Wednesday, September 7, 2016

Mazhab Tauhid dan Tasawuf Imam Syafie?

PERSOALAN : Mengapa dalam bab fiqh kita hendak mengikut Imam Asy-Syafi’i tetapi dalam bab aqidah kita hendak mengikut Imam Abu Hasan Al-Asy’ari? Apabila kita setuju untuk mengikut fiqh Imam Asy-Syafi’i, ikut sahajalah tauhid Imam Asy-Syafi’i. Mengapa kita kena ikut tauhid Imam Abu Hasan Al-Asya’ri pula?

PENCERAHAN :
Setiap bidang ada ahlinya. Ahli di sini bermaksud hamba-hamba Allah yang pakar dalam bidang tersebut. Keahlian orang-orang dalam sesuatu bidang itu juga ada pelbagai. Tiga tungku agama Islam atau tiga bidang utamanya ialah tauhid, fiqh dan tasawuf. Darjah tertinggi dari segi keahlian (kepakaran, kemahiran, keupayaan) seseorang dalam bidang-bidang itu disebut sebagai “mujtahid mutlak”. Mujtahid ramai, tetapi yang mencapai martabat mujtahid mutlak sangat sedikit orangnya.

Dalam bidang tauhid, ada mujtahid-mujtahid mutlaknya. Dalam bidang fiqh, ada mujtahid-mujtahid mutlaknya. Begitu jugalah dalam bidang tasawuf. Para mujtahid mutlak inilah yang mengasaskan mazhab-mazhab tauhid, mazhab-mazhab fiqh dan mazhab-mazhab tasawuf.

Contoh mujtahid mutlak dalam tauhid ialah Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturudi. Mereka mengasaskan mazhab tauhid tersendiri.

Contoh mutahid mutlak dalam bab fiqh ialah Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan Ath-Thauri, Imam Malik, Imam Asy-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka juga mengasaskan mazhab fiqh tersendiri.

Contoh mujtahid mutlak dalam bidang tasawuf ialah Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali. Mereka pun mengasaskan mazhab tasawuf tersendiri.

Bukan semua ulama besar bertaraf mujtahid mutlak dalam ketiga-tiga bidang. Hendak mendapatkan seorang ulama besar yang bertaraf mujtahid mutlak dalam dua bidang sahaja pun hampir-hampir tidak ada. Biasanya mereka mencapai darjat mujtahid mutlak dalam salah satu bidang sahaja. Setiap ilmu ada ahlinya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan iaitu :

“Mengapa dalam bab fiqh kita hendak mengikut Imam Asy-Syafi’i tetapi dalam bab aqidah kita hendak mengikut Imam Abu Hasan Al-Asy’ari? Apabila kita setuju untuk mengikut fiqh Imam Asy-Syafi’i, ikut sahajalah tauhid Imam Asy-Syafi’i. Mengapa kita kena ikut tauhid Imam Abu Hasan Al-Asya’ri pula?”

Untuk orang-orang yang menyokong dan memperjuangkan persoalan seperti di atas, kita kemukakan beberapa persoalan kepada mereka terlebih dahulu agar mereka kemukakan jawapan-jawapannya. Bagi orang-orang yang ikhlas dan cerdas, persoalan-persoalan ini sebenarnya sudahpun menjawab pertanyaan di atas tadi.

1. Adakah Imam Asy-Syafi’i bertaraf mujtahid mutlak dalam bidang tauhid dan tasawuf? (Jika ya, maka sudah tentulah ada mazhab tauhid dan mazhab tasawuf yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i)

2. Apa nama mazhab tauhidnya? Yang kita biasa dengar contohnya Mazhab Tauhid Asya’irah atau Mazhab Tauhid Maturudiyyah. Wujudkah Mazhab Tauhid Asy-Syafi’iyyah? Mengapa tidak pernah dengar pun selama hari ini tentang kewujudan mazhab tauhid yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i itu? Bila mazhab itu diasaskan?

3. Dikatakan bahawa jika kita hendak mengikut mazhab fiqh yang diasaskan oleh Imam Asy-Syafi’i iaitu Mazhab Fiqh Asy-Syafi’i, maka kita juga kenalah mengikut Mazhab Tauhid Asy-Syafi’i. Baiklah, sekarang ada orang mahu mengikut Mazhab Tauhid Asya’irah. Maka mereka kenalah mengikut Mazhab Fiqh Asy’ari? Kan begitu kalau mengikut pemahaman penanya soalan di atas? Persoalannya, wujudkah mazhab fiqh yang diasaskan oleh Imam Al-Asy’ari iaitu Mazhab Fiqh Asy’ari? Bagaimana pula dengan Mazhab Tasawuf Asya’irah? Pernah dengarkah?

4. Kami mengikut Mazhab Tasawuf Al-Ghazaliyyah yang diasaskan oleh Imam Al-Ghazali. Maksudnya kami kenalah mengikut Mazhab Tauhid Al-Ghazaliyyah dan Mazhab Fiqh Ghazali? Bila pula masanya Imam Al-Ghazali diiktiraf sebagai mujtahid mutlak dalam fiqh dan mengasaskan Mazhab Fiqh Ghazali? (*Padahal Imam Al-Ghazali sekalipun bertaraf mujtahid mutlak dalam tasawuf dan mengasaskan mazhab tasawuf tersendiri, beliau sedar tarafnya yang bukan mujtahid mutlak dalam bidang fiqh menyebabkan beliau tetap berpegang dengan mazhab fiqh Asy-Syafi’iyyah)

5. Ringkas kata, setiap mujtahid mutlak yang mengasaskan apa-apa mazhab sama ada dalam bidang tauhid, fiqh ataupun tasawuf, ada kitab khusus mereka yang membicarakan bidang tersebut. Imam Abu Hasan Al-Asy’ari mengasaskan Mazhab Tauhid Al-Asya’irah, maka ada kita-kitab besar lagi khusus yang dikarangnya dalam bidang tauhid. Imam Al-Ghazali mengasaskan Mazhab Tasawuf Al-Ghazaliyyah, maka ada kitab-kitab karangannya yang besar lagi khusus yang membicarakan hal ehwal tasawuf. Imam Asy-Syafi’i mengasaskan Mazhab Fiqh Asy-Syafi’i, maka memang ada kitab-kitab besarnya lagi khusus yang dikarangnya yang membicarakan hal ehwal fiqh.

Adakah kitab besar lagi khusus karangan Imam Asy-Syafi’i yang membicarakan bidang tauhid? Apa nama kitab besar lagi khusus karangan Imam Asy-Syafi’i yang membicarakan bidang tasawuf? (*Jika ada sekalipun, memang jelas terbukti sepanjang sejarah agama Islam, Imam Asy-Syafi’i tidak pernah mengasaskan apa-apa mazhab tauhid ataupun mazhab tasawuf).

Kesimpulan

Jadi, umat Islam mengikut Imam Asy-Syafi’i dalam bidang fiqh kerana beliau diakui sebagai mujtahid mutlak dalam bidang fiqh yang membolehkan beliau mengasaskan mazhab fiqhnya sendiri iaitu Mazhab Fiqh Asy-Syafi’i.

Dan umat Islam mengikut Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dalam bidang tauhid kerana beliau diakui sebagai mujtahid mutlak dalam bidang tauhid yang membolehkan beliau mengasaskan mazhab tauhidnya sendiri iaitu Mazhab Tauhid Asya’irah.

Tidak pernah diketahui yang Imam Asy-Syafi’i diakui sebagai mujtahid mutlak dalam bidang tauhid atau bidang tasawuf. Sebab itulah tidak pernah wujud Mazhab Tauhid Asy-Syafi’iyyah atau Mazhab Tasawuf Asy-Syafi’i. (*Kitab-kitab besar lagi khusus beliau dalam kedua-dua bidang itu yang mahu digunakan sebagai dasar kepada mazhab kedua-dua bidang itu pun belum pernah kami temui, setakat ini)

Macam mana kita hendak mengikut sesuatu yang tidak wujud?

Pembuat soalan itu dan para penyokong soalan itu sepatutnya carilah pengetahuan terlebih dahulu tentang bidang-bidang utama agama Islam ini dan para mujtahid mutlak untuk setiap bidang tersebut. Apabila mereka sudah tahu, persoalan di atas tidak akan wujud pun.

Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
7 September 2016

No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails