Wednesday, April 4, 2018

Majlis Ramah Mesra 28 April 2018




SOALAN : Majlis apakah yang bakal berlangsung ini?
JAWAPAN : Majlis kecil-kecilan perhimpunan setahun sekali para pengamal Tariqah Al-Ghazaliyyah (Tarekat Ghazaliyah). Dinamakan sebagai “Majlis Ramah Mesra. Pertemuan Tahunan. Himpunan Mahabbah Ikhwan Tariqah Al-Ghazaliyyah” kali ke-2.

SOALAN : Apakah matlamat majlis ini?
JAWAPAN : “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.
Al-maklumlah, hendak berjumpa setahun sekali pun belum tentu.

SOALAN : Siapakah yang boleh hadir?
JAWAPAN : Khususnya para pengamal Tariqah Ghazaliyyah, lebih khusus lagi kepada ikhwan Tariqah Ghazaliyyah daripada jalur Abu Zulfiqar Al-Amsyari, Ustaz Muhammad Salleh Abdur Rahman, Ustaz Abdullah Khandak dan ke atas, dan umumnya untuk semua.

SOALAN : Bolehkah ahli-ahli Tarekat Ghazaliyah daripada jalur yang lain turut serta?
JAWAPAN : Tentu saja boleh. Selamat “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.

SOALAN : Bolehkah para pengamal tarekat lain datang?
JAWAPAN : Tentu saja boleh, sebagaimana kata-kata “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.
Dalam kalangan ikhwan Tarekat Ghazaliyyah ini sendiri pun ada pengamal tarekat lain seperti Naqsyabandiyyah, Ahmadiyyah Idrisiyyah dan Syaziliyyah (setakat yang memaklumkan kepada kami, manakala yang tidak memaklumkannya mungkin ada lagi daripada tarekat-tarekat lain). Hal ini kerana para pengamal Tarekat Ghazaliyyah bebas untuk menyertai, mengambil atau mengamal mana-mana tarekat yang benar.

SOALAN : Bagaimana dengan orang-orang yang bukan pengamal mana-mana tarekat?
JAWAPAN : Tentu saja boleh. Dialu-alukan. Mari kita “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.

SOALAN : Bagaimana dengan orang-orang daripada jemaah-jemaah agama Islam yang lain?
JAWAPAN : Selamat datang. Kita “Berhimpun -Berkenalan – Bersaudara”.
Sefaham kami, dalam kalangan ikhwan Tarekat Ghazaliyyah ini pun ada yang daripada pelbagai jemaah dan perkumpulan bertunjangkan agama Islam seperti Jemaah Tabligh, Ikatan Muslimin Malaysia, Ikram, Parti Islam Se-Malaysia, NGO tertentu dan lain-lain, termasuklah juga mereka yang tidak menyertai mana-mana perkumpulan jemaah bertunjangkan agama Islam. Ha ini kerana para pengamal Tarekat Ghazaliyyah bebas untuk menyertai mana-mana jemaah atau perkumpulan agama Islam yang benar yang lain.

SOALAN : Apakah isi kandungan majlis ini?
JAWAPAN :
1.       7.30 malam - Solat fardhu Maghrib berjemaah di lokasi atau masjid surau berhampiran (mana-mana yang sempat)
2.       Selepas solat Maghrib – Jamuan dan borak-borak.
3.       Solat fardhu Isya’ berjemaah.
4.       9.15 malam – Sedikit ucapan (khususnya untuk ikhwah Tariqah Ghazaliyyah, umumnya untuk semua yang mahu mendengar sama, yang tak mahu terlibat boleh teruskan jamuan) dan doa.
5.       9.45 malam – Jamuan diteruskan sambil borak-borak.
6.       Bersurai lebih kurang jam 10.30 ke 11.00 malam.
Ringkasnya – majlis makan-makan, sembang-sembang, solat berjemaah, sedikit ucapan dan doa. Lebih kurang macam kunjungan hari raya sahaja.

SOALAN : Itu sahaja?
JAWAPAN : Itu sahaja.

SOALAN : Apa yang perlu dilakukan untuk hadir?
JAWAPAN :
1.       Maklumkan kepada kami yang anda bakal hadir – untuk kami sediakan makan minum yang secukupnya.
2.       Ikhlaskan hati – datang benar-benar kerana Allah untuk “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.

SOALAN : Perlu bawa apa-apa?
JAWAPAN : Tak perlu bawa apa-apa.

SOALAN : Kena bayar apa-apa?
JAWAPAN : Tiada sebarang bayaran. Percuma, insya-Allah.

SOALAN : Sekiranya datang ke majlis ini, majlis-majlis lain nanti kena datang jugakah?
JAWAPAN : Tidak kena hadir, kerana:
1.       Majlis ini tidak dimestikan hadir. Ikhwan Tariqah Ghazaliyyah sendiri pun tidak dimestikan hadir. Begitu juga dengan majlis-majlis Tariqah Ghazaliyyah akan datang.
2.       Sebenarnya Tariqah Ghazaliyyah tidak ada sebarang perhimpunan atau pertemuan rasmi tahunan, bulanan, mingguan atau harian. Majlis pertemuan setahun sekali ini diadakan sekadar untuk “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.

SOALAN : Dalam majlis ini nanti, ada tak apa-apa aktiviti seperti persembahan, tarian, kutipan, kemahiran, kekuatan, kesaktian, atau hal-hal yang bermasalah, atau sebagainya?
JAWAPAN : Tidak ada. Hanya ada :
1.       Solat fardhu berjemaah.
2.       Jamuan.
3.       Sembang-sembang sambil makan.
4.       Sedikit ucapan.
5.       Sedikit doa.
Itu sahaja.

SOALAN : Bagaimana asal-usul majlis ini?
JAWAPAN :
Alhamdulillah. Syukur. Tahniah!

Ada jemaah yang menganjurkan orang-orangnya untuk keluar berdakwah kepada diri sendiri dan kepada diri orang lain 3 hari pada setiap bulan, dan 40 hari dan 4 bulan dalam tempoh-tempoh tertentu. Selain itu ada perhimpunan mingguan mereka pada setiap malam tertentu - malam markas. Seminggu sekali berhimpun buat dakwah di petempatan masing-masing. Kemudian ada ijtima’ peringkat negara dan ada pula ijtima’ peringkat antarabangsa. Hebat komitmen mereka.

Ada jemaah-jemaah tarekat yang orang-orangnya terlibat dengan majlis zikir mingguan, tawajuh, suluk, haul, majlis-majlis bulanan dan tahunan. Hebat mereka.

Ada jemaah-jemaah haraki yang orang-orangnya diusrahkan seminggu sekali dan ada yang turut mengusrahkan pula seminggu sekali. Ada qiamullail bulanan, daurah, kem, AGM, mesyuarat dan sebagainya. Hebat mereka.

Ada jemaah yang punya usrah mingguan, ijtima bulanan, ijtima tahunan, ceramah-cermah, program-program kebajikan, muktamar dan sebagainya. Hebat mereka.

Tetapi kita para pengamal Tariqah Ghazaliyyah… tidak punya sebarang majlis. Free sepanjang tahun. Harian tiada, mingguan tiada, bulanan tiada, tahunan pun tiada.

Oleh itu, kita berusaha untuk mengadakan pertemuan ramah mesra sesama pengamal Tarekat Ghazaliyyah, hanya 1 kali sahaja dalam setahun. Itu pun bukan kemestian untuk diadakan dan tidak dimestikan hadir. Sukarela untuk mengadakan dan sukarela untuk hadir.

Sekadar satu pertemuan ringkas, beramah mesra, menikmati jamuan, dan sedikit ucapan umum dan doa. Itu sahaja. Hanya dalam masa 2-3 jam sahaja. Seakan-akan mini hari keluarga sahaja ataupun lebih kurang macam kita pergi ke majlis kenduri kahwin saudara-mara. Pergi, makan, tazkirah umum, sembang-sembang sikit, balik.

Majlis sebenarnya hanya sekitar 2-3 jam itu sahajalah. Selepas itu, masing-masing boleh beredar pulang atau ke mana-mana mengikut tujuan masing-masing. Kita tidak mahu memberatkan/menyusahkan.

Insya-Allah tidak ada sebarang kutipan wang. Sekadar hadir sahaja. Jamuan akan disediakan. (Sesiapa yang mahu menyumbang secara sukarela, tidaklah pula dilarang). Cuma perbelanjaan perjalanan datang dan pulang tentunyalah atas tanggungan sendiri.

Tahun 2017 yang lepas ada kita cuba buat himpunan kali pertama. Sangat ringkas, mudah dan berjalan lancar lagi puas hati. Insya- Allah tahun 2018 ini kita cuba buat majlis pertemuan kali ke-2. Hanya 1 kali sahaja setahun, hanya 2-3 jam, kenal-kenal, makan-makan, sembang-sembang.

Majlis kita ini kecil-kecilan sahaja. Setakat ini, dalam rekod kita, pengamal Tarekat Ghazaliyyah daripada jalur kita ini ada tidak sampai 60 orang pun yang bertebaran di serata negeri di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina. Itu pun tentunya tak semua yang berkesempatan hadir. Yang daripada jalur Al-Ghazaliyyah yang lain, tidaklah kita ketahui.


KEPADA YANG BAKAL HADIR, BOLEHLAH RENUNG-RENUNGKAN ISI PUISI DI BAWAH :

Andai kau datang ke “sungai” ini,
datanglah dengan “berpakaian putih” :
suci jiwa, ikhlaskan hati.
“Berperahu di air yang jernih.”

“Sungai” ini
majlis yang ahli-ahlinya
berusaha untuk sentiasa dalam keadaan
ingat akan Allah,
ibarat sungai zikrullah
yang tiada henti-henti mengalir.

Majlis mengalir dan melimpahnya kasih sayang
masuk ke lembah-lembah hati yang subur.

Majlis yang diharapkan
mengalirnya rahmat Allah.

Majlis yang berkumpulnya
para penghuni sungai tariqah,
ada yang suka bermain di arus deras,
ada yang suka berdiam di lubuk gelap,
ada yang suka berenang-renang di air tenang,
ada yang suka bermain-main di permukaan,
ada yang suka merayap-rayap di dasar,
ada yang suka menjelajah jauh,
ada yang suka berdiam setempat,
ada yang suka bergerak bersendirian,
ada yang suka kembara berkumpulan;
semua keluar sebentar
menghadiri perhimpunan cinta.

Andainya kita suka untuk menghadiri majlis ini,
datanglah dengan
minda yang bersih dan hati yang tulus.
Kita fikir yang baik-baik,
kita cakap yang baik-baik,
dan kita buat yang baik-baik sahaja
sebelum, semasa dan selepas majlis.

“Pakaian putih” itu bukanlah pakaian diri zahir
yang mengelokkan tubuh badan,
tetapi pakaian diri batin
yang mengelokkan hati qalbu.
Penuh dengan sifat-sifat mahmudah di dalam,
sehingga terkesan hingga ke luar
lalu terpamer murni bukan sahaja pada wajah muka
tetapi pada wajah seluruh zat kita.

Jangan ada niat yang tidak baik.
Jangan ada maksud yang tidak mulia.
Moga Allah jauhkan itu semua.

Ibarat melangkah masuk ke alam
solat berjemaah berimam,
bukankah segala pakaian jawatan, pangkat, harta,
pengaruh, kedudukan, kebesaran, dan kekuasaan;
kita sangkutkan sebentar di ranting-ranting
pohon keduniaan?
Selesai solat nanti
pakailah semula.

Yang sepatutnya jangan dipakai semula
ialah pakaian-pakaian berjenama mazmumah.
Tanggalkan semua,
jangan dibawa sama sekali,
yakni rasa hebat diri, tinggi diri, besar diri,
lebih diri, penting diri, bangga diri,
ujub diri, riak diri,  sombong diri.

Seolah-olah kita semua
berada di dalam sebuah “perahu”
lalu kita belayar sebentar pergi bersiar-siar
di atas “permukaan air yang jernih”.
Jauh sebentar daripada segala kesibukan duniawi,
meletakkan sebentar segala kebesaran diri,
lalu bersama-sama menikmati
keindahan lautan air dan dasarnya,
keindahan lautan udara dan langitnya.

Alam berbicara
ahlan wa sahlan.




4 April 2018


No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails