Monday, September 5, 2016

Huzaifah Al Yaman guru Hasan Al-Basri

Imam Al-Ghazali menulis dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin :
 Hasan Al-Basri merupakan seorang manusia yang kata-katanya menyerupai kata-kata para nabi dan petunjuk yang diberikannya kepada manusia menghampiri petunjuk para sahabat Nabi saw. Dan telah sepakatlah hal itu terhadap Al-Hasan itu.

Sebahagian besar perkataan Al-Hasan adalah tentang gurisan hati, kerosakan amal, kebimbangan jiwa dan sifat-sifat yang tersembunyi yang tidak jelas dari keinginan hawa nafsu.

Pernah orang berkata kepadanya : “Wahai Abi Sa’id! Tuan berkata-kata dengan perkataan yang tidak pernah terdengar daripada orang lain. Dari mana tuan ambil?”

Al-Hasan menjawab : “Daripada Huzaifah bin Al-Yaman.”


Kemudian ditanyakan kepada Huzaifah : “Kami melihat tuan mengeluarkan perkataan yang tidak pernah terdengar daripada para sahabat Nabi saw yang lain. Dari mana tuan ambil?”

Huzaifah menjawab : “Ditentukan oleh Nabi saw perkataan-perkataan itu kepada aku. Orang lain bertanya kepada Nabi saw tentang kebajikan, aku bertanya kepadanya tentang kejahatan, kerana aku takut terjatuh ke dalamnya. Dan aku tahu bahawa kebajikan itu tidak perlu aku mengetahuinya dengan terburu-buru.”

2 comments:

Unknown said...

Ada yang berkata Hasan Al-Basri telah keluar dari tarekat. Benarkah tuan?.. mohon penjelasan. terima kasih.

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Sebetulnya, inilah kali pertama saya mendengar khabar yang mengatakan Hasan al-Basri keluar dari jalan tarekat. Belum pernah dengar lagi sebelum ini.