Saturday, June 17, 2017

Bagaimana Puasa Orang2 Soleh?



Puasa terdiri daripada 3 tingkatan :

i) Puasa umum - Menjaga perut dan kemaluan daripada memenuhi keinginannya.

ii) Puasa khusus - Turut menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan anggota tubuh yang lain.

iii) Puasa khusus daripada yang khusus - Menjaga hati agar tertuju kepada Allah sahaja. Inilah tingkat nabi-nabi, orang-orag siddiq dan orang-orang muqarrabin.


Antara ciri-ciri puasa khusus, yakni puasa orang-orang soleh :

i) Hatinya dapat mengawal mata daripada melihat hal-hal yang diharamkan dan dimakruhkan. Hatinya mengelakkan mata daripada memandang hal-hal yang boleh melalaikan kita daripada mengingati Allah.

Sabda Nabi saw : “Pandangan itu merupakan panah beracun daripada panah-panah Iblis yang dilaknat Allah. Sesiapa yang dapat meninggalkan pandangan kerana takut akan Allah, nescaya didatangkan oleh ‘Azza wa Jalla kepadanya iman yang terasa manis di kalbunya.” (Al-Hakim, dengan sanad yang sahih)

ii) Hatinya dapat mengawal lidah daripada mengucapkan sesuatu yang tidak ada faedah, menipu, membawa-bawa cerita, mengucapkan perkatan-perkataan yang tidak baik, kata-kata yang boleh merenggangkan hubungan, yang membawa kepada permusuhan dan yang mengandungi riak. Sebaliknya hatinya membawanya kepada banyak berdiam diri, berzikir dan membaca Al-Quran.

iii) Hatinya dapat mengawal telinganya daripada medengar hal-hal yang haram dan makruh.

iv) Hatinya dapat mengawal anggota tubuhnya terutamanya tangan dan kaki daripada segala perbuatan dosa dan makruh.

Antaranya mencegah perut daripada memakan harta yang haram dan syubhat apabila berbuka.

v) Hatinya dapat mencegah diri daripada mengikut kehendak hawa nafsu apabila berbuka iaitu mengelakkan daripada banyak makan dan makanan serta banyak minum dan minuman.

Bagaimanlah kita mahu mendapatkan manafaat daripada berpuasa apabila ketika berbuka puasa itu kita memperoleh segala macam yang kita tidak dapat menikmatinya pada siang hari? Sudah menjadi kebiasaan pula pada bulan Ramadhanlah pelbagai jenis makanan minuman yang jarang-jarang kita nikmati pada hari-hari biasa tetapi kita memperolehinya apabila berbuka.

Apabila perut dikosongkan sejak pagi hingga ke petang, keghairahannya kepada makanan dan minuman sudah tentu bergejolak. Tiba waktu berbuka, dihidangkan pula dengan pelbagai juadah yang lazat-lazat, maka lebih bernafsulah makan minumnya. Lebih banyak dan lebih mewahlah makan minumnya berbanding hari-hari tidak berpuasa. Maka tercapaikan matlamat berpuasa itu?

Tidur pada siang hari juga hendaklah dikurangkan agar hati dapat merasai keadaan lapar, dahaga dan kelemahan tubuh badan. Barulah bertambah manafaat puasa kita.

vi) Hatinya dapat membawa kepada berasa takut dan harap akan Allah sesudah berbuka puasa. Rasa takut dan rasa berharap kerana tidak tahu bagaimana nilai puasanya di sisi Allah pada hari itu, sama ada puasanya termasuk puasa para muqarrabin atau tidak. Takut puasanya tidak diterima atau dinilai rendah, dan berharap agar puasanya diterima dan dinilai tinggi di sisi Allah SWT.

- Intipati daripada Kitab Rahsia Puasa dalam kitab induk Ihya' 'Ulumuddin

No comments: