Tuesday, September 13, 2016

Tindakan Sesudah BerTarikat Ghazaliyyah

Persoalan : Saya baru mengambil Tariqat Ghazaliyyah. Apa yang perlu saya lakukan seterusnya?

Jawapan :
1. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan segala amalan yang fardhu dan yang wajib. Usaha ini bukan kerana anda berTariqat Ghazaliyyah, tetapi kerana memang sudah menjadi kefardhuan dan kewajiban ke atas kita semua sama ada yang bertariqat ataupun tidak.

2. Amalkan Zikir Harian secara istiqamah.

3. Carilah mana-mana majlis pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin (Imam Al-Ghazali) dan ikutilah secara istiqamah. Jika tidak diperoleh, carilah mana-mana majlis pengajian kitab Minhajul ‘Abidin (Imam Al-Ghazali). Sekiranya tidak dapat juga, teruslah mencari tetapi bolehlah ditampung buat sementara waktu dengan mana-mana pengajian kitab Siyarus Salikin (Syeikh Abdus Samad al-Falimbani). Masih belum dapat? Carilah mana-mana majlis pengajian kitab Bidayatul Hidayah (Imam Al-Ghazali) atau Hidayatus Salikin (Syeikh Abdus Samad al-Falimbani). Belum diperoleh juga? Duduklah dalam mana-mana majlis pengajian kitab tasawuf buat sementara, sambil terus mencari pengajian kitab Ihya’ atau kitab Minhaj.

4. Berusahalah untuk menghadiri sekurang-kurangnya dua kali mana-mana majlis ilmu/tarbiyyah/agama dalam seminggu.

5. Berusahalah untuk solat berjemaah di masjid/surau (bagi lelaki) apabila berpeluang.

6. Berusahalah untuk menutup aurat dengan sesempurna mungkin (bagi lelaki dan wanita).

7. Hadirilah mana-mana majlis tarbiyyah Tariqat Al-Ghazaliyyah yang berhampiran sekiranya ada.

8. Teruslah berhubung baik dengan guru, wakil guru dan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah dari semasa ke semasa, secara berhadapan mahupun secara jarak jauh.

9. Berusaha untuk mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw di mana-mana sahaja kita berada.

10. Teruskan komitmen baik anda selama hari ini terhadap diri, keluarga, rakan-rakan, masyarakat, negara, agama, umat, majikan, kerjaya, pendidikan, jemaah-jemaah Islam atau perkumpulan-perkumpulan agama Islam yang anda sertai, dan sebagainya.


Abu Zulfiqar
13 September 2016

No comments: