Saturday, October 31, 2020

Tarekat Ghazaliyah dan Akhir Zaman (5) - Raja2 Bertarekat Ghazaliyah

 

Soalan :

Dalam siri kuliah2 khas Tarekat Ghazaliyah yang diadakan sebelum PKP tempoh hari (November 2019-Mac 2020), ada satu persoalan yang dikemukakan dan telah pun dijawab. Walaupun sudah lama berlalu, tetapi saya terfikir untuk selitkannya dalam siri tulisan tentang Tarekat Ghazaliyah dan Akhir Zaman ini. Soalannya lebih kurang, adakah raja-raja yang bertarekat Ghazaliyah?


Jawapannya :

Ada. Antara raja-raja besar ialah :


1. Raja Syria iaitu Sultan Imad ad-Din Zanki (1085-1146). Mursyidnya ialah Syeikh Marwan bin Ali ath-Thanzi, murid kepada Imam Al-Ghazali. Mursyidnya ini juga diangkat sebagai Perdana Menteri oleh Sultan Imad ad-Din.


2. Raja Syria iaitu Sultan Nur ad-Din Zanki (1118-1174). Baginda merupakan anak kepada Sultan Imad ad-Din Zanki. Mursyidnya ialah Syeikh Ibnu Asakir (1105-1176). Ibnu Asakir ialah murid kepada Syeikh Marwan bin Ali ath-Thanzi. Ibnu Asakir menjadi penasihat kerajaan Sultan Nur ad-Din Zanki. Seorang lagi ulama yang rapat dengan pemerintahan baginda sultan ialah Syeikh Quthub ad-Din an-Naisaburi, cucu murid kepada Imam Al-Ghazali.


3. Raja Mesir dan Pembebas Baitul Muqaddis iaitu Sultan Salah ad-Din Al-Ayyubi (1137-1193). Mursyidnya ialah Syeikh Ibnu Asakir, yang juga penasihat kerajaan. Ada dua orang lagi cucu murid kepada Imam Al-Ghazali yang rapat dengan pemerintahan Sultan Salah ad-Din al-Ayyubi iaitu Syeikh Najm ad-Din al-Khubusyani dan Syeikh Abu Tahir as-Silafi (1079-1180). Sultan Salah ad-Din ada mewujudkan satu lokasi khas sebagai mengenang Imam Al-Ghazali di Damsyik (Damascus).


Syeikh Ibnu Asakir telah memperkenalkan risalah ‘Aqidah Mursyidah iaitu ringkasan kepada Risalah Qudsiyyah yang terdapat dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin. ‘Aqidah Mursyidah ini dilaungkan pada setiap hari di menara-menara masjid pada zaman Sultan Salah ad-Din al-Ayyubi sebagai usaha untuk menyelamatkan ‘aqidah rakyat daripada fahaman Rafidah, Batiniyyah, Mu’tazilah, Tajsim dan Falsafah yang banyak tersebar ketika itu di Mesir.


4. Raja Maghribi dan Sepanyol (Andalus) iaitu Sultan Abdul Mu’min bin Ali (1094-1163). Baginda menjadi raja pertama Daulah Muwahhiddun. Mursyidnya ialah Syeikh Ibnu Tumart (1080-1128/30) yang merupakan murid kepada Imam Ahmad Al-Ghazali (1061-1123/26), adik Imam Al-Ghazali. Ada yang mengatakan beliau sempat juga berguru dengan Imam Al-Ghazali.


Syeikh Ibnu Tumart juga memperkenalkan risalah ‘Aqidah Mursyidah yang akhirya menjadi pegangan rasmi Daulah Muwahhidun dalam menangani fahaman Tajsim dan Falsafah yang tersebar ketika itu di Maghribi dan Andalus.


Ada lagi raja-raja lain cuma tidaklah semasyhur nama-nama di atas.


(*Nama-nama di atas memang dikenali sebagai tokoh-tokoh dalam melawan tentera Salib)

Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

31 Oktober 2010


No comments: