Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas solat fardhu Maghrib
berjemaah. Oleh kerana malam itu hujan renyai-renyai berangin kuat dan
tempiasnya menyerbu ruang beranda, hadirin terpaksa duduk-duduk di ruang utama
surau. Kelihatan Abdullah, Tok Siak Mat Yan, Tok Imam, Tok Bilal, Apit Cina,
Ijam, Ijan, Mat Dir, Udin, Pis Salam dan Pak Lah. Pak Enai bergegas balik juga
dalam hujan tadi kerana ada urusan.
ABDULLAH : Masuk hari ni, dah tiga hari ustaz kita tak datang
berjemaah.
TOK IMAM : Dia tak berapa sihat. Dah dekat dua bulan jugak tu.
APIT : Faktor usia. Hehe.
TOK IMAM : Hari tu kata nak sembang dengan ustaz pasal Tarekat
Ghazaliyyah kan? Dah ke belum?
ABDULLAH : Belum. Hari tu kami rancang nak sembang-sembang minggu
ni le. Tapi… ustaz tak sihat le pulak.
APIT : Saya ada pi ziarah dia semalam. Katanya akan ambik masa
sikit untuk dia nak pulihkan diri. Dia ada sebut jugak pasal nak
sembang-sembang dengan Dollah tu.
ABDULLAH : Tak mengapalah. Ada jodoh nanti, ustaz dah sihat,
bolehlah diteruskan. Esok petang saya cadang nak pergi ziarah dia. Tapi bukan
untuk sembang soal tarekat, nak ziarah je.
(Pandangannya terhenti sebentar pada Zikir Harian Tariqah
Ghazaliyyah di dinding surau.)
Errr…. tapi… tuan-tuan semua ni pun memang belajar tarekat dengan
ustaz kan? Sembang dengan tuan-tuan dulu pun rasanya boleh kot?
MAT DIR : Hah, boleh sangat! Tanya kat Tuan Apit kita ni.
APIT : Isyhhh! Pandai-pandaiiii ja! Aku sembang melalut ke laut
kelulut boleh la. Tapi… tapi…. tapi…… dengan Tok Siak Mat Yan, insya-Allah
boleh.
TOK IMAM : Betul tu! Tidak syak lagi!
APIT : Sebab… tok siak kita ni antara orang yang paling awal amal
Tarekat Ghazaliyyah di kawasan kita ni. Tak salah saya, sejak zaman Ustaz
Suhaimi lagi.
ABDULLAH : Ustaz Suhaimi tu siapa dia?
TOK IMAM : Guru kepada ustaz kita sekarang ni le. Dah arwah lama dah.
ABDULLAH : Ooo… kalau begitu, bolehlah saya tanya-tanya dengan Tok
Siak Mat Yan.
TOK SIAK : Allah….. boleh tu boleh Abdullah, tapi… sembang dengan
ustaz sendiri lagi cantik. Dengan saya ni, mungkin ada cerita-cerita yang tak
berapa tepat.
ABDULLAH : Tak mengapa Tok Yan. Setakat mana yang Tok Yan tahu je
lah. Nanti kita boleh rujuk kat ustaz balik.
TOK SIAK : Sebenarnya… Tuan Apit dan Tuan Ijam kita pun boleh
cerita. Saja simpan kuku. Banyak maklumat tu.
IJAM : Bagi kat orang lama le dulu. Mana boleh langkah bendul. Ketulahan
nanti, kata orang Jerman. Hehe.
TOK SIAK : Hmmm… berat jugak rasa hati, takut-takut tergelincir
kata tersilap fakta.
(Semua terdiam sebentar, menunggu-nunggu…….)
ABDULLAH : Begini sajalah. Apa kata kalau saya bertanya tentang
pengalaman Tok Yan dalam mengamalkan Tarekat Ghazaliyah ni?
TOK SIAK : Haa… kalau yang itu, insya-Allah boleh diusahakan. Tapi
nak bagi tahu siap-siap… saya ni kalau berbicara, skema sikit.
ABDULLAH : Tak de hal Tok Yan. Memang kami sedia maklum dah Tok Yan
memang camtu. Hehe.
TOK SIAK : Dan saya pun tahu sikit-sikit ni… tentang Tarekat
Ghazaliyah sahajalah. Yang lain-lain, saya tahu gitu-gitu aje.
ABDULLAH : Tentang Tarekat Ghazaliyahlah yang saya minat nak tahu.
TOK SIAK : Kalau begitu… baiklah.
PENGALAMAN
DAN PERASAAN
ABDULLAH : Baiklah Tok Yan. Saya nak tanya…. apa perasaan Tok Yan terhadap
Tarekat Ghazaliyyah ni sepanjang Tok Yan mengamalkannya?
TOK SIAK : Perasaan terhadap Tarekat Ghazaliyah… sepanjang
mengamalkannya…?
Macam ni lah! Saya simpulkan dulu.
Pada saya, dan saya yakin begitu jugalah pada rata-rata pengamal
Tarekat Ghazaliyyah yang lain… kami berasa……. senang hati… sedap hati… tenang
hati… terhadap Tarekat Ghazaliyyah ini, sepanjang kami beramal dengannya.
APIT : Yes! (sambil mengangkat jari telunjuknya ke atas).
TOK IMAM : Memang betul Tok Yan. Saya pun rasa macam tu jugak.
TOK SIAK : Tak dinafikan, bukanlah semua yang berasa begitu, cuma
rata-ratanya macam tu lah. Macamlah makan nasi di negara kita ni. Rata-rata
orang sini suka makan nasi, tetapi ada juga dua tiga kerat yang tak suka makan nasi,
sebaliknya mereka makan makanan lain. Begitulah lebih kurang.
ABDULLAH : Saya faham maksud Tok Yan tu. Tak ada masalah.
AMALAN
TAREKAT
ABDULLAH : Jadi, apa yang menyebabkan rasa senang hati, sedap hati
dan tenang hati pada Tarekat Ghazaliyah ni?
TOK SIAK : Antaranya… kerana umumnya amalan Tarekat Ghazaliyah ini
ringan, ringkas dan mudah.
Kita dianjurkan untuk buat :
1.
Zikir Harian
2.
Wirid Harian
3.
Belajar kitab Ihya’
ABDULLAH : Itu aje?
TOK SIAK : Ya, itu sahaja.
(Abdullah mengangguk-angguk sambil menanti penjelasan Tok Yan
seterusnya. Dalam masa yang sama otaknya ligat beraktiviti)
Zikir Harian tu… hanya kalimah-kalimah yang pendek-pendek yang
memang biasa kita baca selalu pun dalam hidup kita. Contohnya Zikir Harian untuk
hari Isnin : “La haula wa la quwwatailla billah” sebanyak 1000 kali. Macam yang
tertulis pada poster di dinding tu lah.
·
Bukan mesti bilang tepat-tepat 1000 kali.
·
Jumlah 1000 itu sekadar untuk menunjukkan
banyak. Kita agak-agak je lah lebih kurang 1000.
·
Boleh dibunyikan di mulut atau di lafazkan di
hati.
·
Boleh dibuat pada bila-bila masa dan di
mana-mana. Sambil-sambil bekerja, bersukan, berehat-rehat, berperang, belajar…
pun boleh.
·
Boleh disambung-sambung ikut kelapangan masa
kita, tidak semestinya kena habis waktu itu juga 1000 kali. Tak perlu sederup.
Tetapi, sekiranya kita ada kelapangan dan kemampuan, contohnya
pada hari-hari cuti, sekadar contohlah ni ye… kita nak berjubah, berserban, berselendang,
berpakaian putih, berwangi-wangian, menghadap qiblat, di tempat yang tenteram
lagi bersih dan harum, boleh saja. Lagi bagus!
Bagi orang yang dah terbiasa dengan Zikir Harian, boleh ditambah
dengan Wirid Harian. Wirid Harian ni ada 10 bacaan pendek yang jugak biasa kita
baca dah. Setiap satunya 10 kali sahaja. Jadi semuanya 100 kali je lah. Contohnya
“Astaghfirullahal ‘azim” 10 kali.
Kan ringan dan mudah?
Dan yang ketiga, carilah peluang untuk belajar kitab Ihya’. Boleh
belajar di mana-mana dan dengan sesiapa sahaja yang benar, sekalipun guru itu
tidak berTarekat Ghazaliyah. Tak dapat pengajian kitab Ihya’. tampung dengan
pengajian kitab Minhaj al-Abidin. Tak dapat kitab Minhaj, tampung dengan
mana-mana pengajian kitab Siyarus Salikin. Tak dapat juga, ikutlah mana-mana
pengajian kitab tasawuf buat sementara.
Kesimpulannya, amalkan Zikir Harian, tambah dengan Wirid Harian
jika mahu, dan dalam masa yang sama belajarlah kitab Ihya’. Itu sahaja.
ABDULLAH : Eh, sikitnya?
