALAMAN MENGAJAR KITA


Sebab itulah sangat disarankan agar anda menggunakan teknologi yang ada untuk memberikan persoalan-persoalan yang akan ditanyakan sewaktu pertemuan nanti.


Pernah ada beberapa orang yang berminat dengan Tarekat Ghazaliyah dan mahu bertemu dengan sahaya. Sahaya pun mengaturkan tarikh, masa dan tempat pertemuan. Selain itu, sahaya memberitahu mereka agar mengemukakan sebarang persoalan berkaitan lebih awal. Hal ini agar sahaya boleh merancang jawapan yang sebaik-baiknya untuk mereka pada hari pertemuan nanti. Tidaklah nanti mereka berasa hampa kerana banyak persoalan yang tidak terjawab dan jika ada yang berjawab pun, jawapannya paras buku lali sahaja, tidak sampai pun ke paras dada. Tentulah mereka tidak akan berpuas hati kelak. Namun sampai ke hari pertemuan, tiada sebarang persoalan pun yang dikemukakan.


Apabila tiba hari pertemuan (majlis penerangan percuma Tarekat Ghazaliyah selama 2 jam, diikuti dengan pengijazahan dan bai'ah), banyak pula persoalan yang keluar. Sebahagian besar daripada persoalan mereka terpaksalah dijawab "saya tidak tahu". Padahal jika dimaklumkan awal-awal, boleh dikatakan hampir kesemua persoalan itu dapat sahaya jawab dengan baik. Jadi, rugilah mereka.


Pernah juga ada hamba Allah yang datang menemui sahaya atas tiket majlis penerangan Tarekat Ghazaliyah. Tetapi apabila bertemu, ternyata dia tidak berminat pun untuk mendengar penjelasan ringaksa tentang Tarekat Ghazaliyah (2 jam) itu. Sebaliknya dia mengajukan beberapa persoalan yang bertahap tinggi-tinggi. Ikutkan hati, mahu sahaja sahaya jawab kesemuanya "saya tidak tahu", tetapi mengenangkan yang dia mengejar sahaya ratusan kilometer (ketika itu sahaya dalam 'tour' penerangan Tarekat Ghazaliyah), sahaya berusaha juga menjawab 2-3 persoalan. Itu pun jawapannya sekadar paras-paras lutut sahaja. Nasiblah. Yang lain-lain, sahaya jawab "saya tidak tahu" walaupun ada yang sahaya tahu juga sedikit-sebanyak.


Tambahan lagi, majlis penerangan ringkas Tarekat Ghazaliyah yang memakan masa selama dua jam itu tidak membabitkan hal yang tinggi-tinggi. Majlis sebegitu bukan tempatnya.


KESIMPULANNYA


Jadi, untuk mengelakkan daripada anda tidak berpuas hati, tidak tercapai hajat, dan kerugian, pastikan soalan-soalan BERKAITAN sudah disampaikan beberapa hari sebelum majlis. Pastikan juga, segala persoalan itu hendaklah bersesuaian dengan temanya iaitu penerangan ringkas tentang Tarekat Ghazaliyah. Elakkanlah soalan-soalan yang di luar jangka, yang di luar daripada skop majlis, dan soalan-soalan (yang sahaya tahu bahawa itu sebenarnya) menguji, kerana saya akan jawab "saya tidak tahu" sebagai pemutusnya, sekalipun sahaya ada tahu sedikit-sebanyak tentang jawapannya.


MAKLUMAT TAMBAHAN


Kini, dengan adanya buku-buku penerangan tentang Tarekat Ghazaliyah yang sahaya susun, maka majlis penerangan ringkas, pengijazahan dan bai'ah menjadi sangat singkat. Tidak perlu lagi dua jam, cukup 1-2 minit sahaja. Syaratnya, anda hendaklah membaca sekurang-kurangnya buku pertama Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah. Buku ke-2, 3 dan seterusnya tidak perlu. Tapi jika anda dapat membaca kesemua siri yang ada terlebih dahulu, lagilah mudah urusan kita. Tak perlu bersoal-jawab panjang lebar dah.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

18 April 2021

No comments: