PERSOALAN : Kami teringin juga hendak mengambil Tariqat Ghazaliyyah. Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk mengambil Tariqat Ghazaliyyah ini?
PENJELASAN : Sebenarnya sangat sekejap, tidak sampai pun 1 minit sudah boleh selesai proses talkin, ijazah dan bai’ah.
Tetapi, tidaklah semudah itu kerana sebelumnya kenalah ada proses penerangan ringkas tentang Tariqat Ghazaliyyah ini yang memakan masa lebih kurang dua jam, diikuti dengan sesi soal jawab. Setelah selesai sesi penerangan dan soal jawab tersebut, barulah sesuai dibuka kepada individu atau hadirin yang ada. Sesiapa yang mahu mengambil tariqat ini secara langsung, bolehlah diteruskan. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa. Tidak ada paksaan melainkan atas kerelaan dan pilihan hati sendiri.
Sesi penerangan dan soal jawab memang kena dibuat agar individu atau hadirin yang datang tahu tentang apa yang mereka inginkan ini. Ibarat jual beli barang, bakal penjual bertanggungjawab memaklumkan tentang barang jualannya kepada bakal pembeli. Bakal pembeli juga berhak tahu tentang barang yang bakal dibelinya. Hal ini supaya kedua-dua pihak berpuas hati.
Satu risalah tentang hal ehwal Tariqat Ghazaliyyah ini (setebal beberapa puluh muka surat saiz A4) bertajuk “Terbit Yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah - Penjelasan Tentang Tariqat Ghazaliyyah” akan dihadiahkan kepada individu atau hadirin yang datang ke sesi penerangan ini (sekiranya ada pada kami ketika itu).
Ringkasnya, siapkanlah waktu lebih kurang 3 jam secara keseluruhannya sekiranya ada keinginan.
PERSOALAN : Apakah persediaan yang perlu dibuat atau barang yang perlu dibawa untuk mengambil Tariqat Ghazaliyyah ini?
PENJELASAN : Tidak ada sebarang persediaan yang perlu dibuat atau barang yang perlu dibawa, melainkan berusahalah untuk membawa hati yang ikhlas jernih. Cuma umumnya janganlah yang datang hendak mengambil Tariqat Ghazaliyyah ini orang yang masih belum beres hal-hal asas dalam agama seperti tidak tahu mengerjakan solat, tidak tahu cara mandi wajib, tidak tahu cara berwuduk, dan seumpamanya. Bagaimanalah dia hendak bertariqat sedangkan dalam urusan yang asas-asas pun dia belum lepas?
PERSOALAN : Adakah disyaratkan apa-apa bayaran, barang, hadiah atau sebagainya?
PENJELASAN : Tidak ada. Datang berlenggang dan insya-Allah pulang membawa risalah tentang Tariqat Ghazaliyyah yang diberikan percuma (sekiranya ada pada kami ketika itu).
PERSOALAN : Sekiranya selepas mendengar taklimat dan bersoal-jawab tentang Tariqat Ghazaliyyah, tidak ada sesiapa yang mahu mengambil tariqat ini. Bagaimana?
PENJELASAN : Boleh sahaja. Langsung tidak ada paksaan untuk mengambil tariqat ini. Sekadar datang untuk tahu sahajapun, boleh. Cuma janganlah datang mengejut. Buatlah temujanji terlebih dahulu supaya kedua-dua belah pihak memperoleh keselesaan dalam pertemuan itu nanti.
Abu Zulfiqar
15 November 2016
No comments:
Post a Comment