TOK SIAK : Ya. Sebab tu para pengamal tarekat lain pun boleh
mengambil Tarekat Ghazaliyah dan mengamalkannya, apatah lagi yang bukan pengamala
tarekat. Amalan Tarekat Ghazaliyah tak makan banyak masa, tak akan mengganggu
amalan-amalan kita yang lain. Sampaikan pernah satu zaman dahulu, ada pihak
yang mengatakan bahawa amalan tarekat Ghazaliyah ini adalah seringan-ringan
amalan tarekat.
Macam Tuan Apit kita ni, dia amal dua tarekat sekaligus. Salah
satunya tarekat Ghazaliyah.
Tok Bilal kita ni, pernah ambil tiga tarekat tapi sekarang amal
Tarekat Ghazaliyah sahaja.
Mat Dir, dia amal dua tarekat tapi yang majornya dia amal Tarekat
Ghazaliyah.
Tok Imam kita pulak, memang dari dulu satu tarekat ni je lah.
Saya sendiri, pernah ambil tarekat-tarekat lain selepas ambil
Ghazaliyah, tapi kemudiannya pakai Ghazaliyah sahaja.
Dan ustaz pun pernah bagi tahu, di tempat lain, ada juga orang
yang asalnya berTarekat Ghazaliyah tetapi kemudiannya orang itu ada mengambil
tarekat lain.
Dan ada juga orang-orang yang pernah bertarekat, kemudian ambil
Tarekat Ghazaliyah, dan kemudiannya
berpindah ke tarekat lain.
Ada juga yang telah meninggalkan amalan-amalan tarekat Ghazaliyah,
dan kemudiannya beramal semula.
Tidak ada sebarang sekatan. Cuma, jangan dicampur aduk sesuka hati
sahaja.
ABDULLAH : Hmmm… masa saya dengan fahaman yang lama dulu (V6-4 Salafi
Wahhabi), bagi kamilah, masuk aje tarekat alamatnya ‘terikat’ le. Kami sebut
‘tarik” & ‘ikat’. Sebab tu kami cukup takut dengan tarekat. Tapi berdasarkan penjelasan Tok Yan ni,
nampaknya ok ok aje. Sedaplah sikit hati saya mendengarnya.
TOK SIAK : Salah faham tentang tarekat ni berlaku antaranya kerana
:
1.
Kita mengambil maklumat daripada orang-orang
yang tidak berkeahlian dalam tarekat, sama ada orang itu pernah bertarekat atau
tidak pernah.
2.
Kita ambil maklumat daripada orang-orang yang
memang memusuhi tasawuf, sufi dan tarekat.
ABDULLAH : Saya faham tu Tok Yan.
Dulu kami diberitahu, apabila sudah mengambil tarekat, wajib
melaksanakan amalan-amalannya. Kalau tak dibuat, berdosalah, langgar bai’ahlah,
akan makan dirilah, terkena sumpahlah…
TOK SIAK : Amalan-amalan yang fardhu dan wajib, semua itu memang wajib
bagi semua orang, bukan wajib dibuat kerana berTarekat Ghazaliyah. Contohnya
solat fardhu lima waktu dan kewajipan menutup aurat dengan sempurna. Sebelum
mengambil Tarekat Ghazaliyah lagi pun amalan-amalan fardhu dan wajib memang sudah
mesti dibuat. Apabila berTarekat Ghazaliyyah, amalan-amalan yang diberi
hanyalah tambahan yang dianjurkan, bukannya dimestikan.
ABDULLAH : Hmmm, fahamlah
saya. Memang sedaplah hati tentang hal itu.
TERIKAT
ABDULLAH : Oh ya! Sebelum kita sambung panjang lebar lagi, sukalah
saya nak maklumkan awal-awal, yang saya ni dulu memang banyak pandang negatif
kepada tarekat-tarekat ni. Asalkan nama tasawuf, sufi, tarekat… memang saya
banyak ditarbiyah dan didakyah dengan pelbagai isu negatif tentangnya. Saya
memang terpengaruh jugalah dengan ajaran-ajaran anti-tasawuf sufi tarekat semua
ni. Sampaikan orang kata saya ni Wahabi le. Hehe.
Lepas tu, saya dapat tahu mengatakan di kampung kita ni ada ajaran
tasawuf oleh ustaz. Ada pula pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Kitab Ihya’ dan
Imam Ghazali ni memang asatizah dan orang-orang atasan kami tolak habis-habisan
le. Mana-mana yang kata tak menolak tu, nada tidak mengesyorkan tu memang
nampak jelas di muka.
Sebab itulah saya cuba nak risik-risik tengok kerana saya pun
berasal dari kampung ni juga. Masa kecil saya banyak tinggal di sini. Dah
sekolah menengah barulah keluarga saya berpindah ke taman perumahan di sebelah
kampung ni. Tapi kawan-kawan sepermainan banyak sebelah sini.
Jadi, waktu ustaz mengajar kitab Ihya’ dulu tu, saya pun datanglah
walaupun biasanya saya solat di surau taman perumahan tempat saya tinggal nun.
Tuan-tuan pun tentu masih ingat dialog saya dengan ustaz dulu kan?
TOK IMAM : Yah, ingat lagi! ( http://alexanderwathern.blogspot.my/2014/10/sejauh-mana-engkau-pasti-ada-hadith.html
)
ABDULLAH : Hasil daripada dialog tu, memang saya akui… sangat
banyak tanggapan salah dan keliru tentang kitab Ihya’ yang telah disumbatkan
kepada saya selama hari ini. Setelah mendengar penjelasan ustaz tu, memang hati
saya pun boleh kata tenteramlah dengan kitab Ihya’ dan pengajiannya.
Selepas majlis itu, setiap kali ustaz syarahkan kitab Ihya’ di
surau ini, saya usaha datang dan dengar. Saya nak tahu lebih lagi tentang Imam
Al-Ghazali, tasawuf, sufi, tarekat, khususnya Tarekat Ghazaliyyah ni lah.
Sepanjang dok ikut-ikut pengajian ni, dah banyak tanggapan-tanggapan
saya yang dulu berubah. Asal-asalnya dulu memang saya lebih mendahulukan sangka
buruk berbanding sangka baik. Saya datang tu niatnya lebih kepada nak mencari
kesalahan, bukannya nak mencari kebenaran dan pencerahan. Maklum sajalah, dah
bertahun-tahun sejak zaman remaja lagi dah ditarbiyah oleh manhaj atau method
yang lebih kurang sama je, oleh perkumpulan-perkumpulan yang lebih kurang sama juga.
Tentunya sekarang masih ada lagi hal-hal yang minda saya
di’brainwash’ atau ‘dikurung’ masa dalam tarbiyah dengan mereka dulu, yang
masih belum tercerahkan, termasuklah tentang Tarekat Ghazaliyah ni.
Jadi, dalam sembang-sembang tentang Tarekat Ghazaliyah ini, saya
akan gunakan buah-buah atau dalam bahasa kasarnya ‘pelurur-peluru’ dari ajaran
yang saya ikuti dululah. Hal ini bukan bermaksud pemikiran saya masih sama
macam dulu. Tujuannya… untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan-persoalan
tersebut. Banyak lagi kawan-kawan saya di sana yang mereka belum terdedah
dengan pencerahan-pencerahan yang saya dapat. Maka penecerahan-pencerahan yang
saya dapat ni bolehlah saya salurkan kepada mereka. Saya mungkin dah tahu serba
sedikit, tetapi mereka? Tak tahu apa-apa langsung. Mereka hanya disuruh patuh
pada pimpinan dan terima sahaja apa yang ditarbiyahkan. Maka minda mereka masih
banyak tertutup.
Persoalan-persoalan yang saya kemukakan nanti mungkin ada yang
nampak negatif, tetapi percayalah… saya bukan berniat tak baik, cuma saya ambil
buah-buah daripada pemikiran saya sewaktu saya aktif dengan fahaman dan jemaah
yang saya ikut dahulu. Sekarang pun masih bergiat juga, cuma saya lebih bijak dalam
membuat penilaian dan pertimbangan.
TOK SIAK : Insya -Allah, ok je. Saya faham maksud kamu tu
Abdullah. Kamu tentulah nak tahu jawapan kepada hal-hal yang kamu tidak setujui
sewaktu kamu terkurung di bawah manhaj mereka sahaja suatu ketika dahulu. Kalau
tidak, sampai bila-bila pun kamu tak akan mendapat pencerahan kepada persoalan-persoalan
yang dilambakkan ke dalam fikiran kamu dahulu. Tentunya kamu akan terus berasa
tak senang hati, tak sedap hati, dan tak tenang hati terhadap Tarekat Ghazaliyah
ini walaupun kamu sudah tidak cenderung kepada fahaman yang dulu itu lagi.
ABDULAH : Benar Tok Yan.
TOK SIAK : Baiklah, kita teruskan wahai Abdullah.
ABDULLAH : Lagi Tok Yan… dulu kami selalu diberitahu, apabila
masuk aje sesuatu tarekat, tak boleh keluar dah. Seandainya keluar, atau
meninggalkan tarekat itu, atau berpindah ke tarekat yang lain, orang itu dikira
sebagai derhaka, akan terkena bala bencana di dunia dan di akhirat, dia akan dimusuhi
oleh syeikh dan ahli-ahli tarekat itu, dikutuk para malaikat dam para wali, matinya
mati kafir… dan… macam-macam lagilah ancaman yang mengerikan. Tak tahulah betul
ke tidak. Tapi maklumat-maklumat yang kami dapat semacam dengan yang itulah.
Khabarnya, sekali kita bertarekat, sampai ke mati dan sampai ke
akhiratlah kena bertarekat dengan tarekat itu. Sekali kita berbai’ah dengan mana-mana
syeikh tarekat, sampai ke mati dan sampai ke akhiratlah mesti duduk dengan
syeikh itu aje.
Macam mana tu Tok yan?
MAT DIR : Amboih, zalim betoi tu Tok Yan! Kalau macam tu la,
memang kami blah awai-awai dah! Itu betoi-betoi nak mengikat tu. Sampai ke mati
sampai ke akhirat depa ikat. Hehe.
TOK IMAM : Hang cuba dok diam sat boleh dak?
MAT DIR : Kikiki. Jangan marah no Tok Imam.
TOK SIAK : Hehe. Dalam Tarekat Ghazaliyah ni, memang tak ada
hal-hal seperti itu. Sebab itulah kami berasa senang hati dan tenang hati.
Sesiapa yang hendak berTarekat Ghazaliyah, sangat dialu-alukan. Tetapi
sesiapa yang tidak mahu, tidaklah mereka melakukan apa-apa kesalahan. Malahan sesiapa
yang pernah berTarekat Ghazaliyah sekalipun tetapi sudah tidak mahu lagi, boleh
saja. Ini bukan barang fardhu, bukan barang wajib, tetapi sekadar pengkayaan
sahaja bagi sesiapa yang mahu.
Tarekat Ghazaliyah tidak menyekat potensi murid. Kita tidak tahu
dengan mursyid dan tarekat yang manakah si murid akan mencapai potensi
maksimanya. Boleh jadi dengan kita, dan boleh jadi juga dengan pihak lain.
Jodoh si murid kan ditentukan oleh Allah? Rezeki murid dalam keruhanian ini pun
ditentukan oleh Allah juga. Mengapa kita nak sekat-sekat manusia?
Bahkan saya pernah saksikan sendiri, Ustaz Suhaimi dan ustaz kita
tu kan, mereka pernah lorongkan orang kepada tarekat yang dirasakan mereka
lebih sesuai dengan keadaan orang itu. Padahal orang tu datang nak tanya
tentang Tarekat Ghazaliyah dan nampak berminat dengan Tarekat Ghazaliyah. Ustaz
kita tu siap syorkan nama tarekat sekian-sekian dan nama gurunya sekian-sekian
lagi.
Orang yang jumpa Ustaz Suhaimi tu, dia tetap nak ambil Tarekat
Ghazaliyah. Sampai hari ini pun ada lagi. Yang jumpa ustaz kita tu, dia tak
jadi ambil Ghazaliyah tapi ambil tarekat yang disyorkan tu lah.
ABDULLAH : Maksudnya… segala dakwaan yang saya sebutkan semua tadi
tu memang tak adalah?
TOK SIAK : Langsung tak ada.
Bersama Tarekat Ghazaliyah ini, kita akan berasa sangat senang
hati dan tenang hati, kerana kita tidak terlibat dalam masalah perebutan
anggota dengan jemaah-jemaah ASWJ yang lain, termasuklah dengan tarekat-tarekat
lain. Kepada orang-orang yang hendak bersama-sama dengan Tarekat Ghazaliyah,
kita sangat berbesar hati menerimanya…
tidak kira perkumpulan agama yang benar yang mana sahaja mereka
anggotai. Bagi para pengamal Tarekat Ghazaliyyah yang hendak bersama dengan
perkumpulan yang lain pun, kita tidak menghalang sama sekali, tidak menjadi
apa-apa kesalahan.
Dengan Tarekat Ghazaliyah ni, kita bebas untuk datang dan pergi.
Yang diutamakan hanyalah IKHLAS. Jika hendak bersama-sama, hendak mengamal,
ikhlaskanlah hati. Jangan ada walau satu pun niat yang melencong, ada kepentingan
tertentu, atau niat yang tidak baik.
Dalam Tarekat Ghazaliyah, kita tidak terikat, diikat atau
mengikat. Pada bila-bila masa kita berasa mahu meninggalkan tarekat ini atau
mahu meninggalkan amalan-amalannya, boleh sahaja ditinggalkan.
Cuma sebaik-baiknya biarlah dengan sedikit adab, yakni berupa
makluman kepada pemimpin tarekat ini bahawa kita sudah tidak mahu bertarekat
Ghazaliyyah, atau kita mahu berpindah tarekat, atau mahu menambah tarekat, atau
sebagainya. Almaklumlah, jika tidak diberitahu, pemimpin dan ikhwan tarekat ini
tentu masih menyangka yang kita masih bertarekat Ghazlaliyyah. Jadi, eloklah
kita mudahkan urusan mereka, insya-Allah urusan kita pun akan dimudahkan-Nya.
ABDULLAH : Baiklah. Katakanlah saya mengambil Tarekat Ghazaliyah,
saya bolehlah menyertai jemaah-jemaah Islam yang lain? Maksud saya, jemaah-jemaah
yang bukan tarekatlah tapi tunggakknya masih agama Islam, sebagaimana yang saya
anggotai sekarang?
TOK YAN : Tentu sahaja boleh. Seingat sayalah, kami tidak pernah dihalang
untuk menyertai dan bergiat dalam mana-mana perkumpulan yang berteraskan agama
Islam. Silakan untuk terlibat dengan
mana-mana jemaah yang benar. Malahan ustaz sendiri memang suka jika kita mahu mengikuti
aktiviti mana-mana jemaah. Dia suka jika kita meluaskan pandangan, ambil tahu
tentang cara umat ini bergerak, berukhuwah…
Cuma pesannya, jangan sesekali taksub dengan orang atau ideologi
atau jemaah. Dan dalam apa-apa hal pun, kita kenalah bijak membuat
pertimbangan, bukannya menerima atau memperjuang secara ikut-ikutan, melulu,
atas kepentingan, atas emosi dan lain-lain. Jangan terkongkong dengan sesuatu
sistem atau modul. Sebaliknya kita kembangkan potensi qalbu manusia menurut
bakatnya, tetapi dengan kawalan yang baik.
ABDULLAH : Syukur ya Allah. Setakat ini nampaknya memang
menyenangkan dan menyedapkan hati. Terima kasih banyaklah Tok Yan.
TOK SIAK : Sama-sama kita.
PEREBUTAN,
PERLUMBAAN, PERTANDINGAN
ABDULLAH : Tok Yan, orang kata kumpulan-kumpulan tarekat ni saling
berebut ahli, pengaruh, kekuasaan, saling mengurung ahli…
TOK SIAK : Wallahua’lam. Tapi dalam Tarekat Ghazaliyah memang tak
adalah hal-hal macam tu. Kita tak
terlibat dengan perebutan dan perlumbaan meramaikan anggota, pertandingan membesarkan
pengaruh, meluaskan wilayah dan sebagainya. Tumpuan kita lebih kepada Allah. Maka
akal fikiran dan tenaga kita bebas daripada terbeban dengan perebutan,
perlumbaan dan pertandingan itu semua. Sebab itulah kita lebih senang hati,
sedap hati, dan tenang hati.
Kalaulah kita perasan, Tarekat Ghazaliyah umumnya tidak mempelawa
orang untuk mengambil tarekat ini. Susah nak jumpa orang-orang tarekat
Ghzlaiyah yang mengajak orang lain berTarekat Ghazaliyyah kecualilah kepada
orang-orang terdekat seperti anak, isteri, adik dan lain-lain. Cerita memang
kita cerita, tetapi kita tidak mengajak.
ABDULLAH : Apa rasionalnya buat begitu Tok Yan?
TOK SIAK : Pertama – kerana kita suka jika orang mengambil tarekat
ini atas kerelaannya. Bukan diambil kerana dipaksa, terpaksa, kerana segan
dengan kita, atau kerana sebab-sebab lain. Biarlah betul-betul kerana memang
orang itu yang hendak dengan sendirinya. Kita sedap hati, orang itu pun sedap
hati.
Kedua – kerana ajaran-ajaran Tarekat Ghazaliyah ini bolehlah
dikatakan sifatnya menyebar secara umum kepada seluruh masyarakat Islam. Tidak wajib
berbai’ah dan berijazah, kerana memang sudah sedia niat diijazahkan untuk
sesiapa yang mengetahuinya. Tetapi bagi sesiapa yang mahu berbai’ah dan
berijazah, hal itu memang sangat bagus.
Ketiga – kerana bukanlah matlamat utama Tarekat Ghazaliyah untuk
membanyakkan jumlah ahli dan pengikut. Tidak perlu berlumba-lumba dan berebut-rebut.
Yang penting hanyalah kita menyebarkan ajaran-ajaran yang murni itu. Maka, orang
boleh bersama-sama dengan kita sama ada dari jarak dekat, ataupun dari jarak jauh
sahaja. Senang hati, sedap hati.
Keempat – kerana Tarekat Ghazaliyyah umumnya masih kekal sebagai
‘jalan’ berbanding tarekat-tarekat organisasi. Lebih kurang sama seperti Tarekat
Alawiyah dan dahulunya Tarekat Junaidiyah.
ABDULLAH : Begitu ceritanya. Fahamlah saya, cuma… yang keempat tu,
tak berapa jelas.
TOK SIAK : Yang itu elok dihuraikan oleh tuan ustaz kita sendiri
nanti. Dia lebih arif.
ABDULLAH : Baiklah Tok yan.
TOK SIAK : Saya sambung sikit lagi. Di bawah naungan Tarekat
Ghazaliyah, kita berasa tenang hati kerana tidak ada perasaan bahawa kita lebih
hebat daripada orang lain atau pihak lain. Pintu dan ruang ke arah untuk berasa
lebih hebat, bahkan untuk berasa hebat sahaja pun, sudah usaha ditutup
rapat-rapat.
Hatta sebagai langkah berhati-hati agar qalbu kita tidak
tergelincir, kita ditarbiyah agar sentiasa beringat… bahawa akan sentiasa ada
orang yang lebih daripada kita. Oleh itu, perasaan iri hati, dengki, tidak puas
hati dan seumpamanya terhadap pihak lain sukar untuk hidup dalam tarekat ini.
MAT DIR : Saya nak menyampuk lagi ni Tok Yan, Tok Imam. Hehe.
Ustaz sendiri pernah bagitau, tok guru dia ustaz Suhaimi tu pernah kata,
sendainyalah organisasi tarekat-tarekat lain duduk di atas pentas, orang-orang
Tarekat Ghazaliyah ni tempatnya adalah di bawah. Betul tak Tok Yan? Maaflah
kalau saya tersalah dengar.
TOK SIAK : Yah, betul tu! Memang ada ustaz bagi tau. Tujuan dia
kata begitu, supaya kita jangan ada berasa hebat atau lebih hebat. Biar kita
biasa merendah diri, insya-Allah kita akan ditinggikan oleh Allah di sisi-Nya. Hati
pun senang, jiwa pun tenang.
Selain itu, ia juga bertujuan agar kita jangan ada perasaan untuk
bersaing, berebut dan bertanding antara sesama tarekat dan sesama jemaah-jemaah
Islam yang lain. Tak ada apa-apa yang hendak direbutkan di dunia ini. Kita di
bawah pun tak mengapa, insya-Allah kita tak terkena rasa hebat diri dan tak ada
juga rasa hina diri. Kita rasa biasa-biasa sajalah, berasa ok sahaja. Yang ada
hanyalah perasaan senang hati, sedap hati, dan tenang hati Merdekakan jiwa
kita. Ikhlas. Sebarkan kasih sayang. Kan Tarekat Ghazaliyah ini dasarnya cinta
dan kasih sayang?
Namun begitu, kata-kata Ustaz Suhaimi tu bukanlah bererti kita tak
boleh langsung 100% duduk di pentas. Tengok keadaan jugalah.
SUMBER-SUMBER
PENGISIAN TARIQAH
TOK SIAK : Seterusnya… kita berasa sedap hati akan Tarekat Ghazaliyah ini kerana
kitab-kitab rujukan sebagai sumber pengisian dalam tarekat ini dikarang sendiri
oleh pengasas tarekat ini iaitu Imam Al-Ghazali. Dan sebagaimana yang kita
sedia maklum, kitab-kitab utama karangan Imam Al-Ghazali ini masih kekal
keasliannya sejak zaman Imam Al-Ghazali sampilah ke hari ini.
Semua kitab-kitab utama itu tidak disangsikan sebagai karangan
pengasasnya sendiri. Bahkan karangan pengasasnya sendiri sepenuhnya. Tidak ada
campur tangan tulisan orang lain.
Kan ada beberapa kitab-kitab dahulu kala yang disangsikan siapakah
penulis keseluruhannya? Adakah sepenuhnya ditulis oleh si guru? Ataupun ada
bahagian yang disambung oleh murid-muridnya? Atau ditambah oleh orang lain?
Atau sebenarnya ditulis oleh orang lain tetapi dinisbahkan kepada si guru?
Dalam Tarekat Ghazaliyah, tidak ada isu sebegini.
Kitab-kitab utama Imam Al-Ghazali yang menjadi peneman jalan
Al-Ghazaliyyah ini tidak terkena kesangsian-kesangsian sedemikian. Maksudnya
kita benar-benar dapat 100% pandangan Imam Al-Ghazali yang tulen terus daripada
tuannya sendiri, bukan melalui muridnya, murid kepada muridnya, ataupun orang
lain yang sezaman dengannya ataupun yang datang kemudian.
Hal ini memang membantu kita menjadi lebih senang hati dan sedap
hati akan isi kandungan tariqah ini.
ABDULLAH : Apa contoh kitab-kitab Imam Al-Ghazali yang dimaksudkan
tu ustaz? Eh, ustaz pulak! Maksud saya.. Tok Yan. Hehe.
MAT DIR : Huh, Tok Yan ni memang dah setara ustat-ustat dah! Saja
tak mau tonjoi diri ja. Jangan marah haa… hehe.
TOK IMAM : Isy, budak ni satgi…! Cuba la dok diam-diam! Sumbat
ngan ubat nyamuk ni baru tau!
MAT DRI : Uishh, garangnye Tok Imam. Hehe.
TOK YAN : Yang menjadi pengisian tarbiyah Tarekat Ghazaliyah ini
ialah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, kitab Misykat al-Anwar, kitab Kimiya’ as-Sa’adah,
kitab Risalah al-Laduniyyah, kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal, kitab Minhaj
al-‘Abidin… Semua kitab-kitab ini memang diyakini sebagai karangan Imam
sepenuhnya, dan masih asli isinya sehinggalah ke hari ini. Maksudnya kita dapat
maklumat tangan pertama terus daripada minda pengasas tarekat ini. Sedap hati
tak?
ABDULLAH : Ya, tak dinafikan tu. Sangat sedap hatilah.
PENAMPILAN
DIRI
ABDULLAH : Dari segi penampilan pula bagaimana Tok Yan? Dalam
kotak fikiran kami dululah, orang-orang tarekat ni mesti serban besar, baju
jubah berlapis-lapis, ada kopiah tertentu, mesti berselempang, pakaiannya mesti
macam pakaian orang zaman dulu-dulu… ala tradisional gitu, di tangan atau di
tengkuk mesti ada tasbih besar-besar, ada yang pakaiannya mahal-mahal, dan ada
pula sesetengahnya sengaja selekeh, berbau dan tak terurus.
TOK YAN : Dari segi penampilan pun kami sangat senang hati, kerana
pengamal-pengamal Tarekat Ghazaliyah tidak mempunyai apa-apa ciri yang khusus.
Memang tidak disyaratkan agar para pengamalnya mengenakan pakaian atau
perhiasan tertentu. Contohnya jenis serban, cara lilitan serban, arah jatuhan
ekor serban, warna serban… bentuk kopiah, jenis penutup kepala tertentu…
rekabentuk dan warna baju atau jubah tertentu… tongkat, cincin, selendang,
selempang, alat hitung zikir… dan sebagainyalah.
Pakaian dan penampilan kita adalah sebagaimana yang biasa
sehari-hari, asalkan bersesuaian dengan aturan agama Islam. Begitulah pakaian
Imam Al-Ghazali. Namun, memang digalakkan membiasakan memakai kopiah, serban dan
jubah sekiranya berpeluang.
Kita berusaha nak mencontohi Rasulullah saw ni bukan sekadar
sunnahnya yang besar-besar dan yang kecil-kecil. Sunnahnya yang seni-seni pun
jika dapat kita nak contohi juga. Rugilah kalau kita berasa malu dan tidak
tenteram diri untuk mengamalkan sunnah-sunnah baginda. Dan sangat digalakkan
memelihara janggut, bagi yang berpeluang memeliharanya.
ABDULLAH : Maksudnya, jika saya mengambil tarekat Ghazaliyah ini,
saya tak mesti pakai serban dan jubah?
TOK SIAK : Ya. Pakailah kemeja ke, t-shirt ke, baju Melayu, kurta,
kain pelekat, seluar silat, seluar sukan, tali leher, kot, baju bulu Eskimo…
kalau duduk di kawasan ais le, baju Cina, kasut cowboy…. semua boleh, asalkan…
patuh syariat.
ABDULLAH : Oh, salah faham le saya dulu! Ingatkan mesti ada kod
penampilan dan kod berpakaian tertentu.
TOK SIAK : Tak mesti. Tetapi memang ada sebahagian tarekat yang
buat. Cuma dalam Tarekat Ghazaliyah ini tak adalah.
