Monday, October 5, 2015

Nota Kuliah Kitab Cinta 4





SEIMBAS LALU PERKONGSIAN SEBELUM INI

Kata Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin : “Sesungguhnya cinta akan Allah adalah matlamat paling jauh daripada maqam-maqam yang ingin dicapai dan ketinggian yang paling tinggi (kemuncak) daripada darjat-darjat.”

Kata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Kimiya’ as-Sa’adah : “Cinta kepada Allah Taala adalah tajuk yang paling penting dan merupakan matlamat akhir perbicaraan kita.”

Katanya lagi dalam Kimiya’ as-Sa’adah : “Kesempurnaan kemanusiaan terletak di sini, iaitu kecintaan kepada Allah Taala.”
Bagaimanakah hakikat cinta?
i)                    Cinta hanya wujud setelah tahu (idrak) dan setelah kenal (ma’rifah). Tak kenal, maka tak cinta. Setelah kenal, barulah cinta itu datang.
ii)                   Kita suka atau cinta akan sesuatu berdasarkan apa yang pancaindera kita suka. Terdapat 5 pancaindera yang zahir dan satu lagi pancaindera yang batin iaitu mata hati.
iii)                 Sesungguhnya manusia (dan jin) itu mencintai dirinya sendiri. Jika manusia itu ada mencintai seseorang atau sesuatu yang lain, sebenarnya adalah kerana kepentingan dirinya sendiri juga.

Cinta hanya wujud pada makhluk hidup dan berakal.

Pancaindera ada lima iaitu :
1.       Melihat melalui mata.
2.       Mendengar melalui telinga.
3.       Merasa melalui lidah.
4.       Menghidu melalui hidung.
5.       Merasa sentuh melalui kulit dan seumpamanya.
Pancaindera teristimewa iaitu pancaindera ke-6 ialah mata hati.

Kisah-kisah cinta yang tidak sesuai dijadikan teladan :
i.                     Taj Mahal.
ii.                   Romeo & Juliet.
iii.                  Pyramus & Thisbe.


PERKONGSIAN UNTUK MALAM INI

Sebab-sebab cinta :
i)                    Kerana kita memang mencintai diri sendiri. Ini memang fitrah manusia dan jin.
ii)                   Kerana kita terdorong untuk menyukai pihak yang berjasa kepada kita.
iii)                 Kerana fitrah kita untuk menyukai kecantikan, keelokan, kebagusan dan seumpamanya.
iv)                 Kerana mata batin (mata hati) kita dapat mencintai yang batin.
v)                  Kerana keserasian.

Maka marilah kami terangkan sebab-sebab cinta dan bahagian-bahagiannya.

Sebab 1 – Kerana kita mencintai (menyayangi) diri sendiri

(ms 418) Penjelasannya, bahawa kecintaan yang pertama pada setiap yang hidup itu dirinya dan zatnya sendiri. Makna cintanya kepada dirinya ialah bahawa pada tabiatnya itu cenderung kepada kekekalan terus adanya, lari dari tiadanya dan binasanya.

Manakah sesuatu yang lebih sempurna kesesuaian, dari dirinya dan kekekalan terus adanya?
Manakah sesuatu yang lebih besar berlawanan dan kelarian baginya, dari tidak adanya dan kebinasaannya?

Maka kerana itulah manusia mencintai kekekalan terus ada dan tidak menyukai mati dan terbunuh. Tidak kerana semata-mata apa yang ditakutinya sesudah mati dan tidak kerana semata-mata takut dari sakaratulmaut.

Akan tetapi jikalau ia disambar, tanpa ada kesakitan dan dimatikan tanpa pahala dan siksa, nescaya ia tidak redha dengan yang demikian.

Dan adalah ia tidak menyukai bagi yang demikian. Ia tidak menyukai mati dan ketiadan semata-mata, selain kerana penderitaan kepedihan dalam hidup.
Manakala ia kena percubaan dengan suatu percubaan, maka yang dicintainya ialah hilangnya percubaan itu. Maka jikalau ia mencintai tidak, nescaya ia tidak mencintainya, kerana ia tidak ada. Akan tetapi, kerana padanya hilang percubaan.

Maka binasa dan tidak ada itu dibencikan. Dan kekekalan terus ada itu dicintakan. Sebagaimana kekekalan terus itu itu dicintakan, maka kesempurnaan ada itu juga dicintakan.

Kerana yang kurang itu meniadakan kesempurnaan. Dan kekurangan itu tidak ada, dikaitkan kepada kadar yang hilang (yang tiada diperoleh).

Dari itu kebinasaan, dengan dibandingkan kepadanya. Binasa dan tidak ada itu dibencikan pada sifat-sifat dan kesempurnaan ada (wujud).  

Sebagaimana dia itu dibencikan pada pokok zatnya sendiri. Adanya sifat-sifat kesempurnaan itu dicintakan, sebagaimana kekekalan pokok adanya itu dicintakan.

Ini adalah gharizah (instink) pada tabiat-tabiat, dengan hukum Sunnah Allah Taala.

“Dan tiada akan engkau dapati Sunnah Allah itu digantikan.” (Al-Ahzab : 62)
Jadi yang dicintakan yang pertama oleh manusia ialah zat dirinya. Kemudian keselamatan anggota-anggota badannya. Kemudian hartanya, anaknya, kaum keluarganya dan teman-temannya.

Anggota-anggota badan itu dicintai dan keselamatannya dicari. Kerana kesempurnaan wujud dan kekekalan wujud itu terletak padanya.

Harta itu dicintai kerana dia juga alat pada kekekalan wujud dan kesempurnaannya. Demikian juga sebab-sebab yang lain.

(419) Manusia mencintai segala hal ini, tidak kerana bendanya. Akan tetapi kerana keterikatan keberuntungannya pada kekekalan terus ada dan kesempurnaannya dengan hal-hal tersebut.

Sehingga manusia itu mencintai anaknya walaupun ia tiada memperoleh keuntungan daripadanya. Bahkan ia menanggung kesukaran lantaran anak itu. Kerana anak itu akan menggantikannya pada adanya, sesudah tidak adanya. Maka ada pada kekekalan keturunannya itu semacam kekekalan baginya.

Maka kerana kesangatan cintanya untuk kekekalan dirinya, ia mencintai kekekalan orang yang berdiri pada tempat kediriannya (yang menggantikannya). Dan seakan-akan orang yang menggantikannya itu sebahagian daripadanya. Kerana ia lemah daripada mengharap pada kekekalan dirinya untuk selama-lamanya.

Seperti yang demikian juga, kecintaannya kepada kaum kerabatnya dan familinya itu kembali kepada kecintaannya, bagi kesempurnaan dirinya sendiri. Ia melihat dirinya akan banyak dengan mereka, menjadi kuat dengan sebab mereka, bertambah elok dengan kesempurnaan mereka.

Bahawa famili, harta dan sebab-sebab yang di luar dirinya adalah seperti sayap yang menyempurnakan bagi manusia. Kesempurnaan wujud dan kekekalannya itu sudah pasti dicintai dengan tabiat.

Jadi, kecintaannya yang pertama pada setiap yang hidup ialah dirinya, kesempurnaan dirinya dan kekekalan itu semuanya. Yang tidak disukainya, ialah lawan yg demikian. Inilah permulaan dari sebab2 itu.

Sebab 2 – Kerana kita menyanyangi pihak yang berjasa kepada kita.

Sebab kedua : berbuat baik kepada orang (ihsan). Bahawa manusia itu adalah budak al-ihsan (hamba kepada jasa).  Telah menjadi tabiat manusia mencintai orang yang berbuat al-ihsan kepadanya dan benci kepada orang yang berbuat jahat kepadanya.

(ms 420) Dengan sebab ini, kadang-kadang manusia mencintai orang asing, yang tiada tali kefamilian dan hubungan di antaranya dan orang asing tersebut. Dan ini, apabila telah pasti, maka kembali kepada sebab yang pertama itu.

Bahawa orang yang berbuat al-ihsan itu ialah orang yang menolong dengan harta, bantuan dan sebab-sebab yang lain, yang menyampaikan kepada kekekalan terus adanya, kesempurnaan adanya dan keberhasilan keuntungan-keuntungan, yang dengan keberuntungan-keberuntungan itu, tersedialah wujudnya.

Hanya bahawa perbezaan ialah anggota-anggota tubuh manusia itu dicintakan kerana dengan dia terdapat kesempurnaan wujudnya. Dan itu adalah kesempurnaan itu sendiri yang dicari.

Adapun orang yang berbuat al-ihsan (al-muhsin), tidaklah dia itu diri kesempurnaan yang dicari. Akan tetapi, kadang-kadang adalah sebab bagi kesempurnaan.
Seperti tabib yang menjadi sebab pada kekekalan sihatnya tubuh anggota-anggota badan. Maka diperbezakan antara cinta kepada kesihatan dan cinta kepada tabib yang menjadi sebab kesihatan. Kerana kesihatan itu dicari bagi diri kesihatan itu. Dan tabib dicintai tidak kerana dirinya, tetapi kerana dia menjadi sebab bagi kesihatan.

Seperti demikian juga, ilmu itu dicintai. Guru itu dicintai. Akan tetapi, ilmu itu dicintai bagi diri ilmu itu sendiri. Dan guru dicintai kerana adanya guru itu menjadi sebab bagi ilmu yang dicintai.

Begitu pula makanan dan minuman itu dicintai dan wang dinar (wang emas) itu dicintai. Akan tetapi, makanan itu dicintai bagi diri makanan itu. Dan wang dinar dicintai kerana dia menjadi perantara (wasilah) kepada makanan.

Maka setiap orang yang mencintai orang yang berbuat baik (al-muhsin) kerana al-ihsannya, nescaya tidaklah ia mencintai diri orang itu pada hakikatnya. Akan tetapi, ia mencintai akan al-ihsannya. Iaitu suatu perbuatan dari perbuatan-perbuatannya. Jikalau hilang, nescaya hilanglah kecintaan itu, serta diri orang itu masih ada pada yang sebenarnya. Jikalau berkuarang al-ihsan itu, nescaya berkuranglah kecintaan. Dan jika bertambah, nescaya bertambahlah kecintaan. Berjalan kepadanya bertambah dan berkurang, menurut bertambah dan berkurangnya al-ihsan.

Sebab 3 – Kerana fitrah kita suka elok dan cantik.

Bahawa mencintai sesuatu itu kerana diri sesuatu itu sendiri. Tidak kerana keuntungan yang diperoleh daripadanya, di sebalik diri sesuatu itu sendiri. Akan tetapi, adalah dirinya itu menjadi keuntungan itu. Dan itulah kecintaan yang hakiki, yang sampai kepada yang dimaksud, yang dipercayakan dengan kekekalannya.

Yang demikian itu seperti cinta kepada kecantikan dan kebagusan. Bahawa setiap kecantikan itu dicintai pada orang yang mengetahui akan kecantikan. Dan itu adalah kerana kecintaan itu sendiri. Kerana mengetahui akan kecantikan, maka padanya itu kelazatan sendiri, yang dicintai kerana dirinya benda itu. Bukan kerana lainnya.

Anda jangan menyangka bahawa mencintai rupa yang cantik itu tidak tergambar, selain kerana memenuhi nafsu syahwat. Bahawa memenuhi nafsu syahwat itu suatu kelazatan yang lain,  yang kadang-kadang rupa yang cantik itu dicintai, kerana rupa yg cantik itu sendiri.

Mengetahui kecantikan itu juga suatu kelazatan. Maka bolehlah dikatakan bahawa kecantikan dicintai kerana kecantikan itu sendiri.

Bagaimana memungkiri yg demikian, sedang sayuran dan air mengalir itu disukai? Tidak krn air itu diminum dan sayur yg hijau itu dimakan. Atau diperoleh drpdnya keuntungan, selain dengan melihat itu sendiri.

Adalah Rasulullah saw itu menakjubkannya oleh sayuran dan air yang mengalir. Tabiat yang sihat itu terpenuhi dengan memandang kepada cahaya, bunga-bungaan, burung-burung yang manis warnanya, ukiran yang bagus, yang bersesuaian bentuknya. Sehingga manusia itu menjadi lega dari kegundahan dan kesusuahan dengan memandang kepadanya. Tidak krn mencari keuntungan, dibalik memandangnya itu.

Maka inilah sebab-sebab yang melazatkan. Dan setiap yang melazatkan itu disukai. Setiap kebagusan dan kecantikan, maka tidaklah terlepas mengetahuinya dari kelazatan. Dan tidak seorang pun memungkiri akan keadaan kecantikan itu disukai menurut tabiatnya manusia.

Kalau sudah tetap, bahawa Allah Taala elok, nescaya sudah pasti Dia itu dicintai oleh orang yang tersingkap baginya keelokan dan keagunganNya, sebagaimana Rasulullah saw bersabda :
 “Bahawa Allah itu elok, yang mencintai keelokan.” (Muslim)

No comments: