Pertama : Orang yang mencintai Allah tentunya cinta untuk bertemu dengan Allah setelah masuk ke jannah nanti. Untuk bertemu dengan Kekasih, mestilah melalui kematian. Oleh itu, pecinta mestilah orang yang tidak membenci mati.
“Sesiapa yang mencintai untuk bertemu dengan Allah, nescaya Allah juga cinta untuk bertemu dengannya.” (Bukhari, Muslim)
Kedua : Membanyakkan sujud (banyak melakukan solat-solat sunat).
Sebahagian salaf berkata : “Tidak ada suatu perkara pun yang lebih dicintai oleh Allah pada hamba sesudah cinta untuk bertemu dengan Allah,selain daripada banyak sujud.”
Ketiga : Sanggup berperang pada jalan Allah dengan perancangan yang bagus.
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang pada jalan Allah dalam barisan perang yang teratur.” (As-Saf : 4)
Keempat : Mencintai mati.
Sufyan ath-Tahuri dan Bisyr al-Hafi mengatakan : “Tidak benci kepada mati kecuali orang yang ragu.”
Benci mati berlaku kerana kuatnya cinta kepada dunia.
Ahli-ahli sufi meminta dipanjangkan umur bukan kerana mereka membenci mati, tetapi kerana mahu mempertingkatkan maqam masing-masing sebagai persediaan terbaik sebelum bertemu dengan Allah.
Kelima : Mengutamakan apa yang disukai oleh Allah berbanding apa yang disukai oleh diri sendiri.
Maksudnya hatinya memang suka untuk mentaati perintah-perintah Allah dan suka untuk menjauhi segala larangan Allah. Orang yang bercinta sudah tentu akn mendahulukan kemahuan kekasihnya berbanding kemahuan dirinya sendiri.
Keenam : Mencintai zikrullah. Sangat suka ingat akan Allah. Banyak ingat akan Allah.
Ketujuh : Mencintai Al-Quran.
Kata Sahl : “Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al-Quran. Tanda mencintai Al-Quran ialah mencintai Nabi saw. Tanda mencintai Nabi ialah mencintai sunnah.”
Kelapan : Mencintai Nabi saw.
Firman Allah : “Katakan : Jika benr kamu mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya kamu akan dicintai oleh Allah.” (Ali ‘Imran : 31)
Kesembilan : Suka bersenang-senang dengan khilwah dan munajah.
Maksudnya suka memperuntukkan masa tertentu untuk bersendirian lalu bermesra-mesraan dengan Kekasihnya yakni Allah swt, lebih-lebih lagi pada malam hari.
Firman Allah Taala : “Orang-orang yang beriman itu, hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah, dengan mengingati Allah, tenteramlah hati.” (Ar-Ra’d : 28)
Kesepuluh : Tertanam dalam jiwanya bahawa terlepas selain Allah tidak mengapa lagi, asalkan jangan terlepas akan Allah.
Kesebelas : Berasa sedap dan lazat untuk taat kepada perintah-perintah Allah.
Kedua belas : Mengasihi segala makhluk Allah tetapi bertegas terhadap musuh-musuh Allah.
“Bersikap tegas terhadap orang-orang yang tidak beriman, (dan) bersikap kasih sayang antara sesama mereka.” (Al-Fath : 29)
Ketiga belas : Ada perasaan takut (risau, bimbang, khuatir), iaitu takut terlepas Allah, takut terjauh daripada Allah, takut cinta menjadi lemah, takut terubah hati dan sebagainya. Apabila ada takut, maka adalah juga harap akan hal-hal itu.
- Intipati kitab induk Ihya' 'Ulumuddin : Kitab Cinta Allah
No comments:
Post a Comment