ABDULLAH : Tapi kan Tok Yan, saya dapat tahu ada syeikh-syeikh
tarekat yang sangat mewah. Makan minumnya semua lazat-lazat dan
berlebih-lebihan, pakaiannya mahal-mahal, daripada jenis-jenis kain yang
terbaik. Ada yang sehelai jubah pun ribuan ringgit. Siap dengan serban dan
selendang yang ratus-ratus dan ribu-ribu ringgit. Banyak pulak tu. Bersusun
macam koleksi. Bilik dia dah macam kedai. Tongkatnya memang mahal, bukan 3-4
tongkat. Jam tangan yang ratus, yang ribu dan yang puluh ribu. Bukan dua tiga. Koleksi
kasut lagi…. Kenderaan pun banyak, mewah-mewah belaka. Rumah bukan sebiji dua.
Macam hotel lagi rumah-rumahnya. Nampak macam jauh daripada zuhud je pun.
TOK YAN : Wallahua’lam. Boleh jadi segelintir je kot, kes-kes
terpencil. Dalam Tarekat Ghazaliyah, setakat yang saya tahu, belum pernah ada
tokoh-tokohnya yang sebegitu. Jika kita mengaji kitab Ihya’, lebih-lebih lagi
pada Kitab Faqir dan Zuhud, memang bertentangan jauh le.
ABDULLAH : Maksudnya kita kena jadi fakir miskin ke Tok Yan? Kena
buang dunia terus ke? Atau macam mana?
TOK YAN : Hehe. Tak lah. Tarekat Ghazaliyah ini ibarat satu rahmat
yang turun ke atas semua peringkat manusia. Sebab itulah sepanjang sejarah… ada
ikhwannya dalam kalangan raja-raja, para pembesar, ulama, tentera, pelajar, peniaga,
petani, rakyat biasa, orang kaya dan lain-lain, termasuklah orang-orang miskin.
Tarekat Ghazaliyah ini bukan hak milik golongan tertentu sahaja. Bukan untuk
ustaz ustazah sahaja. Bukan untuk orang-orang faqir sahaja. Bukan untuk
orang-orang yang berjubah berserban sahaja.
ABDULLAH : Masya-Allah… penjelasan-penjelasan Tok Yan ni memang
memuatkan saya semakin tenang hati lah dalam banyak perkara. Yang saya yakin
dulu, sebagaimana yang ditanam ke dalam minda saya oleh atasan dan jemaah-jemaah
saya, memang dah banyak berubah. Memang
cantik dah Allah lorongkan saya ke sini hari tu.
TOK YAN : Kata Ustaz Suhaimi dulu – Imam Al-Ghazali, kitab Ihya’
‘Ulumuddin dan Tarekat Ghazaliyah ini seolah-olah rahmat yang dianugerahkan
oleh Allah kepada seluruh umat manusia, bukannya terhad untuk golongan tertentu
atau tarekat tertentu sahaja.
ABDULLAH : Fuh, memang menerujakan!
WANG DAN
HARTA BENDA
ABDULLAH : Lagi Tok Yan?
TOK SIAK : Lagi… dalam tarekat Ghazaliyah ini bolehlah dikatakan
tidak ada sebarang bayaran. Jemaah-jemaah yang Abdullah anggotai ada buat
kutipan tak?
ABDULLAH : Ada juga. Salah ke Tok Yan?
TOK SIAK : Eh, tak salah! Bayaran atau kutipan untuk hal yang
baik-baik, memang bagus. Lebih-lebih lagi untuk kerja-kerja agama.
ABDULLAH : Ooh… ingatkan salah tadi. Hehe. Ada jemaah-jemaah yang
kita kena bayar yuran penyertaan, ada yang yuran seumur hidup, ada yang
tahunan, bulanan, mingguan, bayar penceramah, kutipan derma, ada juga jemaah
yang buat tabung bayaran denda, dan beberapa jenis lagilah, mengikut jemaah
masing-masing.
Ambil Tarekat Ghazaliyah ada kena bayar apa-apakah? Pengeras ke…
kena bawa barang-barang tertentu ke… ?
TOK SIAK : Tak ada. Pada dasarnya semua urusan Tarekat Ghazaliyah
ini adalah percuma. Dan tak ada sebarang kutipan wang atau barang yang dibuat. Semua
pelajaran tarekat Ghazaliyah adalah percuma.
ABDULLAH : Takkan takde apa-apa yuran atau kutipan?
TOK SIAK : Memang tak ada. Kalau ada pun lah, seingat saya… pernah
ustaz buat kutipan daripada ikhwan Tarekat Ghazaliyah ini untuk rakyat Gaza
kerana ketika itu Gaza diserang Israel. Dan satu lagi untuk penduduk Acheh masa
tsunami dulu. Dua kali itu sahajalah. Selain daripada itu, memang tak pernah
buat apa-apa kutipan atas nama apa pun. Tiada bayaran keanggotaan, tiada
bayaran tahunan, bulanan, mingguan dan sebagainya. Nampak gaya, sekiranya hal
itu darurat, barulah dibuat kutipan.Kutipan itu pun bukan untuk kegunaan
sendiri atau untuk kegunaan Tarekat Ghazaliyah, tetapi untuk keperluan pihak
lain.
MAT DIR : Tarekat termiskin Tok Yan.
TOK SIAK : Hehe. Tidaklah sampai begitu sekali. Cuma memanglah hari
tu pernah ustaz bergurau dengan kita, katanya… dalam banyak-banyak tarekat dan
perkumpulan Islam ni, tarekat kita inilah antara yang paling tidak berduit.
(Menarik nafas panjang, lalu menghembuskannya dengan agak keras)
Ustaz Suhaimi dulu hebat jugak kisahnya. Dia memang tak ambil duit
langsung, baik dalam mengajar Tarekat Ghazaliyah ataupun mengajar pelajaran
agama yang lain. Tapi dia tu macam ada kelebihan tertentu… yang sukar nak
ditafsir. Dia cakap sekali je : ‘Jangan bagi duit!” Lepas tu… orang tak berani
dah nak cuba-cuba hulur kali kedua. Nak isyarat-isyarat untuk bagi pun tak
berani dah. Tapi kalau murid-murid dia hadiahkan buah-buahan pada musim buah
misalnya, dia terima. Atau pun orang bagi cenderahati berupa kitab-kitab, dia
ambil. Pernah ada orang datang ambil Tarekat Ghazaliyah dan hadiahkan minyak
wangi, dia raikan hajat orang itu.
Yang ustaz kita ni pulak, dia lembut sikit. Memang dia tak kenakan
bayaran dan tak ambil bayaran walau ke mana pun dia pergi menurunkan pelajaran
Tarekat Ghazaliyah ataupun mengajar pelajaran agama yang lain, tetapi… kalau
sampai orang nak bermasam muka dengan dia, bertolak-tolakan, timbul bunga-bunga
yang tak sedap…. dia ambil jugalah. Dia kata “Jangan bagi apa-apa” pun, orang
buat tak tahu. Orang suruh ambil jugak.
MAT DIR : Ustaz tak se’power’ Ustaz Suhaimi kot.
TOK IMAM : Isyh, mulut hang ni Mat Dir! Senang-senang hati ja
bercakap.
MAT DIR : Alah Tok Imam ni! Buat lawak antarabangsa sikit pun tak
boleh. Hehe.
TOK SIAK : Sungguh pun begitu, kami memang ada kongsi duit juga
apabila nak buat aktiviti tertentu seperti pergi berziarah, beriadah, raikan
tetamu yang berkunjung, perhimpunan setahun sekali, buat t-shirt, cetak
risalah, cetak buku dan sebagainyalah. Semua itu secara tak rasmi pun. Secara
sukarela je nak bagi. Bukan arahan daripada mursyid pun. Kami je yang berpakat
sesama kami.
Dan pernah juga dapat sumbangan ikhlas daripada individu tertentu.
Zaman Ustaz Suhaimi ada, zaman ustaz kita sekarang ni pun ada juga. Kita pun gunakan
untuk urusan agamalah.
ABDULLAH : Hmm.. nampak gayanya tu… dalam tarekat Ghazlaiyah ni
seolah-olah pintu untuk fitnah-fitnah wang dan harta ni juga cuba ditutup
sedari awal. Tak gitu Tok Yan?
TOK SIAK : Bolehlah dikatakan begitu, walaupun guru-guru kita tak
pernahlah kata begitu terang-terang. Dan… nak dikatakan tertutup terus pun
pintunya, tidak juga. Masih ada juga ruang-ruang untuk masuk, cuma perlulah
diuruskan agar sejahtera sebagaimana kehendak agama.
Seingat sayalah, adik kepada Ustaz Suhaimi tu ada pondok pengajian
di Indonesia. Boleh saja kalau dia nak gerakkan tabung sewaktu dia mengajar
untuk disumbangkan kepada pesantren adiknya, tetapi dia tak ada buat begitu.
Ustaz kita pun, sepupunya ada madrasah tahfiz. Apalah salahnya
jika dia kutip derma untuk dihalakan kepada maahad tahfiz sepupunya tu kan?
Tapi, memang tak pernah dibuatnya.
Pendek kata, yang berkaitan dengan duit dan harta-benda ni
susahlah nak ada. Baik yang berkait dengan individu, atau yang berkait dengan
Tarekat Ghazaliyah sendiri. Dalam hal-hal yang bagus pun tak ada dibuat kutipan,
apatah lagi dalam hal-hal yang tidak betul.
TOK IMAM : Apabila ada tetamu datang, kami pakat-pakat bawa
juadah, sukarela je bagi sesiapa yang sempat. Kadang-kadang tu sampai
berlebih-lebih makanan. Padahal guru tak beri apa-apa arahan pun.
TOK SIAK : Dengan ustaz kita ni, boleh jugalah kita
‘collect-collect’ duit. Kalau bukan ikut depan, ikut belakang, senyap-senyap
sesama kami. Tapi kalau dengan Ustaz Suhaimi dulu, tak berani kami. Bab-bab
duit dan harta benda ni memang dia sensitif betul.
Cuma satu yang saya nampak, pada zaman Ustaz Suhami dulu, kita tak
ada apa-apa program pun kecuali ziarah je. Tapi pada zaman ustaz kita ni,
aktiviti sampingan ni dah beberapa jenis. Para pengamalnya pun dah bertebaran
melangkaui batas-batas negara. Mungkin itu salah satu faktor yang melonggarkan
sikit bab-bab duit ni. Wallahua’lam.
Mungkin ramai yang masih belum tahu, bahawa Ustaz Suhaimi itu juga
berkeahlian dalam ilmu kependekaran dan ilmu ketabiban. Kiranya dia tu tok guru
silat juga tu, dan tabib. Tapi dia tak menyerlah bahagian tu sebab masanya
banyak tertumpu pada hal ehwal agama. Jadi, tak ramai yang tahu.
Dia pernah buka tiga kali gelanggang silat, secara tak rasmi le.
Semua pelajarannya percuma. Ilmu-ilmu kepedekaran ni, tak pernah dia buat duit.
Sesiapa sahaja yang minta, dan dipandangnya layak menerima, akan diberinya
begitu sahaja. Bagi orang-orang yang tahu kebolehan dia berubat, sesiapa yang datang
dapatkan rawatan, percuma juga.
Dulu kami ada rakam beberapa siri pengajian Ustaz Suhaimi. Zaman
tu guna perakam kaset. Selepas dia meninggal dunia, orang pakat cari
rakaman-rakaman tu. Kami pun pakat-pakat jadikan CD. Kalau nak buat duit,
memang boleh sangat. Tapi, ustaz awal-awal dah suruh beri secara percuma kepada
sesiapa yang berhajat, selagi ada stok. Dengan teknologi zaman kita searang ni,
lagilah mudah. Guna internet aje. Semua free.
MAT DIR : Tok Yan pun ada kot ilmu-ilmu pendekar Ustaz Suhaimi tu?
Bawak-bawak la peturun kat kami.
TOK SIAK : Eh, tak ada! Saya tak berbakat dalam seni bela diri ni.
Ustaz kita pun kurang. Tapi ustaz kita ada jugak dia masuk salah satu
gelanggang tu sekejap.
Bab silat-silat ni sekiranya berminat, elok pergi jumpa dengan Pak
Said kampung sebelah, bapa kepada Ustaz Iskandar dan Ustaz Hafiz ( http://alexanderwathern.blogspot.my/2009/10/serban-abang.html
). Dia tu bolehlah kalau nak dikatakan sebagai pewaris kepada ilmu-ilmu
hulubalang Ustaz Suhaimi. Silat yang dia dok ajar sekarang ni di rumah dia tu,
silat dari Ustaz Suhaimi le tu. Ilmu tangan cepat, ilmu penumbuk tepat, ilmu
makan gerak, ilmu pemati langkah, ilmu penyilau dan macam-macam lagilah, semua
free. Semuanya patuh syariat. Sekiranya nak buat duit le, memang boleh sangat.
Tapi macam tok guru dia jugalah…. segalanya percuma. Cuma.. dia akan nilai dulu
kita ni sudah layak ke belum untuk mendapat sesuatu ilmu tu, sebab takut
disalah guna atau belum berkemampuan nak praktik. Sekiranya dah layak, dia akan
beri. Sekiranya belum, dia akan beri yang lain mana yang layak untuk kita. Dia
pengamal Tarekat Ghazaliyah juga tetapi dia lebih tumpu pada seni tempur. Ni
Apit ni anak murid dia le ni.
SEMUA PUN
KITA, KITA PUN SEMUA
TOK YAN : Seterusnya, qalbu kita sedap lagi tenang kerana semua
guru-guru agama yang benar, akan dirasakan sebagai guru-guru kita juga, dan
semua jemaah-jemaah Islam yang benar pun akan dirasakan sebagai jemaah kita
juga, selagi mereka menerima kita.
Kita tak ada perasaan bahawa hanya guru-guru dalam Tarekat
Ghazaliyah sahajalah guru-guru kita. Kedaaan
ini namanya bukan kaya harta, tetapi kaya jiwa. Semua guru, guru kita. Semua
jemaah pun, jemaah kita. Selagi orang terima kehadiran kita, kita masuklah ke
mana-mana majlis pengajian yang benar, bergurulah ilmu-ilmu agama dengan
sesiapa pun yang benar, dan beraktivitilah dengan mana-mana jemaah Islam pun,
asalkan benar. Maka hati kita banyak senang dan banyak tenang.
ABDULLAH : Jadi, tak betullah dakwaan yang mengatakan apabila kita
menyertai sesuatu tarekat, maka kita hanya boleh belajar dengan orang-orang
tarekat itu sahaja?
TOK YAN : Dalam tarekat Ghazaliyah memang tak ada aturan yang
sebegitu.
ABDULLAH : Sewaktu saya terkurung dalam fahaman yang lama tu dulu,
ada seorang ustaz kami yang mengaku pernah join tarekat sekejap. Dia pun kongsilah
pengalamannya dengan kami. Katanya, antara peraturan dalam tarekat ialah kita
tidak boleh menziarahi guru-guru dan ustaz-ustaz yang selain yang daripada
tarekat itu sahaja. Kalau pergi belajar, lagilah tak boleh.
Kebetulan allahyarham datuk dia dulu seorang ulama, tapi tarekat lain.
Dia nak pergi ziarah makam datuk dia sendiri itu pun tak boleh, sebab berlainan
tarekat. Bukan ziarah orang hidup, ziarah orang yang dah mati pun tak
dibenarkan.
Bapa saudara dia pula mewarisi pondok pengajian datuknya. Dia nak
pergi ziarah bapa saudara dia di sana pun dilarang, kerana berbeza tarekat. Akhirnya,
dia pun ambil keputusan untuk tinggalkan tarekat terus.
TOK YAN : Sampai begitu sekali? Pelik juga. Entahlah. Tapi, dalam
Tarekat Ghazaliyah memang tak adalah aturan-aturan yang sebegitu. Bahkan kita
digalakkan lagi menziarahi orang-orang soleh, tak kira dari jemaah apa dan dari
tarekat yang mana, asalkan yang benar. Kita tak ada bersikap membeza-beza dan
menyekat-nyekat melulu.
Kan sedap hati dan tenang hati?
PERLAKUAN-PERLAKUAN
ABDULLAH : Satu lagi Tok Yan, dalam tarekat Ghazaliyah ni ada tak
majlis atau upacara berzikir beramai-ramai sekaligus…. dengan kuat… dalam
bulatan ke…
TOK YAN : Ringkas cakap… tak ada. Tak ada apa-apa upacara, majlis,
ritual dan seumpamanya yang ikhwan Tarekat Ghazaliyah ini kena berkumpul
beramai-ramai dan melafazkan zikir-zikir tertentu secara kuat atau secara
perlahan. Kalau wirid beramai-ramai lepas solat tu, biasalah, sebagaimana wirid
yang masyarakat kita selalu buat tu.
Zikir dan wirid Tarekat Ghazaliyah ni lebih kepada individu. Tetapi,
jika ada orang yang melakukan majlis sebegitu, hal itu tidaklah menjadi
kesalahan. Cuma ia bukanlah amalan warisan daripada Tarekat Ghazaliyah ini.
Seboleh-bolehnya kita nak kekalkan keaslian Tarekat Ghazaliyah ini semaksima
mungkin, sebagaimana zaman asalnya. Mana yang tidak dibudayakan,
seboleh-bolehnya jangan dibuat, kerana dikhuatiri akan menjadi budaya. Lebih
teruk lagi jika generasi kemudian menganggap hal itu memang ajaran rasmi
tarekat ini.
ABDULLAH : Bagaimana pula dengan perlakuan melompat-lompat,
meronta-ronta, kerasukan, menjerit-jerit, mengoyak-ngoyak pakaian, menari-nari,
naik syeikh, gila isim… dan sebagainya?
TOK YAN : Pendek kata, tak ada juga.
Menurut pandangan Tarekat Ghazaliyah, contoh teladan atau ikutan
terbaik bagi umat Islam ialah Rasulullah saw sendiri. Selepas baginda, yang
terbaik tidak lain ialah empat sahabat yang utama iaitu Saiyidina Abu Bakr,
Saiyidina ‘Umar, Saiyidina ‘Uthman dan Saiyidina ‘Ali radhiallahu anhum.
Seterusnya yang terbaik ialah para sahabat besar terutamanya Huzaifah Al-Yamani,
kerana beliau berada dalam sanad Tarekat Ghazaliyah ini. Juga Imam Al-Ghazali
sendiri walaupun dia bukan sahabat. Merekalah contoh ikutan yang terbaik bagi
umat ini. Keadaan, perihal dan ehwal mereka adalah yang terbaik. Mereka
terkenal di bumi dan terkenal di langit.
Oleh itu, Tarekat Ghazaliyah menghalakan keadaan, perihal dan
ehwal para pengamalnya ke arah keadaan, perihal dan ehwal Rasululah saw, 4
sahabat utama dan sahabat-sahabat besar baginda. Antara kami kadang-kadang kami
sebut sebagai R4s atau R4’s sahaja. Sebagaimana keadaan R4’s ini, sebegitulah
keadaan yang kami maqsudkan atau hajati. Kami berusaha untuk tidak terkeluar
daripada keadaan, perihal dan ehwal R4’s ini.
Jadi, Tarekat Ghazaliyah memang tidak menganjurkan
perlakuan-perlakuan yang disebutkan tadi. Sekiranya ada berlaku, hal itu ialah
kes terpencil.
ABDULLAH : Pernah berlakukah?
TOK YAN : Pernah sekali, zaman Ustaz Suhaimi. Ada seorang hamba
Allah ni, masa jemaah surau berwirid selepas solat Isya’, tiba-tiba dia memekik,
melompat dan berlari-lari anak. Sebenarnya dia dah pernah belajar ajaran lain,
lalu terbawa-bawa. Maka hal itu bukannya daripada Tarekat Ghazaliyah.
Waktu tu belum ramai lagi yang berTarekat Ghazaliyah di kampung
ni. Nasib baik penjelasan Ustaz Suhaimi dapat diterima dengan baik oleh orang
ramai. Pendek kata, kalau daripada Tarekat Ghazaliyah, insya-Allah tak menghala
ke situ. Hal ini demikian kerana jalan Tarekat Ghazaliyah ni menuju kepada
keadaannya R4’s tadi.
Selepas kejadian tu, Ustaz Suhaimi ada cakap kepada kami : “Kita
kenalah sentiasa dalam keadaan boleh menjadi imam.” Ringkas sangat
kata-katanya, sampaikan kami pun tak dapat nak tangkap apa maksudnya. Esoknya
kami bertanya kepada ustaz kita, barulah dia jelaskan.
ABDULLAH : Apa maksudnya Tok yan?
TOK SIAK : Lebih kurang beginilah. Orang yang tidak terurus
akalnya, hilang kewarasan, mabuk, gila, terlompat-lompat, berjejer-jejer air
liur dan hingus, tercabut pakaian, terkinja-kinja, ternari-nari, terjerit
pekik, terlari-lari, dan seumpama dengannya, bolehkah mengimamkan solat fardhu
Maghrib berjemaah?
ABDULLAH : Eh, mana boleh! Kecoh masjid dibuatnya!
TOK SIAK : Jadi, faham-faham sendirilah maksud nasihat Ustaz
Suhaimi tu.
R4’s adalah yang terbaik dan terafdhal bagi umat Islam sehingga
kini. Keadaan mereka juga adalah keadaan yang terbaik lagi tertinggi. Kita
teladani sahajalah contoh-contoh terbaik dan tertinggi itu. Begitulah pandangan
Tarekat Ghazaliyah. Wallahu’alam.
Jadi saya bercerita tentang Tarekat Ghazaliyah sahajalah, kerana
jika saya ada autoriti pun, dalam tarekat ini sahaja. Dalam tarekat-tarekat
lain, saya tak ada autoriti. Dan matlamat Abdullah pun memang nak bertanya
tentang tarekat Gahazaliyah kan?
ABDULLAH : Ya. Betullah kata-kata Tok Yan tu. Saya faham. Memang
nak ytahu tentan tarekat Ghazaliyah. Senang dan sedap hati saya.
AJARAN SYI’AH
ABDULLAH : Tok Yan. Kami dulu selalu diasak, kononnya tarekat ni
daripada Syiah.
TOK YAN : Hehehe. Fitnah belaka tu.
Bahkan Imam Al-Ghazali inilah antara yang paling dimusuhi oleh
kaum Syiah khususnya kaum Rafidah.
ABDULLAH : Oh, iye ke? Dulu masa mula-mula dapat tahu kata di
kampung ini ada ajaran tarekat, saya terus hebahkan dalam jemaah saya, kata :
“Di kampung aku merebak pulak dah ajaran Syiah.”
Alangkah jahilnya saya waktu tu!
Tapi… mengapa kaum Rafidah cukup benci dengan Imam Ghazali ni?
TOK YAN : Banyak sebab.
1.
Antaranya kerana Imam Al-Ghazali
terang-terangan menolak fahaman mereka, baik dalam perkataan-perkataannya,
tindakan-tindakannya ataupun tulisan-tulisannya.
2.
Imam Al-Ghazali berganding bahu dengan
pemerintah Kerajaan Seljuk untuk mengatasi pengaruh Syiah, terutamanya pada
zaman Perdana Menteri Nizam al-Mulk.
3.
Dalam kitab-kitabnya banyak tulisan-tulisan
beliau yang menghujah mereka.
4.
Dalam sanad Tarekat Ghazaliyah tak ada nama
tokoh-tokoh Syiah.
5.
Imam Al-Ghazali bermazhab fiqh Asy-Syafi’iyyah
yang memang dicemburui oleh kaum Rafidah
6.
Imam Al-Ghazali menyanjung tinggi Saiyidina
Abu Bakar dan Saiyidina Umar yang kedua-duanya sangat dibenci oleh kaum
Rafidah. Bahkan Imam Al-Ghazali mengiktiraf mereka sebagai lebih afdhal berbanding
Saiyidina Ali, sebagaimana dinyatakannya dalam kitab Ihya’.
7.
Imam Al-Ghazali menolak konsep keimaman
mereka.
Dan banyak lagilah.
Sekiranya ustaz kita yang hurai isu ni, lagi terperinci.
Sebab itulah tarekat Ghazaliyah ini sangat dibenci oleh kaum
Rafidah. Maka sanggupkah kita untuk mengatakan Tarekat Ghazaliyah ini daripada
Syiah di hadapan Allah kelak?
ABDULLAH : (Diam berfikir……….)
TOK YAN : (Setelah beberapa ketika) Macam mana setakat ini ya
Abdullah? Semakin berasa sedap hati terhadap tarekat ini?
ABDULLAH : Sejujurnya, setakat ini, memang sedap hati. Alangkah jauhnya sangkaan saya dahulu terhadap
tarekat khususnya Tarekat Ghazaliyah. Ke manalah sebenanya saya dihalakan
selama ini?............
TOK YAN : Hai, nampaknya kamu pulak yang tak senang hati, tak sedap
hati dan tak tenang hati dengan isi kandungan tarbiyah yang kamu dapat selama
hari ni tu?
ABDULLAH : Hehe. Entahlah Tok Yan. Macam manalah boleh terbalik
pulak ni? Allah…..
Mungkin selama hari ini,,, saya hanya mendengar hujah-hujah
sebelah pihak…
Mungkin juga… saya menghukum dan mengambil tindakan terlebih
dahulu sebelum bertanya dan memohon penjelasan…
Mungkin juga saya terhijab dengan pangkat dan kebesaran….
al-maklumlah, pihak-pihak sebelah sana kan banyak yang ada PHD, yang
berkelulusan Timur Tengah, yang lepasan universiti, yang professional, yang
banyak pengikut, yang terkenal…..
Semoga Allah terus meluruskan hati saya yang lemah ini. Tuan-tuan
semua doakanlah saya ni.
BERTAPA
ABDULLAH : Baiklah Tok Yan. Rasanya yang terakhir kot dalam bicara
kita hari ni… Tok Yan berasa tenang hati tak dengan amalan berkhalwat atau yang
biasa orang sebut sebagai bertapa, dalam tarekat ini?
TOK YAN : Sangat senang hati, sedap hati, dan tenaaang hati.
ABDULLAH : Apa sandaran Tok Yan untuk menyetujui pertapaan di
tempat-tempat sunyi seperti di dalam gua, di kuburan, di bukit di gunung, di
tepi laut, di hutan, dan sebagainya tu?
TOK YAN : Dalam Tarekat Ghazaliyah tidak ada anjuran yang seperti
itu.
ABDULLAH : Aik? Tadi Tok Yan yang kata senang hati dengan amalan
pertapaan?
TOK YAN : Dalam Tarekat Ghazaliyah, memang ada pertapaan dan
sangat disarankan, tetapi, tidak sebagaimana pertapaan-pertapaan yang biasa
difahami oleh orang ramai.
ABDULLAH : Maksudnya?
TOK YAN : Pertapaan sangat digalakkan, tetapi di masjid. Niatlah
beriktikaf, dan bertapalah selama mana yang mahu asalkan sesuai. Satu malam?
3-4 hari? Seminggu? Sebulan? Setahun? Seumur hayat? Silakan, asalkan
bersesuaian. Begitulah yang diamalkan oleh Imam Al-Ghazali dulu.
Di rumah kita sendiri pun boleh bertapa. Bangunlah pada 2 per 3
malam contohnya dan hidupkanlah. Jika mampu hendak hidupkan seluruh malam pun,
silakan. Setiap hari selepas Isya’ nak bertapa sampai ke Subuh? Silakan.
Ada ikhwah kita yang bekerja sebagai jaga. Maka pondok pengawal
itulah tempat uzlahnya.
ABDULLAH : Tapi, bukankah Imam Ghazali sendiri beruzlah selama
sebelas tahun?
TOK YAN : Yang itu khusus untuk dia seorang sahaja, sebagaimana
kekhususan Imam Malik yang tidak mahu berkasut dan menunggang kenderaan di
Madinah. Tetapi kepada anak muridnya iaitu Imam Asy-Syafi’I, Imam Malik sendiri
hadiahkan seekor kuda tunggangan yang cantik.
Begitu jugalah dengan Imam al-Ghazali. Sepulangnya dari uzlah,
orang kanannya iaitu adiknya sendiri - Imam Ahmad Al-Ghazali tidak pernah disuruh
pergi beruzlah bersuluk sebegitu, apatah lagi orang-orang lain. Tidak ada
seorang pun anak murid Imam Al-Ghazali atau anak murid Ahmad al-Ghazali yang
disuruh berbuat demikian.
Dan kita kena ingat, Imam Al-Ghazali beruzlah di masjid-masjid,
terutamanya di Masjid Umayyah di Damsyik, bukannya di tempat-tempat lain.
PELERAIAN
ABDULLAH : Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat. Banyak betul
hal-hal yang otak Salafi Wahhabi saya ni menghukum melulu akan Tarekat
Ghazaliyah. Memang betullah, dulu saya sangat sakit hati, benci hati, susah
hati, kacau hati, buruk hati, busuk hati dan sebagainya yang buruk-buruk terhadap
tarekat ini. Tapi hari ini, nampaknya semakin banyak dan semakin banyak yang
berubah jadi senang hati, sedap hati dan tenang hati.
TOK YAN : Baguslah kalau dah macam itu. Berterusanlah berdoa
kepada Allah supaya dia lorongkan kita kepada kebenaran. Jangan sesekali kita
terkongkong dengan apa yang dilambakkan kepada kita sahaja. Jangan taksub,
jangan terlebih teruja dengan apa yang ada pada kita sahaja, sama ada terhadap
individu tertentu, ataupun terhadap perkumpulan tertentu. Sesekali kena
lihat-lihat juga apa yang tidak ada pada kita.
Jangan mudah-mudah terhijab dengan tingginya pangkat, hebatnya gelaran,
besarnya pengaruh, melangitnya kelulusan, banyaknya sokongan, hebatnya
aktiviti, banyaknya hafazan, sedapnya suara dan bacaan, cantiknya muka,
banyaknya wang, indahnya penampilan, bergunungnya pujian, kerapnya berlaku yang
mencarik adat, dan sebagainya.
Doa, dan fikir, dan doa, dan bertindak, dan doa. Insya-Allah selamat
sejahtera.
ABDULLAH : Baiklah Tok Yan. Nanti sekiranya ada peluang, kita
sembang lagi. Mungkin ada lagi hal-hal yang di minda saya ni belum tercerahkan.
TOK YAN : Sebenarnya Abdullah, kami dah terbiasa dengan
permasalahan seperti ini. Banyak kali dah orang-orang yang anti tasawuf sufi
tarekat lebih-lebih lagi yang terkena fahaman Salafi Wahhabi datang berdialog
dengan ustaz.
Mula-mula datang tu memang dengan gaya hendak menghentam lah. Mungkin
banyak agaknya peluru-peluru yang hendak dilepaskan tersimpan dalam otak. Tetapi
biasanya selepas diberi pencerahan, semangat hendak menghentam tu jadi semakin
kendur dan semakin kendur. Sebaliknya berganti pula dengan sikap semakin boleh menerima,
semakin bersetuju, semakin bertolak-ansur dan semakin meraikan.
Masa zaman Ustaz Suhaimi dulu rasanya sekali dua je. Pada zaman
ustaz kita ni yang banyak kali dah. Mungkin kerana mudahnya merebak
ajaran-ajaran daripada fahaman itu melalui media canggih hari ini, maka
generasi muda mudah didakyah. Dan jemaah-jemaah berasaskan agama yang tumbuh
kemudian-kemudian ni pun, rata-ratanya yang mengabaikan aspek tasawuf. Memang
tak sampailah pemahaman tentangnya kepada anggota-anggota mereka.
Saya tahu, ada lagi hal-hal yang belum terkeluar. Antaranya permasalahan ziarah kubur, susunan amalan zikir,
penggunaan makhluk halus, solat fardhu berjemaah, zikir “Allah”, tentang muzik dan
alatannya, tentang pengakuan menjadi rasul dan nabi, dan beberapa hal lagi.
ABDULLAH : Eh, macam mana Tok Yan boleh susun sebegitu? Tok Yan ni
macam dah tahu tahu aje?
APIT CINA : Sebenarnya Tok Yan ni dulu asal-muasalnya memang dah
berdebat panjang dengan ustaz sebelum Tok Yan ambil Tarekat Ghazaliyah ni.
ABDULLAH : Oh, iye ke?
TOK SIAK : Memang pun. Saya asalnya bukan orang tasawuf sufi tarekat.
Mula-mula kenal hidup beragama ni pun dalam jemaah-jemaah sebagaimana yang
Abdullah sertai sekarang ni le. Lama saya aktif dulu.
Walaupun jemaah yang saya sertai itu tidaklah berfahaman Salafi
Wahhabi secara langsung, tetapi memang tak mesra tasawuf sufi tarekat. Jadi, hujah-hujah
yang menolak dan sufi tasawuf tarekat ni memang secara tak langsung banyak
beredar dalam buku-buku rujukan kami, ucapan dan tulisan tokoh-tokoh kami, dan
dalam aktiviti-aktiviti tarbiyah kami. Waktu itu saya memang teruja habis
dengan ideologi atau manhaj jemaah kami. Dirasakan bahawa jalan kamilah yang
terbaik. Sampaikan saya memang berjawatan agak tinggi juga dalam jemaah.
Saya dulu bertentang mata dengan ustaz dan Ustaz Suhaimi
sekaligus.
MAT DIR : Fuiyoo… ‘power’ betoi Tok Yan!
TOK SIAK : ‘Power’ apanya… peluru-peluru yang saya bawa kebanyakannya
tak boleh diguna pun. Terbuang begitu sahaja kerana terlalu banyak salah sangka
dan salah faham tentang tarekat khususnya Tarekat Ghazaliyah ni.
ABDULLAH : Macam saya hari lah. Hehe.
TOK SIAK : Masa tu, ustaz yang banyak beri pencerahan, Ustaz
Suhaimi banyak diam dan memerhati je. Saya sendiri pun lebih senang berhujah
dengan ustaz, sebab kalau dengan Ustaz Suhaimi tu, ada rasa gerun sikit.
Melihatkan gaya dan air mukanya pun kita jadi segan. Lagi pulak dia dah berusia
lanjut waktu tu. Takkan nak berdebat dengan dia.
Jadi, kesimpulannya, memang banyak maklumat yang tidak benar dan
tidak tepat yang didakyahkan kepada kita sama ada secara langsung ataupun
secara tidak langsung. Elok sangatlah jika kita sendiri berani keluar daripada
kotak jemaah atau manhaj kita dan luaskan pandangan.
Cukuplah setakat itu kot ye?
ABDULLAH dan TOK IMAM : Cukuplah Tok Yan.
MAT DIR : Senang hati – Sedap hati – Tenang hati.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
22 April 2018
SIRI DRAMA MUKIM RUHANI, MENGIKUT TURUTAN :
1.
Serban Abang (2009) http://alexanderwathern.blogspot.my/2009/10/serban-abang.html
2.
Sejauh Mana Engkau Pasti Ada Banyak Hadith
Palsu dalam Ihya’ ‘Ulumuddin? (2014) http://alexanderwathern.blogspot.my/2014/10/sejauh-mana-engkau-pasti-ada-hadith.html
3.
Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bahagian 1 – Mac 2018)
http://alexanderwathern.blogspot.my/2018/03/tinggi-tinggi-si-mata-hati.html
4.
Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bahagian 2 – Mac 2018)
http://alexanderwathern.blogspot.my/2018/03/tinggi-tinggi-si-mata-hati-bahagian-2.html
5.
Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bahagian 3 – Mac 2018
http://alexanderwathern.blogspot.my/2018/04/tinggi-tinggi-si-mata-hati-bahagian-3.html
6.
Bual-bual Tarekat Ghazaliyah (April 2018 https://alexanderwathern.blogspot.my/2018/04/bual-bual-tarekat-ghazaliyah.html )
No comments:
Post a Comment